ALLYSA Elesendralah. Begitupun, dia sepupu aku yang paling
baik. Paling cantik. Pandai mengambil hati. Mamapun tak boleh kata apa bila nenek kami
dah setuju nak menjodohkan kami. Mungkin
dalam masa terdekat ini.
Kata mama, warisan keluarga harus berada
di dalam garisnya. Tidak perlu dibuat
garisan baru atau membengkokkan apa yang sudah lurus. Akupun tak tahu Zaw. tapi bagi aku Lisa pilihan yang tepat. Aku rasa kalau aku dengan dia disatukan,
akulah orang yang paling bahagia. Akulah
orang yang paling bertuah di dalam dunia ni.
Uwek!
Segala isi perut yang baru dipantakkan bagai
mahu berlari keluar melalui temboloknya.
Kalau tempohari, nada e-melnya agak berbeza. Nada kali ini jauh berbeza.
Semuanya
cerita tentang sepupunya itu. tiba-tiba.
Teringat dia kembali pada gadis gedik
itu. yang jauh dalam sudut matanya
menyimpan kebimbangan yang amat sangat seandainya haknya yang satu itu
dirampas. Zaw mematikan terus
ipadnya. Hilang dan terbang pergi semua
keinginan untuk melayari laman-laman sosial di dalam sana .
Terus berbaring menghempaskan diri.
“Zaw,
mama nak pergi kelas poco-poco ni. Kalau
nak makan, semuanya mama dah masakkan.
Zaw tolong makan saja. Pinggan
mangkukpun tak payah basuh. Nanti balik
mama basuh,” Hidayati bersuara senafas
sebelum berpusing keluar dari bilik itu.
Zaweeya
melepaskan keluhan. Sindirlah Mama,
sindir. Mentang-mentanglah muka aku ni
muka mengelat bila ke dapur! Satu hari,
bila aku belajar memasak, Buddy dari
Carlos Bakery dalam TLCpun akan ambil aku jadi kakitangannya! Dia mencapai telefon yang tiba-tiba
menyanyikan lagu terbaru kumpulan Infinite, Be Mine.
‘Kau ada dekat rumah?’ Nama Budik terpapar di skrin atas dengan
diikuti mesej di ruang bawahnya.
‘aku ada dalam rumah’
‘mama kau masak apa petang ni?’
‘tak tahu. Tak apa.
Datang saja. Bawa tilam bantal
sekali. Mama akupun tak kisah.’
Tiada
balasan menjengah. Sepuluh minit
kemudian, salam kesejahteraan berlagu di pintu pagar. Zaw cuma menjerit dari tingkap biliknya
mengatakan pintu pagar tidak berkunci.
“Amboi,
siap suruh aku pindah ke mari nampak?”
“Yalah. Tanya mama aku masak apa. Mak kau tak masak kah sampai kena datang
minum petang kat rumah aku?”
“Wei,
mak aku kerjalah. Petang karang baru
balik.” Budik menerangkan biarpun dia
tahu Zaw sudah tahu. Adat hidup di
bandar, begitulah. Wanita berkerjaya
tidak ada pilihan. Kadang-kadang,
rumahtangga juga terabai kerana tuntutan kerja.
“Wafi
ada hantar berita?” tanya Budik
tiba-tiba. Dia berbaring di atas katil Zakeeyaa.
“Berita
apa? Aku bukannya stesen tv tempat
hantar berita,” tukas Zaw. Tiba-tiba
merasa tidak enak membicarakan hal Wafi.
Cemburukah hati ini? Tetapi untuk
apa. Bukannya ada rasa cintapun di hati
mereka. Cinta?
“Lain
macam bunyinya ni. Ada apa-apa yang tak kena kah?”
“Eh,
jomlah. Kita pergi perpustakaan. Atau mana-mana. Janji tak duduk kat rumah ni. Serabutlah!”
Zaw bangun mencapai baju T berlengan panjang berbelang merah hitam. Juga dicapainya tudung warna senada. Mereka berjalan kaki sahaja menuju ke
perpustakaan yang terletak di baris yang paling hujung di kawasan perumahan
itu.
“Kalau
kau dapat warna yang terbang dalam keputusan kau nanti, kau nak ke mana? Universiti? Kolej? Luar negara.
Dalam negara. Atau kau nak terus
bekerja?”
“Warna
yang terbang?” Budik menoleh
“Flying colours.”
“Oh, okey.” Sedikit senyum tipis terukir di
bibirnya. “Zaw, Zaw. Macam-macamlah kau ni.” Hatinya berkata.
“Kenapa kau
tanya macam tu?”
“Aku terasa nak bertanya. Macamana kalau kita dapat keputusan yang
baik. Masuk universiti, tapi sudahnya
kita gagal dapat kerja. Sedangkan
kawan-kawan kita yang tak dapat keputusan yang baik, dah bekerja tiga atau
empat tahun daripada kita. Dah ada
kelebihan jauh daripada kita. Dah ada
pengalaman. Mana-mana tempat kerjapun
perlukan pengalaman.”
Mereka berdua tiba di depan satu lot
kedai yang sudah diubahsuai menjadi perpustakaan awam itu. Pustakawan yang bertugas itu tersenyum sambil
menyambut salam mereka. Sudah biasa
melihat wajah mereka.
Pengunjung tetap terutama saat-saat SPM kian
menghampir dahulu. Sepulang dari
sekolah, selepas kelas tambahan, terus ke situ.
Biasanya bertiga. Hari ini berdua
sahaja. Petang, selepas waktu persekolahan, perpustakaan kecil itu sedikit
sesak. Biarpun kebanyakan yang datang
cuma untuk menggunakan kemudahan kafe siber yang disediakan percuma. Juga melayari maya dengan gajet masing-masing
dengan WIFI percuma.
Tetapi,
lebih baik daripada anak-anak seusia lapan hingga belasan tahun itu
menghabiskan masa di kafe siber yang sebenar yang sesak dengan asap rokok dan
kelucahan maya yang tidak terkawal.
Mereka mengambil sudut di bawah tangga di mana majalah-majalah
ditempatkan. Di situ lebih selesa. Ada
sofa putih dengan permaidani yang tebal.
Bagaikan di rumah sendiri.
“Masa
tu, keluarga mesti beri tekanan.
Menghabiskan beras. Dihantar
belajar, sudahnya tak dapat kerja.
Perempuan tak mengapa lagi.
Lelaki? Itu aku tak tambah yang
dah berpunya masa di universiti.
Tentulah berhajat nak berumahtangga.”
Budik mendengar dengan kusyuk untuk menghadam.
“Kau
maksudkan Wafi kah?” teka Budik. Zaweeya meletakkan semula majalah islamik
untuk remaja yang dicapainya.
“Wafi
tu termasuk dalam kategori ‘terkecuali’.
Anak orang berada. Kalau tekanan
daripada keluarga tak kuat, dia boleh bersenang-lenang dengan harta
keluarganya. Aku maksudkan selain
daripada Wafi. Khalayak.”
“Apa
yang buat kau berfikir serius sangat macam ni?”
Budik mencapai majalah yang diletakkan Zaw tadi. Suasana perpustakaan itu tidak seperti
perpustakaan. Hingar-bingar. Kafe yang menghidangkan makanan dan minuman
separuh ringan juga dihurungi oleh anak-anak yang meminta itu dan ini.
“Aku
bimbang tak dapat memenuhi apa yang Mama dan Papa aku harapkan. Reema dah habis belajar. Senang-senang dapat kerja. Aku tengok Mama dan Papa bangga sungguh
dengan dia. Senyum aja. Aku takut dengan
aku, mereka tak boleh nak senyum.”
“Mama
kau memang selalu senyum, apa. Susahpun
dia senyum. Marahpun dia senyum. Kita orang yang tengah susah hatipun dia
boleh senyum. Siap buat lawak
lagi,” Budik teringatkan kejadian
Zaweeya menumbuk Wafi di sekolah dahulu.
Bagaikan putus nyawa mereka berlari mengejar Zaweeya. Sampai di pintu pagar rumah Zaweeya, Puan Hidayati bertanyakan tentang sukan
sekolah. “Tak patut betul,” getus
hatinya.
“bukan
senyum tulah, ngok. Dah muka Mama aku
macam tu. Nak buat macamana. Aku maksudkan hati dia,” Zaweeya menyelak pantas helaian demi helaian
majalah bersaiz kompak itu.
“Tak
ada mak yang nak anak dia gagallah, Zaw,” ujar Budik. Pendek tetapi mengesankan. Selajur bangun. Menuju ke rak buku novel remaja yang tersusun
kemas.
Zaweeya
meneruskan pembacaannya pada satu artikel yang tiba-tiba bagai menarik-narik
matanya untuk dibaca.
Suara
Sung Kyu mendendangkan lagu Be Mine kedengaran perlahan dan menggetar di dalam
poket seluar jeansnya. Beberapa mata
yang mengenali irama itu dan peminat Kpop mencari arah bunyi itu. Ada
suara-suara teruja kedengaran.
“Kenapa
kau kunci pagar ni. Aku nak masuk
macamana?” Suara Zakeeya kedengaran
kelelahan dalam marah.
“Sorrylah. Takkan aku nak tinggalkan kunci kat pintu
pagar pula. Agak-agaklah kau ni. Aku dekat perpustakaan, kenapa?”
“Perpustakaan? Baliklah.
Dah lama aku tunggu.
Terjerit-jerit macam orang gila kat depan rumah ni. Lain kali letaklah notis. Papan tanda kat pintu pagar ni. Buat malu aku aja,” Zakeeya terus menyambung cecehannya.
“Alah,
kau tumpang rumah Cik Ros sebelah sekejap.
Tak lama lagi Mama balik,”
Zaweeya bangun. Melepaskan diri
dari celahan cermin pintu perpustakaan dan bertenggek di atas motosikal yang
diparkir di depan perpustakaan itu.
“Cik
Rospun pergi kelas poco-poco dengan Mamalah.
Eh, baliklah. Aku penat ni,”
Tegas Zakeeya. Sudahlah kepenatan
berjalan kaki dari sekolah selepas aktiviti ko-kurikulum tadi.
Cadangnya
sampai di rumah hendak dilempar tubuh di depan televisyen. Sambil-sambil menonton rancangan realiti dari
Korea Selatan, Let’s Go Dream Team.
Tiba-tiba, hanya pintu pagar besi yang menyambutnya. Berkunci pula. Apalagi, beg kasut berwarna merah yang tidak
bersalah di tangan nyaris terbang ke dalam longkang.
Zaweeya
menggamit Budik. Zakeeya jika dibiarkan
berlama-lama nanti, syarahannya tidak akan berhenti hingga ke tengah
malam. Ditambah pula dengan bantuan
penyanyi iringan yang anggun dan tampan dua orang itu. Bertambah semaraklah rumah itu dengan ceramah
perdana percuma.
Sambil
menunggu Budik, tangannya spontan mengenggam hendal motosikal itu. dipulasnya beberapa kali, bagai membawa
motosikal.
“Ehem,
dah sampai Perlis kah? Banyak tiang dah
kena tinggal ni…” satu suara menyapa.
Zaweeya melepaskan pegangannya dan terus berdiri. Mengambul sedikit
motosikal itu apabila Zaweeya bangun.
Zaweeya tersengih-sengih. “Mesti,
dia tengok gelagat aku dari tadi.” dia mengumam sendiri.
“Maaf.” Sepatah kata sahaja yang terkeluar. Budik yang berlenggang-lenggok menghampiri
mereka ditariknya.
“Man,
hantar aku balik,” sela Budik tiba-tiba.
“Tak
ada maknanya. Daripada aku hantar kau baik
aku hantar ‘minah rempit’ ni balik Perlis.”
Pemuda ditegur Budik itu mengenyit mata.
“Jangan nak mengada-ngadalah, Norman . Dia ni kawan sekolah akulah.”
“Yang tumbuk Wafi hari tu kah?” Zaw membulatkan matanya. Tangannya mengutil lengan Budik. Budik terjerit.
“Oi.. Sim-Alif- Kaf -Ya -Ta lah,”
“Fa-Alif-Dal-Nun Mim-Wau-Mim-Alif Kaf Alif Wau,” balas Zaweeya meninggalkan mereka. Budik dan Norman
berpandangan. Sebelum ketawa daripada
mulut Norman pecah dahulu.
“Padan muka kau!” Jeritnya. Barulah Budik menyambut tawanya. Tamparan kasar hinggap di belakang Norman berkali-kali.
Terjerit-jerit Norman sambil ketawa
tetapi menuju ke arah Zaweeya.
“Aku budak sekolah Jalan Lapan. Wafi tu aku kenal. Satu taman ni tahu pasal kisah kau tumbuk
dia. Biasalah. Kau nak malu apa. Lagipun zaman sekolah dah habis,” ujar Norman
seakan memujuk. Langkah Zaweeya
terhenti. Di tepi jalan dengan kereta
yang lalu lalang. Norman menutup mukanya
dengan kedua-dua lengan sambil menyengetkan sikit tubuhnya. Kemudian dia beralih posisi.
“Kau, jangan. Aku ada silat,” Norman
memberi amaran sambil membuka bunga silatnya yang nampak benar
huru-haranya. Pemandu kenderaan yang
lalu lalang menoleh ke arahnya yang bersilat tak ketahuan bunga itu.
“Aku tak kenal kaupun.” Zaweeya bersuara.
“Akupun tak kenal kau. Tapi, kalau kau nak berkenalan dengan aku,
akupun nak berkenalan dengan kau.”
Norman memberhentikan aksi bodohnya.
Tersengih memerhatikan Zaweeya sambil mengesat peluh yang menuruni
dahi. Badannya yang agak berisi
memudahkan dia mengah dan berpeluh apabila melakukan aktiviti lasak.
Biarpun ketinggian
dan beratnya nampak seimbang apabila diukur, dia sudah termasuk di dalam
kategori berat badan berlebihan.
Tercatat dalam carta BMI yang diukur sendiri di sekolah. Niatnya ada untuk menurukan berat badan
tetapi melihat makanan yang tidak pernah tidak enak dimasak emaknya, maka
tertangguhlah hasrat yang ada.
“Zaw, sebenarnya, Norman tu jiran
aku.” Terang Budik apabila Norman berpatah balik ke perpustakaan. Mengambil motosikalnya sebelum satu sepakan
dihadiahkan ke kaki Budik.
“Anak Cik
Nab. Yang rumahnya macam hutan belukar
tu,” Budik memuncungkan mulut. Bersungguh-sungguh. Cik Nab membuka nurseri bunga-bungaan di
depan rumahnya. Kadang-kadang emaknya
bising juga, bimbang binatang berbisa berumahtangga di dalam semak belukar itu
merayap ke dalam pagar rumah mereka pula.
“Kenapa aku tak
pernah nampak dia?” tanya Zaweeya ketika
mereka beriringan semula.
“Mana nak
nampak. Kalau duduk dalam semak
belukar,” sela Budik pula. Satu deruman
pantas beserta hon bertalu-talu berlalu bagaikan kilat di tepi mereka. Norman meninggalkan asap dan bingitan bunyi
enjin yang sengaja dipulasnya.
No comments:
Post a Comment