..yang bernama sahabat

Friday, 30 November 2012

Bondaku Besan Ratu - Finale



Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Khatam menulisnya pada tanggal 30 November 2012 setelah memulakannya pada 15 Oktober 2012.  Melangkah meninggalkan 'istana' Bondaku Besan Ratu untuk memulakan tari Langgam Berkasih.  Naskhah mentah belum disunting.  Panas dari ladang.  Jika berpinar biji mata membacanya, memang disengajakan.....
BAB EMPAT PULUH (40)

            “HAMBA mohon, bebaskan hamba.  Pertelingkahan ini antara tuan hamba dengan Putera Indera Laksamana.  Tiada kaitan dengan hamba,”  Kembang Dahlia terus merayu.  Mata Raja Helang Olak Lapan memerah.  Kembang Dahlia tersandar dengan tangan terikat ke belakang di dinding gua.  Gua yang lembap dan dingin itu bergema dengan ketawa Raja Helang Olak Lapan yang mengerikan. 
            ”Negeri beta sudah tergadai.  Kerajaan beta sudah hancur.  Kalau diikutkan, tidak memadai isteri Indera Laksamana sahaja.  Sepatutnya seluruh keluarga dan keturunannya beta rosakkan,” 
titah Raja Helang Olak Lapan sebelum ketawa lagi.  Hujung pedang yang terhunus ditujahkan ke batang leher Kembang Dahlia.  Ditekannya sedikit dan Kembang Dahlia menjerit kecil apabila terasa perit di lehernya. 
            ”Kenapa tuanku ikutkan hati?  Kalau tuanku mati di tangan Indera Laksaman selepas ini, tidakkah segala-galanya lebih sia-sia?”
            ”Jangan nak bermain kata-kata dengan beta.  Muak beta mendengarnya,”  Raja Helang Olak Lapan mencacakkan pedangnya ke tanah bagaikan tongkat.  Sebelum melabuhkan punggung di atas batu berhampiran tempat Kembang Dahlia diikat.   Misai yang melintang digintil-gintil dengan tangan kanan.  Raja Helang Olak Lapan nampak bengis dengan kepala yang tidak berambut waima sehelaipun.  Setidak-tidaknya mahkot kebesaran yang terletak dahulu, melindungi kekurangan itu.  Benarlah kata orang jika kekuasaan itu dimiliki dengan cara yang salah, apabila hilang maka terserlahlah kecacatan tanpa sedar atau tidak.
            ”Hamba tak bermain kata-kata.  Hamba minta tuanku berfikir.  Janganlah kerana pinangan tuanku ditolak, sebuah negeri menjadi binasa.  Tuanku membina negeri bertahun-tahun, apakah kerana seorang wanita, tuanku runtuhkan ia dalam masa sehari?”  Kembang Dahlia sekadar mencuba nasib.  Ketika Raja Helang Olak Lapan menoleh, dia menghentikan usaha menanggalkan ikatan.  Tetapi apabila pandangannya dihalakan ke tempat lain, Kembang Dahlia bermati-matian cuba melonggarkan ikatan itu.
            ”Tetapi perbuatan Tuanku * tidak beradab.  Beta memohon anakandanya dengan cara yang baik.  Bukannya beta datang menceroboh istana melarikan puterinya.”
            ”Jika Tuanku * tidak beradab, tuanku boleh menghantar utusan.  Meminta penjelasan.  Bukannya dengan tindakan melulu menyusahkan rakyat dan mengorbankan negeri,”
            ”Argh!”  Raja Helang bertempik.  Terasa bergegar dinding gua tempat Kembang Dahlia bersandar. 
            ”Pernahkah tuanku mendengar Syair Teladan Yusuf nan Tampan?”  Kembang Dahlia bertanya.  Raja Helang Olak Lapan tidak menjawab. 

Ayuhai kawan inilah sabda,
Yusuf yang tampan empunya cerita,
Bulan dan bintang sujud padanya,
Terbitlah walang ayahanda tercinta.

Berperi ayahanda waspada anakanda
Syaitan sentiasa bersiap siaga
Kepada saudara jangan diberita
Kelak celaka badan binasa


Yusuf itu nabi pilihan,
Mentakwil mimpi itulah kelebihan,
Janganlah manusia buruk perasaan,
Janji Allah bukan tandingan,

Hasad dengki jangan dilayan,
Putus kasih dengan kesayangan,
Syaitan pula main peranan,
Terkorbanlah Yusuf dalam buangan.


            ”Harus diingat Tuanku,  Syaitan sentiasa bersiap siaga hendak merosakkan manusia.  Lebih-lebih lagi kalau tuanku biarkan amarah menguasai diri.  Padahal, penyebabnya hanya sebesar hama.  Boleh selesai kalau mengerti cara,”  Kembang Dahlia terus bersuara untuk membiarkan akal fikir Raja Helang Olak Lapan itu terpantak dengan ingatan yang muluk-muluk.
            ”Siapa syaitan itu?  Hebat benarkah dia?  Takkan terlawan akan beta!”  Raja Helang Olak Lapan sudah memberikan kemenangan 1-0 kepada Qarin yang mendiami seketul daging di dalam tubuhnya.
            ”Syaitan itu tidak berupa.  Tiada berjasad.  Kalau berjasad dan berupa itu Cuma suruhannya.  Geraknya pantas, lakunya deras.  Di dalam darah dan persendian tempat diamnya.”
            ”Dari mana tuan hamba ini tahu semua?”  Bicara Raja Helang Olak Lapan tidak sekasar tadi.  Kisah syaitan yang tidak berupa dan lebih hebat daripadanya ternyata mendatangkan geruh* di hatinya.
            ”Hamba berguru dengan bonda.  Diperturunkannya daripada Kitabullah dan Lidah Anbia.  Sebagai pesanan buat umat manusia.  Yang selalu lalai dan juga lupa.  Buat penyuluh ketika pesuruhNya telah tiada.  Semoga terus di jalan ke syurga,”  Kembang Dahlia meneruskan kata melihat wajah Raja Helang Olak Lapan semakin tenang.  Kerutan di dahinya kian memudar. 
            ”Bagaimana jalan ke syurga itu?”
            ”Berpegang pada tali Allah.  Berbuat baik sesama manusia.  Maaf memaafkan supaya hidup aman damai.  Apabila kehidupan aman, peribadatan menjadi senang.  Jalan ke syurga semakin terang,”  Raja Helang Olak Lapan tidak bersuara lagi.  Mencerna kata-kata yang dilemparkan Kembang Dahlia tadi.
            ”Benarkah kata-kata tuan hamba ini?  Atau sekadar pemanis bicara untuk melepaskan diri?”
            ”Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang yang mempunyai akal.  Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan kita-kitab yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman,”  Kembang Dahlia membacakan ayat 111, ayat penamat dalam surah Yusuf.  Dilagukan indah sebelum dibacakan maknanya.  Raja Helang Olak Lapan bagaikan tidak sabar mahu bertanya.
            ”Siapa orang yang mempunyai akal itu?”
            ”Sesiapa juga yang hidup menjunjung agama Allah.  Percayakan Allah yang mencipta manusia.  Tiada yang lebih berkuasa daripada Allah,”
            ”Waima raja kayanganpun?”
            ”Raja kayanganpun tidak dapat menandingi kehebatan Allah.  Malah Raja kayangan itu dicipta oleh Allah.”
            ”Begitukah?”  Raja Helang Olak Lapan menggaru-garu dagunya.  Hatinya masih berdolak dalik untuk mempercayai kata-kata isteri musuhnya itu.
            ”tidakkah Indera Laksamana juga mengetahui perkara ini?”
            ”Iya.”
            ”Lalu kenapa ketika beta menyerangnya, dia melawan.  Tidakkah dia sepatutnya memaafkan beta dan menunggu pertolongan Allah?”
            ”Kerana Allah tidak menyuruh umatnya memusnahkan diri sendiri.  Jika dia tidak melawan bermakna dia tidak berusaha mengubah keadaan.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.  Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadapa sesuatu kaum, maka tidak ada yantg dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelingdung bagi mereka selain Dia Ar Ra-ad (13:11)
            ”Katakanlah beta memohon maaf, patutkah Indera laksamana memaafkan beta?”
            ”Patut.  Tetapi tuanku harus memohon maaf seikhlas hati dan bersedia menerima hukuman,”
            ”kenapa pula begitu?  Beta sudah meminta maaf.  Beta tidak patut dihukum!” 
            ”Hukuman bermaksud memberi ingatan.  Supaya kesilapan tidak diulang”
            ”Helang Olak Lapan, bersedia menanti tikaman beta,” jeritan Putera Indera Laksamana sepantas angin menyerbu dan Kembang Dahlia menolak tubuh besar Raja Helang Olak Lapan dengan kekuatan yang ada.  Raja Helang Olak Lapan yang bagaikan hilang kekuatan zahir akibat mengerah batin memikirkan kata-kata Kembang Dahlia tadi mudah sahaja dijatuhkan.  Tetapi keris milik Putera Indera Laksamana sudah tiba dan mencacak di perut Kembang Dahlia.
            ”Dinda...!”
            ”Dinda...!”
            ”Zaw!  Zaw!”  Wafi melolong.  Seluruh semangatnya hilang bersama Zaweeya yang bermandi darah di lantai dapur itu.  Depan bajunya basah dengan darah.  Si penikam curi itu sudahpun melarikan diri tetapi hingar di muka pintu pagar rumah besar itu menandakan ada sesuatu berlaku.  Haikal yang baru sahaja mengangkat takbir solat Isyak itu terhenti.  Lolongan Wafi dan diikuti jeritan Izzie membuatkan dia berlarian keluar daripada bilik rehat merangkap bilik solat.  Zaw kaku di dalam pelukan Wafi yang berlunjur dan bersandar di dinding kabinet.  Kedua-duannya bermandikan darah.  Wafi menangis teresak-esak dan bagaikan hilang akal, tanpa melepaskan Zaweeya di dalam pelukannya. Izzie hanya mampu menangis di hujung kaki Zaweeya yang menyejuk.   Wafi dan Zaweeya berpisah selang beberapa minit ketika Wafi masih di wakaf.  Zaweeya mahu mengambil air kosong buat pembasah rengkung.  Terasa masa yang diambil begitu lama, senyap-senyap dia mengekori, mahu mengejutkan Zaweeya.  Suka melihat dia melatah seperti siang tadi.  Tetapi apa yang dilihatnya, Zaweeya sedang bertarung dengan maut sedang sesusuk tubuh berada didepannya untuk meneruskan tikaman untuk kali yang ke sekian kalinya.  Mata gadis itu beserta mulutnya terbuka besar dengan air mata berjuraian melambangkan betapa azabnya dirinya melalui saat-saat itu.   
”Allah hu akbar, Allah hu akbar,” kata pujian itu terluah perlahan bagai dibisikkan ke telinga gadis yang tiba-tiba sahaja menjadi kesayangannya.  Juga buat ingatan untuk diri sendiri.  Sesungguhnya kebesaran Allah melebihi segala sesuatu.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...