Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Menatap kematian demi kematian di bumi Gaza bagaikan mengulang sejarah Sabra & Shatila, 28 tahun dulu. Bezanya, kita tidak mendapat perkembangan terkini dengan pantas kerana teknologi Yahudi belum sampai ke Malaysia ketika itu.
Saya mengingat amat kisah Sabra & Shatila walaupun di rumah tidak bertelevisyen ketika itu. Lebih-lebih lagi dilagukan oleh allahyarham Zubir Ali,
pada suatu senja,
langit Shatila menyaksikan pembunuhan
anak kecil dan wanita.
Munir ditembak penuh luka,
tapi ajalnya belum tiba.
Kerna Tuhan mengasihi dia.
Peristiwa hitam 17 September
sudah menjadi bukti.
sempurnalah kekejaman,
suatu bangsa yang sombong dan hina
Entahlah. Tidak kira kekejaman itu berlaku di Gaza, mahupun Syria, ditambah dengan kemelut Syiah, Wahabi dan penganut Islam yang ekstrimis lainnya, saya sedikit keliru dengan arah tujuan perjuangan umat Islam kini.
Tak usahlah kita membuka cerita politik di Malaysia. Si A menuduh B. Si B menuduh A. akhirnya wal hasil balik asal...
Ironinya, ada pula komentar di muka buku milik Yahudi itu yang melabelkan pemboikot-pemboikot barangan Yahudi ini sebagai dangkal akal. Argh! begitu lugas sekali komennya. Saya sendiri tidak tahu mahu menekan butang 'suka' atau membuang sahaja 'post' itu. Bagaimana mereka tidak terfikir bahawa rakyat Malaysia atau rakyat dunia keseluruhannya tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa dan usaha kecil-kecilan seperti ini (memboikot) sebagai tanda sokongan, kalaupun di Gaza itu bukan Muslim penghuninya apakah mereka tiada hak untuk hidup sebagai manusia bebas?
Catatan ini buat penanda, sebagai keterlibatan saya dalam sejarah dunia ketika penyembelihan kanak-kanak di Gaza dan Syria ini berlaku. Saya akur betapa kecilnya saya, tidak mampu berjihad mengangkat senjata, hanya menadah tangan itupun dengan harapan didengar Allah Yang Maha Esa sebagai sumbangan sekecil hati kuman agaknya.
begitupun, saya memegang kata-kata ipar saya, seorang warga Belanda. Bilangnya, Belanda sedang menghadapi waktu-waktu sukar ketika ini akibat pemboikotan barang-barang eksport mereka ke negara Islam akibat kelancangan segelintir rakyatnya yang menghina Nabi Muhammad SAW. Nah, apa lagi? Masih dangkalkah akal pemboikot McD? apakah pemboikot Coca-cola di Malaysia ini ditakrifkan baru keluar dari hutan?
Bak kata Nabil, "lu pikirlah sendiri" (awak berfikirlah sendiri).
No comments:
Post a Comment