..yang bernama sahabat

Friday, 2 November 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 13


BAB TIGA BELAS (13)

Adapun Putera Indera Laksamana semenjak ia menang perang tiadalah ia ke mana-mana melainkan berada di dalam istana jua.  Tiadalah jauh dari peraduan dan ayapan juga dihantar ke kamar peraduan.  Santaplah Putera Indera Laksamana seorang diri tanpa mahu ada dayang turut melayani.

Begitu juga ketika hendak beradu.  Tiadalah mahu dia mendengar lagu syair waima gurindam seloka turun-temurun dinyanyi dayang.  Kerjanya sekian hari bermenung durja bagai merancang cita-cita melanggar tanah Majapahit layaknya.  Panglima Awang Gagah hendak masuk menghadappun tidak dibenarnya jua.   


Maka, dayang-dayang berkeluh kesah juga sehingga sampai ke pendengaran Inang Tua.  Setelah disaksi dengan dua mata kepala, maka Inang Tuapun mengadap Putera Indera Laksamana yang ditatang dijaganya semenjak tapak kaki sebesar dua jari.

“Ampun tuanku, beribu-ribu ampun, adapun patik, pacal yang hina ini melihat putera bermuram durja berhati sebal, titahkanlah kepada bonda Inang, bunga mana yang mekar di taman, harum sekuntum menyerak bau sehingga ke istana, mencuri masuk ke kamar peraduan sehingga pejam tiada lena, ampun tuanku,”  Inang Tua menyusun sembah bagai menyurai ilmu makrifat di dada melihat Putera Indera Laksamana yang gundah gulana.  Pakaian kebesarannya memancar berkemilau sehingga ke awan, bersalut pada susuk gunawan, tetapi wajah muram bagai sedang rawan.

Putera Indera Laksamana mendekati Inang Tua yang sedang bersimpuh di hujung katil peraduannya.  Hujung selendang sutera kurnia Tuanku kepada bonda pengasuhnya itu dicapainya.  Lembut dan mendamaikan.  Lantas pandangannya terpaling pada awan yang berarak bersih.  Kelihatan luas dari kamar peraduan kerana ruang menghala ke serambi luar tidak berpintu dan bertingkap. 

“Bagaimana bonda tahu perasaan kita?”

“Ayuhai anakanda Putera Indera Laksamana.  Sedari anakanda putera belum pandai berkata dengan suara, hanya dengan mata, bonda yang hina ini sudah mengerti.  Inikan pula sudah pandai berbicara dengan hati.  Kembang bangsawan di taman larangan mana yang menjadi pujaan?”  Manis bicara Inang Tua beserta senyum menyeri muka.

 Hati gembira mengenangkan anakanda Putera Indera Laksamana sudah terbuka hati mahu berumahtangga.  Segera ingin dikhabarkan kepada Tuanku Permaisuri Cahaya Bulan.

“Bukan puteri jadi pujaan.  Bukan raden jadi igauan.  Bukan ratu jadi impian.  Cuma mainan tidur yang bernyanyi-nyanyi di tepi telinga agaknya,”  Indera Laksamana cuba menidakkan. Syair Teladan Yusuf Nan Tampan bernyanyi-nyanyi di dalam minda.  Menyesakkan cepu kepala.  Dia bersandar di tiang katil. 

“Maksud anakanda?”  Inang Tua mendekati.  Kurang mengerti.

“Kita juga tidak memahami.  Apa sebenarnya maksud mimpi.  Dia datang sesekali.  Di dalam tidur menyanyi-nyanyi.  Orangnya cantik wajah berseri.  Tetapi tidak terlihat penuh kerana dilindungi,”  Indera Laksamana melemparkan keluhan. Menzahirkan beratnya penangggungan.

Pertarungannya di taman larangan menentang Raja Helang Olak Lapan terhenti apabila suri dalam cekakan raja bengis itu mengelupur cuba melepaskan diri dan akhirnya tercebur di dalam kolam.  Raja Helang Olak Lapan tidak meneruskan pencak, terus buru-buru meninggalkan gelanggang.  Memang dasar pengecut. 

Indera Laksamana menyumpah di dalam hati.  Dia ingin terjun ke dasar kolam dipenuhi teratai itu tetapi membatalkan hasrat apabila melihat air kolam begitu tenang bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Indera Laksamana memejamkan mata dan cuba memusatkan akal fikir.  Membiarkan jasad terbang masuk ke alam yang lagi satu untuk berkelana mencari cinta yang datang tiba-tiba sahaja itu.  tetapi gagal.   Dia keletahan. Dinda….

“Kanda!”

“Oi!”

Terasa tubuhnya ditolak kuat, Zaweeya membuka mata.  Pantas bangun sehingga terasa tubuhnya dihancurlumatkan.  Masa-masa berjauhan dengan keluarga sudah berakhir apabila berakhirnya kem PLKN minggu lepas.  Zaweeya belum berkira untuk melakukan sesuatu yang lebih berfaedah melainkan tidur, tidur dan tidur.

“Apa kau ni?”  tanya Zakeeya yang masih nampak cemas.

“Apa bendanya?”

“Terjerit-jerit kanda! Kanda!.  Kau ingat ni lagu Sharifah Aini dengan Broery?  Dinda… kanda… burungpun turut menyanyi, na na na na na…,”  Zakeeya menyanyi dengan nada mengejek.  Di waktu dinihari.

“Pergi tidurlah.  Kacau aku buat apa?”  Zaweeya membesarkecilkan matanya.  Melihat jam di dinding. 

“Memang aku tidur.  Kau yang kacau aku.  Kanda! Kanda!.  Nak tidur tadi kau baca lagi majalah tu kan?  Aku beritahu Mama.  Lepas ni kalau kau mengigau lagi lepas baca majalah tu, aku suruh Mama bakar.  Takpun aku suruh Papa yang bakar,”  ugut Zakeeya.

  Takkan Mamanya hendak membakar segala khazanah-khazanah yang ada.  Sudah tentu berdendang lagu sendu tiga hari tiga malam.  Silap haribulan, semua orang di dalam rumah ini terpaksa berpuasa.

Zaweeya melurutkan tubuh dan berbaring semula.  Memejamkan mata tetapi tidak lena.  Apa yang dimimpinya tadi ya?  Rayauan mindanya cuba menjejak hingga ke belantara rasional.  Kesesatan. Indera Laksamana datang lagi.  Siapa yang merayu sukma.  Yang pasti bukan dia.  Memang dia membayangkan Indera Laksamana itu seiras siapa.  Tetapi tidak mahu sampai termimpi-mimpi begitu sekali.

Zaweeya bangun semula.  Dicapainya iPad.  Matanya sudah segar-bugar.  Dibukanya kotak e-mel yang sudah lama tidak dibuka.  Ada beberapa e-mel daripada Wafi.  Dia memilih yang terkini sahaja.

Assalamualaikum Zaw.  Dah lama aku tak dengar berita kau.  Yalah.  Mungkin kau sibuk dengan PLKN kau.  Ain dan Budikpun lebih kerap menghantar e-mel pada aku berbanding kau.  Kau ada tengok gambar-gambar yang aku ambil dekat Maastricht?  Mestilah tak.  Entah-entah, akupun kau dah tak ingat.

Hah?  kenapa nak ingatkan dia?  Pertanyaan berlegar di dalam kepala.

Tak lama lagi, mama nak datang ke mari.  Kalau kau orang semua ikut sekali, tentu best.

Ikut? Memanglah tambang ke Belanda hanya ratusan Euro.  Tetapi apabila dikalikan dengan duit Malaysia, aku boleh pusing Malaysia lima atau enam kali!

Aku rasa bila Mama balik Malaysia nanti, aku nak ikut balik.  Aku nak balik ke kampung kau lagi.  Eh, Ayah Chik apa khabar?  Amirulpun apa khabar.  Dah lama aku tak dengar berita mereka.  Tak tahulah kenapa, aku tiba-tiba teringatkan kau, teringatkan Budik, Ain, Malaysia. Agaknya aku dah bosan kat sini kot?
Harap dapat mendengar berita dari kau. 
p.s. kau masih mimpikan Indera Laksamana lagikah?

Sudah! Kenapa lain macam benar bunyi e-mel Wafi kali ni?  Hati Zaweeya berkata-kata sendiri.  Dia buang tabiat agaknya.  Manalah tahu.  Hidup atau mati seseorang bukan bergantung kepada muda atau tua.  Lambat atau cepat.  Andai giliran sudah tiba.  Tiada siapa yang boleh merentang tubuh menghalang atau membatu menjadi tugu mengeraskan diri untuk berkata tidak mahu.

Memanglah e-mel itu cuma taipan perkataan.  Tetapi biasanya, lenggok tulisan lebih mencerminkan perasaan daripada luahan kata yang terungkap dari bibir.

Waalaikumsalam, Wafi.  Maaf sebab aku lambat balas e-mel kau.  Baru habis PLKN, merdeka rasanya.   Buat masa ni, aku belum merancang nak buat apa-apa.  Masih nak membalas balik hutang tidur aku yang belum habis.
Sekarang musim apa di sana.  Kenapa pula kau nak balik ke sini.  Dulu kau juga yang kata.  Di Malaysia ni tak ada apa-apa.  Cuma ada mama kau sahaja.  Itupun kau tak kisah sangat. Sebab kau kata Mama kau pandai jaga diri.

Macam menyindirlah pula.  Argh, biarkan! Dia.  Itulah namanya penyesalan.  Kalau kesedaran berlaku di awal kejadian, tidaklah dinamakan kesesalan.

Kata Ain, sepupu kau yang nama bendera tu (maaflah.  Aku memang tak boleh ingat namanya) menjadi teman satu kemnya.  Mula-mula dulu, aku dengar yang buruk-buruk aja dari Ain fasal dia.  Sekarang tak ada lagi.  Agaknya dia dah insaf.
Satu perkara lagi, dekat kem tu, aku dapat ramai kawan.  Tapi kawan yang paling baik dengan aku masa kat sana ialah Afiq Haiqal.  Dia bukannya adik-beradik Amirul.  Nama aja sama.  Tapi ejaan tak sama.  Dia dari sekolah kampung.  Jauh di hulu Kelantan sana.  Aku tak ingat apa nama kampungnya. 

Kenapa aku nak mereka-reka nama Afiq Haiqal ni?  Patutkah aku tulis semuanya ini?  Zaweeya bertanya pada diri tetapi tidak pula menekan kekunci maya backspace.  Bukannya Wafi Ikhmal tidak tahu karekter dirinya bagaimana.  Anti lelaki.  Memandang lelaki bagaikan singa lapar hendak dibaham semuanya.  Biar pupus bangsa lelaki di dunia ini.

Tetapi, PLKN juga tempat merombak kekurangan diri.  Mencermin kedaifan dan memperkayakan nilai-nilai positif di dalam diri.  Dia bertemu dengan sebuah keyakinan diri yang akan dijunjungnya. Dibawa ke mana sahaja buat peneman.  Memperkemaskan jaringan sosial peribadinya dan menjadikan diri lebih dinamis.

Bila kau sebut tentang Indera Laksamana, aku terjaga dan membaca serta membalas e-mel inipun kerana dia.  Akupun tak ingat bila aku mimpi atau lebih tepat lagi mengigaukan dia.  Tetapi, sedar-sedar, Keeya dah kejutkan aku.  Aku sangkakan ada gempa bumi.
Kalau betul kau nak balik Malaysia, kau beritahulah.  Nanti aku tunggu kau dengan karpet merah dekat KLIA.  Salam untuk Pakcik Eddy.    

Bendera?  Allysa Elesendra.  Wafi ketawa besar.   Jam menunjukkan angka 10.00 bermakna lebih kurang 4.00 pagi di Malaysia.  Diam tak diam sudah berbulan dia di sini.  Semakin selesa dan semakin mengenali diri Edward yang sebenar.  Dia bersantai di ruang tamu tingkat bawah pangsapuri tiga tingkat itu.

Ruang tamu yang lebih kepada kutubkhanah menyimpan karya-karya dan lukisan-lukisan kegemaran Edward.  Potret Red Cloud, ketua Red Indian suku Siox di Oglala Lakota itu bagai merenung tajam ke arahnya.  Replika dan artifak tinggalan perang suku Red Indian yang berkaitan dengan serigala putih itu tersusun rapi. Papanya itu tidak kelihatan di mana-mana.  Ketukan bertalu berlagu di pintu menyerak tumpuan terhadap e-mel yang dibacanya.  Dengan malas, dia bangun dan membiarkan buku nota kompak itu terbuka.

“Mama?”  susuk wanita yang tersenyum memandangnya itu dipeluknya. 

“Hai,”  satu suara mendekat.  Teksi lapangan terbang itu meninggalkan perkarangan rumah itu setelah mereka turun dan setelah pemandunya meninggalkan bagasi di depan pintu.

“Lisa?”  Wafi bertanya tetapi pandangannya mencerlung ke arah Izzie.  Di sisi Lisa seorang lagi wanita yang beruban putih keseluruhan rambutnya sedang berdiri tanpa bunyi.

“Tak nak jemput kami masukkah?  Sejuk kat luar ni,” ujar wanita yang digelar Nenda oleh Wafi dan Lisa. 

Wafi bersandar rapat ke pintu bagi memberi laluan terhadap ketiga-tiga wanita yang memberi kejutan itu.  Izzie tidak membalas pandangan anak terunanya yang menadah penjelasan daripadanya itu.

“Mana Papa kamu.  Baru keluar ke kelab malam?”  Nenda bertanya sambil menyapu pandang apa sahaja yang ada di dinding ruang tamu.  Wafi melepaskan tangan Lisa yang sejuk.  Sebaik sahaja menanggalkan sarung tangan tadi, asyik mengenggam kemas jemarinya.  Bagai membebaskan rindu yang sekian lama terkurung.

Wafi berlari memanjat tangga menuju ke tingkat tiga.  Mencari papanya di bilik tidur.  Tidak diberitahu siapa yang hadir cuma meminta papanya turun dengan segera.  Edward membetulkan baju tidurnya sambil menyarung selipar lembut pengalas kaki.

“Assalamualaikum,”  salam Edward sedikit pelat kerana sudah lama tidak mengungkapkannya.  Izzie yang sedang membelek-belek replika anak panah Red Indian di atas meja berhampiran.  Berpaling.  Pandangan mereka bertembung.  Senyum terukir sedikit demi sedikit di antara keduanya.

Ungku Hayati yang sedang menanggalkan skaf yang melilit lehernya juga berpaling.

“Mak Engku,” Edward berbasa-basi.  Mencium tangan Ungku Hayati yang spontan terhulur selepas disapa Edward tadi.

“Dan, siapa gadis cantik ini?”  Edward beralih pandang ke arah Allysa.   Allysa yang sedang membebaskan rambutnya dari cekakan neck-gaiter itu tersenyum.  Kembang kempis hidungnya dipuji begitu.  Segera dia mendapatkan Edward tetapi bukan dia yang mencium tangan Edward.  Edward pula yang mencium tangannya.  Wafi menggeleng-geleng.

“Wafi bilang dia tidak punya pacar.  Kalau bukan pacar, gadis cantik ini siapa?”  Kata-kata Edward yang manis itu membuka ruang senyuman Ungku Hayati. 

Dulu dia juga yang tidak berkenankan Edward.  Malahan tidak pernah bertemu.  Izzaidah berkahwin dengan Edwardpun di pejabat kadi di Malaysia sahaja.  Tiada kenduri-kendara.  Tanda protes dia dan keluarga.

“Saya tunang Wafi.  Allysa Elesendra,”  Lisa memperkenalkan diri.  Wafi terasa hendak memengsankan diri ketika itu.  Kerut di dahinya bertindan-tindan.  Hendak menangispun ada. 

“Tunang?..tapi Wafi tak..”

“kami memang tak hebohkan.  Untuk pengetahuan keluarga sahaja,” Izzie menyampuk membetulkan keadaan.  Biarpun keadaan memang sudah tunggang-terbalik sebenarnya.

“Anda semua tak kisah kalau saya buatkan minuman panas?”  Edward menawar diri.  Tetapi sudah terlambat.  Izzie sudahpun berada di mata tangga kedua menuju ke dapur di tingkat dua.  Wafi membuntuti.

“Mama masih ingat dapur kat mana ya?”  usik Wafi sambil mencium pipi Izzie.  Rindu dilahirkan sepuas-puasnya.

“Dulukan ini juga rumah Mama?”  Izzie tertegun memerhati kabinet dapur yang sudah ditukar warna catnya itu.  Mengingat di mana letaknya gula kopi dan susu serta barang-barang dapur yang lain.

Seperti taman bunganya yang sudah menjadi belukar di belakang rumah, begitu juga dapurnya.  Edward tidak pernah mengalih kedudukan barang-barang dapur dari tempatnya.

“Wafi ingat mama datang seorang sahaja,”  nada suara Wafi sedikit merajuk. 

“Memang mama datang seorang dari Malaysia.  Lisa dan Nenda dari Paris,” terang Izzie.  Menurunkan bekas berisi gula dari kabinet di atas kepalanya.

“Menghabiskan duitlah tu..” ejek Wafi.  Mematikan suis elektrik yang digunakan untuk memanaskan air tadi.

“Apa lagi nak buat, Wafi.  Sepupu Wafi tu sepuluh kali ganda kaya daripada mama ni.  Duitpun macam air paip aja.  Apa yang nak dirisaukan?”

“Wafi risaulah kalau dia asyik cakap yang Wafi ni bakal suaminya.  Tak tertanggung Wafi nanti.  Maintenance tinggi!” bangkang Wafi.  Menarik muka.

“Wafi,  kalau Nenda Wafi dengar Wafi cakap macam ni pada cucu kesayangannya…”  Izzie menggantung kata.  Wafi tersenyum.  Membuatkan dia juga tersenyum.  Entah apa yang menggelikan hati. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...