SEGALA PUJI BAGI ALLAH, TUHAN SEKELIAN ALAM. SELAWAT DAN SALAM BUAT JUNJUNGAN KEKASIH ALLAH, MUHAMMAD S.A.W. SERTA KELUARGA JUGA PARA SAHABAT BAGINDA.
salam Maal Hijrah. sekadar satu catatan pelepas rindu seorang wanita terhadap kekasih Allah yang memungkinkan rahmat Allah tersebar ke seluruh alam. Semoga rahmat Allah bersama dengan penghijrahan hati kita di Muharram yang baru ini.
“Adanya kita
orang perempuan ni, tak lari daripada rasa cemburu.” Aku membuka kata biarpun aku lihat dia
bagaikan endah tak endah kata-kataku.
Entah apa yang melayar di cepu kepalanya. Bayi yang tak sampai sebulan umurnya di dalam
pelukannya merengek. Lapar susu
barangkali. Tetapi tidak juga mengalih
perhatian perempuan muda itu yang lurus pandangannya ke depan.
Aku menyimpan mop yang sudah kurasa
hampir kering diperah. Sibuknya
pekerjaan mencuci tandas ini hanya di awal pagi dan petang saat jarum minit
mencecah waktu akhir bekerja. Selain itu,
aku hanya duduk-duduk di meja ini. Menunggu
manusia-manusia yang melantingkan dua puluh sen untuk melepaskan hajat
masing-masing.
Perempuan muda itu kuamati semenjak
pagi tadi duduk di perhentian bas itu.
Sebaik sahaja aku sampai, sebaik sahaja tandas yang beraturan satu
persatu aku cuci, dia masih lagi di situ.
Aku mengagak ada sesuatu yang tidak
kena sama ada di hati atau di akal fikirnya.
Lamunnya jauh mencecah awan hingga membiarkan bayinya melolong-lolong
walaupun berada di dalam dakapan. Aku teragak-agak
untuk mendekat. Bagaimanapun belas hati
lebih mencengkam rasa mendengar tangisan bayi itu.
Perempuan muda itu mengikut bodoh
sahaja. Bagaikan dirinya tiada di
situ. Yang ada cuma jasadnya. Aku tanyakan di mana susu bayi itu sebaik
sahaja dia duduk di atas kerusi di dalam bilik kecil berhampiran tandas awam
yang menjadi pejabatku itu.
Katanya
bayinya menyusu badan. Tanyaku kenapa
tidak disusukan? Barulah dia bagaikan
terjaga menyusukan bayi biarpun aku lihat bahagian depan bajunya sudah lencun
dek susu dan baunya hanyir sekali.
Aku
mengagak lagi. Perempuan ini
bermasalah. Kalau tidak dengan suami,
pasti dengan keluarga. Kalau tidak, apa
bodohnya perempuan Melayu yang masih di dalam pantang, dalam keadaan begini. Aku
hulurkan bekal yang aku bawa tadi. Nasi
goreng hutan, gurau suamiku. Ikan bilis
tak ada, sayurpun tak ada, daging dan
ayam jauh sekali.
Yang
ada hanya nasi yang digaul dengan bawang merah dan bawang putih yang
ditumis. Juga air teh di dalam bekas air
mineral. Sepatutnya perempuan di dalam
pantang, makanannya hanya nasi putih dengan ikan bilis digoreng tanpa
minyak. Bergaul lada hitam. Tetapi, aku tetap dengan agakanku yang
perempuan muda ini kelaparan. Aku
hulurkan sahaja. Dia menyambutnya dengan
matanya terkebil-kebil. Bagai mengucapkan
terima kasih.
Aku
tinggalkan dia seketika. Aku menjenguk
ke dalam tandas. Manalah tahu ada air
yang terlalu bertakung, harus segera dikeringkan. Jika tidak membahayakan pengguna. Aku menolak pintu tandas satu persatu. Tabiat pelik masyarakat Malaysia adalah
tidak mahu menarik ‘flush’ sesudah menggunakan tandas. Sekiranya pengguna seterusnya bermentaliti
sama, bercampur baurlah aneka bau dan warna yang meloyakan.
“Awak nak ke mana ni?” Aku mula memberanikan diri.
Melihat dia menyudahkan suapan
terakhirnya. Bayi yang kekenyangan tadi
sudah lelap. Diletakkan sahaja di atas
simen sejuk beralas kain napkin. Begitu
sahaja.
“Tak
tahu, kak… saya tak tahu. Yang saya
tahu, semua orang tak sukakan saya. Semua
orang nak halau saya. Tak suka tengok
saya,” bicaranya pecah dalam detakan rasa yang bergentayangan. Menggambarkan kegalauan emosinya. Aku ingin
menyentuh tangannya. Menenangkannya. Tetapi, aku tak berani.
“Suami
adik sayangkan adikkan..” Aku berani
pula bermain teka-teki ini. Pada
anggapan aku, meroyannya perempuan disebabkan oleh suami. Tekanan adalah unsur luaran. Unsur dalaman adalah rasa tidak puas hati
terhadap suami.
“Dia
tahu saya dalam pantang. Tapi dia balik
ke rumah isteri tua dia. Pada siapa saya
nak harapkan, kak. Keluarga dah buang
saya. Budak ni asyik melalak. Badan saya sakit. Semuanya menyakitkan kak…sakit
hati saya ni kak. Sakit…. Sakit…!”
Dia menekan dadanya sendiri menggambarkan rasa sakit itu terlalu
dalam. Ada air mata di tubir matanya.
Di mana kekuatan
itu saya peroleh, saya tidak tahu.
Tiba-tiba sahaja dia berada di dalam rangkulan saya.
“Suami adik ada lagikan? Masih hidupkan?”
Dia
mengangguk.
“Kalau adik marah, adik
cemburu. Setidak-tidaknya dia akan ada
di depan mata adikkan?”
Dia mengangguk.
“Keluarga adikpun masih ada kan ? Mak, ayah?”
Dia mengangguk.
“Setidak-tidaknya adik masih ada
peluang untuk meminta maaf. Kalau mereka
tak maafkan, tak mengapa. Adik dah minta
maaf. Adik nak dengar cerita kakak?”
Maka,
akupun mulai mengambil tempat paling selesa.
Membuka ceritera yang ku ulang-ulang pada sesiapa juga yang mahu
mendengar. Kalau suamiku mendengar lagi,
tidaklah sampai aku dituduh gila. Cuma memujuk
aku dengan perkataan ini. Sabar.
Aku
baru sahaja mengenali dia. Walhal dia
sudah lama berlegar-legar di sekitar diriku sejak dulu lagi. Dahulu aku sombong. Sombong benar. Sekadar mengingat dia pada waktu-waktu
tertentu. Aku menarik nafas. Sejak umur
semakin meningkat, mudah benar diserang mengah.
Badanpun tidak seramping dulu.
Makanya, lemak-lemak tidak mahu menghindar.
Aku
peringatkan kepada perempuan muda itu.
Aku kisahkan cerita ini hanya pada yang mahu mendengar. Kalau dia cemburukan isteri tua suaminya, aku
cemburukan seorang isteri yang menjadi idam-idaman semua lelaki di dunia
ini. Aku cemburukan gadis kecil yang
menjadi isteri pada usia yang sangat muda dan dara.
Aku
cemburukan masa-masa indah yang diperolehi bersama suaminya. Bermain kejar-kejar dengan suami yang ketika
itu sudah berumur dan orangnya cantik berkulit kemerah-merahan. Lebih aku
cemburukan, saat kematian suaminya adalah di ribaannya. Setiap kali aku teringatkan itu, aku
menangis.
Kerana
itu, sengaja aku tidak buka cerita-cerita mengenai dirinya. Seorang wanita hebat sebaris kehebatannya
dengan para ulama. Seadanya aku wanita
biasa yang sangat cemburu. Tetapi cemburuku
ini lebih parah.
“Lebih
parah, adik.” Aku memberitahu. Lalu bagaimana aku hamburkan rasa sakit hati
ini. Kepada siapa?
Aku
sangat cemburukan dia kerana dia mendapat suami yang wajahnya lebih indah
daripada bulan. Tidak tinggi dan tidak
rendah. Ketika berjalan, tubuhnya tegap
bagaikan menuruni tanah yang landai. Kalau
suamimu itu kau kongsi bersama dengan seorang lagi perempuan yang kau panggil
isteri tua, wanita itu mengongsi suaminya dengan sembilan lagi wanita yang
dipanggil isteri tua. Lalu bagaimana
hendak dicerna rasa cemburu itu.
“Sebutlah
patah-patah ini. Allah!” Aku mengajar perempuan muda itu. Semoga dengan ingat-ingatan itu, menjadi doa
agar ketenangan menyusup masuk perlahan-lahan ke dalam dadanya. Kerana janji Allah itu benar. Setitis ingatan buat Allah, dibalasnya dengan
selautan rahmat. Maka rahmat Allah yang
mana hendak kamu dustakan?
Aku terus melanjutkan cerita. Bahawa saya mencemburui setiap detik yang
dilalui wanita itu sepanjang hidupnya dengan suami tersayangnya. Dapatkah adik bayangkan bagaimana rasanya
saratnya rindu dan cemburu itu.
Aku
cemburukan dia kerana dia mendapat suami yang sangat sederhana. Kezuhudannya kepada elemen-elemen duniawi
berada di tingkat yang paling atas.
Makannya hanya roti bercicah cuka.
Perginya sekadar meninggalkan beberapa helai jubah walaupun hakikatnya
suaminya itu pemimpin besar. Pemimpin keluarga
dan pemimpin hati.
“Adik
rasa saya gilakah?” tanyaku. Perempuan muda itu menggeleng-geleng. Dia menyuruh aku meneruskan cerita. Maka akupun bercerita lagi.
Lebih
menjadikan cemburuku meruap-ruap, wanita ini mendapat pembelaan daripada Yang
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saat
dia teraniaya dek fitnah, sedang suaminya juga diamuk badai curiga, turunlah
ayat memberitahu apa yang berlaku itu sekadar kata celupar daripada hati yang
busuk milik Abdullah bin Ubay.
Lalu
siapakah yang lebih hebat penanggungan cemburunya dibandingkan diri adik dengan
diriku.
“Adik
rasa saya gilakah?” Aku bertanya. Perempuan muda itu menggeleng-geleng.
Aku menyuruhnya terus mengulang-ulang patah perkataan
yang aku sebut tadi. Aku katakan padanya
lagi, kalau saya ini mampu mencipta mesin masa, aku akan cipta mesin masa dan
kembali merebut cinta lelaki agung itu daripada perempuan yang aku ceritakan
sebentar tadi.
“Lalu
apa yang adik kisahkan dengan kasih seorang suami yang dikongsi dua orang
wanita berbanding dengan sepuluh orang wanita seperti yang saya ceritakan tadi?”
“Suami
saya bukan nabi,” keluhnya.
“Cuba jadikan
diri kita macam isteri nabi.” Pandainya
aku berkata-kata. Pasti perempuan muda
itu berkata begitu.
“Saya
ini hanya tukang cuci tandas. Manalah
adik nak mendengar kata-kata saya.” Aku
memutuskan selepas teringatkan diri.
Status kehidupan pada mata manusia yang dangkal akalnya adalah takah
pencapaian sosialnya.
“Bukan…
saya tak kata macam tu. Macamana saya
nak jadi macam isteri nabi?”
“Susah ,” Aku
menyulitkan pula. Bodoh betul!
“Macamana?” dia bagaikan teruja. Semudah itu?
“Adik
balik ke rumah. Sebelum tidur, maafkan
semua orang. Senyum dan tidur. InsyaAllah.
Pagi esok, adik bangun dengan rasa yang baru. Cubalah.”
Kataku pendek. Mengadaptasi kata-kata
motivator tersohor, Prof Dr Muhaya dan Datuk Dr Fadzillah Kamsah.
“Itu
aja?” tanyanya lagi. Bagaikan tidak
percaya.
“Itu
ajalah,” kataku pula.
“selain
tu?”
“Ingat
Allah selalu. Ingat! Syaitan tu musuh kita… err…adik rasa akak ni gilakah?” Perempuan
muda itu menggeleng lagi.
“Akak masih cemburukan Saiditina
Aishah?” Dia bertanya pula.
Aku
mengangguk. Aku masih ingin menguak
tirai itu. Mengakui hakikat diri bahawa
aku tidak mampu duduk mahupun berdiri sama tinggi dengan wanita agung itu. Tetapi, sesuatu yang benar-benar menganggu
akal fikirku, aku masih cemburukan saat-saat wanita mulia itu memangku
Rasululullah pada detik-detik penghijrahan Baginda ke alam baqa. Sungguh sarat
rindu dan cemburu ini.
************************************************************
Imam Al Tirmizi, Syamail Muhammad
S.A.W. Keperibadian Rasulullah, Telaga Biru Sdn Bhd, 2008
Surah Ar-Rahman
Zulkifli Mohd Yusoff & Noor
Naemah Abd Rahman, Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS Islamika Sdn Bhd, 2010
No comments:
Post a Comment