SEWAKTU
dia melihat Nadra berjalan beriringan dengan Azhar, dia ingin memanggil Nadra tetapi
Damia juga sedang sibuk berleter. Mengingatkan tentang barang-barangnya yang
belum habis diangkut. Dia membiarkan sahaja.
Tetapi
hati diasak curiga, bimbangkan Nadra menyertai Azhar. Dia menyedari rajuk Nadra
yang tidak berkesudahan. Semuanya gara-gara tumpuan yang tidak dapat
dicabangkan di antara pelajaran dan Nadra sendiri. Ketika hangatnya demam
peperiksaan, Danish tidak dapat meredakannya untuk Nadra. Dia sendiri perlu
bertungkus-lumus untuk memastikan rekod kecemerlangannya berterusan. Dia juga
perlu berhempas-pulas menunaikan janjinya kepada pengetua.
Dia
mengetahui arah tujuan Azhar dan sangat takut kalau Nadra menurutnya. Tambahan
pula, gadis lurus bendul itu mudah percaya dengan cakap kawan-kawannya tanpa
diselidiki dahulu.
“Kau ni macam kucing nak beranak
aje, kenapa?” Soal Damia apabila melihat Danish wara-wiri di depannya. Sekejap
sekejap memandang ke arah jalan besar. Sekejap-sekejap merenung ke arah asrama
puteri. Bagaikan blok bangunan lima tingkat itu hidangan yang menyelerakan. Sekejap
lagi berlegar di lobi asrama putera turun naik, turun naik tangga sisi, tanpa
tujuan.
“Danish pergi jumpa kawan sekejap,
kak.” putus Danish sebelum kata setuju terjulur keluar dari mulut kakaknya itu.
Tak sempat Damia hendak bertanya lanjut, Danish telahpun membuka langkah
seribu. Menuju ke pintu gerbang sekolah
yang tidak jauh dari dewan besar.
No comments:
Post a Comment