Gambar : Carian Google |
“Hah, kau!
Kenapa?” Suara Damia sedikit meninggi. Masam menggayuti wajah tanda dia tidak
merestui kehadirannya itu.
Lelaki sederhana tinggi itu berlenggang santai
mendekati pintu pagar berwarna hitam itu. Helmet masih di tangannya sedang
motosikal buruknya ditinggalkan di seberang jalan dan diteduhkan di bawah
angsana yang merimbun.
“Apa dah jadi?” tanya pemuda itu sambil tangan tegapnya
memegang besi pintu pagar. Matanya
loliah-loliah juga ke dalam rumah.
“Tak ada apa-apa. Kau tak payah nak sibuk-sibuklah!
Macam mana kau boleh tahu aku ada kat sini?”
Damia menjawab tidak bersungguh, malah bertanya pula dengan mata yang
dibuntangkan. Dia berpeluk tubuh.
“Eleh, Kuala Lumpur ni ‘kan kampung laman aku jugak.
Kau pun sama aja. Mengata dulang paku serpih! Mengata aku suka menyusahkan mak
abah! Kau pun dua kali lima. Suka menyusahkan orang.” Tuduh Dhani. Tiada
maaf saat melontarkan kata-kata. Sedas demi sedas. Kasar. Lelaki yang memakai
baju t lusuh berwarna biru berleher bulat hilang regangan dengan seluar denim
itu menjawab pertanyaan Damia dengan provokasi.
“Aku dah besar, aku tahu jaga diri aku.” Damia
menjawab sinis dan masih berdiri menjauhi pintu pagar. Hujung sandalnya
ditonyoh-tonyoh ke simen.
“Besarlah sangat! Kalau tak sebab mak merengek-rengek
telefon nenek, lepas tu nenek pulak menyanyi-nyanyi kat tepi telinga aku ni,
tak ingin aku cari kau. Eii…kecil aje
aku tengok kau ni. Mak suruh kau baliklah!” kata Dhani itu sambil meraup jurai
rambutnya yang terjuntai jatuh menutupi dahi.
“Aku tak nak balik!” Suara kakaknya itu melengking
sebelum menyambung, “kau jaga diri kau. Jangan sibukkan aku. Tengoklah
keadaan kau. Muka macam semak belukar,
tak terurus, macam orang tak mandi setahun, apa kena dengan kau ni?” Bicara wanita
pertengahan 30-an berambut kemerah-merahan itu terus meregang. Keceriaan
meraikan hijrahnya terbantut. Menyatu dengan hangatnya bahang matahari waktu Dhuha.
“Toksah sibukkan aku! Lempar batu sembunyi tangan
pulak. Aku dah besar. Aku pandai jaga diri aku sendiri...” Dhani tiba-tiba
memejalkan suaranya.
Panas hatinya dibiarkan menjemurkan kulit sendiri
ibarat pelancong di luar pagar rumah teres bercat warna ‘pic’ itu. Tangannya
masih lekat pada salah satu besi bulat yang berjajar membentuk pintu pagar
sementara sebelah lagi menggaru juga dagunya yang dihuni tunggul janggut yang
berselerak. Dia pura-pura tidak mendengar kakaknya itu merungut-rungut kecil sambil
menajur muncung.
Dhani masih tidak berganjak. Perbualan mereka yang
penuh emosi itu tercantas apabila ngauman enjin kereta yang menguat tiba-tiba
bagaikan berlabuh di kakinya. Si pemandu
membrek mengejut dan tergesa-gesa keluar dari kereta. Dhani hanya bergerak sedikit.
Menjauh daripada bucu kereta itu.
“Mia, awak okey?”
Pemandu itu keluar dari perut kereta dengan soalan.
Wajahnya cemas memandang Damia sebaik sahaja kaca mata
hitamnya ditanggalkan. Sesekala kerutan dahinya berlapis-lapis dan menukar
pandang di antara kedua-duanya.
“Awak
siapa? Awak nak ganggu Mia ke?” Maimon meninggikan suara. Melihat keadaan fizikal lelaki itu mendatangkan
rasa gerun di hati Maimon.
No comments:
Post a Comment