gambar : carian google |
BAB
4
MAIMON
memandang sekilas lenggang Damia yang hilang di sebalik kaca pintu itu. Bilik itu mendepani ruang lobi bank. Kelibat
pelanggan keluar masuk dan mundar mandir di lobi itu jelas kelihatan. Pelanggan
juga boleh melihat dengan jelas susuk pengurus di dalam bilik itu. Perlambangan bahawa tiada lagi halangan di
antara pengurus dan pelanggan. Perbankan alaf baru, tiada batasan di antara
kakitangan dan pelanggan.
Maimon
kembali kepada helaian audit dalaman peringkat kawasan yang mesti dilakukan
untuk setiap cawangan. Tugasan yang kadang-kadang membabaskan dirinya untuk
mengira hari kalendar. Membuatkan uminya kadang-kadang merungut kerana
menganggu lenanya di tengah-tengah malam. Apakan daya, waktu senggangnya hanya
di saat embun jantan dan embun betina sedang berasmaradana.
Permintaan
Damia merupakan satu permintaan yang pelik buat dirinya. Pertama kali. Namun apabila mengenangkan bobroknya dunia
sekarang dengan kudis sosial, dia menawar diri menjadi penyelesai. Bimbang,
wanita bujang itu akan hilang haluan. Kesesatan solusi lantas menyerah diri
pada takdir yang dilukis untuk orang lain. Setidak-tidaknya, walau sementara,
dia menjadi sandaran buat gadis muda itu.
Dia
menolak kerusi empuk itu ke belakang. Telefon bimbit dari dalam beg tangannya
dicapai. Maimon Haiza segera melepaskan duduk dan meninggalkan bilik itu.
Nombor yang telah disetkan itu segera dipilihnya dan sekejap sahaja suara
wanita memberi salam kedengaran.
“Pendapat
umi macam mana?”
Dia
terus menerjah uminya dengan pertanyaan. Niat Damia diceritakan satu persatu
sebelum diakhiri dengan pertanyaan tadi. Dia merasakan setiap keputusannya memerlukan
pengesahan dan pengetahuan uminya. Ada kalanya membuatkan uminya itu rimas.
“Dah
tua bangka, buatlah keputusan sendiri. Semua nak tanya umi,” marah Puan
Zubaidah. Marah-marah sayang.
“Tua
bangka umi, aduhai! Kalau Mai ni tua bangka, umi pulak?”
“Umi
tua jelita,” balas Puan Zubaidah disahut ketawa panjang kedua-duanya.
“Umi,
Mai bukan tak boleh buat keputusan. Kan Mai cakap, segala keputusan Mai, umi
kena tahu.” Maimon menerangkan untuk ke sekian kalinya. Gelak kecil uminya
kedengaran lagi, riang dan bahagia.
“Tanyalah hati dan mata Mai. Kalau Mai rasa
dia ikhlas, Mai tolonglah. Kalau dia tak ikhlaspun tak apa. Allah ada. Mai nak
takut apa,” kata Puan Zubaidah tanpa ragu sedikitpun. Bicara uminya itu melegakan hatinya.
Keputusan tergesa-gesa dibuat berdasarkan pandangan Puan Zubaidah dan kata
hatinya sendiri.
“Umi
nak tengok Ustazah Asni kat TV9 ni.
Jangan kacau umi. Malam nanti Mai telefon lagi,” gesa-gesa uminya memutuskan talian.
Umi, umi. Maimon memandang telefon bimbitnya.
Gambar wajah anggun dan mesra Puan Zubaidah terpapar sebagai kertas dinding.
Uminya
selama-lama di hati. Tiada dua, tiada galang ganti. Hatinya memuji-muji. Di saat sukar, selain baba, umilah pembimbing
hati. Jauh di sudut hati syukur memantul bertalu-talu. Dikurniakan umi dan baba. Dikurniakan adik
beradik yang memahami. Ramai dan permai.
Meskipun
sudah seminggu berlalu, Maimon Haiza tidak mahu memaksa Damia. Walaupun di dalam hati mengutik-ngutik rasa
ingin tahu kenapa Damia sanggup keluar dari rumahnya sendiri dan tinggal
menyewa dengannya. Dia tidak ingin menjaga belahan kain orang lain. Namun,
wajah serius Damia mendepani Dhani tadi bagai menyeret rasa ingin tahu kian
jauh ke lubuk hati. Dia berkira-kira, ayat yang paling baik untuk menyelak
tabir hati Damia. Waima, dia juga yang
bermanis mulut memberi izin kepada Damia untuk tidak bercerita jika dia masih
belum mahu bercerita.
Ketika
asyik melayan perasaan ralatnya, gentar juga hatinya memikirkan impak soalannya
nanti. Manalah tahu Damia tidak boleh menerima asakan soalannya. Dibungkusnya
kain baju lantas keluar tanpa sebarang berita. Atau mungkin juga beralih arah
memohon bantu pada teman berlainan jenis. Teman yang sering memujuk dengan kata
manis tetapi menyimpan seribu satu maksud terutama daripada jenis buaya
lombong, buaya tasik ataupun buaya laut.
Lebuh
raya yang menghubungkan rumahnya ke destinasinya itu agak lengang. Ralat
hatinya meninggalkan Damia tetapi dia sudah berjanji dengan uminya untuk
pulang. Sebagaimana janji-janjinya pada minggu-minggu sebelumnya yang masih
tertunggak. Dia kembali menjejakkan kaki ke kampung setelah persoalan yang
paling sensitif di dalam hidupnya tidak lagi dibangkitkan oleh sesiapa juga
yang bernama ahli keluarganya.
Susuk
gunawan bernama jodoh itu hanya berdiri di tepian mata. Tetapi tidak
memunculkan diri daripada kegelapan itu.
Biarpun seawalnya dulu, mudah sahaja dia melenting. Apatah lagi, soalan demi soalan beriring
setiap kali adik beradiknya gilir berganti mendirikan rumahtangga. Umi juga
tidak kering lidah bertanya, sedikit hampa apabila solat jenazah almarhum
suaminya kekurangan seorang makmum, seorang menantu, suami kepada Maimon
Haiza.
“Tunggu
Mai mancungkan hidung pesek ni, tebalkan bibir macam Angelina Jolie, cucuk tang
sini, cucuk tang sini…” usik Maimon Haiza, ketika kali terakhir uminya masih
mengatur bicara mengenai jodohnya.
Entah
bila, mungkin sebulan, dua bulan atau berbulan-bulan yang lepas. Tidak
diingatinya kerana merajuk sedikit dengan umi. Namun dia tetap menghubungi
uminya seperti biasa. Setiap hari. Cumanya tiada kesempatan untuk bertemu muka,
walaupun memandang wajah ibu bapa itu, besar pahalanya.
“Mai…”
marah Uminya. Terberenyot wajah tua itu. Ketawa sendiri Maimon mengingatkan.
Meski bergurau, gurauan itu sekadar menabir debar yang menakung duka.
“Cantik
bukan boleh dibawa sampai ke tua. Tengok umi ni, dah kerepot, tapi arwah baba
tetap bersama umi sampai ke hari terakhir dia,” suara umi semakin perlahan.
‘Agh, umi suka sangat mengungkit dan kemudiaanya membiarkan sepinya dicumbui
rindu kepada almarhum suaminya itu.’ Maimon tersenyum lagi.
“Ye,
nanti Mai carilah lelaki yang seratus peratus macam baba tu. Macam ni, seratus
persen cintaku…uuu..hey,hey hanyalah untukmu..uuu,” suara sumbang Maimon Haiza
berkumandang sambil tangannya dihulurkan kepada uminya. Terperanjat air mata
duka Puan Zubaidah, diganti air mata geli hati dan nyeri.
“Ya
Allah, Mai. Sudahlah!” Jemari Puan Zubaidah seakan-akan melambai bertalu-talu.
‘Tahupun
uminya yang anaknya yang baik ini memang begini kelakuannya kalau hatinya
terusik.’ Angin monsun bergabung dengan angin kus-kus akan menghasilkan tindak
balas tak terjangka dan menyeramkan sebegitu. Ketika keretanya terhenti dek
tuntutan lampu merah, senyum Maimon belum mati.
Apalah
daya dia. Jodoh bukan semudah mencari hidangan yang terhidang di pasar malam.
Perkataan jodoh sendiri merujuk kepada keadaan yang melengkapi atau
serasi. Mengenangkan kegawatan emosi
lelaki zaman sekarang, Maimon masih berani merafakkan syukur kerana masih
bersendiri.
Sebak
menyinggah di hati apabila mengenangkan peranan rusuk kiri yang bengkok itu
telah bertukar. Apabila masuk ke alam perkahwinan, wanita pula yang berisiko
membengkokkan rusuk kiri lelaki. Lelaki yang berusuk lurus, terlalu mudah
terkandas di jalan yang lurus itu.
Risiko perasaan, risiko masa dan seribu satu keributan hidup
berumahtangga yang selama ini tidak terfikirkan.
Entah
kenapa, susuk gunawan itu diganti pula dengan bayangan Dhani. Dhani berwajah
tenang biarpun dalam keadaan fizikal tidak terurus. Berlawanan dengan Damia yang nampak rusuh mendepani adik
lelakinya. ‘Tapi, benarkah adik lelakinya? Entah-entah bekas kekasihnya. Datang
memujuk kembali setelah sebahagian gaji kekasihnya setiap bulan dihabiskan
membayar ansuran motosikal atau kereta atau pinjaman peribadi. Sedang dia
sendiri tidak betah berlama di satu-satu tempat kerja.
Entah-entah
bekas suaminya. Mahu rujuk kembali setelah talak terbabas tanpa sengaja. Amarah
gagal ditampan setelah penampar diberi sebagai penanda aras bahawa yang bisa
marah itu kaum suami sahaja. Gambaran-gambaran yang selalu terbentuk di dalam
kepala Maimon Haiza mengenai kegoncangan rumah tangga. Fobia tiba-tiba
menyelimuti diri.
Damia
itu gadis misteri. Terlalu banyak rahsia di dalam tangan kanan. Tanda soal di
dalam genggaman tangan kiri.’ Fikir Maimon tiba-tiba. Memanglah dia jenis
manusia yang membuat keputusan berasaskan logik dan fakta, tapi tidaklah semua.
Takkan mahu disoal-siasatnya sampai membabitkan surat nikah bagai! Maimon tersenyum pula mengenangkan.
Mengapa harus dia terlalu terbeban dengan prasangka. Gadis misteri ini
bakal menjadi teman bercakap. Teman ketawa.
No comments:
Post a Comment