BAB
5
DHANIEL
AKMAL
Penantian
wanita yang agak berumur itu khatam apabila mendengar deruan enjin motosikal
yang boleh dipanggil tukun darat itu. Senyum di bibir menyeri umpama bulan
sabit terlungkup. Dia memerhati pemuda itu yang menanggalkan topi keledar
seraya mengucai-ngucai rambutnya sebelum menoleh ke kiri dan ke kanan,
melegakan urat leher.
“Ada
Dhani jumpa dia?” soalan Nek Ton terus menampar pendengaran Dhani sebaik sahaja
bunyi enjin motosikal itu mereda di gegendang tuanya. Sepulangnya dari Kuala
Lumpur tadi, Dhani terus memulas hendal melajukan motosikal buruknya.
‘Ada
yang elok tak mahu dibawa,’ dirinya merungut sendiri.
Motosikal itu dipaksa mengerah tenaga tuanya dengan
kudrat yang ada untuk pulang ke kampung. Dia membiarkan motosikal selaju
kura-kura itu bersaing di lebuh raya untuk sampai kepada neneknya. Mujur juga
motosikal buatan Jepun itu tidak ditimpa batuk lelah kemudiannya ataupun
rengek-rengek manja sepanjang melalui Terowong Genting Sempah. Jika tidak, harus
dia menolak motosikal pusaka itu sampai ke air terjun kecil bertentangan dengan
simpang menghala ke Hentian Rehat Genting Sempah.
“Ada,
nek,” jawabnya.
Suaranya
perlahan. Kemudian mengangguk. Tidak mahu neneknya itu mengulang soalan
berikutan masalah pendengarannya. Nek Ton menghulurkan air kosong. Dhani tidak
terus naik memanjat tangga. Ditenggekkan
punggung di atas pangkin batu di depan rumah neneknya itu selepas menyambut
gelas tersebut dan meneguk air kosong itu tanpa ampun.
“Dia
duduk dengan siapa?” kurang sabar wanita
awal 80-an itu bertanya.
“Dengan
kawan dia,” Dhani mengurut dada.
Mengahnya
belum hilang. Tetapi, neneknya memang begini. Tidak peduli. Asalkan
pertanyaan-pertanyaannya bertemu dengan jawapan.
“Kawan
dia tu lelaki ke perempuan?” asak Nek Ton lagi. Dhani berpaling. Mencari makna
daripada kata-kata itu. Dicerlungnya
wajah berkedut Nek Ton. “Ha, kenapa tengok nenek macam tu?”
“Pandai-pandai
aja nenek tanya macam tu. Kak Mia tu memanglah pengasar spesis tempik-tempik
tarzan. Tapi dia tak jahat,” bela Dhani.
“Nenek
tak cakap Damia jahat. Nenek risau. Zaman sekarang ni macam-macam boleh
jadi. Orang letak agama bawah tapak kaki.
Zaman millennia…”
“Millenium
la, nek.” Dhani ketawa besar.
Kaki
seluar denimnya dikibas-kibasnya. Berterbangan debu-debu menyerbu. Nek Ton
masih bersimpuh di muka pintu. Sisi kanan tubuh gempalnya disandarkan pada
pangkal daun pintu. Bakul biru berisi rokok dan sirih, didekatkan ke kepala
lutut. Sebatang rokok dikeluarkan
daripada kotaknya.
“Kamu
tak balik rumah dulu ke. Jumpa mak. Jumpa abah kamu?” Nek Ton bertanya sambil menukar simpuh kepada
sila.
Seingat
Nek Ton, sudah diingatkan Dhani berkali-kali. ‘Sesampai di Kuala Lumpur nanti, sampaikan salam nenek
pada mak dan abah. Jumpa mak abah. Cium tangan mereka.’ Daripada halakah wajah Dhani yang
terkulat-kulat itu, dia tahu Dhani mengengkari perintahnya.
“Nenek
suruh cari Damia. Dhani dah jumpa Damia,
Dhani baliklah,” ujar Dhani membela diri.
Nek Ton ketawa kecil. ‘Lurus
benarlah tu!’
“Apalah
yang ada dalam hati perut kamu ni, Dhani. Tak patut kamu biarkan hati
berlama-lama marah kat abah dengan mak kamu tu, tak baik,” ujar Nek Ton.
Gesit
Dhani bangun. Nek Ton sedang menyalakan rokoknya. Pantang lubang telinga capangnya
mendengar syarahan perdana mengenai kedua orang tuanya. Memanglah ketika Nek
Ton membuka tabir kata, dia tidak memberi komen. Tetapi perlahan-lahan, dia
akan menjauh. Sapu punggung dan
menghilang.
Neneknya
itu arif dengan kemarahan Dhani. Tetapi sebagai orang tua, tempat rujuk orang
muda, dia perlu mempertahankan kredibilitinya. Mesti teguh menjadi penegur pada
sesuatu yang dirasakan tidak kena di mata, menggaru di telinga dan biadap di
mulut.
‘Apa
nak jadi dengan cucu-cucu aku ni.’ Nek Ton terus berleter di dalam hati.
Damia
dengan panas barannya. Dhani dengan
dendamnya. Diney dengan pendiamnya. Danish dengan manja tak tentu arahnya. Ini baru kerenah empat orang daripada puluhan
cucu-cucunya. Kalau kesemuanya berkumpul, pelbagai warna, pelbagai nada cerita
memanah gegendang tuanya yang uzur. Ini baru empat orang cucu!
Dhani muncul semula dengan pakaian rasminya. Berseluar lusuh
yang comot dengan kesan lumpur dan baju kemeja belang-belang luntur yang hanya
sesuai dipakai dek orang-orang di tengah sawah. Parang bersarung terikat di
pinggang.
“Nak
ke mana ni?’
“London . Nenek nak ikut ke?
Nak ikut cepat, kapal terbang dah nak tutup pintu ni.” Kata Dhani sebelum ketawa.
Seloroh
Dhani membuatkan Nek Ton tergeleng-geleng. Setengah tahun dahulu, Dhani
menziarahinya sekali sekala. Sesukanya. Kalau tengah malam, tengah malamlah.
Kadang-kadang ketika embun jantan mahupun embun betina menitik, Dhani akan
mengetuk pintu rumah.
Kemudian
semakin kerap sehinggalah akhirnya Dhani mengambil keputusan menetap di kampung
itu apabila terlibat dalam projek penternakan patin sangkar bersama sepupunya.
Di awal-awal kedatangan Dhani, Nek Ton mendengar khabar-khabar bertiup tentang
keadaan cucunya itu. Dia mendengar pandangan tersebut tetapi menunggu Dhani
melakukan pembelaan terhadap semua tohmahan itu.
“Jangan
dengar cakap orang, nek. Kalau pun Dhani terlibat dengan perkara yang tak baik
tu, itu dulu. Nenek percayalah pada Dhani.” Nek Ton masih ingat lagi ikrar cucunya itu.
Melihat
kesungguhan cucunya itu, Nek Ton tidak teragak-agak mengeluarkan modal. Menambah bilangan sangkar untuk menternak
patin. Ternyata Dhani tidak mengecewakannya.
Diam-diam, dia percaya perkataan yang didengarnya hanyalah bisikan-bisikan
pemerhati. Bukan suara hati manusia yang mengenali cucunya itu luar dan dalam,
waima ibu Dhani sendiri.
“Eh, kamu belum beritahu nenek pasal Damia,”
kata-kata Nek Ton bagaikan tegahan untuk Dhani yang sudah memegang hendal, menghidupkan
motosikalnya.
“Dia
sihat, nek. Dia siap kirim salam lagi kat nenek. Dia kata dia rinnnndu sangat dekat
nenek,” Dhani melepaskan kata. Kakinya
diluruskan.
Bosan
dengan soal siasat neneknya yang belum habis-habis. Nek Ton melebarkan senyum
sinisnya.
“Macamlah
nenek ni bodoh benar, ye tak? Tak mahunya Damia tu berkirim salam pada aku ni.
Dia bukan suka pada nenek dia ni.” Nek
Ton pula melepaskan perasaan. Suaranya meninggi.
Walaupun
Damia cucu sulung, pernah dipeliharanya dengan tangan tuanya, Damialah yang
paling jauh. Damia hanya mampu pulang ke kampung setahun sekali
menjenguknya. Itupun kadang-kadang balik
hari. Walaupun Damia cucunya yang paling berjaya. Baik di dalam pelajaran
mahupun kerjaya, Damia jugalah yang paling lokek berkongsi cerita. Sedekah senyumpun
payah, sedekah lain? lagilah. Rungut Nek
Ton di dalam hati.
“Dia
beritahu kenapa dia lari dari rumah?” asak Nek Ton lagi. Dhani menongkat motosikalnya dan kembali mendekati
kerusi batu.
“Tak.”
“Kamu
tak tanya,” Nek Ton mengikat prasangka
di minda rentanya lagi.
Dhani
kadang-kadang terlalu lembut hati. Tuduh hati Nek Ton. Dhani pura-pura tidak
mendengar omelan neneknya itu. Rentetan
perjalanan silam yang membawanya kepada cintanya sekarang adalah jawapan soalan
tadi. Tindakan Damia berupa protes tak kenampakan buat kedua orang tua mereka. Seperti mana dia memprotes dengan caranya.
“Nek,
Dhani nak pergi ke sungai. Semalam Ai
janji nak ambil ikan, nanti lambat dia marah dekat Dhani pula.”
Kali
ini Dhani menghulurkan tangan. Menyalami Nek Ton menandakan dia serius untuk
menamatkan perbualan mereka.
“Bukan
ke Ai kerja hari ni?” Bibir Nek Ton sudah digincu dengan air sirih.
“Hari
ni hari minggulah nek. Dia cuti. Nak tolong mak teh kat gerai tu. Entah apa
pula mimpinya. Lagipun, katanya, dia ambil cuti seminggu. Nak buat survey,” terang Dhani biarpun dia tahu, Nek
Ton sudah kehilangan haluan cerita.
“Kirim
salam nenek pada mak dia.” Pesan Nek Ton. Dhani sekadar mengangguk sebelum
melantunkan hon panjang yang membingit. Nek Ton melatah. Dijeritkannya cucu
yang ketawa besar dari atas motosikal.
“Bertuah
punya cucu!”
No comments:
Post a Comment