DINEY MARIANA
Aishah
95sen –
‘Kak
Mia ada hantar mesej pada kau?’
Berulang-ulang kali Diney membaca
mesej itu. Dijauh dan didekatkan telefon itu dengan matanya. Jenuh juga
memahamkan maksud ayat daripada ejaan standard yang disingkatkan. Ada menjadi
‘ad’. Mesej menjadi ‘msj’. Kau menjadi ‘ko’. Satu soalan maha pelik diajukan
oleh sepupu jauhnya, Aishah. Biarpun jauh, mereka akrab kerana jarak umur yang
tidak terlalu menjarak. Tambahan, Aishah banyak membantu dan menasihati Diney.
Berkongsi perkara-perkara yang patut dan tidak patut dibuat ketika belajar di
luar negara. Mesej melalui laman sosial
itu ditatapnya lagi. Seribu pertanyaan menyerang cepu kepala.
Diney Hashim –
‘Kak
Mia nak mesej aku? Kalau dia mesej aku
maknanya Malaysia dilanda gempa bumi!
Kenapa?’
Aishah 95sen –
‘Nek
Ton kata, Kak Mia lari dari rumah.’
Entah kenapa kelucuan bagai menggeletek
pinggang Diney. Dia ketawa seorang diri. Gadis teman sebiliknya yang berdiri
tegak di beranda, menoleh.
Diney Hashim –
‘lari
ke mana? Lombok? Mentera Lombok takkan lut dengan kakak aku tu. Silap haribulan
abang-abang Lombok tu pulak yang kena ‘mandrem’ dengan dia. Tak jumpa peta!’
Pasti Aishah juga tersenyum membaca
mesej itu. Terpapar di mata masing-masing susuk seorang Damia. Anggun, bermata cantik tetapi berwajah masam.
Kening hampir bertaut, lebat, bak bulan sabit yang kemudiannya dinipiskan. Sukar
senyum bagaikan senyuman itu boleh menyebabkan semua orang berkejar mahu
menculiknya, bernilai jutaan dolar.
Diney
mengingat setiap bait-bait kata Prof Dr Muhaya, pakar mata yang sentiasa
memberi inspirasi. Orang yang sukar senyum akan sukar menerima senyum. Orang
yang sukar senyum, rezeki menjauh. Jodoh menyorok. Apa yang kita beri, itu yang
kita akan dapat. Kita pamerkan wajah yang bermasalah, maka kita mendapat
masalah. Kita pamerkan wajah senang, kita mendapat kesenangan. Wajah adalah
cerminan hati.
Aishah 95sen –
‘sesedap
rasa kau mengutuk kakak kau sendiri. Nenek suruh Dhani cari dia. Dhani jumpa
dia di rumah bosnya. Dia tak mahu balik.’
Bos? Diney menelan liur. Tak sangka begitu sekali
perilaku kakaknya seorang itu. Prasangka mendesir di tepi telinga membawa terus
ke hati.
Diney Hashim –
‘Dhani
cakap macam tu. Bos dia tu tua ke muda?’
Aishah 95sen –
‘bos
dia perempuanlah! Tapi kalau kau, kau tahu tak kenapa dia lari?’
Diney Hashim –
‘oh,
perempuan. Kalau kau nak tahu, kakak aku tu tak perlukan sebab kalau nak buat
sesuatu. Dia ikut kepala dia saja. Kenapa nenek tak tanya mak aku?’
Aishah 95sen –
‘nenek
kata, mak kau pun tak tahu.’
“Siapa
tunggu kau di lapangan terbang?”
Diney
berpaling ke arah datangnya suara.
Beg
yang mengisi baju-baju yang terlipat kemas ditutup. Dizipkan. Ketika datang
hanya satu beg. Apabila pulang, beranak-anak sehingga dua tiga beg. Dia
menghempaskan diri di atas tilam. Melantun-lantun tubuhnya. Soalan teman sebilik yang mundar mandir itu
tidak dipedulikan. Dia meninggalkan ruang sembang laman sosial dengan Aishah
tadi begitu sahaja. Matanya mencacak ke siling. Sekejap lagi bumi London akan
ditinggalkan. Masa berlari pantas.
“Diney, tak payah nak berangan. Aku
tanya, siapa jemput kau?” Soalan Mich
yang tergantung diulang balik.
“Entah. Tak ada sesiapa kot?” Diney
menggigit kuku. Selamba. Kemudian kedua-dua tapak tangan disorokkan ke belakang
kepala. Kedinginan masih terasa.
“Kalau tak ada, aku boleh suruh
abang aku hantar kau. Boleh tak?”
“Tak payahlah. Nak buat apa. Aku
boleh balik sendiri,” Diney menarik-narik pula rambutnya. Diangkat tinggi
sehelai demi sehelai. Jatuh ke atas muka sendiri.
“Abang aku nak kenal dengan kau
sebenarnya,” perjelas Mich.
Diney ketawa kecil. ‘Aku dah agak. Pasti
ada udang menjalar-jalar di sebalik mee!’ getus hati Diney.
“Tak payahlah Mich. Aku dah agak. Mesti banyak perkara
yang bukan-bukan tentang aku yang kau ceritakan pada dia. Lagipun, nak buat
apa?”
“Nak buat apa. Nak buat apa.
Menyampah betul aku dengar perkataan tu.
Cubalah positif sikit. Kau ni, dah sampai ke London, perangai tak
berubah-ubah. Pesimis!”
Diney
bangun dari pembaringan. Bersila. Memandang Mich
yang berlapis-lapis selendangnya. Wajah Syed Hasnol menari di sebalik
selendang.
“Jangan beritahu aku kau masih
ingatkan cinta monyet kau tu…” telunjuk Mich menggawang-gawang
di depan muka Diney. Biarpun dia tahu, itulah alasan Diney untuk tidak membuka
hati atau ruang untuk orang lain.
“Cinta pertama. Cinta..” Diney tidak menghabiskan. Berpaling kepada
Mich.
“cinta setia…sudahlah Diney. Berbulu
telinga kanan aku ni. Entah-entah kawan tu dah berbahagia raya dengan isteri
dia. Kaulah yang bodoh menunggu berita. Macam tunggu buah durian masa musim
cempedak.” Tempelak Mich.
Meledak
ketawa Diney mendengar perumpamaan Mich itu. Mich, pembawa nama Ramishah. Malas
dipanggil dengan nama yang panjang, Diney memendekkan. Pandai-pandai. Orangnya
pun bukanlah tinggi benar. Padanlah dengan nama Mich itu. Sepatu baji dan
sepatu tumit tinggi yang menambahkan inci, buat penambah yakin. Jika tidak,
Mich di paras ketiak Diney sahaja.
Bumi Lady Diana itu bakal
ditinggalkan. Bersama kenang-kenangan yang singkat tetapi padat. Kedatangan dan
kepulangannya bagaikan pelarian. Tiada siapa peduli. Memang dia menjadi kebanggaan keluarga.
Kebanggaan emak dan abah sahaja. Damia, Dhani malah Danish, tidak menampakkan
keterujaan.
Biasa-biasa
sahaja. Malah, Damia tidak menunjukkan riak sedih ketika emaknya berjemban air
mata. Damia sibuk dengan telefonnya ketika di KLIA, saat menghantarnya dulu. Lalu,
tiadalah juga keterujaan dari pihak dirinya.
“Mak kau dah tahu, kau nak balik
ni?”
Diney menggelengkan kepala sebagai menjawab
pertanyaan Mich itu. Dikhabarkan kepada abahnya sahaja.
“Tak apalah. Aku kan
ada,” pujuk Mich
dengan nada mesra.
Bahu
Diney berada dalam rangkulannya. Diney menggosok-gosok lengan Mich.
Perjalanan dari kampus ke lapangan terbang mengambil masa dua puluh
tujuh minit, lebih kurang. Dengan tambang empat pound menaiki teksi, mereka
mengheret bagasi masing-masing. Diam memeluk mereka. Kumpulan mereka melebar
apabila beberapa teman satu kursus ikut campur dalam perjalanan itu.
No comments:
Post a Comment