PROLOG
“TAK bolehkah kau orang dua beradik
ni kalau bertemu bersalam-salaman. Bermaaf-maafan? Kenapa asyik nak bercekau? Aku yang pekak ni pun sakit telinga
tau!” Lontaran kata-kata Nek Ton pula
memetir di telinga Damia. Damia menarik muka empat belas.
“Bukannya hari raya, nak bermaafan.”
Damia membalas kasar.
“Bukan Damia. Bukan Dhani namanya
kalau tak bertekak sesama mereka. Kiamat dunia ni kalau mereka dua beradik tu
berpantun bergurindam bagai, mak… Kat rumah, kalau mereka dua beradik ada, memang
panas punggung dibuatnya.” Perli Puan
Rohana.
“Kenapa nak tunggu raya baru nak
bermaafan? Kalau mati salah seorang
daripada kau orang berdua malam ni, tersangkut roh kau tahu tak? Tak naik ke langit pasal tak bermaafan.” Jerit Nek Ton. Mengeleng-geleng dia dengan
telatah cucunya yang dua orang ini. Tak pernah sebulu. Ada sahaja gurau kasar
membawa kepada bertikam lidah.
Damia,
dengan adik-adiknya dialah diktator. Cakapnya sahaja yang betul, bahasanya
meninggi dan kadang-kadang menyindir adik-adik yang lain. Dhani dan Diney kalau
tidak menyindir, akan menyingkir. Memang begitulah mereka. Dengan Danish,
berlebih-lebih lagi. Tiada komunikasi. Jika ada, sama sahaja bunyinya dengan
pak sarjan di padang kawad. Nyaring dan tegang.
Dhani
mulai menarik namanya perlahan-lahan daripada barisan ahli keluarga terdekat
Hashim dan Rohana selepas dirasakan emak juga bersekongkol dengan Damia.
Menuduhnya menjadikan diri bahan ujikaji dadah-dadah terlarang. Padahal,
keadaan yang memerangkap dan dia terperangkap. Namun, dia membela dirinya
sendiri. Damia menguasai keadaan dan Puan Rohana turut memalit rasa kurang
percaya pada anak lelaki, bakal imam solat jenazahnya itu.
Kini
Danish hadir membawa seribu satu cerita. Nek Ton memang tidak sedap hati dari
mula, tapi menantunya memberi jaminan yang Nek Ton rasakan jauh daripada
bernas. Dalam anggukan, dia sudah mengagak, semuanya akan mencetuskan perang
yang membuatkan keluarga kecil itu lebih berantakan.
No comments:
Post a Comment