BAB
3
Seminggu
sebelum itu, ketika Damia menyuarakan hasratnya, lama juga Maimon Haiza
merenung wajah Damia. Mencari-cari warasnya permintaan itu. Garis desakan
tertulis di dahinya yang berkerut. Ya, dia sebenarnya mengalu-alukan kehadiran
Damia.
Rumahnya
memang sepi sesepinya. Umpama hotel tempat mandi dan makan. Hotel pun ada
ketikanya dipenuhi pengunjung dengan berbagai alasan. Ada ketikanya,
berhari-hari rumah itu ditinggalkan. Jika kembali pun sekadar beberapa jam. Tidur
pun tidak ketentuan. Kadang-kadang di sofa, kadang-kadang di katil.
Kadang-kadang dalam tab mandipun boleh terlelap. Pernah diusik oleh adiknya
agar dia membeli caravan. Bermusafir
di dalam kereta. Seperti yang banyak kelihatan di negara barat. Cadangan itu
disambutnya ketawa yang berterusan.
Namun,
sebagai manusia yang berpegang pada praktikal dan teknikalnya sesuatu perkara,
dia perlukan penjelasan. Dia perlukan rasional yang mengukuhkan permintaan itu.
Tidak mahu kecelaruan belakang hari menganggu hidupnya. Dia bukan kedekut,
tetapi berhati-hati.
“Ada
tak, puan?” tanya lagi Damia. Belum habis tentang rumah kosong yang boleh
disewa berhampiran dengan kediaman Maimon Haiza.
“Kalau awak tak keberatan, boleh
saya tahu sebabnya? Awak bergaduh dengan keluarga awak ke? Ataupun awak dipaksa
kahwin? Lelaki tua, botak, perut buncit,
isterinya tiga? Atau hubungan cinta awak
tak dapat restu orang tua?” Menari-nari
jemari mulus si gadis menguatkan kedudukan soalannya.
Maimon
membariskan satu persatu alasan klise untuk seorang gadis melarikan diri
daripada rumah sendiri. Mengutarakan protes tanda kehidupan mereka adalah di
dalam garisan takdir pilihan mereka sendiri. Lombok, Golok, Riau malah
Bangladesh dan Pakistan memeta di ruang matanya. Walaupun di hujung katanya
sejuring senyum terhias apabila mengingatkan kembali soalannya tentang lelaki
tua berperut buncit dan beristeri tiga itu.
“Tak apalah, puan. Nanti saya tanya
orang lain pulak lah…” Damia sudah berpusing untuk mengundur diri.
Keluhan
kecil menyisip keluar daripada bibirnya yang dipalit rona semula jadi. Dia
belum bersedia untuk berkongsi sebab musabab perlakuannya, keluar dari rumahnya
sendiri dan mencari rumah sewa. Lebih-lebih lagi dengan orang luar seperti
Maimon Haiza itu. Lebih-lebih lagi orang luar itu, majikan kepada majikannya.
Seumpama membiarkan kisah rumah tangga dibogelkan di muka depan akhbar tabloid.
Ketika tangannya sudah memutar tombol pintu, Maimon bersuara.
“Mia tinggal di rumah saya aje lah.”
Daripada
memutar perkiraan memeningkan kepala, solusi terletak di hujung telunjuk.
Diterjah sahaja solusi terdekat. Tambahan pula, Damia adalah kakitangannya. Berpaksikan
faktor itu, kerisauan Maimon Haiza sedikit menyurut.
“Boleh ke puan?” Damia mendekat
semula. Tetapi berjarak dengan berdiri di birai meja pengurus berwarna coklat
tua itu.
“Kenapa pulak tak boleh?” Maimon
bertanya balik.
Damia menggaru kepala yang tidak berapa gatal.
Rambutnya yang merah berpilin hitam melebat disebak. Berkongsi rumah dengan Regional Manager? Salah seorang VIP dalam carta organisasi konglomerat
perbankan di Malaysia.
‘Gila!’
Damia menyumpah sendiri dengan keceluparannya. Kenapalah mulut terdesaknya
gatal benar membuka kata. ‘Sekarang siapa yang susah? Sedang si pembuat onar
sedang agh! Malas dia mengingat!’
Tugasan rutin gadis akhir tiga
puluhan bernama Maimon Haizai itu ialah tawaf setiap lima puluh cawangan di
bawah seliaannya. Segala masalah berbangkit akan minta dipungkis dan digali
semasa kehadirannya. Jika tidak mampu menyelesaikannya, dibawa untuk perhatian
atasan. Sudah tentu masanya lebih banyak di luar daripada di dalam rumah.
“Nanti apa kata orang, Puan Maimon?”
“Saya belum bersuami. Orang nak kata
apa. Atau awak takut bila tinggal serumah dengan saya, automatik awak jadi ahli
kelab andalusia?” Maimon tersenyum tapi tangannya masih menyelak helaian kertas
di depannya satu persatu.
“Eh, tak adalah macam tu, puan. Yalah.
Nanti saya dikatakan mengampu Puan Maimon. Bila dah duduk sekali, lagi senang
nak naik pangkat. Senang nak dapat kemudahan itu dan ini,” panjang lebar Damia
menerangkan. Maimon mencapai pen. Fail-fail yang melambak di atas meja pengurus
cawangan itu, ditolak ke tepi.
“Kalau awak nak terus dengar kata
orang, takut orang cakap itu. Takut orang cakap ini, terpulanglah. Cuma, cuba
awak jawab soalan saya ni. Masa awak susah sekarang, orang-orang yang bermulut
tu ada buka mulut tolong awak tak? Atau mereka tambah mengumpat lagi? Saya tak
sebodoh tu nak menilai keupayaan orang hanya kerana orang tu rapat dengan saya.”
Tujahan
kata Maimon tepat membenam di dada Damia. Mengukur letak arah kompas fikirnya. Selama
ini dia berhabis untuk menjaga mulut orang. Menjaga rapi agar tiada mulut
mengatakan yang buruk-buruk. Walhal ia tetap nampak buruk pada pandangan orang
yang merasakan ia buruk. Biarpun sebenarnya yang buruk itu juga harus diambil
sebagai pedoman. Bukanlah selamanya terpuruk buruk.
Maimon
mengitar wajah gadis di depannya itu. Disuruh duduk, tak mahu. Banyak kerja katanya. Tetapi, dia sudah mematung
berdiri di situ hampir lima belas minit. Jika mengikut hukum Queue Time, prosedur standard operasi Unit Kualiti 15 minit sudah tidak
membawa makna apa-apa. Pelanggan yang menanggung resah menunggu lebih daripada
5 minit sudah boleh membuat aduan. Sudah boleh mendakwa, perkhidmatan yang
diberikan sangat lambat. Pihak pengurusan
juga tidak boleh mempertikaikan dengan mencipta pelbagai alasan.
“Tak
ada pelanggan, puan.” Awal-awal tadi Damia sudah memberitahu.
Trend
perkhidmatan kaunter yang sudah difahami oleh sebilangan kakitangan yang
memerhati. Tidak kira kaunter perbankan atau kaunter-kaunter perkhidmatan
lainnya. Hari sibuk adalah pembuka minggu Isnin, dan penutup minggu Jumaat.
Kesibukan berganda-ganda jika kedapatan cuti umum selepas cuti hujung minggu.
Ibaratkan nafas pun tak sempat dihela. Maimon senyum sinis. Fail Branch Health Checklist di
depannya ditutup. Pen biru di tangannya dihalakan ke arah Damia.
“Awak
panggil saya ‘puan’ lagi, portfolio awak gagal!” ugut Maimon sambil matanya
kembali ke arah sekeping kertas di depannya. Serius melumuri wajahnya bak gusar
seorang majistret menerawang mencari fakta kes yang bersesuaian di dalam
mahkamah.
Bukanlah
kepantangan mendapat panggilan ‘puan’. Baginya, ‘puan’ juga tidak merujuk
kepada takah umur ataupun status perkahwinan. Biarpun awal-awal dahulu, dia
kerap juga merasa tersindir. Puan juga panggilan hormat untuk wanita yang
berjawatan tinggi. Tetapi dia takutkan
rasa ujub halus yang menyalur daripada panggilan itu.
Dia
juga takutkan rasa riak yang mencanak-canak seandainya dibiarkan. Tidak mahu,
kesemuanya itu merosakkan ikhlasnya pekerjaannya kerana Allah yang satu. Dia
juga kurang selesa kerana belum bertuan. Dia mahukan rasa positif dengan
panggilan ‘cik’. Cik membawa rasa muda
dan aroma bertenaga. Segar dan
mendamaikan.
Damia mengemudi unit Current Account. Unit yang paling kritikal. Nadi perjalanan
sesebuah cawangan. Current Account atau akaun semasa merupakan aset
bank yang memegang kukuh kepentingan pelanggan-pelanggan perniagaan yang
kadang-kadang mencecah jutaan ringgit. Berpaksikan urusniaga menggunakan buku
cek dan dipermodenkan dengan kemudahan ATM dan perbankan internet.
“Takkan
nak panggil kakak pulak… ,” komen Damia. ‘Lalu, nak dipanggil mak cik? Atau cik
puan? Atau? Aduhai, serabut betullah dia ni.’ Hatinya menyambung komen yang
terluah tadi.
Kepalanya
buntu dan fikirannya tiba-tiba dikelabui persoalan dengan ugutan itu. Kegagalan
satu-satu portfolio dalam mematuhi garis panduan syarikat akan menggagalkan
pencapaian sesebuah cawangan. Natijahnya, ganjaran kewangan dan motivasi diri
akan menyusut. Sedangkan, itulah sahaja pengikat yang merantai sebelah kaki
sesetengah mereka untuk berlama di situ.
Sebelah kaki lagi sudah meranduk peluang lain yang menjanjikan kemudahan
dan juga ganjaran lumayan.
“Saya
tak selesa dipanggil puan. Terasa macam Gabenor Bank Negara pula,” Maimon menutup mulut. Terasa lucu dengan
lawak sendiri. ‘La, sebab itu saja ke?’ Damia menahan kepalanya daripada
menggeleng.
“Baguslah
tu. Ramai orang sebut. Nanti jadi doa,” sela Damia. Tenang hatinya melihat
pengurus kepada pengurus cawangannya itu cuba mencipta lelucon. Angin yang
menyusup perlahan keluar dari pendingin udara itu terasa mengeringkan muka
Damia. Maimon kembali kepada menarik fail keras di depannya.
“Petang
nanti awak ikut saya. Tengok rumah. Kalau sudi awak masuk terus,” Maimon tidak
mengangkat muka. Sepasang tangannya laju menekan besi yang memeluk seperangkat
dokumen yang dipisahkan dengan klip kertas gergasi di dalam fail itu.
“Sewanya,
puan?”
“Seribu
sebulan. Api air kira lain.” Maimon tidak mengangkat muka. Damia yang baru
hendak meraup muka melafazkan syukur, terhenti dan terpelangah. ‘Memanglah aku
ini pekerja bank, tapi bukan daripada bahagian mengecop duit.’
“Seribu,
puan?” Damia membesarkan matanya. Serta merta kening yang pernah dicukurnya itu
terjongket.
“Sebab
panggil saya puan, naik seribu lagi. Dua ribu.” Kata Maimon sambil mengangkat
dua jari membentuk V. Wajah Damia berubah. Memerah bagai dipugar bunga ros.
“Biar
betul ni…”
“Damia,
tak payah awak sibuk-sibuk pasal sewa. Awak duduklah dulu. Dah, pergi buat
kerja. Nanti bos awak ingat branch dia
dah gagal. Lama sangat pulak saya temuramah Current
Account Officer dia,” Maimon
mengangkat muka. Manis wajahnya.
Lega
mengembang di hati Damia. Terasa masalah yang menyesak dada dalam dua minggu
ini dibawa terbang begitu sahaja. Kalau tidak difikirkan sedang berada di
kawasan pejabat, mahu dia memeluk erat si penyelamat berwajah manis itu. Takut benar dia dipanggil
puan.
Bibir Damia mengukirkan senyum. Usai ucapan terima kasih, ditutupnya pintu
bilik berbau haruman lavender itu.
No comments:
Post a Comment