BAB 2
“MAAF, saya adik dia.
Dhani.”
Dhani menggaru-garu belakang kepalanya. Rambutnya yang
lurus dan sedikit panjang mencecah bahu itu dikuaknya. Memberi laluan angin,
mengeringkan peluh di belakang leher. Mengerti
dengan riak cemas di wajah perempuan itu. Jika tidak diterangkan duduk perkara,
ada kemungkinan dia memenangi pakej penginapan percuma di dalam lokap polis
tanpa sebab. Mengenangkan bilik kecil tak bertingkap itu, Dhani menjadi ngeri
sendiri.
“Adik? Betul ke?”
Maimon bertanya dan menekan kata-kata. Tangannya
menolak pintu pagar kecil di sebelah kanan pintu pagar utama dan memberi laluan
kepada Dhani untuk mendahuluinya.
Teragak-agak, Damia
mengangguk-angguk.
“Kenapa awak biarkan adik awak berdiri di luar aje? Kenapa tak jemput dia masuk. Tak baik tahu,”
Maimon terus melepaskan kata-kata. Seadanya, sudah terbiasa dan terbawa-bawa dengan
sikap suka menegur.
“Tak apalah. Di
sini pun tak apa.” Dhani menolak baik. Merasa senang dengan budi bahasa
perempuan itu berbanding dengan perempuan yang seorang lagi itu, adiknya.
“Kalau tak mahu masuk ke dalam rumah, duduk di atas buaian
itupun tak apa. Asalkan jangan berdiri depan pintu pagar ni. Macam ah long aje.
Tak manis dipandang jiran-jiran,”
nasihat Maimon, lembut seperti uminya juga. Damia membisu. Maimon masuk
ke dalam rumah. Muncul tidak lama kemudian
dengan menatang sedulang minuman sejuk.
“Jemput minum Encik Dhani. Damia, akak nak keluar
semula. Tadi tertinggal telefon. Kalau
ada apa-apa, bincang baik-baik ye.” Dalam
manis Maimon mengingatkan.
Wajah tegang kedua-duanya cukup meyakinkan firasatnya
tentang perang Palestin-Israel di antara kedua-duanya. Maimon kemudiannya menunjukkan
telefon pintar di tangannya. Dia
bertukar senyum dengan Dhani sebelum berlari anak ke keretanya yang diparkir di
luar pagar rumah.
“Siapa dia tu? Baik sungguh budi bahasa. Orang pun
cantik, menarik. Tak macam kau!” Dalam
memuji, sempat lagi Dhani menyindir. Damia menarik muka empat belas.
“Tuan rumah ni.
Kau sibukkan aku kenapa? Mak tahu
aku keluar dari rumah tu. Abahpun
tahu.” Damia berpeluk tubuh semula.
”Kalau mak tahu, kenapa mak telefon nenek,
suruh aku cari kau. Mia...Mia.” Dhani
ketawa kecil. Kemudian menepuk-nepuk
pahanya sendiri. Bertebaran habuk menyaup permukaan terhasil daripada tepukan
pada seluarnya itu tadi.
Semenjak dahulu Damia memang tidak pandai menipu.
Neneknya ribut-ribut semalaman sebaik sahaja menerima panggilan telefon
daripada menantunya. Teresak-esak Puan Rohana menangis meminta Dhani memujuk
Damia pulang. Bila ditanya oleh Dhani alasan Damia berbuat begitu, bertali arus
ayat ‘tidak tahu’ didendangkan oleh wanita separuh abad itu.
Ikutkan
hati geramnya, mahu sahaja Dhani memadankan muka emaknya. Mahu saja dia
bertepuk tangan buat menyalur rasa marahnya. Tetapi leteran Nek Ton yang
menyenaraikan kemungkinan yang bukan-bukan, membiaskan rasa gundah di hati
lelakinya. Nek Ton yang sememangnya tidak mengetahui gelodak yang berkocak di
dalam rumah mereka kala ini, hanya merayu-rayu. Meminta Dhani mencari Damia.
Jangan tidak-tidak.
“Kakak
kau tu perempuan Dhani. Apa-apa jadi nanti
menyesal tak sudah.” Desak Nek Ton.
Ironinya, golongan tua lebih memusatkan akibat
perbuatan daripada memberi pandangan untuk menyelesaikan masalah. Akhirnya,
Dhani mengalah. Di depan Nek Ton dia berjanji. Esok sebelum subuh, dia akan ke
Kuala Lumpur. Alamat yang diberikan oleh emaknya, disimpan di dalam memori
telefon bimbitnya. Dalam pening melayan
gelagat kakaknya itu, dia terlelap juga. Mana ada orang lari dari rumah boleh
tinggalkan alamat?
“SAJALAH mak tu, bukannya tak tahu aku keluar
rumah. Aku keluar depan mata dia. Kau cakap aje pada mak. Aku baik-baik
saja. Nanti, bila tiba masanya, aku
baliklah,” beritahu Damia, nadanya sedikit tenang daripada tadi walaupun belum
hilang kasarnya. Terburai semua lamunan Dhani.
“Apa
yang dah jadi sebenarnya? Cuba kau cerita sikit kat adik kau yang bersusah
payah datang dari jauh ni.” Dhani
melunakkan suara dalam soalan berbaur
sinis.
Lenguh yang menggigit di sekitar pinggangnya belum
reda. Mengharungi sejuk pagi udara Banjaran Titiwangsa yang menghijau. Tetapi
melampaui segala rasa itu ialah memandu motosikal hidup segan mati tak mahunya
dari Temerloh ke Kuala Lumpur. Kalaulah tidak kerana Nek Ton, tidak mahu dia
bermati-matian begini.
Bangku plastik kecil yang diam pegun di tepi dinding
ditarik dengan kaki. Sebelum dia duduk di atasnya. Serba tak kena kelihatannya.
Bagaikan dia terapung di awangan. Kerusi kecil itu hilang di bawah badannya.
Damia tidak menjawab. Hanya keriut buaian diayun semakin kuat kedengaran.
“Aku
nak tahu, apa cerita sebenarnya,” Dhani
meluruskan kedua-dua kakinya. Jedanya pecah. Dia hanya berteka-teka dan hanya
mengagak. Namun, dia tahu agakannya memang benar. Dia tahu asbab pelarian Damia hingga ke situ.
Tetapi dia mahu mendengarnya daripada mulut Damia sendiri.
“Malaslah
aku nak ingat-ingat balik. Kau tanyalah mak!”
“Aku
dah tanya, mak tak ada jawapan. Tiba-tiba aja kau ambil keputusan keluar dari
rumah tu. Setahu aku, rumah tu rumah kau. Kalau tak ada sebab yang kukuh,
takkanlah kau sanggup keluar dari rumah sendiri. Jadinya aku datang sini
mewakili emak dengan Nek Ton nak tahu fasal apa kau keluar dari rumah tu,”
selar Dani. Ada nada menyampah dalam kata-katanya yang tersusun itu. Wajah
Damia yang masam berada di dalam tatapannya.
Pandangan
Damia menjurus ke hadapan. Menembusi segala apa juga yang ternampak di depan
mata. ‘Mak memang ada jawapannya.’ Hatinya menjawab pertanyaan Dhani. Tapi sama
ada mak tahu dia mempunyai jawapan itu, Damia tidak mahu lagi mengambil tahu.
Untuk berkongsi rasa pula dengan Dhani, tidak sekali-kali.
Semenjak dahulu dia dengan Dhani memang pantang bertemu roma. Ada-ada sahaja
yang hendak ditekakkan. Ada-ada sahaja yang hendak disilatkan dan bicara
masing-masing tak pernah lembut. Takkanlah sekarang, dia hendak berkongsi
cerita. Tak perlu. Hasut hatinya. Lagipun, apalah yang boleh dilakukan oleh
adiknya itu.
“Aku tahu, kau tak nak kongsi, tak nak beritahu aku.
Kau memang pandang rendah pada aku ‘kan? Macam kata kau dulu-dulu, budak bodoh.
SPM pun tak lepas. Lain macam kau. Keluar
universiti. Kerja makan gaji. Ada kereta sendiri, ada rumah sendiri. Aku ni
menyusahkan keluarga lagi ada,” Dhani
bersuara separa merajuk separa menyindir. Damia mencemik.
“Tahu tak apa! Biar aku selesaikan masalah ni sendiri.
Bukan besar sangat. Tahulah aku! Kau tu,
jaga diri. Lepas tu, aku nak ingatkan kau, ek...jangan datang sini lagi.
Malulah aku. Nanti tak fasal-fasal Kak
Mai halau aku sebab engkau,” Damia terus membebaskan kata-kata tanpa
lapiknya.
Dhani kemudian ketawa kecil lagi mendengar kata-kata
sombong kakak sulungnya itu lalu gesit bangun. Menyapu-nyapu punggungnya dengan
tangan. Seretan selipar Jepunnya menyakitkan telinga Damia. Segala-galanya
mengenai Dhani memang menyakitkan hatinya. Segala-galanya.
“Eh, tunggu sekejap,” Damia menahan ketika Dhani sudah
berada di luar kawasan rumah itu. Damia masuk ke dalam rumah sebelum
tergesa-gesa keluar semula. Sekeping not lima puluh yang renyuk dihulurkan.
Dhani senyum
sinis. Pandangan dilemparkan ke kanan dan kiri. Kemudian mengecilkan matanya
memandang ke arah jalan besar yang disimbah panas matahari.
“Ambillah,” not lima puluh itu masih di tangan Damia.
Diunjukkannya
kepada Dhani. Mukanya mengadap ke arah bertentangan.
“Tak payahlah, kak. Aku ada duit. Nanti habis pula
duit kau. Kau ungkit lagi.”
“Sombong pula tu.
Tak sedar diri,” tempelak Damia menarik tangan Dhani. Dengan wajah
mencukanya, wang tadi diletakkan di telapak tangan Dhani. Damia menyambung
bicara, “beritahu mak, bila aku nak balik, aku akan balik. Aku tahu jalan balik. Tak payah sibuk-sibuk. Satu lagi, jangan kau gunakan duit tu untuk
beli benda yang bukan-bukan tu pulak,”
pesannya keras dan berbaur ugutan.
Dhani tidak menoleh lagi. Menuju ke arah motosikal
buruknya. Bersungguh-sungguh dia cuba menghidupkan enjin motosikal itu. Motosikal
itupun agaknya tersinggung dengan kata-kata kakaknya yang kasar itu, turut
merajuk sama.
Ikutkan
hati, memang terguris mendengar hentaman kata Damia itu. Tetapi telinganya ini
sudah lali dengan tohmah maki sebegitu. Bukan daripada orang lainpun. Kakaknya
sendiri. Bukan sekali dua dia
meninggikan suara. Semenjak kecil, letusan permusuhan berentetan. Kadang-kadang dengan sebab yang tidak boleh
diterima akal. Keluhan kecil terluah sebagai rumusan daripada pertemuan itu.
Dhani masih tidak mendapat keputusannya.
Sebaik
sahaja kelibat Dhani menghilang, Damia masuk ke dalam rumah. Menghempas diri di
sofa. Rusuh hati dilepaskan pada bantal kecil di atas ribaan.
Ditumbuk-tumbuknya berulang kali. Hamparkanlah karpet merah bersalut emas
sekalipun, kalau aku kata tak mahu, bermakna tak mahu balik. Muktamad, getus
hatinya.
No comments:
Post a Comment