BAB
6
“KENAPA
lambat, naik longgar lutut aku tunggu,” marah gadis berkulit sawo matang
berbaju merah yang berdiri di bawah pokok besar di tebing sungai. Tudung sengkuap berwarna hitam berpelapik
dagu menyempurnakan bentuk wajahnya.
“Allah,
tunggu sekejap pun tak boleh. Aku sengaja bagi peluang kau tunggu. Nak suruh
kau berzikir banyak-banyak. Zikir tu kan
makanan hati.” Ucap Dhani. Menyifir muka gadis itu. Kemerah-merahan menahan kepanasan
petang. Motosikalnya ditongkat
bersebelahan sebuah lagi motosikal yang ada di bawah pokok besar itu.
“Nek
Ton kata kau pergi ke KL, bila balik?”
“Tadi.”
“Tadi? Ikan aku macam mana?” Eh, aku tak nak yang dalam kolah tu ya. Aku
nak yang segar dari ladang.” Rungut Aishah
sambil memuncungkan bibir ke arah kolah di dalam gerai Abang Mubin.
“Banyaknya
cekadak weng kau ye! Bukannya kau nak tanya perjalanan aku. Selamat ke
tidak. Ikan-ikan kau juga yang kau
sibukkan.” Marah Dhani. Aishah ketawa mengekek sehingga terhenjut-henjut
bahunya mendengar omelan Dhani itu.
“Aku dah nampak kau terpacak kat depan aku ni,
maknanya selamatlah.” Ujar Aishah dan dengan berhati-hati, dia membuntuti Dhani
menuruni tebing sungai.
Lincah
Dhani menyusuri susunan papan yang dibuat jambatan kecil itu. Melandut-landut
papan yang terentang di antara tebing sungai dengan rumah sangkar itu dilalui
Dhani. Kepungan-kepungan berpetak yang
menempatkan ikan-ikan patin berbeza umur teroleng-oleng disapa olak
sungai. Kalau ada bot laju yang
menghilir, semakin terasa olengannya dek ombak yang terhasil. Sesekala Dhani
menoleh ke belakang. Aishah jauh ketinggalan. Dia berpaling. Bercekak pinggang.
“Kau
ni dah lebih daripada ratu cantik baru dapat mahkota. Terkedek-kedek. Dah!
Tak payah ikut. Tunggu kat situ. Nanti aku dengan Abang Mubin bawa
naik,” arah Dhani. Lurus telunjuknya
mengarah ke arah tebing, sebelum dia menanggalkan getah gelang di tangan dan
mengikat rambutnya yang terjulur melepasi bahu.
Topi
hitam menutupi kepala Dhani. Memberi sedikit lagi kekemasan pada rambutnya dan
melindungi wajah semak samun itu dengan segala tunggul janggut dan misai itu. Aishah
menarik muka, berpuntal-puntal menjerut bibir. Tetapi akur. Tebingan itu nampak
terlalu licin untuk diteruskan perjalanannya biarpun takah tangga menjadi
lekukan tempat meletak kaki. Niat suci murninya untuk membantu mungkin menjadi
niat bermain gelongsor di tebing Sungai Pahang jika diteruskan. Abang Mubin
mengangkat tangan sebaik keluar dari rumah sangkar umpama rakit itu.
“Kau
serius ke dengan rancangan ni, Ai?” Jerit Dhani dari atas titian sangkarnya. Di
tangannya kejap terpegang sauk besar.
“Apa,
kau pernah nampak aku nak main-main.” Aishah menjerit sedikit. Sambil jemarinya
terus lincah menaip sesuatu di telefon bimbitnya.
“Ucu
Dollah tak marah ke?” Dhani mengulang semula soalannya selepas dilihatnya
Aishah leka tersenyum-senyum memandang telefonnya.
“Mak
dah bagi tahu dia. Ucu tak ada
halangan. Cuma mak su lah bising
sikit.”
“Simpanlah
telefon tu dulu. Beritahu ‘mamat’ tu, ‘aku mesej sekejap lagi’.” Dhani
menggeleng-geleng. Virus tersengih-sengih memandang skrin telefon belum lagi
terkena pada dirinya.
“Mamat
mana pulak? Aku tengah mesej Diney lah!” Marah Aishah, tetapi terus disimpannya
telefon itu di dalam poket baju kurungnya.
Ucu
Dollah itu adik sepupu mak teh. Emak Aishah. Mak teh pula anak saudara sepupu
Nek Ton. Neneknya dengan nenek Aishah
bersepupu. ‘Sedang mak su datang sebagai menantu dan orang luar dari keluarga
besar itu. Apa perlunya dia masuk campur.’
Bentak hati Aishah. Tetapi tidak disuarakan kepada emaknya. Emaknya
nanti akan berkata, biarlah. Harta dunia. Daki. Bukan boleh bawa mati. Maka
matilah kata-kata Aishah.
“Diney?”
Soalan Dhani berbaur kehairanan.
“Yelah.
Diney, adik kau! Kau tahu, nanti aku nak muat naikkan gerai aku tu dalam blog. Blognya
pun dah siap. Aku akan promosikan ‘Gerai
Mak Teh Temerloh.’ Pakar memasak asam tempoyan ikan patin liar di tebingan
Sungai Pahang. Dengan pemandangan yang indah. Dengan aroma sungai yang
klasik,” Aishah mendepangkan tangannya.
Dhani ketawa.
“Aku
tak marah kalau kau nak berangan, Ai. Tapi aku mintak tolong
sangat-sangat. Tolonglah berangan sampai
ke hujung pulau tu ke, hujung jalan tu ke, tak payah jauh benar. Kalau setakat gerai mak teh tu,
orang sesat aje singgah. Semua orang kat
kampung ni boleh masak gulai ikan patin. Buat apa nak beli dekat gerai kau?”
Ejek Dhani.
“Oi!
Sesedap rasa aje kau bercakap ya. Aku tak beranganlah! Aku dah masuk grup WaHM
SOHO tau. Kau tengoklah nanti. Memanglah
orang kampung ni tak makan gulai patin mak aku. Bumi Allah ni kan luas. Aku
cuma manipulasi teknologi. Kuasa blog. Kalau sesuatu produk tu baik, sampai ke
hujung duniapun orang cari, kau tau!” Aishah
meneruskan keyakinan sambil terangguk-angguk.
Menyokong
pendapatnya sendiri. Dua baldi putih berisi patin buah yang masih mengelitik di
dalamnya didaratkan oleh Dhani dan Abang Mubin. Dhani mencapai air galian di
dalam raga motosikalnya. Abang Mubin duduk melepaskan lelah di pangkal pokok
besar bersebelahan pondok kecil menjual ikan patin secara terus di tepi jalan
menghala ke bandar Temerloh itu.
Kenderaan
yang lalu lalang melatam jalan Triang bagaikan dikejar hantu. Laju-laju belaka.
Pemadangan indah laluan di tepi sungai terpanjang di semenanjung itu tidak
menarik lagi apabila masa tidak memberi izin. Walhal, tanpa sedar jika kelajuan
melampau, ada yang akan kesasar ke dalam sungai menjadi tukun buat temoleh
ataupun patin liar!
“Buat
apa nak tumpang tanah orang. Kenapa kau tak buka gerai kat depan gerai aku
ni. Percuma aje. Senang. Nak ikan,
bila-bila masa boleh tangkap. Kalau nasib baik, dapat temoleh dapat tenggalan
ke, lagi murah rezeki kau dengan mak teh,” pujuk Abang Mubin yang mendekati
mereka.
Kedua-dua
bekas tadi dibawa ke tempat menyiang. Abang Mubin mengenakan apron plastik berwarna putih. Seekor ikan
patin sebesar lengan diletakkan di atas kayu pemotong sebesar sepemeluk
budak. Menggelitik ikan patin itu
memohon nyawa. Abang Mubin mencapai kayu
berbentuk loceng ais krim zaman dahulu yang berpemegang. Berwarna hitam. Diketuknya kepala ikan patin
itu dua kali. Maka, diamlah ikan patin di atas kayu pemotong setebal sejengkal
jari dewasa itu.
Alah
bisa tegal biasa, patin-patin itu dibuang perut dan dipotong kecil-kecil. Gerun
Aishah melihat pisau pemotong daging di tangan Abang Mubin yang tajam
berkilat. Pengasahnya yang berbentuk
seperti pedang itu sentiasa tersedia di sebelah bekas menyimpan pisau di satu
sudut.
Dhani
membasuh ikan-ikan yang disiang dan dipotong oleh Abang Mubin itu sekali
lalu. Lalu dimasukkan semula ke dalam
bekas gabus putih yang boleh menanggung sehingga dua puluh lima kilogram berat
ikan dan diletakkan di dalam bonet kereta Aishah.
“Terima
kasihlah, bang. Buat masa ni, modal kami belum cukup lagi. Ni yang Aishah nak
buat kecil-kecilan dulu. Susahpun susahlah. Janji usaha Aishah sendiri.” Aishah menolak baik sambil tersenyum memandang
kedua-dua saudara lelaki berkongsi moyang dengannya itu. Dhani tidak bersuara. Mengaru-garu dahinya yang
pernah dipenuhi jerawat satu ketika dulu.
Aishah
meminta diri setelah menghulurkan wang kepada Dhani. “Kalau abang ada bekalan
patin liar, beritahu Ai ya,” pesannya
sebelum berlalu. Beserta ucapan terima kasih dan meninggalkan asap berbau
petrol.
“Ada
juga orang macam Aishah ni ye,” kata
Abang Mubin menanggalkan apron dan menyangkutkannya di tiang berpaku.
“Macam
mana?”
“Yalah.
Dah belajar tinggi-tinggi, sampai ke luar negeri. Balik-balik tak nak
bekerja. Nak kerja sendiri.” Tambah
Abang Mubin lagi.
“Kerja
sendiri ni bebas, bang. Macam kita ni. Suka hati mak ayah kita nak datang, nak
buat macam mana. Lagipun kalau dia minat berniaga, baguslah. Dah sampai masa kita tukar cara berfikir
budak-budak ni dari peringkat sekolah lagi.” Dhani merenung jauh. Kayu yang
hanyut kadang-kadang memberi ilusi palsu tentang kehadiran buaya di dalam
sungai yang tidak selebar Sungai Sarawak itu. Dhani menyambung, “kita ni sibuk
nak kaya. Tapi usaha tak berapa sibuk.
Harapkan duit jatuh dari langitlah. Harapkan itu. Harapkan ini. Bila buat
sesuatu, tak menjadi, cepat putus asa.”
“Kenapa
tiba-tiba aja dia balik kampung?” tanya Abang Mubin, tanpa mengendahkan ceramah
motivasi percuma daripada Dhani tadi. Perbincangan yang sering menjadikan dia
tertanya-tanya dengan sikap Dhani yang beransur-ansur berubah. Pandangannya
semakin terbuka dan melayah jauh memikirkan nasib anak-anak generasi akan
datang. Kali pertama mengenali Dhani, dia tidak begitu.
Dhani
menjongketkan bahu. Memanglah dia rapat dengan Aishah. Tetapi, selagi Aishah
tidak membuka mulut bercerita, dia tidak akan bertanya. Dia masuk semula ke
dalam pondok dan melemparkan tubuh ke atas kerusi malas plastik berpilin putih
merah itu. Patin dan tilapia yang
berenang riang di dalam kolam kaca bersebelahan. Tidak terfikir pun, bila-bila masa ia akan
disauk dan menjadi lauk. Tangannya di atas dahi.
“Sekejapnya
kau ke KL, dah selesai ke kes Damia tu?” soalan Abang Mubin menceburkan
kantuknya ke dasar sungai Pahang.
“Dia
tak ada apa-apa. Nenek aja yang risau tak tentu fasal.” Dhani menjawab,
bersahaja.
“Cucu
dia. Mestilah dia risau.”
“Nenek
aja ingatkan dia, dia mana nak ingatkan nenek.
Sombong!” kutuk Dhani tanpa
sedar.
Berbeza dengan budi bahasa kawan
serumahnya itu. Wajah sederhana, manis mulut, senyumpun tidak terpaksa. Dhani tersenyum. Tiba-tiba.
No comments:
Post a Comment