..yang bernama sahabat

Wednesday, 31 October 2012

Akulah Jintan, Akulah Halia


AKULAH JINTAN, AKULAH HALIA

Nadia masih terhinggut-hinggut menahan sendu. Tadi mulanya air mata sekadar mengalir tetapi kini semakin melebat. Sehingga melahirkan esakan yang tidak dapat ditahan-tahan. Rengekan kecil di dalam buaian langsung tidak dipedulikan. Hentaman kata-kata Firdaus bergema di setiap sudut pendengaran.
“Dah tahu abang jahat kenapa tak kahwin dengan ustaz? Firdaus membesarkan biji matanya apabila
Nadia mencuba untuk bersuara.
“Saya tak minta abang sampai jadi ustaz. Cukuplah yang asas abang lakukan. Cukuplah kalau abang tinggalkan tabiat abang yang tak baik ni”
“Awak tak payah nak nasihatkan Abang. Mak bapak Abangpun tak pernah cakap macam ni. Awak pulak nak memandai-mandai. Awak siapa?” Suara Firdaus melantang. Dadanya turun naik.
“Salah ke saya, isteri abang nak nasihatkan abang…?”
“Isteri kena taat dengan suami. Syurga di kaki suami!” Firdaus meletakkan hukum.
“Aku tak perlukan nasihat kau!” Sambungnya lagi sebelum pintu berdentum dihempaskan. Tidak lama kemudian bunyi enjin kenderaan menggaum sebelum kian menjauh.
Untuk ke sekian kali, perselisihan memuncul disebabkan oleh kertas-kertas kecil merah jambu yang menyapa pandangan Nadia sewaktu hendak mencari pengetip kuku di dalam beg pinggang suaminya. Tertera empat digit nombor kereta mereka yang ditunggang terbalikkan.
kawan-kawan serumahnya semua begitu. Ada juga yang ketagih ganja. Ada juga yang ketagih video lucah. Sepatutnya Nadia bersyukur dia tidak terlibat dengan semua itu.
“Awak patutnya bersyukur. Abang bukannya gila dadah! Abang bukannya gila perempuan. Bukannya gila arak…”
“Tapi judi tu kan berdosa, Abang”
“Habis yang orang yang banyak duit simpan kat bank lepas tu ada cabutan bertuah tu tak berdosa? Apa yang tak berdosanya dalam dunia sekarang ni, awak cuba beritahu Abang?”
Nadia kematian kata. Dia tahu suaminya. Kalau tidak takkanlah dia terpikat. Kemahiran komunikasi spontannya sangat cemerlang. Kerana cemerlang benarlah, segala kata-katanya terpatah begitu sahaja. Sudahnya, tingkah cakap, bangkang gaduh menjadi makanan mereka sehari-hari. Nadia kelelahan dengan semua ini. Dia benar-benar buntu dengan sikap Firdaus.
Benarlah kata orang tua-tua. Cinta itu buta. Sewaktu bercinta kemudian bertunang, diterima apa sahaja kelemahan. Kentutpun memberi aroma menyegarkan. Sewaktu bercinta, yang buruk diharapkan menghilang dipuput angin sebaik sahaja kata keramat aku terima nikahnya termateri.
Tetapi, akhirnya dia kembali ke alam nyata. Perkahwinan yang dilandaskan cinta sahaja belum cukup untuk menukar watak seseorang. Sebelum kahwin, akulah intan, akulah nyawa. Sebaik sahaja fasa bulan madu berakhir, akulah jintan, akulah halia. Isteri cuma menjadi penambah perisa sedang kemaksiatan tak terkawal di luar sana adalah rencah utamanya.
Duduk-duduk mengenang nasib, hati panasnya terasa hendak dibakar sahaja kedai nombor ekor itu. duduk-duduk meratapi duka, ada masa-masanya mahu dia menjadi adiwira yang memusnahkan semua kedai snooker, rumah urut dan tukang jual cakera-cakera lucah beserta tuan-tuannya sekali.
Malangnya itu hanyalah ingat-ingatan. Angan-anganan. Sedangkan segala-galanya sudah termaktub sejak puluhan tahun sebelum kelahiran Muhammad lagi. Arak, judi, wanita, harta benda adalah fitnah dunia yang akan akhirnya mendatangkan keruntuhan bangsa kerana derhaka kepada Pencipta.
Nadia sudah mencuba pelbagai cara. Pertama kali ditinggalkan Firdaus yang kemaruk menyudu bola di kedai snooker, dia melarikan diri. Tetapi apabila sampai di stesen LRT Masjid Jamek, dia berpatah balik. Dia tak sampai hati. Tetapi Firdaus sampai hati melukakannya.
Kali-kali ke seterusnya, dia memboikot di dapur.  Memboikot di istana mimpi mereka. Sekali dua, bersumpah mati Firdaus berjanji untuk berubah. Lebih-lebih lagi saat dibiarkan malam Jumaatnya sepi. Tetapi janji terus tinggal janji. Kenikmatan menghirup sesuatu yang dinamakan lorong ke neraka dunia dan akhirat oleh Nadia, melupakan Firdaus pada ikrar taat setianya.
Perang besar meletus apabila dia cuba meraih sokongan bonda mertuanya. Apatah lagi bapa mertuanya campur tangan. Ugutan menggegarkan tiang Arasy bergema disaksikan kedua-dua orang tua seandainya kebobrokan rumahtangga mereka tiba lagi ke telinga mereka. Itu janji Firdaus.
Nadia menjadi linglung. Air mata menjadi peneman. Si kecil kadang-kadang menjadi tempat melampiaskan amarah. Semakin kuat tangisannya, semakin menyendat masalah di dalam kepala dan dada. Si kecil menangis minta susu, dibiarkan dengan hati mengejek ‘padan muka’.
Kau dengan ayah kau sama sahaja. Sisi hitamnya bertepuk tangan.
Bukankah dia zuriat kau. Kau yang mengendongnya sembilan bulan sepuluh hari. Kau lalui dengan lelah dan penat. Sehingga tidur tak keruan. Sehingga makan jadi kurang.
Sisi putihnya bersuara.
Tapi si ayahnya menyakitkan hati kau. Degil keras kepala. Pembuat dosa. Sisi hitamnya bergentayangan di dalam kepala.
Semua manusia tidak terkecuali daripada membuat dosa. Kerana itu Allah sangat sukakan hambanya yang sentiasa memohon maaf. Allah pemberi maaf. Allah sediakan syurga yang indah-indah untuk orang berdosa yang sudi memohon maaf. Sisi putihnya membisik.
Lalu, apa kata kamu memohon maaf pada suami atas rasa kurang senang padanya. Maafkan juga kesalahannya. Adukan resah sepimu kepada Pencipta suamimu. Juga Pencipta dirimu.
Sisi putihnya mendahului hambatan minda.
Argh! dia akan selamanya begitu. Selama mana kamu boleh bertahan? Masih ramai lelaki yang baik di luar sana. Berapa kali janjinya mungkir. Anjing kalau tak makan najisnya, sedikit sebanyak dijilat juga. Sisi hitamnya masih mencuba.
Firdaus bukan anjing. Firdaus adalah manusia yang sempurna penciptaannya. Penciptanya tak akan membiarkan ciptaannya dilayur dek api kemaksiatan. Penciptanya pasti tidak membiarkan Firdaus kusam diselaput habuk lagha. Lalu kembalilah kamu merendahkan kepalamu kepada Penciptamu. Sisi putihnya terus menyantak rasional.
Nadia tidak mahu berbincang lagi. Perlahan-lahan dia belajar memaafkan Firdaus. Dia banyak mendiamkan diri dengan Frdaus. Tetapi lebih banyak berkata-kata dengan cinta barunya. Dilampiaskan dukanya di hamparan sejadah pada setiap sepertiga malam tanpa gagal.
Dalam setiap doanya memohon dilembutkan hati Firdaus dan dibukakan hatinya untuk menerima hidayah. Surah Yassin menjadi makanan harian dan senyuman sentiasa mekar di bibir setiap petang menanti kepulangan Firdaus. Setiap resipi direnjis dengan zikir dan doa serta diikhlaskan diri untuk redha dengan ujian.
Firdaus tidak drastik berubah. Hanya, perlahan-lahan rumah kecil mereka tidak lagi hangat dengan isu empat nombor. Perlahan-lahan senda gurau menceriakan hari-hari mereka. Firdaus sentiasa dekat dengan pintu rumah. Bepergian cuma seketika. Bukan lagi tiga atau empat pagi mengukau pintu!
Senyum Nadia sentiasa terukir. Dia akan setia dengan cinta barunya. Itu ikrarnya. Dia tidak akan berhenti menyintai walaupun selepas mengaminkan doa imamnya, Firdaus.

Nota: cerpen dihantar ke majalah Seri Dewi dan Keluarga - 4/10/2012

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...