..yang bernama sahabat

Sunday, 28 October 2012

Ilham Bahagia - Bab 6


BAB ENAM (6)

RESTORAN mamak 24 jam itu riuh rendah dengan suara mereka yang menguasai tiga buah meja yang disambungkan.  Masing-masing yang kelihatan segak tadi sudah mula menyerlahkan ciri-ciri sebenar.  Ada yang mengeluarkan kemeja dari seluar. Yang berlengan panjang sudah melipatnya hingga ke siku.  Ternyata bersantai dengan kawan-kawan lama; terpisah dek kerjaya dan komitmen keluarga adalah sesuatu yang dirindukan.   Bersama-sama menguak memori lucu dan sadis zaman pengajian.
“Saya hantar awak balik.” Aizat berdiri di pintu kereta Nayla.  Menghalangnya daripada membuka pintu.
“Awak hantarlah dengan kereta awak.  Saya bawa kereta saya.”
“Kereta saya Zaidi dah bawa balik.”  Aizat menunjuk ke satu arah.  Keretanya sedang meninggalkan perkarangan restoran mamak itu.
“Habis, macam mana boleh terniat nak hantar saya pula?  Jalan kaki?  Satu lagi, awak nak tidur kat mana malam ni?”
“Dah pagi dah,” beritahu Aizat setelah melihat jam di tangannya.
“Apa-apa jelah.”
“Bersama dengan awak, tak tidur pun tak apa.”
“Saya serius ni.”
“Dalam bilik awak?”
“Awak jangan menggatal eh.”  Nayla memberi amaran.  Aizat mengangkat kedua-dua tangannya.
“Saya hantar awak balik.  Saya pinjam kereta awak.  Pagi esok saya jemput awak sarapan dengan kereta awak.  Lepas tu awak hantar saya ke rumah Zaidi… boleh?” 
Mengada-ngada! Getus Nayla.  Menghenyakkan diri di tempat duduk dan menghidupkan enjin.  Sesampai di tempat letak kereta perkarangan kondominiumnya; Nayla mengucapkan selamat pagi, tanpa menunggu balasan.  Kantuk yang mengganas tak dapat ditahan lagi.  Begitupun dia bertahan untuk mencuci muka dan membersihkan diri. Amalan wajibnya sebelum tidur setiap malam. Baru selimut hendak ditarik, satu panggilan menyerbu masuk.
“Kami jumpa seorang lelaki tengah tidur dalam kereta Cik. Cik nak kami laporkan kepada pihak polis ke?”  Pengawal keselamatan kondominium itu memberi laporan. Lelaki?  Tidur?  Dalam kereta aku?  Bukankah Viosnya itu telah dibawa pergi oleh Aizat.
“Siapa namanya?”
“Aizat Shahbuddin.”
“Tak mengapa.  Dia kawan saya.  Er.. boleh suruh dia naik rumah saya?”  Apalagi kepandiran si Aizat ini?  Tadi rencananya bagus sekali.  Hendak menghantar.  Hendak mengambil.  Sesudahnya, dia tidur di dalam kereta.  Nasib juga pengawal keselamatan yang nampak.  Kalau jiran-jirannya yang nampak, memang Aizat menempah penginapan di lokap.  Dia sudah bersedia di muka pintu sebaik sahje loceng pertama ditekan.
Sorry sayang, saya mengantuk sangat.  Saya memang nak balik.”  Nayla merasakan perkataan sayang itu sudah seperti di dalam dialog iklan kicap.
“Masuklah.” Nayla berpeluk tubuh.
“Tak apa ke?”
“Masuk je.”  Aroma mandian segar menusuk pembuluh hidung.
Aizat mengerah otak menafsir maksud.  Dia menempatkan diri di sofa kembar tiga.  Meluruskan tubuh dan terus berlayar.  Ketika Nayla keluar semula dari biliknya bersama toto, selimut dan bantal, dengkuran kecil sudah kedengaran.  Dia tertegun seketika.  Diselimutkan lelaki itu sebelum bersimpuh menatap wjeh lelaki itu dalam samar simbahan cahaya lampu dapur.
Hati bersimpongan dengan pelbagai rasa.  Sedih, sayang, sayu, resah, gementar, berbaur menjadi satu.  Cuma kepastian untuk bersatu lahir batin belum terlihat di mana-mana lorong mimpinya.  Saat dia melagukan karya milik Yuna di majlis tadipun, dia tidak melihat Aizat di dalam lagunya.  Tiada wjeh pemuda sebayanya itu di dalam melodinya.  Saat matanya terpejam, sesusuk tubuh tergambar tetapi Nayla pasti bukan Aizat.
Pagi ini atau hari ini tidurnya memang tidak aman.  Dia tidak mampu merangkak turun dari katil untuk membuka pintu lantaran merasakan kepalanya dipasakkan kepada batu yang terlalu berat.  Tetapi ketukan itu seakan-akan mahu merobohkan dinding konkrit kondominium tiga bilik itu.  Sebelum terhenti dan Eza sudah terpogok di hujung katil dengan segugus kunci di tangannya.
“Siapa atas sofa tu?”  Soal Eza dengan muka cemas.
Nayla memicit kepala dan mengecilkan matanya.
“Dia buat apa kat sini? Kau kenapa? Dia buat apa kat kau?”  Eza menyoal bertalu-talu seraya menarik selimut tebal yang menutup hingga ke pangkal leher Nayla tadi.  Lega nafas ditarik melihat Nayla masih berpakaian lengkap.
“Hey! Bersihkan otak kau ya.”  Amaran Nayla kedengaran dalam suara serak-serak basahnya.
“Yalah.  Keadaan kau orang tidur tu buat aku cuak.  Manalah tahu.”
“Manalah tahu apa? Kau tak tahu Ma kau tu siapa?”
“Boleh tak kau cerita macam mana asalnya Pak Tam boleh tidur dekat ruang tamu dalam rumah ni.  Cuba kau cerita sikit.”  Eza mencapai tuala kecil.  Menutup kepalanya dan bersila di hujung katil menanti Nayla membetulkan duduknya.
“Bagilah aku gosok gigi dulu.”
“Tak payah.  Cerita kat aku sekarang.”  Eza menarik semula lengan Nayla yang hendak meninggalkan katil.  Nayla terduduk semula.
            “Aku tak biasa bangun pagi tak gosok gigi”
“Banyak kau punya pagi.  Kau tengok jam? Pak Tam kaupun sama.  Aku rasa kalau kau orang berdua kahwin memang sesuai.”  Telunjuk Eza lurus menudingi telefon bimbit di atas meja tepi katil Nayla.
“Boleh tak kau kurangkan kau punya ton suara tu… nanti dia dengar.”
Eza menutup mulutnya.  Menoleh melihat pintu bilik yang ternganga.  Bangun dan menutup sedikit pintu bilik.  Aizat terjaga dengan keriuhan tadi.  Terfana seketika sebelum menghirup waras menilai persekitaran.  Wangi selimut memberitahunya bahawa dia berada berdekatan Nayla.  Kerana dia ingat benar dengan haruman itu.
Selepas mencuci muka, dia duduk di sofa menilik persekitaran.  Kondominium tiga bilik itu berkeluasan sederhana juga dengan susun atur sederhana.  Ada sarapan sudah terhidang masih berasap menggoda nafsu makannya.
Seorang gadis berkulit sawo matang, bermata redup keluar daripada bilik dan tersenyum-senyum sambil memegang tuala kecil yang menutup kepalanya. Aizat membalas senyum.
“Encik Aizat, jemput sarapan.”  Hanya dia seorang.  Eza sudah memulakan sesi berkenalan sambil bersarapan.
“Nayla mana? Aizat berdehem sesekali.  Seakan ada sesuatu yang tersekat di kerongkong.
“Cik Nayla suruh Encik Aizat sarapan dulu. Dia nak mandi.”  Eza tersengih-sengih.
“Tak apalah.  Saya tunggu dia.” Amboi! Setialah sangat.
“Dia mandi lambat…setengah jam belum tentu siap.  Kalau nak berdating dengan dia ni kena bagi notis 24 jam awal.  Kalau tak memang sakit hati menunggu dibuatnya.” Terang Eza panjang lebar tanpa diminta.
“Tak apa saya tunggu.”  Bertahunpun aku sanggup menunggu.  Inikan pula setengah jam.
“Bila Encik Aizat datang dari Sabah?”
“Mana awak tahu saya dari Sabah?”
“Cik Nayla selalu cerita.”
“Awak orang gaji Nayla ke?”  Teka Aizat.  Wjeh ceria Eza berubah.  Orang gaji? Aku cucuk jugak biji mata Pak Tam ni!  Eza merungut.
“Tak.  Mak tiri dia.”
“Hah?”
“Tak…sepupu dia.  Mak saya dengan mak dia adik beradik.  Sayalah….”
“Eza, tolong aku sekejap.”   Lantang suara Nayla memanggil dari dalam bilik.  Eza terkocoh-kocoh seperti orang gaji menikus mendapatkan Nayla.
 “Banyak kau punya bongak.”  Nayla separuh berbisik
“Habis?  Dia macam Tugu Negara je kat sofa tu,” bisik Eza kembali.
“Sayang, boleh tak kita makan sekarang?”  Tiba-tiba suara Aizat begitu jelas di muka pintu. Tetapi tidak menjengahkan wjeh.
Sayang? Eza menjelirkan lidah dan meluruskan telunjuknya ke dalam mulut. Nayla ketawa tetapi pantas menekup mulutnya.  Dia menarik-narik t-shirt yang melekap di tubuh.
“Seksi gila kau ni.  Tak ada baju yang senonoh ke?” Tukas Eza. Sedikit jelek dengan fesyen pilihan Nayla.  
“Keluar nanti aku pakai cardigan la!”
Aizat terpegun seketika melihat gadis itu keluar dari bilik dengan rambutnya yang masih basah dan aroma yang sudah biasa dihidunya. Nayla cuma menghadiahkan senyum. Mencapai pinggan, disendukkan mee ke dalam dua biji pinggan.  Satu dihulurkan kepada Aizat.
“Awak tak minum ke?”  Tanya Aizat apabila melihat hanya ada satu cawan di atas meja makan bulat itu.  Saat melihat kelibat Nayla hilang di sebalik ruang pemisah dapur. Eza memerhati gelagat mereka berdua penuh minat.
            “Dia minum air kosong je,” sampuk Eza.
Nayla membenarkan apabila membawa mug berisi air suam. Dituangkan kopi ke dalam cawan sebelum diletak di depan Aizat.
“Makanlah. Mee ni Eza yang masak. Dia memang pandai masak.”  Aizat cuma mengangguk dengan senyum nipis.  Seandainya ada jodoh kita, alangkah bahagia setiap pagi dilayan bak rje oleh isteri secantik ini.
“Okey, lepas ni kita ke rumah Zaidi.  Ambil kereta awak.  Lepas tu?”
 “Lepas tu saya balik rumahlah.  Awak nak ikut balik rumah saya pula ke?  Boleh juga. Boleh berkenalan dengan mak saya,” lanjut pula Aizat panjang lebar.
 Nayla menggeleng-geleng.  Kalau Puan Mariam tahu Aizat berada di sini, tentu tempikan maut naga berkepala tiga berserta api menyala-nyala kedengaran dan berhembus-hembusan.
“Eza ikut sekalilah, ya.”  Pandangan Nayla menujah tepat ke dalam mata Eza biarpun bibirnya menguntum senyum semanis gula.
“Ha’ah… Eza ikutlah… kasihan kat dia tinggal seorang kat rumah ni.”  Aizat pula menunjuk simpati.  Permohonan maaf kerana menyangka Eza orang gaji di rumah itu.
Geleng.
“Jomlah…” Mata Nayla masih belum lari dari mata Eza.  Membuatkan Eza terkelip- kelip menggaru kepala yang tidak gatal.
“Okeylah.  Orang bersiap.  Tunggu tau.”
Mereka dibungkus bisu.  Aizat menghirup kopi sambil menikmati anggun gadis yang duduk bertentangan dengannya itu. Nayla tahu Aizat begitu asyik memerhatikannya.  Kerana itu, dia memusatkan fokusnya pada mee di dalam pinggan. Mengais-ngais sayur dan cebisan ayam.
“Saya sayangkan awak Nayla…” Aizat begitu mudah melahirkan kata sayang.  
Hampir setiap masa. Ada masa-masanya menjadikan Nayla sedikit rimas. Sudu di tangan Nayla terlepas. Tangannya ditarik dan dicium sepuasnya oleh Aizat. Matanya menudak wjeh mulus itu.  Nayla berusaha keras menarik tangannya yang tersentuh tunggul misai yang berceranggah di atas bibir Aizat.
“Tolong.  Jangan buat macam ni.” Nayla mengeraskan nada suaranya.
“Berjanji dengan saya.”
Berjeda sebelum mengikrar kata.
“Kita akan bersama.  Selama-selamanya” 
“InsyaAllah.”   Nayla bertindak bijak untuk tidak melarutkan perasaannya sekali.
“Janji?”
“InsyaAllah.  Kalau ada jodoh.”
“Awak memulakan dengan ‘kalau’ … bermakna awak tak yakin.”
Kita merancang, Aizat.  Penentuan masih lagi di tangan Tuhan.  Orang yang berkahwin boleh bercerai-berai.  Ini pula kita.
“Please…be positive okey…I love you deeply from the bottom of my heart.”
Macam senikata lagu!  Getus Eza tanpa insyarat memunculkan diri.  Nayla pantas menarik tangannya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...