KETIKA Zaweeya tiba di rumah, tiada jawapan pada sapaan salam yang
teraju. Rumah teres dua tingkat lot
tengah itu senyap sunyi. Sebaik sahaja
masuk ke dalam rumah, longgokan majalah dan buku-buku lama milik Mamanya menjamu
pandangan matanya. Tersusun elok di tepi
dinding bilik stor. Berhampiran peti ais di ruang dapur yang bersambung terus
dengan ruang tamu. Hidayati pula tidak
kelihatan di mana-mana.
Kunci rumah disangkutkan ke tempat
yang sepatutnya. Tiada gugusan kunci
lain yang bergantungan. Bermakna Hidayati sudahpun keluar. Tetapi kereta Kancil
miliknya tidak pula ke mana-mana. Mungkin
Mama ke kedai. Atau ke rumah jiran-jiran
yang berdekatan. Zaweeya meneka-neka. Zaweeya melaungkan nama
Mama dan Keeya. Tiada jawapan. Menjengah ke dapur, meja makan bersih tanpa
apa-apa mengisi di atasnya.
Dibukanya peti ais. Ada
ikan; ada ayam; ada udang. Di bahagian
tempat simpanan sayur, ada kangkung; ada bayam; ada kubis. Beberapa bekas mengisi bawang putih, bawang
merah, cili api dan cili kering yang telah dimesin juga tersusun elok. Telur juga setia tersusun di tempatnya.
Periuk nasi elektrik hanya ada
tungkunya. Periuknya tertonggeng di
sebelahnya. Bermakna Mamanya tidak sempat
memasak. Dia berlari pantas memanjat
tangga. Mencari dari bilik ke
bilik. Sepi. Di sekolah tadi, selepas acara gotong-royong
mereka diberikan nasi lemak, sebungkus seorang.
Melihat keadaan nasi lemaknya yang hampir basi dengan bau yang tidak
menyenangkan, dibuangnya terus.
Perut yang kelaparan sudah menadah
minta diisi. Dibukanya kabinet dapur
sebelah atas. Manalah tahu, kalau-kalau
ada simpanan mee segera. Nil. Aduh!
Terasa mahu dibalingnya tin susu bergambar teko yang beratur di depan
matanya. Hendak menggoreng ayam, perlu
menunggu ayam umpama batu itu lembut dahulu.
Hendak menggoreng ikan, tidak pula arif dia melihat keadaan ikan yang
sudah masak itu bagaimana. Sebanyak mana
minyaknya.
Hendak menggoreng sayur, menyiang
kangkungpun Zaweeya tidak pandai! Bayam
apatah lagi. Ikutkan dia, dimasukkan
semua tanpa bersiang. Apa yang
disusahkan benar hendak disiang kalau semuanya masuk ke dalam perut?
“Keeya, kalau kau nak tahu, itu
alasan orang terlebih rajin. Ada-ada
saja alasan dia.” Teringat kata-kata
Mama apabila dia memberi alasan apabila disuakan sebekas bayam untuk dikerjakan. Sayur paling ringkas dimasak. Sup bayam bercampur ayam. Berkhasiat dan menjimatkan.
Hidayati menitikberatkan kesihatan anak-anak dengan menjaga aspek pemakanan. Setiap hidangan perlu ada sayuran atau
buah-buahan. Buah-buahan harus dimakan sebelum
makan nasi. Selain dari salah satu
Sunnah Rasulullah S.A.W., ia dapat mengurangkan kadar pengambilan kabohidrat
dan protein di dalam nasi dan lauk-pauk kerana perut sudah beralas. Satu kemestiannya yang cuma diikuti Zakeeya
sahaja.
“Tapi, bila waktu makan, tak payah
dipersila, tak payah dijemput, dialah orang pertama yang menyorong
pinggan!” Zakeeya ketawa mendengar
kata-kata Mamanya itu. Zaweeya memang
suka memberi alasan apabila disuruh ke dapur.
Ataupun disuruh membuat apa-apapun.
Jawapan yang paling popular ‘nanti sekejap’. Membawa makna, ‘saya tak mahu buat’. Ataupun jawapan biasa, ‘Zaw penat’, ‘Zaw
mengantuk’, ‘suruhlah orang lain, asyik suruh Zaw aja’. Semuanya membawa maksud sinonim dengan yang
pertama tadi iaitu ‘saya tak mahu buat’
“Tak baik Mama menjatuhkan air muka
anak di depan anaknya yang lain, tau Ma.
Zawpun anak Mama. Keeyapun anak
Mama. Pilih kasih namanya tu…” Zaweeya membuat andaian. Mempamer wajah terluka yang dibuat-buat. Biarpun dia tahu, Mamanya tidak akan terkesanpun
dengan teknik psikologi amaturnya itu. Memutar topik agar tiada hentaman kata
menujah kepadanya lagi.
“Zaw tu tak pilih kasihkah? Bila Mama suruh tolong masak, tolong kemas,
Zaw bagi seribu alasan. Bila tiba waktu
makan, waktu makan angin, kenapa Zaw tak bagi alasan. Kalau Mama pilih kasih, Mama tak bagi Zaw
makan, tahu?” Zaweeya
terkebil-kebil. Nawaitunya untuk
mengelak, Menamatkan perang kata,
tiba-tiba lain pula jadinya.
Akhirnya, Zaweeya mencapai dua biji
telur. Dihidupkan api dan telur
dipecahkan dan dikacau dengan sudip sehingga hancur. Direnjis sedikit kicap masin dan kicap
manis. Tangannya mencapai majalah Mekar
yang berwarna jingga pada tulisan jawinya.
Gambar seorang pelajar berpakaian baju Melayu lengkap bertanjak sambil
memegang sebuah piala menghias muka hadapannya.
“Penerima Pingat Hang Tuah Bercita-cita Menjadi Doktor’. Sambil menyuap telur goreng yang dihancurkan
tadi itu, dia menyelak helaian demi helaian.
Majalah itu separuh menggunakan
bahasa Jawi. Melewati ruangan bertulis jawi, merangkak-rangkak dia
membacanya. Jika berlumba dengan
kura-kura, kura-kura juga boleh tertidur menunggunya.! Separuh lagi bahasa Rumi. Ada ruangan
panduan belajar; ada ruangan surat
pelajar; ada ruangan berita dan matanya terhenti pada helaian ruang sastera. Mimpi
Kembang Dahlia. Oleh:- Betara
Aduka. Bahagian 10.
Betara Aduka. Kenapa pelik benar nama penulisnya. Cerpen ini ditulis oleh penulis pada masa
itu, atau disalin daripada naskhah hikayat Melayu Lama? Zaweeya melayan
soalan yang bermain di dalam kepala.
Maka tersebut pula kisah Putera Indera
Laksamana. Berkatalah ia kepada Panglima
Awang Gagah. Panglima Awang Gagah itu
yang terbilang gagah di seluruh negeri hingga terdengar ke benua kecil Hindi. Panglima Awang yang kepalang gagah itu dikata
orang
bertempur tiga hari tiga malam,
keris dan panah menyalang hingga ke sum-sum,
tak
lut konon kalam,
kerana kasad bersendi hukum.
Bertitahlah
Putera Indera Laksamana kepada Panglima Awang Gagah yang juga sahabatnya itu
agar menyiapkan geliung beserta awak-awaknya kerana baginda hendak
belayar. Adapun Putera Indera Laksamana
terlalu ingin melihat rupa tanah bumi orang sebelah sana .
Dikata orang disuluh bulan cahaya menyimbah ke langit. Disuluh suria terang seluruh buana.
Arakian
didengar sahaja Tuanku Seri Alam Keramat akan hajat anakanda putera pengarang
jantung maka dikhabarkan kepada bondanya, Tuanku Puteri Cahaya Bulan. Bertangisan kedua laki-isteri itu
mengenangkan nasib hendak ditinggalkan putera.
Dipanggil segala orang-orang besar ke peseban dan dikhabarkan oleh
Tuanku Seri Alam Keramat akan hajat Putera Indera Laksamana itu.
“Zaw!...Zaw!” Terasa bahunya ditepuk berkali-kali.
Zaweeya menggosok-gosok mata. Bukankah tadi dia
belayar dengan Putera Indera Laksamana dan Panglima Awang Gagah? Hidayati menggeleng-geleng kepala
melihat anak gadis bermata sepetnya itu. Zakeeya yang berdiri di belakangnya cuma tersenyum. Zaweeya
mengheret langkah longlai dengan niat untuk melangsungkan acara tidurnya yang
terbantut sebentar tadi.
“Zaw, angkatlah ni. Takkan Keeya pula nak angkat. Kau yang makan kan ?” Zakeeya yang baru menanggalkan tudungnya menjerit. Rambut pendek separas telinganya leper
dilanyak tudung. Kulitnya sedikit cerah
berbanding kulit Zaweeya biarpun mata masing-masing memang sepet.
“Ala , kau tolonglah. Aku mengantuk betul ni…” Zaweeya bersuara lemah. Zakeeya merungut-rungut di dalam bahasanya
sendiri. Terasa hendak dibaling dengan
stokinpun ada. Diambilnya juga piring
bekas telur hancur dimakan Zaweeya tadi.
Dihantar ke sinki dan dibasuh terus.
“Bila Mama nak jual semua ni?” tanya Zakeeya. Melirik pada timbunan majalah
yang tersusun itu. Hidayati yang
baru sahaja meletakkan gelas di atas meja, menaikkan keningnya. Mata yang memang bulat itu bertambah
bulat.
“Keeya dengan Papa sama aja kan ..”
“Bukan… Mama tengok tu. Baru setengah hari dah bersepah sana sini,” tunjuk Zakeeya
ke arah senaskhah majalah Mekar yang terbiar di meja depan. Yang tadi berdekatan dengan piring yang licin; yang sebelum ini berisi telur goreng yang dimasak Zaweeya.
Hidayati mengeluarkan bungkusan
nasi ayam yang dibelinya sebentar tadi.
Sendinya terasa dipatah-patahkan.
Labu betisnya terasa digayut sauh kapal beratnya. Pinggangnya terasa berdenyut-denyut menahan
badan yang sudah berisi ketika mengemaskan bilik stor itu tadi. Kerana itu, dia berhenti setakat itu. Esok, dia akan mencari kotak dan akan
dimasukkan kesemua majalah-majalah itu ke dalam kotak.
Esok yang difikirkan boleh menjadi
esok, rupa-rupanya digandakan menjadi lebih banyak esok. Ada-ada sahaja kesibukan yang
bertandang. Yang lebih menadahkan
perhatian. Meletakkan keutamaan di tempat
yang teratas. Majalah-majalahnya masih
terbengkalai. Membuatkan hati merasa
gusar tetapi tidak dapat dilafazkan.
Malam itu, dia mendapatkan Zaweeya
yang sedang meniarap di atas katil. Rambutnya
diikat dua. Nampak comel dan
mengingatkan Hidayati pada wajah keanak-anakannya ketika kecil. Zaweeya menyendal dada dengan bantal. Telinga disumbat dengan fon telinga. Tangan memegang pen dan mata mengadap
buku. Dia sendiri tertanya-tanya. Dapatkan anak ini memusatkan perhatian pada
pembacaan kalau telinga bersumbat begitu.
“Zaw, Mama nak minta tolong sikit
boleh tak?’ Zaweeya masih
menggoyang-goyangkan kepalanya bagai beratib.
Kaki terangkat bersilang-silang turut bergoyang.
“Zaw!” Zaweeya menanggalkan fon telinganya.
Kelibat
Mama yang berdiri tiba-tiba di depannya mengejutkannya sebentar tadi. Lantunan lagu daripada BigBang itu menyurut
dari telinganya. Zaweeya berpaling dan
bertukar posisi. Duduk bersila sambil
bantal dipangku. Menutup sebahagian peha
dan lutut yang telanjang.
Zakeeya yang sedang menekuni buku
peta mindanya juga terhenti. Ingin tahu
pertolongan apa yang ingin dipinta oleh Puan Hidayati itu. Mata kedua-dua anak dara suntinya itu melekat
padanya.
“Tolong apa Mama?” tanya Zakeeya. Sementara Zaweeya masih
ternganga-nganga. Semasa Mama bersuara
tadi dia masih dengan ratib Koreanya.
Mama mengambil tempat di sebelah Zaweeya.
“Mama nak minta Zaw tolong kemaskan
majalah-majalah Mama tu. Masukkan dalam
kotak, boleh?” Mama merenung mata sepet
wajah bujur sirih itu. Ada dagu yang terbentuk cantik tanpa perlu
disuntik atau dipanjangkan.
“Keeya nak buat, Keeya nak buat!” Zakeeya yang bermuka bulat itu pula menawarkan
diri. Tangannya diangkat tinggi dengan
wajah teruja. Bagaikan mendapat jawapan
pasti pada soalan yang ditanya cikgu.
“Bagi Keeya buatlah, Ma,” jawab
Zaweeya. Bantal di ribaan ditarik menutupi
dada yang ditutupi dengan baju t dengan imej kartun Pooh itu. Alasan yang sudah dijangka Hidayati. Dia juga sudah bersedia dengan
jawapannya sendiri. Zaweeya sudah
menarik muka basinya.
“Keeya nak periksa. Zaw lambat lagi. Tolonglah,”
Mama menggosok-gosok lengan anak gadis peminat tegar Kpop itu. Bahu Zaweeya dirangkulnya, mesra.
“Ala , bagilah Keeya buat…” Zakeeya mendekati Hidayati. Mamanya yang masih cantik di dalam kaftan
berwarna merah itu dipeluknya. Diciumnya
pipi berjeragat itu.
“Boleh. Tahun depan.
Lepas UPSR. Mama nak Keeya fokus
dengan peperiksaan,” Hidayati bersuara lirih tetapi nadanya berbaur ketegasan
seorang ibu.
“Tengoklah,” Zaweeya memberi kata putus dalam rasa yang
berbaur. Sekadar memberi janji yang
kabur untuk dimakbulkannya. Zakeeya
mencebik. Usahanya untuk
setidak-tidaknya menarik perhatian Mamanya gagal. Hidayati masih mahu menggunakan khidmat kakaknya
yang liat itu.
Hidayati adalah untuk
mengajar Zaweeya erti tanggungjawab.
Biarpun bebelannya terhadap Zaweeya di hadapan kakak dan adiknya berbaur
jenaka, di dalam hati dia tetap gusar.
Gusarkan anak gadisnya tidak tahu membawa diri apabila dewasa kelak.
Ya, kepandaian hal ehwal rumahtangga
bukan lagi keutamaan. Kemahiran memasak
cuma bonus buat generasi masa kini. Hidayati selalu mengingatkan anak-anaknya agar memandang ke hadapan.
‘Memandang’ bermakna mengangkat kelopak mata dan automatik apa yang ada di
depan mata akan kelihatan. ‘Memandang’
tidak sama dengan berkalih yang bermaksud pusing ke belakang.
Hari ini, mereka pandai memberi alasan. Apa nak dirisau. Belajar pandai-pandai. Bergaji besar, wang melimpah-ruah, kuasa wang
boleh membeli makanan mahal di hotel; kuasa wang boleh menggaji tukang
masak. Atau untuk yang tidak berapa
pandai, pasang sahaja badan, cari suami kaya.
Tetapi dari segi pertimbangan imbal balik, percaturan itu sebenarnya
merugikan diri sendiri.
Wang, kecantikan dan kekayaan hanya
memberi kepuasan duniawi. Kepuasan yang
tidak berkekalan. Hari ini tersenyum,
esok dahi berkerut memikirkan wang. Mahu
ditambah atau mahu dihakis. Sedang
kemahiran rumahtangga yang diperoleh dari pengalaman akan memberikan kepuasan
berganda. Ganjaran uhrawi dan ganjaran
duniawi.
Bagi seorang tukang masak, professional
atau tidak, melihat makanan di dalam periuk belanga licin dimakan merupakan
kepuasan yang tidak ternilai. Tambahan
lagi melihat si pemakannya menikmatinya hingga ke hujung jari yang
terakhir. Malah tidak dapat ditinta
biarpun di atas kertas berbingkai emas sekalipun.
“Petang ni tak bolehlah. Aku dah janji dengan Mama aku. Nak kemas bilik stor,” Zaweeya memberi alasan.
Menolak
pelawaan Budik dan Ain untuk ke perpustakaan awam di kawasan perumahan yang
didiami Ain. Mereka tinggal di kawasan
yang sama tetapi berbeza taman perumahan. Loceng waktu akhir baru sahaja
bergema sebentar tadi. Persekitaran
sekolah menengah yang mempunyai empat blok setinggi tiga tingkat setiap satu
itu hingar-bingar.
Kawasan perhimpunan yang dilingkar
empat blok itu juga memutih dengan kekisukan pelajar-pelajar yang
pelbagai. Di situlah juga gelanggang
bola tampar dan gelanggang bola jaring.
“Kau nak kemas majalah Jawi hari tu
ya?” soal Budik kembali yang nampak
begitu tertarik dengan subjek Jawi semenjak mula.
Tulisan
milik Melayu sepenuhnya yang bakal hilang dalam masa tiga puluh tahun dari
sekarang. Malah, lebih dipertahankan
oleh golongan tua berbangsa asing daripada pemilik asal bahasa itu sendiri.
Mereka berpapasan keluar dari
kelas. Berjalan perlahan-lahan. Memberi peluang pelajar lain yang
berpusu-pusu menuruni tangga. Bagaikan
hari ini hari terakhir bersekolah dalam hidup mereka. Tidak mahu lagi memandang ke arah kelas yang
rompong tingkapnya di sana
sini itu.
“Susahkah belajar Jawi?” tanya Budik ketika mereka masih berlegar lagi
di aras tiga itu. Menunggu Ain ke
tandas. Membetulkan tudung. Antara rutin wajib pelajar perempuan sebelum
masuk kelas, sebelum rehat dan sebelum tamat waktu persekolahan. Sebusuk manapun bau tandas, masih lagi
sanggup diredah memberi salam kepada cermin 14 inci di dinding tandas. Sekadar untuk membetulkan kedudukan tudung.
“Kau tak tahu baca Jawikah?” Zaweeya bertanya kembali walaupun dia sendiri
kalah berlumba dengan sang kura-kura semalam.
Geleng.
Terasa rugi yang amat sangat pula. Di saat dunia menuju era globalisasi. Ketika manusia galak menyusun profil
kebolehan berbahasa dan menulis, tulisan Jawi sudah ketinggalan keretapi. Walhal, konsepnya tetap sama dengan konsep
huruf rumi. Sepatutnya umat Melayu
berbangga kerana Jawi terpasak di alam Melayu sebelum kedatangan penjajah yang
membawa tulisan rumi lagi.
“Nanti, lepas SPM esok, kita belajar
sama-sama,” janji Zaweeya. Budik
mengukir senyum. Gadis kecil molek itu
bergerak menuruni tangga diikuti oleh Zaweeya dan Ain.
“Zaweeya. Zaweeya!”
Satu suara menyapa di belakang mereka.
Zaweeya yang mendahului kedua-dua sahabatnya berhenti menapak ketika
berada di depan Kedai Buku Sekolah. Si
pemanggil tadi mempercepatkan langkah dan mencelah di antara Budik dan
Ain. Beberapa rakannya tertinggal di
belakang.
“Aku nak cakap dengan kau
sikit,” pelajar lelaki itu berwajah
serius. Mereka berdiri berhadapan dengan
jarak beberapa tapak. Zaweeya kembali
melangkah. Berbulu telinganya mendengar
suara itu walaupun nadanya tidak melengking seperti dahulu.
“Wei, kau ni sombong betulkan!” Suara itu sedikit meninggi diikuti satu
sentuhan di lengannya. Terkejut dengan
tindakan itu, Zaweeya membalas dengan satu
tindakan spontan. Berpaling dan
melepaskan satu tumbukan tepat ke hidung pelajar itu. Terperanjat dengan aksi itu, dia cuba mencapai
tiang besi namun gagal lantas jatuh tercelapak betul-betul membelakangi Budik
dan Ain. Budik dan Ain melongo. Segala-galanya begitu pantas dan langsung
tidak menyangka Zaweeya akan berkelakuan seganas itu.
“Zaw!” tempik Budik dan Ain hampir serentak.
“Wafi!” jerit pula kumpulan koir di
belakang mereka. Kejutan yang menghenjut
di dada dengan keputusan drastik menumbuk Wafi Ikhmal tadi membuatkan dia
membuka langkah seribu. Tidak menoleh-noleh.
Panggilan daripada Budik
bertalu-talu tidak diendahkan sehinggalah ia makin menyayup dari
pendengaran. Dia berlari sekuat-kuat
hati. Bagaikan di belakangnya ada Ular
Saktimuna yang mahu menelan dan membinasakan dirinya. Dirinya seorang sahaja. Ketakutan membungkus diri. Ketika tiba di perkarangan rumahpun, dia
tidak berhenti berlari. Kelam kabut
membuka pintu pagar rumah, menanggalkan kasut dan mencicit berlari masuk ke
dalam bilik.
“Er… Wafi, awak okey?” tanya Ain
menyerahkan kembali buku rujukan SPM yang bertaburan terlepas daripada tangan
Wafi tadi. Kawan-kawan lelakinya juga
mengerumuni Wafi. Suasana di situ sudah
seperti pasar pagi. Semua orang ingin
mengetahui apa yang berlaku.
Sesiapa yang menyaksikan cerita
penuh, menyampai cerita. Yang mendapat
cerita menyampai dan angin terus bertiup membawa khabar yang telah
ditokok-tambah. Wafi cuba
bangun. Terasa deria pembauannya lumpuh
seketika. Nafasnya sedikit sesak.
“Eh, darahlah!” tunjuk salah seorang
penonton drama sebabak itu ke arah Wafi.
Wafi meraba-raba di bawah hidungnya.
Ada
sedikit darah sedang mengalir. Budik dan
Ain menggunakan isyarat mata, bergegas pergi.
Cemas masih melumuri kedua-dua wajah mereka. Sepanjang jalan tiada kata terhambur dari
mulut mereka.
Masing-masing memikirkan petaka yang
akan menyusul. Tambahan pula mereka
saksi mata yang utama. Kesemua insiden
itu dari A sampai Z berlaku pantas tetapi di dalam medan stereoskopik mereka. Bagaimana kalau sampai ke telinga
Pengetua. Pasti hukuman menyusul. Diatur di depan perhimpunan. Dimalukan bagai ratu cantik tanpa seurat
benang. Diperkenalkan sebagai ‘Gadis
Gangster’. Lebih teruk lagi kalau
dibuang sekolah.
Bagaimana
kalau Wafi tidak berpuas hati. Bagaimana
kalau Wafi mengambil pendekatannya sendiri.
Dipanggilnya kawan-kawan mat rempitnya.
Direnggutnya Zaweeya yang dalam perjalanan ke sekolah.
Lebih malang lagi, ketika itu merekapun ada
bersama. Ditariknya mereka ke dalam
semak. Dikerjakan beramai-ramai. Menambah celaka lagi, ditikam bertubi-tubi
melunasi dendam atau dicekik sampai mati.
Selepas itu mayat dibakar atau dipotong-potong diberi makan anjing. Budik dan Ain menoleh dan berpegangan tangan
sesama sendiri. Tidak!!
********************************************
Pawang Ana & Raja Haji Yahya. 1985.
Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Selenggaraan W.G. Shellabear. 1975. Siri Kajian Sastera Fajar Bakti Sejarah
Melayu. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
gambargambarpelik.blogspot.com/2012/01/nasib-tulisan-jawi-semakin.html.
i followww...
ReplyDelete