“Ampun
patik tuanku. Sembah derhaka patik
sembahkan. Adapun pada pandangan patik
yang hina ini, adalah lebih baik tuanku berhempas fikir mengenang akan keadaan
negeri yang belum aman ini. Adapun
lanun-lanun masih mengganas di laut. Merompak
hasil nelayan, maka kurang pendapatan negeri.
Di
sebelah utara pula tentera Tuanku sedang bersiaga menanti gerombolan Raja
Helang Olak Lapan yang tidak berpuas hati kerana hasratnya meminang paduka
kekanda Tuanku Puteri Intan Baiduri ditolak paduka ayahanda Tengku. Usahlah
dikenang perawan mengidung mainan alam khayalan ketika beradu itu, ampun Tuanku.”
Panglima
Awang Garang bersuara juga melihat ketaksuban Tengku Indera Laksamana ingin
belayar bukanlah kerana ingin mengembara.
Tetapi lebih kepada melayani amukan asrama pada puteri yang mengidung
Syair Teladan Yusuf Nan Tampan pada setiap
malam tatkala mata terpejam di kamar peraduan.
“Adalah
lebih baik lagi sekiranya Tuanku menambah ilmu di dada berguru barang sekitab
dua dengan Tuan Saidi Maulana. Belajar
fekah, tawassuf dan muamalat supaya biar menjadi raja berilmu di dada, berakal
di kepala, ampun Tuanku.” Tengku Indera
Laksamana tidaklah lagi bersuara.
Berfikir-fikirlah akan ia mengenang kata sahabatnya itu.
Zaweeya bersandar di tepi dinding
bilik stor yang kelihatan bersih dari sebelumnya. Buku-buku lain semuanya telah disempurnakan
pengkebumiannya. Dimasukkan ke dalam
kotak dan digam rapi. Tinggal lagi
himpunan majalah Mekar yang telah disusun mengikut tarikh keluaran.
Terpanggil pula hati untuk
menelusuri perjalanan Kembang Dahlia dan Tengku Indera Laksamana. Biarpun awalnya dia menyampah amat kerana
perjalanan cerita klasik yang dinukilkan oleh Betara Aduka itu terasa amat
meletahkan.
Benarkah Syair Teladan Yusuf nan
Tampan itu sekadar mainan tidur atau rayuan sukma seorang perawan atas nama
kecintaan pada Pencipta. Menitip rasa
cinta yang telah lama tumpah di tinta perkasihan di Luth Mahfuz.
Lagu ‘Diamond’ dendangan kumpulan gadis-gadis lincah dikenali SNSD yang
menjadi nada dering telefon bimbitnya berdendang tak sudah-sudah dari
tadi. Bingkas dia bangun. Mengunci bilik stor dan melompat ke atas
sofa. Mendapatkan telefonnya.
“Kenapa?” Wajah Budik yang tersenyum manis terpapar
lebar di muka telefon.
“Wei, kau kat mana? Kau tak dengar ceritakah?” Budik melontar soalan bagai senafas.
“Kawan kita nak tukar sekolah,”
jerit Budik. Bagaikan dia berada di
dalam kawanan manusia yang sedang menonton konsert layaknya.
“Siapa?” Zaw menggaru-garu betisnya yang gatal. Mamanya sedang sibuk berkebun di taman mini
di luar rumah. Keeya keluar bermain
futsal setelah mendapat kebenaran Mama.
Bersama-sama dengan Zareema.
Mereka berdua banyak mengongsi minat yang sama.
“Wau-Fa-Ya,”
sebut Budik. Sebutir-sebutir.
“Wau-Alif-Fa-Ya,
Ba Wau Kaf Nun, Kaf Alif-Wau Nun, Alif
Kaf Wau.” Ambil kau! Budik terdiam. Lama sebelum bersuara semula.
“Zaw. Aku bagi sepatah aja. Kau bagi berpatah-patah buat apa?”
Rayu Budik. Zaw ketawa
mengekeh.
“Padan muka kau. Tambah lagi kau sebut nama orang yang aku tak
suka,” tempelak Zaweeya.
“Apa maksudnya tadi tu?”
“Kau carilah sendiri.”
“Janganlah begitu. Aku bersungguh-sungguh nak belajar ni,” Budik
separuh merayu.
“Sekali lagi kau eja, walaupun
salah; atau kau sebut nama tu; walaupun dalam bahasa Korea Utara sekalipun, aku
tak nak kawan kau. Sampai
bila-bila. Aku serius ni!” Zaweeya menjerit sekuat-kuat hati. Dimatikan talian.
“Assalamualaikum. Kenapa dengan kau?” Puan Hidayati dengan kulir dan tangan
bersarung memunculkan diri di sebelah pintu gelangsar berhampiran taman
mininya.
Zaweeya tidak menjawab. Tetapi terus tersengih-sengih sambil
melarikan diri ke bilik. Di tangannya
ada senaskhah lagi majalah Mekar yang akan dibaca sebelum tidur nanti.
“Beb, kau tak dengar
ceritakah?” Ain pula menjalankan tugas
rutin sebagai wartawan tak bergaji selepas Budik.
Disumbatnya fon telinga sambil berbaring di
katil. Petang minggu yang aman tanpa
jerit pekik Zaweeya dan gelek gediknya mengikut rentak lagu Korea . Sudah berminggu juga kisah
gempar Wafi ditumbuk samseng perempuan sekolah itu berlaku. Dan sepatutnya, segala kehangatannya terus
menyurut. Tetapi ia tidak berlaku.
Dia semakin dikenali biarpun jika
berlaga bahu setakat senyum sumbing. Dia
tidak ambil pedulipun jika senyum itu beserta umpat keji kerana baginya tidak
menjadi kudis di hati. Biarkan apa
sahaja bicara mereka. Tindak-tanduknya
selama inipun bukan atas izin mereka.
“Siapa yang beritahu kau?” Akhirnya, dia bertanya juga.
“Dalam FB. Dia dah post dekat wall dia. Kata nak balik
kampung. Kat Limburg,” terang Ain satu
persatu.
“Mana? Bekok?
Bukan jauh benar. Itupun dah post dekat wall,” kutuk Zaw.
Kadang-kadang hairan dengan ketaksuban teman-teman dengan laman sosial
yang satu itu. Carut maki juga mahu
ditaip masuk. Memapar apa yang terbuku
di dalam hati. Melempar diri ke dalam
kawah kebinasaan dek dosa yang tak terfikirkan.
“Limburglah. Bukan Bekok, cerdik!” marah Ain. Sakit hati dengan balasan kata Zaweeya
sebentar tadi.
“Biarlah dia. Sibuk nak beritahu kat aku nak buat apa. Bukannya aku bini dia!”
Sekali lagi
mematikan talian. Dicapainya majalah
Mekar. Di antara pasti dengan tidak
tentang turutan tarikhnya, dia menyelak halaman majalah uzur itu
perlahan-lahan. Matanya lekat pada buah
tangan karya Bentara Aduka itu.
Dengan ayahanda diikat janji,
Yusuf dan Bunyamin dijaga rapi,
Malangnya Yusuf dihumban ke perigi,
Termasuklah mereka orang yang rugi.
Nabi Yaakub bersusah hati,
Hanya tawakkal pada Illahi,
Rancang yang jahat sudah menjadi,
Baju Yusuf menjadi ganti.
Sebuah
kenderaan mewah tiba-tiba menjalar terhenti di depan mereka. Budik, Zaw dan Ain berpandangan. Beberapa pelajar lain yang berada di pondok
perhentian bas di depan sekolah itu juga berpandangan. Seorang gadis berbaju kurung seragam sekolah
keluar. Tanpa tudung. Diikuti oleh beberapa gadis berseragam
pinafor.
Suasana
di luar pagar sekolah bertentangan kawasan perumahan pinggir bukit itu semakin
lengang. Pelajar kebanyakannya sudah
beransur balik. Bagi pelajar yang
berjalan kaki seperti Zaweeya dan rakan-rakan, sudah menjadi kebiasaan
berbasa-basi di perhentian bas sambil mencuci mata sebelum balik.
“Siapa Zaweeya?” tanya gadis berpinafor
berambut ikat satu.
Terlompat-lompat
rambutnya mengikut liuk tubuhnya. Nampak
dominan daripada yang lain. Dia bersuara
di dalam bahasa Inggeris loghat Malaysia .
Penampilannya biarpun di dalam pakaian
sekolah menunjukkan keberadaan keluarganya.
“Buat apa cari Zaweeya?” Mereka bertiga tidak berganjak daripada
palang besi memanjang yang menjadi tempat duduk di perhentian bas itu.
“Aku nak tahu, siapa Zaweeya,” Pandangan gadis itu bertukar-tukar di antara
ketiga-tiga mereka.
“Aku, kenapa?” Zaweeya bangun.
Apabila berhadapan, jelas Zaweeya lebih
menguasai keadaan. Dari segi bentuk
tubuh, mahupun keyakinan diri. Si gadis
bertubuh langsing itu sedikit mengundur.
Lencana di dadanya memberitahu dia bersekolah di sebuah sekolah swasta
yang tidak jauh dari sekolah mereka.
“Aku, Tengku Puteri Alyssa
Ellesendra,” akui gadis itu. Dia
bertawaf mengelilingi Zaweeya. Sementara
rakan-rakan tukang soraknya sekadar berpeluk tubuh berhampiran kereta mewah
itu. Zaweeya cuba mengamati semula nama yang
disebut tadi. yang diingatnya hanya
tengku puteri sahaja. Kenapalah nama-nama orang sekarang
pelik-pelik?
“Kenapa cari aku?”
“Aku dapat tahu, kau yang pukul Wafi
Ikhmal kan ?”
“Kalau aku bunuh dia sekalipun, apa
kena mengena dengan kau?” Perbualan itu
lebih kepada perbualan ayam dan itik.
Ayam berbahasa Inggeris loghat Malaysia . Itik berbahasa Malaysia loghat Inggeris.
“Dia sepupu aku. Sekarang kerana kau, dia nak berhijrah. Aku tak suka dia jauh dari aku. Untuk pengetahuan kau juga, dia dan aku dah
bertunang semenjak kecil,” ujar gadis itu bangga. Zaweeya mencemik. Berselumak isi telinga mendengarnya.
“Kau cakap dekat Wafi tu, buang aja
dia…”
Budik dan Ain cepat-cepat
mendapatkan Zaw.
Ain menutup mulut Zaw dan Budik memegang
tangannya. Mengelakkan dia mengeluarkan
perkataan yang kurang enak.
Sesungguhnya, mereka memang faham benar dengan mulut Zaw yang berani
mati itu.
“Apa kau orang ni?” Marah Zaw.
Membetulkan tudung dan baju sekolahnya yang
senget. Beg sekolah berwarna hitam yang
tersadai di atas besi itu dicapainya dan meninggalkan mereka.
“Aku akan susahkan kau kerana
menyusahkan aku. Kau ingat tu,” ugut si
puteri dengan suaranya semakin jauh ditinggalkan Zaw. Ain dan Budik berlari-lari anak mengejarnya
dari belakang.
“Macamana Wafi boleh jadi sepupu
Allysa Ellesendra tu ha?” tanya Ain.
“Sebut sekali lagi,” pinta Budik
pula.
“Allysa Ellesendra,” ujar Ain dengan
nada memperolok-olok. Dikeluarkan lidah
dan dijuihkan bibir dan menyebutnya dalam slanga orang Inggeris yang baru
sehari masuk ke dalam kelas Bahasa Malaysia .
“Dahlah, kau orang. Menyampah aku!” Zaw berhenti.
Melepaskan perasaannya. Melayan
rasa yang menyenak di dada kerana tiga perkara.
Pertama, menyampah dengan Wafi Ikhmal.
Rasa yang kian lama kian mencengkam.
Kedua, meluat dengan lagak sepupunya itu, Tengku Puteri Sya, sya, bendera,
entah apalah namanya tadi itu. Ketiga,
lebih menyakitkan kerana dituduh menjadi punca kepada satu keputusan.
“BETULKAH Izzie? Siapa yang buat keputusan ni? Engkau atau Wafi?” Tanya Puan Hidayati ketika Puan Izzie
menghubunginya. Memberitahunya tentang
keputusan Wafi untuk berhijrah. Untuk
tinggal bersama dengan Eddy di kampung halamannya di Limburg .
“Pujuklah dia elok-elok,” nasihat
Puan Hidayati. Mendengar suara Puan
Izzie yang sudah mulai sebak.
“Aku dah pujuk. Dia tak peduli. Dia kata dia malu nak bersekolah di situ.” Puan Hidayati sedikit terpukul dengan ayat
akhir itu. Semuanya kerana Zaw. Anak gadisnya yang terlebih bersopan-santun
itu.
“Suruhlah dia bersekolah di sekolah
lain. Asalkan di dalam Malaysia . Dekat dengan kau,” usul Puan Hidayati.
“Dah. Aku dah pujuk dia supaya bersekolah di
sekolah sepupu dia tu. Dia tak
mahu. Mati-mati dia tak mahu. Dia siap kata, kalau aku cuba pujuk dia lagi, dia nak
larikan diri dari rumah. Tolonglah aku,
Yatt. Dia sajalah anak aku. Aku tak boleh hidup tanpa dia. Kalau dia di sana , siapa yang nak tengok dia. Yang paling aku takut sekali, aku takut dia
mur..,”
“Izzie! Jangan cakap macam tu. Kau mak dia.
Patutnya kau doakan dia. Jangan
fikir yang bukan-bukan. Diapun belum
pergi lagikan? Maksudnya kita masih ada
masa nak halang dia,” terjerit Puan Hidayati mendengar pengakuan Puan Izzie
yang sememangnya lintasan hati yang menjadi kebimbangan besar buat dirinya
sejak mula.
“Nanti aku cuba fikirkan. Sementara tu, kau kena banyak berdoa
tahu. Doa supaya hatinya
dilembutkan. Supaya dia mendengar cakap
kau….” Pesan Puan Hidayati lagi sebelum
dia melafazkan salam mematikan perbualan.
“”Kenapa Mama?” Soalan terpacul dari bibir Zaw melihat Puan
Hidayati bermenung seakan sudah menembusi dinding dapur. Tenungan juga mungkin sedang menggerudi ke
dalam dinding dapur jiran sebelah ataupun ke dinding balai raya yang
berdekatan.
Jarang dia melihat mamanya bermenung
sebegitu. Kerut di dahi yang cuba
ditegangkan sebaik sahaja ditegur Zaw tadi masih tidak menghilang. Telefon jenama Blackberry hadiah daripada
Papa sempena ulangtahun perkahwinan mereka tahun lepas, diletakkan Mama di atas
meja makan.
“Mama sakitkah?”
Geleng.
“Habis tu, ada orang kampung yang
sakitkah?” Zaw meneka lagi. Beg sekolah yang tersandang di bahunya
semenjak tadi, diletakkan di atas kerusi makan.
“Makcik Izzie baru lepas telefon
Mama,” terang Puan Hidayati. Sirna
menyelubungi wajah anak gadisnya itu segera hilang.
“Zaw tahu Makcik Izzie tu siapa kan ?”
“Tahu,” jawab Zaw acuh tak
acuh. Usai membaca doa makan dan terus
menyuap.
“Zaw tahu fasal Wafi nak balik ke Holland kan ?”
Angguk. Berita
gembira. Mestilah aku tahu. Selepas ini, khabar angin tentang perempuan
samseng ini akan lenyap terus. Kerana
dia, aku mendapat gelaran baru. Wafi
Ikhmal, memang menyakitkan hati betul!
“Makcik
Izzie risau kalau dia balik ke Holland
dan tak mahu balik lagi ke sini. Dia
lagi risau kalau Wafi tak dapat mempertahankan akidahnya sebagai Muslim.” Zaw memperlahankan kunyahan dan mula
menumpukan perhatian pada Mamanya. Sayur bayam kegemarannya terasa berpasir di
tekak.
“Wafi pula tak boleh
dipujuk-pujuk. Bulat hati nak tinggal
dengan papanya di Holland ,” Puan Hidayati meneruskan kata tanpa menoleh
ke arah Zaw. Tetapi ekor matanya
memerhati riak wajah yang berubah itu.
“Kalau Mamalah jadi Makcik Izzie,
Mamapun risau…” Puan Hidayati terus memprovok.
Selera untuk menikmati makan tengaharinya semakin memudar. Zaw bangun membawa pinggan yang masih penuh
dengan nasi dan tulang ikan tilapia ke sinki.
“Jadi, sekarang semua orang nak
salahkan Zaw?” Bentak Zaw. Memerah wajahnya menahan marah. Terasa diri begitu terhina.
“Bukan macam tu,” pujuk Puan
Hidayati.
“Habis, kalau bukan macam tu, macam
mana? Di mata Mama. Di mata Makcik
Izzie, di mata semua orang, Zawlah yang salah.
Sebab kalau Zaw tak tumbuk Wafi, Wafi tak merajuk. Wafi takkan nak lari sampai ke Holland . Kenapa Wafi yang tak ada pendirian, Zaw pula
yang salah. Kenapa Wafi yang tak boleh
terima kenyataan, Zaw pula yang dikatakan jadi punca. Semua orang tak adil!” tempikan Zaw meninggi
sebelum meninggalkan ruang dapur.
Puan
Hidayati tersentak dengan lemparan kata yang begitu meninggi daripada Zaw. Sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan begitu. Bagaikan keputusan Wafi dan kehadiran Wafi di
dalam hidupnya mengkucar-kacirkan hati dan menghuru-harakan hari-harinya yang
sebelum ini indah. Dia menghela nafas.
Benang yang kusut kini sudah tambah serabut.
Kalau
tadi dia berjanji dengan Izzie untuk sama-sama mengerah akal fikir
menyelesaikan masalah Wafi, kini dia harus berpaling. Duduk dan memerah kewarasan untuk mendepani
lantunan perasaan anak gadisnya sendiri. Dikemasnya meja makan. Beralih duduk ke ruang tamu. Niat hati ingin menonton melodrama yang tersiar
di televisyen setiap hari itu terbantut.
Lambat-lambat,
akhirnya dia berdiri juga di depan muka pintu bilik Zaw. Biarpun bertutup, dia tahu bilik itu tidak
berkunci. Ditolaknya perlahan. Zaw sedang meniarap di katilnya dengan baju
sekolah yang belum ditukarnya lagi.
“Mama minta maaf, Zaw,” berat
lidahnya meminta maaf. Tetapi memikirkan
dia perlu mengundur untuk meredakan keadaan yang tegang.
“Tak apalah, Mama. Zaw tak salahkan Mama. Zawpun minta
maaf. Zaw bukan marahkan Mama,” Zaw
bersuara tetapi tidak menoleh. Menopang
dagu memandang ke arah kepala katilnya yang Cuma ada besi berlingkar ringkas.
“Kenapa Zaw marah sangat dengan
Wafi? Dia ada buat perkara tak baik
dengan Zaw kah? Cuba beritahu Mama. Mari kita selesaikan perkara ini. Mama tak mahu nanti, pasal Wafi, Zaw tak
boleh fokus dengan SPM.”
“Tak…”
“Jadi, kalau Wafi tak buat perkara
yang tak baik, apa yang buat Zaw jaki sangat dengan dia? Kau orang bersaing dalam kelaskah? Atau Wafi pernah menghina Zaw. Atau dia cakap sesuatu yang Zaw rasa
menghina. Walaupun sebenarnya Wafi tak
maksudkan apa-apa,” Puan Hidayati terus
menyusun jawapan untuk dipilih Zaw umpama menjawab soalan peperiksaan. Zaw terus menggeleng. Biarlah semua menjadi rahsia dia seorang
diri. Seorang diri.
No comments:
Post a Comment