..yang bernama sahabat

Monday, 29 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 10


BAB SEPULUH (10)

            “KAU pasti dia masih simpan semuanya lagi?”  Puan Izzie menyoal lagi.

Soalan yang sama diulangi sejak tadi.  Mereka berdua bertungkus lumus di dapur semenjak tadi.  Mengharapkan anak gadis yang tiga orang itu, hanya piring dan mangkuk ditinggalkan di dalam sinki.  Mereka sudah menghilang menurut jejak Amirul entah ke mana.  Puan Hidayati sudah penat mengangguk.
           
“Kita nak masak apa ni?” 

Puan Izzie melihat sahaja kelincahan sahabatnya itu menguasai ruang dapur.  Susup-sasap, usik sana, cecah sini,  cili api sudah siap ditumbuk beserta kunyit hidup sedang menua.  Serai sudah bertitik menanti ketibaan ikan keli salai yang dijanjikan Encik Azhari hendak dibeli di Pasar Minggu Kuala Klawang.

 Zakeeya bagaikan kutu rambut mengikut sahaja ke mana Papanya pergi.  Melihat sahaja teman berkelulusan setaranya yang kini merendahkan diri menjadi suri hati keluarga.  Bunga yang mengindah dan mengharumkan sudut laman hati isi rumahnya.
           
“Aku rasa Haikal simpan semuanya dalam satu sampul.  Aku pernah ternampak.  Tapi tak tahulah kalau lepas berkahwin, isterinya jumpa, isteri dia dah buang,”  terang Puan Hidayati sambil tangannya mengopek kelopak jantung pisang.  Puan Izzie memerhati sahaja jantung pisang itu yang semakin lama semakin kecil.

            “Kalau dah buang semua, kita nak makan apa?”  Puan Hidayati terhenti.  Terhinggut-hinggut bahunya ketawa.  Beginilah jadinya kalau tahu makan sahaja.  Begitu juga nasib Zaweeya kalau dibiarkan.

            “Yang kita makan jantungnya.  Bukan kelopaknya, Cik Izzaidah oi,”   Apabila sudah tinggal yang berwarna merah keputihan sahaja, Puan Hidayati mencincangnya pula.  Puan Izzie hanya memerhati.

            “Apa masakan Belanda yang kau tahu?”

            “Yang aku tahu Vlaii, aja.  Yang lain kebanyakannya makanan Arab.  Aku takut nak meredah makan yang tak tentu.  Dibuatnya bercampur dengan cik bab tu, kan payah kerjanya,”   Wajah Edward berlabuh di ruang mata.  Rindu terus bertamu.  Teringatkan ikan dimasak dengan tepung yang harus dimakan panas-panas.  Dinikmatinya saat meladeni bulan madu di Pasar Ikan Brusselse di Limburg.

            “Sebut pasal isteri, mana isteri dia ya?”

            “Berminat betul kau bila sebut pasal Haikal ya..  Kau kata lelaki Melayu bukan citarasa kau,” sindir Puan Hidayati.

            “Bukanlah.  Aku cuma rasa bersalah aja.  Aku rasa selama ni macam menipu dia.  Aku main-main aja.”  Puan Izzie bersuara lirih.  Cincin di jarinya dipusing-pusingkan.


            Bibir Puan Hidayati meleretkan senyum nipis.  Ingat-ingat lupa ketika kalutnya
Haikal menerima poskad berupa rangkap lirik ‘Meniti Suratan’ yang dihasilkan oleh Saari Amri dan diperindah dengan lirik oleh Juwie yang popular ketika mereka masih di universiti dulu. 

            Dia yang memberitahu Izzie tentang minat Haikal pada lagu dendangan Yantzen yang ketika itu bergabung dengan kumpulan May.  Izzie yang gila-gila meneruskan kegilaannya dengan mengirim poskad.  Ditulisnya empat rangkap lirik lagu tersebut tanpa nama.  Berturut-turut sehinggalah ke lirik yang terakhir.

            “Takut pulaklah aku Yatt.  Entah-entah orang hantar ubat guna-guna ikut poskad ni,”  Haikal menyuarakan kebimbangan ketika mereka sama-sama balik bercuti.   Haikal belajar di universiti di utara tanah air sedangkan dia hanya terlempar ke Shah Alam sahaja.

            “Siapalah nak mengguna-gunakan kau?”  Wajah abang yang tua dua tahun daripadanya itu ditatapnya.  Berkaca mata tebal layaknya pelajar terbaik SPM sekolah.

            “Manalah tahu.  Kalau tak macamana dia tahu aku suka dengan lagu Meniti Suratan ni?”  Spontan mulutnya menyanyikan lagu itu semula.  Perlahan dan mendayu.  Suaranya mungkin tidak semerdu suara Yantzen, tetapi masih boleh diterima telinga.

            Salam suci kesejahteraan bergema dari arah pintu dapur.  Encik Azhari dan Encik Haikal menjinjit bungkusan plastik di kiri dan kanan tangan masing-masing.

            “Berdua ajakah?”  Tanya Encik Haikal.   Berpusing-pusing melihat keliling. 

            “Tengah makan tebu kat wakaf tu, tak nampak?”  sela Encik Azhari pula. 

            “Bukan susah sangat.  Masak campak-campak aja,” Puan Hidayati bersuara
menyedapkan hati.

            “Patutlah tak sedap.  Main campak-campak aja rupanya,” usik Encik Azhari. 
Puan Izzie sedikit terusik dengan kemesraan yang bersenandung melalui kata-kata tanpa secuit sentuhanpun.  Membawa definisi bahagia yang tidak berbentuk.

            “Tak sedap?  Saya siap bawa Mem Belanda lagi nak tolong saya masak.  Kita tengok berapa kali awak tambah nasi masa makan nanti.”  Ketawa menyambut kata-kata itu.

            “Macamana kau tahu aku yang hantar poskad tu?  Kan aku dah tukar bentuk tulisan tu?”  uji Puan Izzie.  Bersuara selepas kedua-duanya berlalu ke ruang depan.  Di tangan mereka berbekal senaskhah akhbar mingguan setiap seorang.

            “Izzie, kalau kau tukar pakai kain ke atas, baju di bawahpun aku boleh kenal.  Ini pula setakat nak menyengetkan tulisan.”

            “Mama, tolong jawab,”  Wafi yang datang tiba-tiba dari arah pintu dapur menyerahkan telefonnya kepada Puan Izzie.  Di tangan kirinya masih erat sebatang tebu sepanjang dua ruas.

            “Nak cakap apa ni?”  Puan Izzie melihat nama yang tertera. 

            “Cakap aja apa-apa,”  Wafi buru-buru menyarung seliparnya dan meninggalkan mereka.  Mendapatkan kawan-kawannya di bawah wakaf.

            “Hai Lisa,”  Puan Izzie melembutkan suaranya.  Beralun-alun. Puan Hidayati menutup mulut menahan gelak.  Bimbang tawanya menjadikan pendengar di corong sana menjadi curiga.

            “Wafi,.. belum bangun lagilah.  Ha’ah malam tadi dia tidur lambat.  Tengok bola.”  Puan Izzie membalas di dalam bahasa Inggeris loghat Britishnya.

            “Okey.  Nanti makcik beritahu dia.  Ya.  Okey, bye,”  Jemari runcingnya cepat-
cepat melarik permukaan telefon pintar itu untuk mematikan talian.  Dia menghela nafas bagai mencapai kelegaan maksimun.

            “Anak saudara aku.  Penat nak melayan dia ni kau tahu.  Siang malam pagi petang kerjanya mencari Wafi.  Entah apa yang dihendaknya dengan anak aku tu, akupun tak tahu,”  adu Puan Izzie.  Sangat berbeza dengan cara mereka dulu-dulu.  Kalau ini dinamakan pemburuan cinta, ia terlalu terbuka dan melampaui batas kewajaran seorang gadis.

            “Anak kau bukankah jejaka idaman Malaya?”

            “Itu yang aku tak faham.  Kenapa Zaw tak macam Lisa.  Dia tak kisah pun pada Wafi.”  Puan Izzie mengeluarkan buah-buahan dari dalam plastik.  Dibelah-belahnya buah oren dan disusunnya di dalam bekas. 

            “Itu aku tak tahu.  Tapi sebagai ibu, aku bangga dengan sikap dia.  Bagi aku, cinta monyet cuma menganggu proses belajar aja.  Walau cerdik macamanapun, kalau terbabit dengan cinta minit, sepuluh peratus tumpuan kepada pelajaran pasti beralih.”  Panjang lebar Puan Hidayati melahirkan pendapatnya. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian.

            “Kau belum jawab lagi soalan aku, mana isteri Haikal?” Puan Hidayati tidak menjawab soalan itu.  Dia bangun membawa ikan keli salai yang telah dipotong-potong.  Ikan keli itu hanya menanti masa terjun ke dalam santan yang sedang menggelegak bersama cili api, kunyit dan serai.             

            Ada.  Argh! Kau tanyalah dia sendiri nanti.”  Puan Hidayati bagaikan tidak mahu terus berada di dalam dimensi memperkatakan tentang Haikal.  Baginya yang berlalu biarlah terus berlalu.

            “Kau nak pergi mana tu?”  Puan Hidayati bertanya apabila melihat Puan Izzie menyapu punggung.  Langkahnya perlahan menuju ke ruang tamu.

            “Nak pergi tanya Haikallah,”  Bagaikan terperanjat dengan jawapan Puan Izzie, dia bergegas mendapatkan wanita yang masih ramping seperti dahulu itu.
           
“Tak payah.  Pergi panggilkan budak-budak perempuan tu.  Budak-budak ni kalau tak dipanggil, memang tak menjengah ke dapur ni,” bebel Puan Hidayati tiba-tiba tetapi menarik tangan Puan Izzie menjauh dari ruang tamu. 

Mereka berdua berdiri di ambang pintu dapur.  Bercekak pinggang melihat gelagat anak-anak dara dan anak teruna mereka bergurauan sambil mengungis tebu.  Hampas tebu bertaburan hampir menghampari  laman bersih di kaki wakaf itu.
           
“Gajah-gajah sekalian, lepas makan sila sapu balik laman tu… Mama tak mahu tengok ada sampahpun selepas ini,”
           
“Mama, cakap dekat gajah ni, Keeya tak makanpun.  Keeya tengok aja.”  Tidak sempat habis kata-katanya, jeritan terdengar.  Rambutnya ditarik Zaw.
           
“Kau memang gajah!”  Jerit Keeya lantas melompat turun dari wakaf tersebut mendapatkan Mamanya.
           
“Zaw, jangan,” jerit Wafi melihat Zaw sedang menumpukan sasaran.  Membaling batang tebu ke arah Keeya. Dirampasnya batang tebu kekuningan itu dari tangan Zaw yang sedang berdiri di dalam wakaf itu.  Zaw terpaku melihat tindakan ‘Tengku Indera Laksamana’nya itu.
           
Semenjak Indera Laksamana bermain bayang di alam nyata juga di alam tidak nyata, rasa jaki yang menggumul-gulat di dalam diri semakin menyusut.  Jernih wajah Indera Laksamana bagai menyatu dengan wajah Wafi Ikhmal yang sesekala nampak tenang itu.
           
“Daripada kau baling kat Keeya, baik kau makan.  Ada juga faedahnya.  Mari kita sambung mencuci gigi,” kata-kata Wafi mengecahkan tawa mereka.
           
“Sudah, tak ada maknanya nak mencuci gigi, bagai.  Zaw, tolong Mama,” perintah Puan Hidayati.  Antara mahu dengan tidak, Zaw mengengsot juga meninggalkan kawan-kawannya.  Perintah Mamanya, perintah serampang dua mata.  Ditujukan pada Zaw tetapi tertebar juga kepada Ain dan Budik.

“Kau pasti nak berhijrah lepas SPM ni?”  Amirul bertanya tiba-tiba.  Seruan Puan Hidayati tadi sudah menjadi serampang bermata-mata.  Zaw dipanggil, berderun-derun teman yang lain turut serta. 

Selesai makan tengahari, anak-anak remaja itu ditinggalkan menguruskan dapur.  Zaw membasuh pinggan.  Ain mengemaskan meja.  Budik mengangkat pinggan yang kotor ke singki.  Amirul menyapu sampah.  Wafi mengutip pinggan dan ditangkupkan di rak pinggan.  Keeya menjadi mandur sahaja.

“Iya.  Aku dah lama tak jumpa Papa.  Kasihan dia.  Mama ada aku, ada keluarga kat sini.  Dia seorang kat sana.”

“Seronoklah kau,” ujar Budik pula.  Menarik kerusi dan duduk setelah tugasannya selesai.  Tinggal Zaw yang masih membasuh pinggan.

“Tinggal kat mana-manapun sama, Dik.  Lagi seronok kalau ibubapa kau ada sama.  Di tempat dan masa yang sama.  Macam Zaw,”  Wafi bersuara tanpa memandang Zaw.

“Kau nak tinggalkan Mama kau seorang diri kat sini?”  Zaw tiba-tiba membuka mulut.  Wafi terfana dengan soalan itu.  Lebih terfana lagi soalan itu keluar dari seorang yang bernama Zaweeya.  Yang sebelum ini tidak ingin memalis waima mendengar suaranya pun.

Apa yang sedang dilakukan terhenti.  Amirul melihat ada perubahan yang ketara pada tampang wajah putih kemerah-merahan itu. Ain dan Budik juga begitu.  Menantikan jawapan dari mulut Wafi.  Wafi menyifir wajah teman-teman barunya itu.

Berbeza dengan Alyssa Elesendra yang tidak pernah mempersoalkan tentang hati dan perasaan orang lain.  Melainkan perasaannya sendiri.  Berkampung dengan sahabat yang ini membolehkan mereka membicarakan apa sahaja dalam untaian kata santai dan sesekala lawak jenaka yang tidak masuk akal.

Dia pasti akan merindui segala-galanya.  Tetapi keputusan muktamad itu telah mengambil tempat di hatinya sejak lama dulu.  Lama sebelum hidungnya ditumbuk Zaw.  Dan tumbukan Zaw bagaikan memberikan lebih semangat untuk pergi.

“Aku bukannya pergi tak balik-balik.  Lagipun bila-bila masa aku boleh berhubung dengan Mama.  Dengan kau orang..”  Wafi tidak meneruskan kata.  Terus meletakkan pinggan yang terakhir di rak dan keluar dari ruang itu.  Entah mengapa, hati merasakan masa dua puluh empat jam bersama teman baru ini terasa terlalu cepat berlalu.

Bukan Zaw sahaja berada di tempat istimewa di hatinya kini.  Budik, Ain malah Amirul bagai melakar kenangan terindah yang tidak mungkin dirasakan di tempat lain.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...