..yang bernama sahabat

Thursday, 11 October 2012

Ilham Bahagia





1
Nada ketukan yang kelang-kabut masih menghuni meja sebelah. Sesekali dia mengerling kepada empunya jari. Tiada respon diterima. Seolah-olah ketukan dan kalau dikatakan tarian pen itu beserta tuan punyanya juga tenggelam dalam kotak dunianya sendiri. Nayla menyelak-nyelak malas helaian pelbagai service request yang menadah di depannya.  Jujur sejujurnya dia benci bekerja dengan kertas, dengan komputer yang tidak memberi reaksi dan sekadar mendengar dan menadah apa sahaja luahannya.
Di sebalik dinding sebelah sana, frontliners masih sibuk melayan pelanggan semakin ramai menjelang waktu makan tengahari. Kaunter perbankan komersial di kawasan sibuk itu bertambah sibuk terutama pada awal minggu dan akhir minggu. Kadang-kadang kerana rutin begitu, para petugas kaunter memperlahankan kelajuan setiap satu transaksi mereka. Bagi pelanggan mereka diberi dua pilihan. Menunggu atau beredar. Pilihan ketiga, yang kadang-kadang ada, pelanggan mengemukakan aduan. Kadang-kadang terus ke media tempatan dan satu salinan kepada Bank Negara.
Tarian pen yang memekakkan itu terhenti serentak beriring dengan sebuah keluhan. Nayla tidak bereaksi waima mengerti ada yang membutuhkan bantuannya.
“Tolong aku sekejap…”
Wanita lebih kurang sebayanya itu bersuara juga akhirnya. Nayla menolak kerusi, bangun mendapatkan Hanisah tetapi tersentak dengan nada dering paling biasa di pendengaran yang menjengah yang lagi.
“Ya mak….”
“Tak ada…!”  Dia membetulkan anak rambut yang menganggu perbualan.
“Betul!… orang tak tipu…!”
“Itukan dah lama… cuba mak tengok tarikhnya…”
Wanita kelahiran bumi Cik Siti Wan Kembang berwajah manis itu tersenyum simpul setelah berjaya mencuri dengar perbualan mereka.
“Buat apa nak tipu mak kau….?”
Nayla menarik kerusi. Duduk betul-betul mengadap komputer membuatkan Hanisah terpaksa mengengsot memberikan ruang.
“Dah tahu gemuk tu… beranjaklah sikit…!”
Rungut Nayla tetapi matanya lekap pada helaian Electronic Journal yang terpapar pada perisian Words di komputer.
“Hey, dengar aku cakap ni…!”
Nayla mengibas-ngibaskan jarinya yang diketuk dengan pen. Hanisah ketawa tanpa kesal.
“Zalimnya kau ni…aku dah suka dan rela nak tolong…kau sakitkan aku pulak…!”
Digosok-gosoknya belakang jarinya. Hanisah melambakkan tawa lagi. Surana, yang berada di meja bersebelahan meja Nayla meletakkan jari ke bibirnya.
“Berdosa tipu mak tau…!”
“Mana ada!…aku cakap yang betullah…”
“Betullah sangat!”
“Okay puan, sekarang comparison kau tak balance berapa dan EJ kau tak balance berapa? Nak aku tolong ke tak nak?”
Nayla membanting tubuh ke kerusi seraya berpeluk tubuh. Hanisah mencantumkan kesemua tapak tangannya. Nayla kemudian berdiri bercekak pinggang dalam kebaya Kota Baru yang menyerlahkan keanggunannya sebagai gadis graduan bertaraf eksekutif. Kulitnya putih kuning dengan hidung mancung diapit mata bulat besar yang dikawal kening tebal  di atasnya. Waktu hampir menujah ke jam dua belas  Bermakna giliran mereka untuk keluar berehat sudah hampir.
Wei.. ma ada call kau
Satu mesej terpapar daripada Eza sebaik sahaja dia mematikan nada deringnya.
Eza, sepupunya yang baru habis sekolah dan kawan baiknya dan ibunya!
Ada
Dia membalas dan berlalu ke scanner untuk mengimbas service request yang akan dihantar ke Loan Center melalui emel. CCTV yang melata di mana-mana akan memperlihatkan kerja sebenarnya nanti kalau dia asyik melayan telefon bimbit.
Ma nampak kau ada like post Pak Tam, dia tengah naik hantu ni…
Naik hantu ke naik syaitan ke, aku tak ada masa nak layan! Nayla duduk kembali di mejanya. Hanisah sudahpun mengemaskan mejanya, membetulkan tudung dengan tuntutan janjinya agar Nayla menyelesaikan kes CDMnya. Nayla mencapai pengikat rambut dan mengemaskan mahkota kesayangannya separas bahu itu. Diikat tinggi seakan-akan sanggul.
“Macam dalam pantanglah pulak!… besar masalah ni…!”
Dia berpusing ke arah kanannya. Surana tersenyum sambil menutup mulut.
“Aku nak fokus ni… hari ni nak balik cepat!”
“Cepatlah sangat!… kalau mak tiri kau kata cek tak balance karang… kau ingat boleh balik ke…?”
Surana merujuk kepada teman sekerja yang berbadan dua dan berangin dua, Nalini. Kerana itu dia mendapat gelar mak tiri. Angin kus kus yang sukar dibaca walaupun pada hakikatnya hatinya memang baik.
Teman bekerja yang juga teman bertekak. Mengisi hari-hari bekerja dan membuatkan masa seakan tidak memberi izin untuk menarik nafas. Biarpun cabaran bekerja dalam organisasi pelbagai bangsa ini terasa semakin hari semakin mencabar, lebih memberikan dia ruang untuk menjauhi apa yang dirasakan lebih menyesakkan dada.
Tetapi, sepulang bekerja nanti dia sendiri. Rumah sewa di belakang rumah kedai bertaraf kondominium itu menjanjikan sepi dan tambah membuarkan rindu pada setiap inci kenangan yang telah berlalu di dalam hidup.
Benarlah, sepi itu menyiksa jiwa. Rindu itu membakar hati. Lantas, apalah lagi daya seorang Nayla untuk mengucainya andai setiap kali dia ingin keluar dari kotak itu, ada dinding yang terlalu kebal menghalang.
Malam terisi dengan luahan rasa di laman sosial atau setidak-tidaknya mencuci mata dengan membaca post kawan-kawan. Jarang sangat dia melepaskan komen kecuali untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan sepejabat atau alumni universiti atau persekolahan.
Wei, asal x balas mesej aku siang tadi…
Mesej Eza yang tinggal sekampung di belakang rumahnya dan bersaudara pula memenuhi ruang telefon bimbitnya.
Sibuk
Ma x habis marah lagi
Lantak la..
Kau ada call Pak Tam?
X ada
Tipu…
X ada
Pak Tam ada call kau?
Ada
Ha.. patut la Ma marah. Dia dapat instinct tu…
Habis takkan aku x nak jawab call dia..
Wei..call aku la.. habis kredit  aku nanti..
Malas..
Kau rindu Pak Tam eh
Nanti aku reload blk
Kau rindu Pak Tam eh..
Rindu gak la…
Apa kata... kau amik cuti kita pi makan angin. Kita p Sabah.
Siapa yang rindu kat Pak Tam ni…aku ke engkau?
Menyelam sambil minum air…
Tambang kapal terbang?
Kau bayar. Nanti bila aku keje aku bayar balik
Hotel?
Pak Tam ada..
Kalau Ma taw kau tolong jawab! Ndak?
Apa lak aku…
Dah tua bangka takut kat Ma lagi..
Kau berani sgt p cakap kat Ma la
Aku kannya takut. Aku respek
Ok la. Ada call masuk…
Aku taw.. mesti Pak Tam..
“Kenapa lambat angkat telefon? Ni mesti sibuk layan mesej si Eza”
“Taupun.”
“Rindu kat saya tak?”
 Dia mengumpan dengan persoalan hati yang tidak pernah terjawab sejak dulu. Tidak pernah seminitpun hati ini tidak merinduimu!
Ada la sikit” Nayla menjawab sombong.
“Hari ni apa pulak masalah awak? Apa yang tak balance? Siapa customer yang kacau awak lagi. Boss awak meroyan lagi ke…saya nak dengar ni. Saya tak pernah penat nak mendengar!”
Sinis ajuan bicara di hujung sana sebelum ketawa kecil menyusul.
“Hari ni tak nak cerita pasal kerja”
“Awak tak nak tanya pasal kerja saya. Susah saya kat sini. Rindu macam nak mati kat awak. Nayla… saya rindukan senyuman awak. Kan seronok kalau kita tak payah habis belajar. Hari-hari saya boleh tengok muka awak!”
“Lepas tu, pinjaman PTPTN tak payah bayar. Pinjaman FAMA tak payah bayar. Jasa mak ayah yang membesarkan kita tak payah dibalas?”
Sebak hati saat menyebut perkataan FAMA. Mak dan abah saya tak pernah menyukai awak, Aizat. Apa yang terhubung di antara kita memekar di taman larangan.
“Maaf, Zat. Saya rasa ada call masuk ni. Nanti saya call awak pulak..”
“Awak sembunyikan se…!” Aizat tidak sempat menghabiskan kata apabila talian telahpun diputuskan.




2
“Kau bergayut dengan dia tu lagi? Kenapa kau ni degil sangat? Berapa kali mak cakap? Mak dan abah tak suka kau berkawan dengan dia!”
“Dalam dunia ni, bukan dia aje kawan orang mak!”
“Tapi itu kawan yang paling kau sayang kan?”
“Mak… berkawan tak semestinya berkahwin”
“Kau masih nak berdegil Nayla. Kalau ikutkan hati mak… mak nak ganyang si  tak sedar diri tu…!!”
Nayla memutuskan talian dan membiarkan panggilan bertalu-talu dari Puan Mariam menjerit masuk. Terusik hati dengan sikap orang tua yang tidak meletakkan kewajaran di tempat yang sepatutnya.  Kalau diukur dengan penilaian derhaka, memang dia boleh dicampakkan dalam kategori derhaka. Masih berdegil meneruskan apa yang dilarang keluarga. 
Tetapi penentuan jodoh (sekiranya jodoh telah menyeru) adalah hak milik istimewa dirinya sebagai tuan punya diri. Sebagai manusia yang nanti akan mengorbankan keseluruhan aspek rohani dan jasmani. Menerima kesan langsung daripada lafaz ijab dan qabul yang menyatu dua hati dunia dan akhirat. Lantaran itu, tidak ada sesiapa lebih-lebih lagi emaknya yang dirasakan diktator dalam hal ini menentukannya.
Tambahan pula, di hati Nayla belum terdetik keinginan untuk memberi komitmen kepada rumahtangga biarpun Aizat beberapa kali memberikan petunjuk bersulam makna. Nayla mengabaikannya buat masa ini.
Dia mencapai alat kawalan jauh. Kecelaruan akalnya yang terganggu dengan panggilan tadi cuba disalurkan kepada History Channel yang menayangkan Pawn Stars. Kisah realiti kedai pajak gadai. Juga informasi-informasi menarik tentang barangan antik dan vintaj yang menjadikan ia siri kegemarannya di saluran  itu.   
Saluran biasa menyiarkan drama-drama realiti tidak mampu ditonton lagi kerana begitu sinonim dengan hidupnya.  Teragak hati untuk menyentuh komputer riba yang terbiar semenjak tadi. Laju tangannya menaip menyusur laman sosial. Gambar profile semasa konvokesyen masih setia di situ.  Tangannya menekan pada paparan event.
Alumni pengurusan perniagaan
Tarikh, masa bla..bla. hatinya berbunga riang. Tiba-tiba. Kesempatan menguak kembali memori zaman kampus memekar. Alam peralihan menginjak dewasa dalam cara yang tersendiri. Dia meneliti senarai bekas pelajar yang sudahpun menjanjikan kehadirannya. Nama Jijat Pijat sudahpun berada di dalam senarai.
Dada Nayla kembali senak. Puan Mariam boleh menghidu kehadiran lelaki itu di bumi semenanjung ini. Entah apa ilmu yang dipakai perempuan separuh abad itu. Atau mungkin, kerana dia memberikan kata laluan untuk akses ke akaun laman sosialnya. Dipaksa memberi! Kerana itu setiap gerak gerinya diperhati. Puan Mariam tidak melepaskan peluang menghentam Nayla seandainya terdapat bukti dia masih berhubungan dengan Aizat.
“Kau jangan ingat, kau duduk seorang di KL ni Mak tak tahu gerak geri kau. Sekilas dengar suara kaupun mak tahu kau berbohong!”
Nasihat atau lebih tepat lagi amaran itu keluar sebaik sahaja Puan Mariam melangkahkan kaki meninggalkan perkarangan kondominium yang disewanya itu. Ketika itu dia baru melapor diri di cawangan yang menjadi rumah keduanya itu.
“Jaga diri baik-baik. Jangan abaikan solat…” pesan Encik Nasir pula. Lirih. Abahnya itu  adalah anggota parti pendiam. Jika tiada keperluan, tiada suara akan kedengaran.
Berbeza dengan Puan Mariam yang tidak perlukan apa-apa pencetus untuk mengeluarkan kata. Dan, jarang perkataan yang dikeluarkan berlapik, lebih-lebih lagi pada anak gadis yang berlainan iras dengannya itu.  Berjauhan daripada keluarga merupakan merdeka kecil buat dirinya. Bertembung dengan emaknya sentiasa hari akan mencetus api kontroversi yang setiap hari akan diisi dengan agenda yang berbeza.
Terkadang, akal fikirnya bejat memikirkan apa kehendak Puan Mariam sebenarnya. Mahu dia sentiasa di depan matakah? Mahu kemahuannya yang Nayla rasakan bukan-bukan itu diikuti atau mahu Nayla terbentuk mengikut acuannya.
Dari zaman persekolahan lagi, kawan-kawannya arif dengan hati budi emaknya. Mereka hanya mampu menampakkan diri di rumah Nayla hanya pada hari raya. Terkecuali untuk kawan lelaki. Langsung tiada kompromi. Cuma Eza, anak Mak Ngahnya yang paling bongsu mampu bertahan leteran emak dan akan menjadi penyampai setia buat Nayla. Selain itu, Nil!
Dia masih menyusur laman sosial dan mesej dari Jijat Pijat terpapar.
Harap awak ada masa alumni nanti
Tengoklah
Jangan tengok-tengok. Jauh saya terbang semata-mata nak jumpa awak
Saya tak pasti samada saya lapang atau tidak. Kalau saya diperintahkan balik kampung pada tarikh tu, saya tak boleh buat apa-apa
Sengaja dia menyakat lelaki yang setakat ini berada di sudut hati yang paling sipi. Kali terakhir dia menjejak kaki ke kampung adalah raya tahun lepas. Jika dia rindukan abahnya, hanya melalui talian mereka berhubung. Untuk berdepan dengan Puan Mariam, Nayla masih belum bersedia selepas insiden di bank tahun lepas.
Please, sayang… I really miss you…
Yarkh! Don’t use that word…
Saya rasa patut
Tak perlu…
Nayla menekan log out dan membiarkan perbualan itu tergantung di situ. Gementar, resah, riang bergulat dalam diri. Nayla tidak mahu membayangkan mimpi ngeri di depannya seandainya dia membiarkan perasaannya hanyut.
“Which words yang awak menyampah…?”
Suara Aizat kedengaran merayu dalam malam yang semakin dingin. Nayla menghenyak tubuh di sofa. Dia tahu Aizat akan menggunakan sepenuh talian yang ada untuk terus mengurai kekusutan hatinya.
“Sayang…, Saya memang sayangkan awak. Miss you! saya memang rindukan awak”
“Awak tak faham Zat!”
Nayla menghela nafas. Segala-galanya ini tak akan ke mana-mana. Kalau Aizat mengistilahkan ini sebagai percintaan, percintaan ini tidak akan berakhir dengan indahnya gerbang perkahwinan.
“Awak yang tak pernah nak bagi saya faham!”
 “Bukan saya…”
“Habis tu..siapa. awak ada orang lain ye? Yang lebih handsome dari saya? Yang lebih kaya dari saya? Kenapa tak cakap dari dulu. Kenapa berdolak-dalik?”
Terdengar talian di corong sana dimatikan. Nayla terperosok di dalam timbunan kusyen penghias sofa. Merajuklah pulak!




3
“Ma tak menangis masa tinggalkan kau kat sini?”
“Mahunya tak! Macam Neng Yatimah!” Sela Eza sambil mengunyah kudapan yang terlantar di depannya di atas meja kopi di ruang tamu.
Nayla memburaikan ketawa. Faham benar yang Puan Mariam memang bintang air mata.
Selepas ini tiada lagi pengintip bertauliah di laman sosialnya. Tiada lagi ‘Mariam’s Angel’ kerana Eza yang diharapkan selalu untuk mengaksesnya sudahpun bersama-sama Nayla di Kuala Lumpur.
“Ibu kau?” Nayla bertanya merujuk kepada ibu Eza.
“Ibu ok. Dia tahu anak daranya ni macam mana!” Eza menunjuk ke arah dadanya.
“Hah! Kau dah tinggal kat KL ni jangan lepas laku. Kalau kau tak nak kerja, tak apa. Tapi rumah ni kau kena kemas.  Kau tahu aku punya undeng-undeng kan?” Tegas Nayla.
“Baik buk…” Eza mengangguk- angguk bagai burung belatuk menjawab di dalam slanga Indonesia. Beg pakaian bersaiz sederhananya masih tersadai di depan pintu.
Eza yang baru selesai SPM sudah lama berkeinginan tinggal bersama-sama Nayla. Puan Mariam yang tidak membenarkan. Bukan ibunya. Kehidupan Eza banyak ditentukan oleh Puan Mariam biarpun Eza cuma anak saudaranya. Puan Jamilah  pula bukan jenis saudara yang berkira lebih-lebih lagi dengan kakaknya.
“Macam mana training kau?”
Training apa?”
“Aik… kau kata tak boleh tunggu aku kat rumah. Ada training….ooh! kau tipu Ma eh?”
Eza menggoyang-goyangkan jari telunjuknya.Ma merujuk kepada Puan Mariam dan Ibu adalah gelaran untuk ibunya sendiri.  Nayla memang keras hati! Kalau dah tak suka, tiada apa yang boleh mengubahnya. Getus hati Eza. Nayla menyimpul sila di atas sofa sambil senyum meleret. Matanya tertancap pada bungkusan di atas meja.  Eza mampir ke meja bulat itu, membuka bungkusan itu dan pantas tangannya menghidang. Azan Isyak berkumandang dari surau berhampiran.
“Owh.. ada masjid kat sini.. jauh tak?”  Eza berteka-teka. Membanding suasana islami di kampung dengan di kota. Mulutnya laju mencicip santapan yang masih di dalam bekas plastik.
“Surau aja. Kat blok sebelah. Apa tu?”
Nayla tidak dapat menolak sabar. Tetapi masih berdegil untuk berganjak dari sofa.
“Ma bekalkan untuk kau. Masakan kegemaran kau!”
“Ma? Bekalkan untuk aku? Pelik ni! Selama ni kalau aku balik kampung, aku disambut dengan gulai “leter dan ancaman”. Tak naklah!” Eza ketawa mendengar istilah ‘gulai leter dan ancaman’ itu.
“Sedap apa gulai ‘leter dan ancaman’ Ma tu. Mengada-ngadalah kau. Apasal pulak kau tak nak?”
“Mana tahu dia dah mandrem lauk tu…tak pasal-pasal aku dapat bengong percuma…”
“Ya Allah! Apa punya busuk hati perut kau ni…?” Eza membesarkan biji mata tanpa lupa menyuapkan ayam masak merah ke dalam mulut lebarnya.
“Bukan busuk. berjaga-jaga!” Nayla membela diri.
“Takkanlah Ma sanggup buat macam tu?”
“Kau kenal Ma 18 tahun.  Aku kenal dia lebih sepuluh tahun dari engkau!. Aku tahu mak aku, Eza!”
“Kot ya kalau dia mandrem kau pun kalau kau baca doa makan, agak-agak syaitan beserta tak?”
“Takpun kau tambah sikit doa mengelakkan santau yang macam Ustaz Don ajar tu…”
Nayla menelan liur. Hebat juga ustazah kecil ini.
“Kau kenal Ustaz Don tak? Aku takut kau tak kenal pulak!” Terbayang di mata Eza pendakwah muda tinggi lampai yang mempunyai pendekatan sendiri dalam menyampaikan ceramahnya.
“Kau ingat aku bodoh sangat ke?”
“Taklah bodoh. Tapi kadang-kadang sengal kau datang. Baca ayat ni bismillahillazi la yadurrumahasmihi.”
“Oh.. ini aku tahu…” potong Nayla sebelum Eza menghabiskan bacaannya.
Kan aku cakap kau ni sengal! Eza memperlahankan kunyahannya mengelakkan nasi tersembur kerana melepaskan tawa. Nayla menunjal kepala Eza sambil mencapai pinggan. Mempraktikkan apa yang diajarnya sebentar tadi. Eza menghadam penuh kosentrasi mengenangkan perutnya sudah minta diisi semenjak petang tadi.
Eza dan keluarganya tiba ketika di rumah itu waktu Dhuha. Kunci rumah Nayla ditinggalkannya pada Hanisah di bank. Jarak bank dengan rumah sewaannya lebih kurang 500 meter. Puan Mariam dan En Nasir berkira-kira menunggu hingga waktu Asar untuk berjumpa dengan Nayla. Tetapi Eza tahu Nayla memang tidak mahu bertemu muncung dengan Puan Mariam. Sebaris alasan dan persediaan pelan B seandainya alasan tersedia tidak cukup kuat diterima emaknya, sudah dirancang.
Kakak sepupunya yang berbeza warna kulit dengannya itu memang kepala batu! Yalah, manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke pinggan Arcopal Manya!. Puan Mariam dan Encik Nasir cuma ada Nayla seorang sahaja. Zuriat mereka  yang terdahulu tidak berhasil menjenguk dunia. Itupun terbias kata Nayla adalah anak angkat.
Eza pernah mendengar angin-angin menderu apabila perang dingin Puan Mariam dan Nayla mendapat liputan percuma penduduk kampung. Nayla tidaklah popular benar di kampung. Cuma dia termasuk di dalam kategori pelajar pintar dan aktif dalam ko-kurikulum dan menjadi kesayangan cikgu-cikgu. Maklum sekolah kampung, nilaian prestasi tidak dapat disama araskan dengan pencapaian pelajar sekolah bandar. Namun baik ibunya, Puan Mariam atau Nayla sendiri tidak pernah ambil pusing berkenaan khabar angin itu.
“Hujung minggu ni nak ikut aku tak?”
Tangan Nayla lincah mengemaskan meja makan. Eza sudah berada di depan sinki.
Sebaik sahaja pinggan ditatang Nayla beralih tangan, dia cepat-cepat membasuhnya. Cepat-cepat juga dia menutup tap sinki. Berlari mengambil tempat di sofa kembar sambil membanting tubuh.
“Pergi mana?”
“Alumni”
“Pak Tam ada?”
“Dia dah merajuk dengan aku!”
“Kenapa?”
“Manalah aku tahu. Kalau kau yang merajuk aku tahulah sebabnya” Nayla menjungkit bahu.
“Memang malang nasib Pak Tam tu!” Eza seorang sahaja yang memberi gelaran itu kepada Aizat.
“Apasal?”
“Dapat girlfriend alias batu alias kayu macam kau!”
“Sedap mulut kau!”
“Kau tak pernah dengar perumpamaan. Merajuk pada yang sayang. Pujuklah!”
Eh! Kau ni umur setahun jagung manis!… macam-macam benda yang kau tahu ya!”
Well… dunia tanpa sempadan. Lagipun aku budak sekolah alaf baru. Ada budak kelas akupun dah nikahpun minggu lepas. Kau ingat tak Haida anak pakcik Jamal?”
Nayla melongo.
“Adik Haideer yang kerja kat Dubai tu!”
Nayla mengangguk-angguk.
“Hah! Terlanggar lampu merah, accident. kenalah kahwin”
“Teruk ke?”
“Apa yang teruk?”
“Accident!”
“Teruk!  Dah tiga bulan bawak perut!” Eza kelihatan bersungguh-sungguh menerangkan.
Accident? La…kau ni cakap berbelit-belit. Aku ingatkan accident betul-betul!”  Eza melampias tawa. Tangannya mencapai alat kawalan jauh dan menekan siaran SBS. Menikmati drama Korea bersiri, ‘To The Beautiful You’. Terjerit dia melihat wajah Choi Min Ho terpapar di layar televisyen.
Nayla membiarkan sahaja. Diheretnya beg yang terpinggir tadi ke dalam bilik yang bersebelahan dengan biliknya. Hari ini hari yang memenatkan. Sejak pagi dia memandu keluar tanpa arah. Akhirnya dia memarkir di stesen LRT Bukit Jalil. Mengambil tren ke Kuala Lumpur. Tawaf satu Kuala Lumpur membuang masa. Cuti memang sudah dipohon seminggu yang lalu sejak Eza memberitahu dia sudah mendapat lampu hijau untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
Selesai membersih diri, dia menghumbankan tubuh ke atas tilam dengan tuala masih membalut badan. Esok harus kembali bekerja! Dia merengus bosan. Bila sesekali bosan datang itulah yang membuatkan segala-galanya menjadi tidak keruan dan dia mudah melayan amarah.
“Oi…tak senonoh betul… nasib baik aku ni normal!”
Jerit Eza melihat Nayla tertiarap atas katil di katil dengan tuala dan rambut kusut masai. Lengannya mengalas kepala. Matanya pejam.
“Dia dah tidurlah Ma!” Telefon diletakkannya kembali ke telinga.
“Betul. Dia tak buat-buat tidur. Dia pejam betul-betul. Eza tempik kuat-kuatpun dia tak sedar ni. Letih kot. Esoklah Ma telefon dia ya. Bye!”
Nayla memalingkan tubuh dan bingkas bangun. Eza duduk di bucu katil.
“Sampai bila aku ni nak jadi posmenpun aku tak tahu!”
“Sampai bila-bila!”
Nayla mencapai baju tidurnya dari dalam kabinet di hujung katil.
“Argh! Bila aku kahwin esok, aku nak ajak laki aku duduk jauh-jauh dari kau orang berdua. Masa tu kau orang dua beranak nak bertekak, bertekaklah. Aku dah tak dengar.!”
Ada ke orang nak kahwin dengan kau?”
“Aku ok apa?. Memanglah tak putih kuning macam kulit kau. Aku putih coklat! Lawa kan?” Eza melaga-lagakan lengannya dengan lengan mulus Nayla.
“Ya, kau memang lawa…kau kan adik aku!”  Nayla merangkul bahu Eza. Semarak kasih sayang berserakan. Memberi wangi pada pernafasan sillaturrahim yang sudahpun bertaut dengan pertalian darah.
“Dahlah, aku mengantuk ni. Esok nak kerja. Melainkan kau nak gantikan aku, boleh jugak!” Eza menjelir lidahnya. Melenggang pergi dan menghilang di sebalik pintu bilik. 

1 comment:

  1. My views...cite dah ada cuma kelam-kabut sket..watak yg kuar pon cam terjah2 jer..x well prepared..so ada tanda soal sape dia nih..hahah..emm..aku kene baca tul2 baru ler ooooo...camni rupenya..best of luck fren..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...