BAB LIMA (5)
“SELAMAT
datang ke Alumni Pengurusan Perniagaan 2004. Nampaknya tak banyak yang berubah. Cuma mungkin ada yang dah berkeluarga. Ada
yang merangka-rangka. Ada yang dah berjaya jauh ke depan. Apapun, kita harapkan alumni ini akan terus
menjadi penghubung antara kita. Kisah-kisah
silam dulu jadikan kenangan zaman remaja buat teladan untuk anak-anak kita
nanti.”
Suara
Zain, pengerusi alumni tenggelam timbul dalam riuhnya perjumpaan pertama yang
benar-benar menggamit rindu zaman belajar.
“Kau
masih dengan dia lagi?” Zahra, teman
sebiliknya dari semester satu hingga semester akhir, berbasa basi. Hidangan di depan mereka dihadap rakus.
“Siapa?” Nayla bertanya soalan bodoh.
“Aizatlah…”
“Buat
masa ni, aku belum jumpa orang lain.”
“Kau
tak mencari.” Protes Zahra.
“Dia
kerja kat Sabah kan ?”
Sampuk Jeslina di sebelah Zahra.
“Bukankah
hari tu aku jumpa dia dengan seorang minah
ni…sikit punya mesra berpegang tangan,” berkerut dahi Jeslina. Air muka Nayla berubah. Zahra menyigung Jeslina.
“Orang
lain agaknya.” Tukas Hafiz yang dari tadi mendiamkan diri. Suasana bingar pula dengan suara alunan lagu ‘Kaulah Kekasihku” dari kumpulan AXL.
“Sabah tu
besarlah, Jes.” Zahra membangkang untuk menyedapkan
hati.
“Iya..tapi
tempat aku,” Jeslina menekankan dan sekejap sahaja dialek kesabahannya
kedengaran.
“Kalau
ya pun apa salahnya. Aku nak harapkan
apa? Cuba
kau orang fikir? Dia dekat sana , aku kat sini.”
“Kahwinlah
cepat-cepat.” Cadang Hafiz. Garpu di tangannya tergantung.
“Aku
memang nak kahwin dengan dia. Tapi dia
tak nak kahwin dengan aku. Aku dengar
dia dah ada orang lain.” Aizat menjeling
Nayla. Tetapi kemudiannya mengangkat
keningnya memandang Hafiz. Aizat menarik
kerusi dan duduk rapat di antara Nayla dan Hafiz. Hafiz bergerak memberi ruang.
Nayla
dan Zahra berpandangan. Berkata-kata
menggunakan sepasang pancaindera itu. Kepakaran mereka berdua semenjak dulu. Hafiz bersalaman dengan Aizat. Begitu juga Jeslina dan Zahra. Nayla cuba menahan debar di dada yang semakin
mengganas. Bagaikan dara kali pertama
ditegur uda. Mulutnya terkunci rapat.
“Benar
kamu sudah ada orang lain?” Jeslina gatal mulut membuka diskusi. Hafiz membesarkan matanya menudak wjeh Jeslina.
“Sekarang
dia sudah jadi bisu,” sela Aizat.
“Janganlah
sakat dia macam tu. Kasihan dia,” bela Zahra.
Mengharapkan Nayla mencari mangga kata membuka kunci kebisuannya. Nayla sekadar
terus menikmati hidangannya.
“Bila
sampai?” Soal Hafiz.
“Petang
tadi. Ingatkan ada orang tunggu kita.” Dia mengerling Nayla. Ada
ketikanya bahu mereka bersentuhan tetapi Nayla bertindak menjauhkan diri.
Tiba-tiba Nayla bangun.
“Nak ke mana?” Zahra juga bingkas bangun.
“Ambil
air.” Nayla mengatur lenggang dalam
persalinan anggun blaus hijau muda berleher penuh dengan lengan bercekak
dipadankan dengan skirt labuh potongan lurus. Menambah feminin ialah rantai
dempak berciri moden di leher. Kasut
Wedges berona senada menambah keanggunannya.
“Cantik
kawan kita ni sekarang…untung kau. Aku
ingat masa belajar dulu. Selekeh je…” Hafiz mengangkat ibu jari. Zahra membuntuti Nayla.
“Kau
kenapa ha?” Zahra mencubit pinggan Nayla.
“Argh!
Tak pasal-pasal dia nak malukan aku kenapa?”
Setidak-tidaknya
cakap sesuatu. Pertahankan diri kau”
“Tahan
apa? Mulut dia. Dia nak bercakap…. Biarkan. Penat nanti dia berhentilah.” Nayla
memenuhkan minuman ke dalam cawannya dan cawan Zahra. Mereka sengaja mengambil jalan yang agak jauh
untuk lebih peluang berbual-bual.
“Kau
dah tak sayangkan dia? Macam masa kat kampus dulu. Macam yang kau cerita kat aku. Sampai naik muak aku dengar tiap kali kita nak
tidur?” Soal Zahra separa menjerit melawan kekuatan pembesar suara yang bagai
mahu memecahkan gegendang telinga.
“Itu
cerita budak-budak…” Nayla juga separuh menjerit.
“Atau
kau cemburu dengan kata-kata Jes tadi?”
“Sikitlah….”
“Awak,”
cuitan di lengan memeranjatkan Nayla menyebabkan air di dalam cawannya berkocak
tumpah sedikit.
Ayatnya
tidak dapat dihabiskan bila Aizat mencapai cawan tersebut. Diletakkan di atas meja dan memberi isyarat
kepada Zahra bahawa dia hendak membawa Nayla pergi jauh dari situ.
Digenggam
erat tangan yang berlengkar gelang emas selebar jari kelingking di
pergelangannya itu menuju ke tempat parkir kereta. Aizat masih tidak melepaskan pegangannya
biarpun sesekali Nayla tertinggal di belakang.
“Awak
nak buat apa suruh masuk dalam kereta pula?” Berkerut dahi gadis akhir dua
puluhan itu. Riak cemas terpancar.
“Takkanlah
saya nak buat tak senonoh. Inikan tempat awam. Lainlah kalau dalam bilik. Kita berdua je,” sela
Aizat tersenyum kambing melihat kepanikan Nayla. Itu antara tarikan Nayla yang
membuatkan dia semakin terpikat. Panik tak bertempat.
“Kenapa
dengan awak? Awak tak rindukan sayakah?” Soal Aizat sebaik sahaja kedua-dua
mereka berada di dalam kenderaan. Tempat
letak kereta kelab golf itu masih sibuk dengan kenderaan yang keluar masuk.
“Boleh
tak kita jangan cerita pasal rindu. Pasal sayang….” Pohon Nayla. Mengalih posisi tubuhnya menghadap Aizat yang
duduk di tempat pemandu. Nayla berpeluk
tubuh.
“Kenapa?
Awak dah ada yang lain?”
“Dan
….boleh tak kita jangan cakap pasal yang lain? Boleh tak kita bercakap secara
dewasa dan lihat kenyataannya,” tegas Nayla
memohon pemahaman.
“Okey.
Sekarang awak ceritakan realitinya dari pandangan awak. Saya akan dengar dan cuba fahamkan.” Aizat menghela
nafas.
“Kita
saling berjauhan. Saya tak tahu apa yang
awak buat di sana .
Awak juga tak tahu apa yang saya buat di
sini.”
“Okey. Tapi perkara ni kita dah bincang lama sebelum
saya dapat kerja di Sabah kan ?”
“Itu
dulu. Itu masa dunia sekitar kita masih kecil. Sekarang ni semuanya makin
melebar. Semakin luas, semakin besar.”
“Itu
yang saya tanyakan pada awak berkali-kali. Awak dah ada orang lain ke?”
Geleng.
“Habis
tu?”
“Entahlah
Aizat. Saya tak pasti dengan perasaan
saya sendiri.” Bolehkah aku beritahu ceritera
cinta ini tak akan ke mana kerana tiada restu orang tua. Nanti, dia akan meminta alasan kenapa orang
tuaku tidak melimpah restu.
Beribu persoalan menyerbu dan menyendat di dalam tempurung kepala Nayla di kala
ini.
“Saya
taklah kejam sangat. Kalau awak rasakan
ada orang yang lebih baik, saya terpaksa walaupun tak bersedia undur diri. Tapi
dapatkan dia menyayangi awak sebagaimana saya menyayangi awak? Tanya diri awak
sendiri.”
“Kenapa
perlu cakap tentang perkara yang tak ada?!” Nayla sedikit membentak. Senyum terukir di bibir Aizat. Bermakna dia memang masih setia.
“Macam
nilah. Saya ada di sini sampai minggu
depan. Kita jumpa ibu bapa awak. Saya
akan terus terang. Lepas tu saya hantar
emak saya untuk merisik dan kita terus bertunang. Saya tak sanggup menunggu lagi, Nayla.” Aizat
meletakkan telapak tangannya di belakang tangan Nayla. Bingkas Nayla menarik tangannya.
“Tak.
Tak boleh!!”
Kali ini Nayla
memang betul-betul panik. Sedikit
terangkat kakinya mendengar cadangan itu. Peluh kecil merecik di dahi di dalam
kedinginan pendingin udara.
“Tapi
kenapa? Sampai bila kita nak macam ni? Awak nak biarkan saya merana ya? Awak sanggup tengok saya merana?” Aizat memegang bahu Nayla dan mereka
berhadapan.
“Pandang
mata saya dan cakap terus terang apa sebenarnya masalah awak?”
Ketukan bertalu-talu
pada cermin kereta dari sebelah pemandu dan penumpang depan mengejutkan mereka.
Setiap satu suluhan menujah ke wajah mereka.
No comments:
Post a Comment