..yang bernama sahabat

Thursday, 18 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 4







BAB 4 (EMPAT)

            “SAYA tak kira.  Saya tak mahu terima apapun alasan cikgu.”  Wanita anggun yang baru sahaja menanggalkan kaca mata hitam dengan perkataan CK di bingkainya itu bersuara.  Dalam bahasa Inggeris dan dalam loghat Utara England yang sangat pekat.  Puan Pengetua sedaya upaya bersangka baik.  Membuang rasa meluatnya.
Dia melabuhkan punggungnya ke kerusi tidak berapa empuk di dalam bilik Puan Salbiah itu.  Kipas dari sutera China yang dibelinya juga di negara paksi komunis itu dikeluarkan.  Biarpun kedinginan udara dari pendingin hawa di atas kepala Puan Salbiah itu baru sahaja menyapanya.
            “Sabar, Puan.  Kes ini masih dalam siasatan.  Saya dahpun memanggil ibu bapa pelajar yang menumbuk anak Puan itu,”  Puan Pengetua yang sudah hampir pencen itu memberi penjelasan.  Kisah Wafi Ikhmal ditumbuk Zaweeya kini menjadi kisah gosip terhangat di dalam carta gosip sekolah.
            Ada yang mengatakan cinta Wafi ditolak.  Ada juga yang mengatakan sebaliknya.  Baik Puan Pengetua mahupun guru-guru lain, siasatan masih diteruskan dengan menyoal kedua-dua mangsa dan pemangsa.  Beserta saksi-saksinya sekali.  Terutama sekali gadis pingitan yang berdua itu.  Ain dan Budik.
            “Saya nak budak tu dibuang sekolah.  Kalau tak, saya akan sebarkan pada media.  Biar masyarakat di luar tahu.  Di dalam sekolah berprestij macam nipun, ada samseng.  Perempuan pulak tu!”  Gemerincing gelang emas wanita itu ikut turun naik sebagaimana tangannya juga.
            “Janganlah macam tu, Puan.  Perkara ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan pihak media.  Saya berjanji akan membuat siasatan seadil-adilnya.”  Kalut seketika Puan Salbiah yang berkaca mata itu dengan ugutan sebegitu.
            Penglibatan pihak media akan lebih memanjangkan cerita.  Mana lagi hendak dijawab dengan media.  Mana lagi hendak menyediakan laporan untuk dihantar kepada pihak atasan.
            “Saya nak jumpa budak perempuan samseng tu!  Biar saya ganyang dia!”  Wanita berkurung moden dengan tudung warna senada itu mengancam.  Puan Salbiah masih bermanis muka.  Di dalam hatinya mengutuk juga.  Berpakaian segah ini, buruk benar rupanya kalau pergi memaki hamun orang.  Dengan budak-budak.  Tidak berpadanan umur langsung.
            “Err.. maaf, Puan.  Sekarang ni proses Pembelajaran dan Pengajaran sedang berlangsung.  Saya tak boleh izinkan.  Mungkin kalau betul Puan nak bertemu dengan dia, selepas waktu sekolah.  Saya dahpun menelefon ibu bapa pelajar tu.  Sekejap lagi mereka sampai,” janji Puan Salbiah.  Wajah Puan Hidayati yang lembut dan suka berjenaka itu menggambar di ruang mata.  Dapatkah wanita itu mendepani wanita berwajah bersih tidak berseri yang bagaikan dari keturunan bangsawan ini.
            “Ya, elok juga.  Saya nak bertemu dengan ibu bapa yang tak pandai menjaga anak tu!”
            “Macamana cikgu boleh benarkan pelajar macam tu..
            “Assalamualaikum…”
            “Ha, dah sampai pun.  Encik Azhari ini ibu Wafi Ikhmal.  Pelajar yang di..er.. “
            “Tumbuk!  Atau saya boleh kata mencederakan anak saya.  Awak tak pandai jaga anakkah?  Adakah patut anak saya ditumbuknya.  Saya nak tuntut balik bil klinik daripada awak.  Saya nak saman anak awak dengan awak, awak sekali…”  Encik Azhari terpempam dengan letusan kata-kata tanpa henti bagai murai cabut ekor daripada mulut perempuan itu. 
            Encik Azhari memandang tepat ke arah Puan Salbiah.  Puan Salbiah mengerutkan dahi.  Menandakan masalah ini tidak akan selesai di sini sahaja.
            “Awak belum tahu lagi saya siapa.  Saya akan saman awak sekeluarga.  Saya nak tuntut ganti rugi kecederaan, ganti rugi teladan, awak tunggu saya di mahkamah,” wanita itu masih lagi belum mahu berhenti di dalam slanga Britishnya.
            “Assalamualaikum…”  Salam suci kesejahteraan kedengaran sekali lagi.  Disambut Encik Azhari dan Puan Salbiah.
            “Puan Hidayati, inilah ibu Wafi Ikhmal.  Pelajar yang ditumbuk Zaweeya tu,”  kali ini bicara puan pengetua yang bertubuh rendang itu tidak lagi tersekat-sekat.
            “Oh! Bawa satu angkatan bersenjata, kalian ingat saya ta..”
            “Izzie.”
            “Yatt,”  wanita itu meletakkan beg tangan Coachnya di kerusi bersebelahan Encik Azhari.
            “Yatt!”  Dia merangkul Puan Hidayati lama.  Sebelum mereka bertukar-tukar ciuman di pipi.
            “Cantiknya kau Izzie.  Kau buat apa kat sini.  Tengoklah penampilan kau… datuk mana kau dah ‘rembat’ ni?”  Kalau tadi Encik Azhari sekadar memandang tepat ke arah Puan Salbiah, sekarang mereka bertukar renungan.  Tidak mengerti apa yang berlaku.
            “Kau ingat aku papa kedana sangat nak ‘rembat’ datuk?  Aku cari yang antarabangsa tau,” perjelas Izzie sambil menarik tangan Puan Hidayati duduk di sofa tetamu berhampiran pintu masuk bilik Pengetua itu.
            “Iyakah?  Tercapai juga cita-cita kau nak dapatkan anak Pan Asian ya..”
            “Ini bukan Pan Asian lagi,  Pan Europe,”
            “Gila kau?”
            “Netherland, kau!”
            “Wah, Oranje.  Nasib baik Belanda tak menang Euro 2012 hari tu.  Kalau tak makin ‘oren’ lah kau,” giat Puan Hidayati.
            “Jap…sekejap.   Saya minta nyawa sekejap.  Kalian berdua ni siapa?  Yang awak, cik Yati.  Kita datang sini nak selesaikan masalah Zaweeya.  Bukannya nak makan buah oren bagai,”  Encik Azhari bangun dan berdiri menghadap mereka. Keliru dengan perbualan yang sepatutnya hangat dengan tuduh menuduh dan saman-menyaman itu.
            “Budak perempuan tu anak kau?”  Barulah Puan Izzie kembali ke pangkal jalan.  Setelah jauh kesesatan sehingga ke Belanda dan buah orennya.
            “Namanya Zaweeya.”  Puan Hidayati membetulkan.
            “Patutlah garang benar.  Kuah dah tumpah betul-betul dalam nasi.  Nasipun dah kena gaul betul-betul.”  Tawa berlambakan mendengar peribahasa yang dirosakkan oleh Izzie tadi.
            “Kasihan kat anak aku.  Lebam dibuat dek anak kau.  Kan dulu kita dah janji nak berbesan.  Kalau macam ni, tak sanggup aku,”  Puan Izzie berterus-terang. Ketawa masih bersisa dari bibir Puan Hidayati.
            Setelah bersalaman dengan Puan Salbiah, mereka beriringan keluar dan menuju ke kantin sekolah.  Puan Hidayati meminta izin daripada suaminya untuk meneruskan sessi kutuk-mengutuk yang terbantut semenjak puluhan tahun lamanya.
            Handsome lagi suami kau, kat mana kau orang jumpa ya?”
            “Tak payah kau nak sibuk.  Kita selesaikan hal anak-anak kita ni.” Tukas Puan Hidayati.  Membeli dua bungkus air kotak.  Dihulurkan satu kepada wanita berdarah bangsawan itu.  Mereka berdua mengambil kerusi yang paling jauh.  Bersilang kaki menyandar diri di meja kantin.  Menghadap padang sekolah yang kosong.
            “Aku rindu kat kau Yatt.”  Puan Izzie bersuara.  Jemari Puan Hidayati diraih dan digenggam erat.  Kaca mata hitam yang bertenggek di atas kepalanya tadi, disimpannya.
            “Aku rindukan zaman pengajian kita.”  Ada sebak yang tidak dibuat-buat dalam bicara itu.
            “Aku rindukan Mai, Misha, Annie, Yus, Ati, MekDa, Jalilah, Kak Long, Ina, Cipah, Erra, Zura, Noqya…”  Puan Izzie cuba mengingat.
            “Semuanya ada dalam FB aku.  Kau cari sahaja budak DSK.  Mereka semua ada kat sana…,” terang Puan Hidayati tetapi pandangannya jauh merayau membatasi padang bersebelahan lebuh raya itu.  Sudah melewati jarak dan masa. 
            “Tapi…yang aku tak faham sungguh tu, kenapa anak kau tumbuk anak aku, eh?  Wafi ada ganggu…”  Puan Izzie mengangkat telunjuknya dan meletakkan di dahi.
            “Zaweeya…”  Sekali lagi Puan Hidayati mengingatkan.  Tak berubah-ubah dengan perangai pelupanya.  Terbanglah ke langit hijau sekalipun.  Begitulah juga Izzaidah yang dikenalinya.
            “Dulu lagi aku pesan, lawan lupa ilmu, kalam.  Macam Nabi cakap.  Kalau dah tahu pelupa, lain kali bawa pen.  Tulis.  Takpun bawa marker pen.  Tulis besar-besar,” giat Puan Hidayati.  Puan Izzie tersenyum sahaja.  Sudah biasa disindir dikutuk begitu.
            “Betul ni, aku nak tanya.  Wafi ada kacau Zaweeyakah?  Kalau tak, takkan sampai dia tumbuk si Wafi tu.  Wafi tu, badan aja besar, bukan kuat manapun.  Anak manja,”  Puan Izzie mengekek ketawa sendiri.  Lucu benar terasa selepas menyebut perkataan yang akhir itu.
            “Entah.  Tak ada Zaw ceritapun.  Aku tengok dia tak ada masalah di sekolah.  Sampailah hari tu,” Puan Hidayati cuba mengingat sejelas-jelasnya.
            Dia terdengar pintu pagar dibuka tergesa-gesa dan desah nafas mencungap sebelum hilang di balik pintu bilik yang ditutup berdentum.  Curiga berenang di kolam dada.  Sangkanya pencuri atau penceroboh membawa niat tidak baik.  Tetapi, jika demikian, kenapa pula si pembawa niat pandai pula berlari naik menyembunyi diri di dalam bilik.  Disimpannya rasa hairan itu sebentar.  Sementara menyiapkan makan tengahari.
            “Makcik,  Zaw mana?”  Ketika salam sudah berjawab, kedua-dua sahabat baik anak gadis kesayangan arwah Abahnya itu masih berada di luar pintu pagar.  Seorang mencungap, seorang lagi sedang tertunduk-tunduk menekan perut.  Dahi masing-masing berkerut.  Peluh merenik di wajah.  Tudung masing-masing sudah muncung ke depan. 
            “Tak lama lagi ada sukan sekolahkah?  Semua orang test power lari 100 meter ni?”  Budik yang masih memaut tali beg sandangnya memandang Ain.  Sukan Sekolah?
            “Makcik ni.  Orang tengah susah hati ni.  Makcik buat lawak pula,” ujar Ain yang masih belum hilang cemasnya.
            “Masuk dulu.  Makan-makan, minum-minum dulu.  Terpacak dekat tengah panas ni nak buat apa?”  Puan Hidayati masih berdiri tegak di dalam pagar.  Kedua-duanya masih di luar.   Pintu pagar tidak dibuka.  Budik tersengih-sengih memandang ke arah kunci pintu pagar.  Ain bertindak sendiri, membuka selak kunci yang tidak bermangga.
            “Kenapa kau orang ni?  Tadi makcik tengok si Zaw berlari-lari macam kena kejar dek hantu.  Lepas tu, kau orang berdua pula?  Cuba bagi tahu makcik apa yang jadi?”  Puan Hidayati masih terus melontar kata tanpa memberi peluang kedua-dua mereka bercakap.  Air kosong dituangkan ke dalam cawan yang berada di depan kedua-dua gadis sunti itu.
            “Air kosong ajakah, Makcik?”  Budik yang lurus dan selamba itu bertanya.  Ain menyigungnya. Aroma masakan wanita yang lebih kurang sebaya dengan ibu mereka itu menyerak di ruang dapur.
            “Nak milo ke teh?  Nanti makcik buat.”  Tidak pasti kata-kata itu bergurau atau bersungguh, tetapi Puan Hidayati sudah mencapai mug baru.
            “Eh, makcik, makcik.  Tak payah.  Kami bergurau aja.  Sebenarnya kami nak beritahu fasal Zaw ni,” tolak Ain dengan baik.  Puan Hidayati berpaling dan mendekati meja makan.  Duduk di depan mereka.
            “Tadi, kat sekolah. Zaw…dia...,”Ain tidak sanggup menghabiskan ayat.
            “Zaw… Zaw…,” si penyelamat, Budik, juga gagal menghabiskan ayat.  Bimbang dimarah Zaw satu hal.  Kebimbangan lain yang bukan-bukan juga menyebabkan dia teragak-agak memberitahu.
            “Zaw buat apa?  Zaw pukul kamu berdua?”  Teka Puan Hidayati.  Pernah melihat anaknya itu berlaku kasar terhadap Budik dan Ain.  Dipesan pada Zaw sungguh-sungguh.  Kalau tersinggung mereka berdua dengan perbuatannya, bermakna dia akan kehilangan kawan baik.  Yang betul-betul baik.
            “Zaw tak pukul kami.  Dia pukul orang lain,” Ain merendahkan pandangan.  Meminta bantuan Budik untuk menyambung.  Puan Hidayati sudah melopong.  Bulat matanya mendengar kenyataan itu.  Terasa satu daripada empat kaki kerusi yang menampung beratnya sudah patah.
            “Dia pukul siapa?  Zaw!  Zaw!  Turun!”  Nada panggilan itu sudah mendaki bukit.  Zaw yang menekup muka dengan bantal dengan tubuh masih ketar, tersentak.  Alamak!  Ular Saktimuna dan Naga Tasik Bera sudah berpadu tenaga.
            “Wafi.” Budik menjawab perlahan.
            “Siapa?”
            “Wafi Ikhmal.”  Budik menguatkan suara.
            “Budak lelaki?  Dia pukul macam mana?  Terukkah?  Zaw! Turun sekarang.  Mama nak cakap!”  Puan Hidayati bercekak pinggang.  Berdiri di mata tangga paling akhir.
            “Zaw tak pukul.  Zaw tertumbuk,” akui Zaw.  Melihat saksi pendakwa sudah berada di kandang masing-masing.  Hendak dimarahpun tidak boleh.  Memang mereka menyaksikannya.  Daripada tahu daripada khabar angin yang telah ditokok tambah, lebih baik dia dan saksi-saksi matanya itu mengaku.
            “Tertumbuk?  Macam mana boleh tertumbuk?  Zaw, Zaw.  Kalau mak ayah dia report polis macam mana?  Zaw boleh kena tangkap tahu.  Boleh masuk jel.  Zaw tahu tak…?”  Puan Hidayati sudah mundar-mandir.  Matanya meliar mencari sesuatu.
            “Zaw tak sengaja, Mama.”  Zaweeya sudah mula merebek.  Air mata murah sahaja keluar tanpa perlu paksaan.  Mendengar perkataan ‘kena tangkap’ dan ‘masuk jel’ begitu menggerunkan. Zaweeya berdiri di sebelah Budik.
            “Hello..Abang..”          
            “Kenapa kau tumbuk dia?”  Ain dan Budik memusatkan fokus kepada Zaweeya.  Sementara Puan Hidayati sibuk bercakap di telefon dengan suaminya.  Zaweeya tidak ketahuan hala.  Sekejap memandang mamanya.  Sekejap memandang mereka.
            “Mana aku tahu, aku tak sengaja!”  Zaw cuba membela diri.  Sebaik sahaja merasa ada sentuhan yang tidak disenangi, tindakan refleksi itu terjadi sendiri.  Manalah tahu, responnya begitu agresif.
            “Tak tahu, tak tahu.  Lain kali buat sesuatu, fikir dulu.  Seribu kali kau menyampah dengan budak Belanda tu, takkanlah sampai nak tumbuk dia.  Kalau patah hidung dia?  Cacat seumur hidup macam mana?”  Ain menokok tambah menakutkan Zaweeya.
            “Hidung dia berdarah tadi,” terang Budik pula.  Langsung tidak memberi sokongan moral kepada Zaw di dalam keadaan dia semakin panik sekarang.
            “Habis, aku nak buat apa ni?”  Soal Zaw semula.
            “Buat bodohlah!”  jawab Ain dan Budik hampir serentak.  Memburai ketawa, bagaikan semuanya satu lelucon.  Apabila Puan Hidayati menghampiri, bagaikan dipetik suis, ketawa mereka mati.
            “Mama dah telefon Papa.  Nanti Papa telefon Pengetua,” Puan Hidayati bersuara lirih.  Wajahnya dilitup buram.  Perkhabaran itu bagaikan satu hentaman keras menghentak batu jemala.
            “Sekarang, beritahu Mama.  Kenapa Zaw tumbuk dia?”

            “KATANYA Wafi pernah menyakitkan hati dia.  Sakit sangat.  Bila aku tanya Wafi buat macam mana, dia tak mahu cakap.”  Puan Izzie mengangguk-angguk.  
            “Wafi tolak cinta dia kot? Anak teruna aku tu, banyak benar peminatnya.  Kadang-kadang, akupun naik rimas. Faham-faham ajalah Pan Europe.  Manalah tahu, Zaweeya tu cuma mengintai dari tirai kamar…”  Puan Izzie cuba membuat tafsiran.
            “Kau nak cakap anak aku gedik benarkah?  Tergila-gilakan anak kau?  Itu maksud kau?”  Puan Hidayati sedikit hangat mendengar penafsiran tadi.
            “Tak.  Kau jangan salah sangka.  Ingat tak masa aku tergila-gilakan Peter dulu.  Dia tak pandang akupun.  Boleh pula dia berdating dengan kawan kita, Gan.  Bengangnya aku.  Itulah maksud aku.”  Puan Izzie pantas menerangkan agar sahabatnya itu tidak tersalah sangka.
            “Taklah aku rasa.  Aku tengok Zaw ni pandang lelaki dengan pandangan yang tepu.  Tak ada rasa.  Tapi, anak kau memang jejaka idaman Malayakah?  Nanti kau tunjukkan kat aku.  Nak juga aku tengok bakal menantu aku,”  Puan Hidayati tergelak besar selepas mengucapkan kata-kata itu.  Dia bangun membuang bekas air kotak tidak bersisa lagi. 
            Kan aku cakap Pan Europe,” tegas Puan Izzie.
            “Betul ni?”
            “Wafi Ikhmal Arie Glas.”  Puan Izzie menyebut nama penuh Wafi.  Ada sedikit rasa rindu lebih menggurit berbanding rasa bangga ketika menyebut nama keluarga suaminya itu.
            “Non muslimkah?”  Puan Hidayati bertanya terus.  Dengan sahabat ini, tiada lapik kata berselindung makna.
            “Kau ingat aku terdesak sangatkah?  Tak sanggup aku buang agama semata-mata nak kahwin dengan orang asing.”
            “Apa nama Islam suami kau?”
            “Entah.  Akupun dah tak ingat.  Kami guna masa nak kahwin aja dulu.  Lagipun apa ada pada nama, Yatt.  Kalau nama berbunyi Islam tapi tabiat mengalahkan zionis, kau rasa ada fungsi nama Islam tu?”
            “Kat mana dia sekarang?”  Puan Hidayati mengerling jam di tangannya.  Waktu sudah menghampiri waktu rehat.  Diajaknya Puan Izzie untuk meninggalkan kantin.  Mereka meneruskan perbualan sambil berjalan kaki menuju ke tempat letak kereta pelawat sekolah.
            Puan Salbiah cuma memerhati dari jauh.  Mengharapkan semuanya selesai dengan baik.  Diam-diam dia merafakkan syukur kerana kejutan Allah ini memberi manfaat kepada kesemua yang terlibat.  Dia melihat keakraban kedua-dua ibu pelajarnya itu.  Zaweeya dan Wafi.  Menanti berita gembira pemberitahuan bahawa Zaweeya dan Wafi sudah berdamai.
            “Edward?  Dekat Herleenlah.”  Puan Izzie bersuara.  Tetapi wajahnya memalis.  Seakan-akan tidak mahu Puan Hidayati membaca riak wajahnya yang bertukar.
            Ada apa-apa yang tak kenakah?”
            “Tak ada.”
            “Jangan tipu aku.”
            “Betul.  Eddy bukan warganegara.  Setahun sekali sahaja dia datang ke sini, atau aku pergi ke sana?”
            “Berapa orang suami kau ni?” 
            “Hei!”  Satu cubitan sampai ke pinggang Puan Hidayati.  Kedua-duanya menjerit serentak.
            “Edward itulah.  Nama pendeknya Eddy.  Macam kau.  Hidayati.  Aku panggil Yatt.”  Memburai lagi ketawa mereka.
            “Anak-anak kita ni macam mana?” tanya Puan Izzie setelah berjeda.
            “Kau nak saman akukah?”
            “Saman tetap saman.”
            “Mana boleh!”
            “Aku nak tuntut ganti rugi.  Bil klinik.  Caj tambahan untuk Bibik aku tengok-tengokkan dia di rumah.  Saman malu.  Ganti rugi teladan.  Lepas tu, aku nak minta anak kau minta maaf kat anak aku dalam surat khabar.  Muka depan. Pendekata, aku nak saman sampai kau papa kedanalah!”
            “Melampau tu,”ujar Puan Hidayati, kesal.
            “Hari minggu ni, aku hantar surat saman.  Syaratnya. Kau kena masak sedap-sedap.  Kalau boleh masakan kampung.  Gulai rebung dengan udangkah.  Atau sayur keladi masak asamkah.  Takpun ikan sungai goreng cecah peda, okey?”
            “Itu lagi melampau!  Mana aku nak cari ikan sungai kat tengah-tengah pekan KL ni?  Lainlah kalau arwah Abah aku ada.  Boleh aku telefon suruh cari?”
            “Abah kau dah tak ada?”  mata sayu Puan Izzie mengiringi salam takziah.  Puan Hidayati menggeleng.  Menyebut sahaja sudah mahu mengalirkan air mata.  Manatah lagi kalau dibuka ikatan memori yang semakin kukuh tersimpan di dalam hati.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...