..yang bernama sahabat

Tuesday, 16 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 2



 

BAB DUA (2)

            “PAPA!”  tempikan Zakeeya nyaring kedengaran dari tingkat bawah.  Serentak itu kedengaran juga deraian kaca dan sesuatu sedang berlanggaran di antara satu sama lain.  Azhari bingkas bangun dan turun mendatangi ruang dapur yang terang benderang.

            “Keeya dengar ada orang dalam bilik tu..” Keeya menunjuk ke arah bilik stor bersebelahan ruang dapur.  Suaranya separuh berbisik walaupun sebentar tadi dia bertempik sekuat-kuat hati.

            Mama mereka terlambat datang setelah mengejutkan Zaweeya yang tidak mahu terjaga.  Jenuh ditampar pipi dan ditariknya kaki, tetapi Zaweeya tetap tidak mahu terjaga.  Agaknya, cuma siren bomba sahaja yang boleh membangunkan dia di awal pagi bolong ini.  Hidayati teringatkan zaman pengajiannya dulu. 

Exco Asrama mengadakan latihan kebakaran pada jam dua pagi, lebih kurang.  Kesemua penghuni asrama diarahkan berkumpul di gelanggang bola tampar di depan asrama.  Selesai taklimat, ketika semua penghuni sudah mahu kembali ke bilik masing-masing, barulah teman nan seorang ini terkocoh-kocoh bangun.

“Kalau asrama ni betul-betul terbakar, dah lama awak rentung,” selar warden.
Sedang teman-teman yang lain menahan sakit perut memburai tawa di pagi hari. 

 Azhari mencapai batang mop dan perlahan-lahan mendekati bilik itu.  Dipulas-pulasnya tombol pintu, tetapi bilik itu berkunci.  Diarahkan isterinya untuk mendapatkan kunci bilik yang dilonggokkan sekali dengan kunci pintu utama.  Hidayati menonong ke ruang tamu tanpa membuka lampu.
           
Tidak lama kedengaran jeritan kecil perempuan yang bakal mencecah empat angka tidak lama lagi itu.  Terjatuh kerana terlanggar meja kecil di tepi dinding.  Zakeeya mendapatkan Mamanya sambil membuka lampu.  Encik Azhari menggeleng-geleng mendengar suara Mama yang mengaduh, mendekati telinganya.
           
“Saya suruh ambil kunci aja, bukannya panggil ambulan.  Kenapa awak kelam kabut sangat?”  Tanya Azhari separuh berbisik.  Hidayati  cuma membisu.
           
Lelaki itu memulas tombol pintu perlahan-lahan.  Berhati-hati juga dia meraba suis lampu di tepi dinding bersebelahan pintu.  Sebaik sahaja pintu dibuka, berlarian beberapa ekor tikus ketaktahuan hala.  Ada juga yang cuba memanjat tingkap dan cuba mencari jalan keluar.  Yang lain menghilangkan diri di sebalik timbunan kertas dan barang-barang yang berselerak.
           
Cebisan-cebisan kertas hasil gigitannya bertaburan menyerak.  Ditambah lagi bau hamis hasil kumuhannya.  Hidayati tidak jadi untuk meninjau sama.  Mendengar decitan anak-anak tikus itu sahaja menyebabkan dia geli-geleman.  Papanya mengitar pandang sekitar bilik.  Bimbang ada binatang berbahaya lain berumahtangga di dalam bilik kecil itu.  Menara majalah dan buku-buku lama di tepi dinding serta di dalam almari usang itu menjadi kediaman yang paling nyaman untuk binatang pengotor seperti tikus membiak.  
           
“Comelnya…”  Sela Keeya.  Dia mencangkung melihat lima ekor cindil yang kemerahan-merahan yang belum terbuka matanya.
           
“”Keeya, sudah.  Jangan dekat.  Kotor tu!”  Mamanya melarang.  Papanya juga menggamit Zakeeya.  Kencing tikus yang masih lembap adalah penyebar utama Leptospirosis.  Jangkitan bakteria yang jarang berlaku kepada manusia tetapi pernah meragut nyawa manusia di beberapa tempat di Malaysia.
           
“Keeya buat apa pagi-pagi buta, seorang-seorang kat dapur?”  Soal Azhari sambil  mengunci semula pintu bilik itu.
           
“Keeya haus, nak minum air.”
           
“Kenapa tak bawa bekas air naik ke atas, macam selalu?” tanya pula Mamanya. 
           
“Keeya dah suruh Zaw bawa sebelum tidur tadi.”  Zakeeya membela diri.  Mereka beriringan naik ke atas.  Dia sudah terlupa niat suci murninya untuk membasahkan tekak tadi.
           
“Zaw yang Keeya suruh ambil bekas air?  Nyawa dia saja yang dia tak lupa, Keeya tahu tak.”  Hidayati menghantar Keeya terus ke dalam biliknya. 
           
“Hah! Malam ni baru tikus.  Esok lusa harimaupun ada dalam bilik stor awak tu,”   Azhari sudah memulakan tazkirahnya sebelum solat sunat sepertiga malam.  Hidayati  mengunci bicara terus.  Naik ke atas katil dan menarik selimut.
           
“Awak tak payah nak buat-buat tidur.  Esok, saya nak tahu stor tu dah kemas.   Majalah-majalah lama awak tu, eloknya awak bakar aja,” cadang suaminya.
           
“Eh! Mana boleh.  Awakkan tahu.  Itu semua ada nilai sentimental pada saya.  Itukan peninggalan arwah Abah saya.”  Hidayati  bingkas menyelak selimutnya seraya berpaling kepada suaminya  yang baru duduk di birai katil.
           
“Saya tak kira sentimentalkah, instrumentalkah, black metalkah, yang saya tahu, esok bilik stor tu awak kemaskan,” tegas Azhari.
           
“Ei, gelilah!”  Sela Puan Hidayati mengenangkan anak-anak tikus yang berceretek di dalam laci buruk.  Betul-betul berdekatan dengan koleksi majalah kesayangannya.  Sebahagiannya adalah milik arwah Abah dan abang-abangnya.  Dibelikan oleh arwah Abahnya kerana dia tahu, Hidayati sangat meminati majalah itu yang kini sudah tiada di pasaran.
           
Selain itu, ia adalah kenang-kenangan zaman kecil dan zaman awal remajanya bersama keluarga.  Bersama arwah Abahnya dan abang-abangnya.  Segala momen-momen indah itu, terakam di dalam setiap helaian majalah khusus untuk pelajar yang terbit sebulan sekali pada waktu itu.
           
Setiap bulan, wang saku yang terkumpul akan dihabiskan untuk membeli majalah tersebut.  Ataupun dirayunya Abah atau abang-abangnya untuk membelikan majalah itu kerana wang sakunya tidak mencukupi.
           
“Tak payah awak nak buat muka Aisah Lima Puluh Sen, awak tu!  Saya tetap dengan keputusan saya,” suaminya itu menetapkan kata-kata.

  Sebelum ini sudah diingatkan berkali-kali kepada isterinya itu agar membuang sahaja kertas-kertas buruk itu.  Tetapi isterinya berdegil.  Dengan kehadiran tikus-tikus tadi, setidak-tidaknya alasannya bertambah kuat untuk tidak lagi melihat timbunan kertas-kertas yang dirasakan menyakitkan mata itu.
           
“Assalamualaikum..!”  Salam suci kesejahteraan itu cuma bersambut selepas dilagukan sebanyak tiga kali.  Adab berziarah, jika sudah dilaungkan salam, tiada jawapan haruslah tetamu membatalkan niatnya.  Bermakna tuan rumah belum bersedia untuk menerima tetamu.
           
“Bukankah semalam aku dah ingatkan kau?”  Soal Nur Ain Syafira melihat Zaweeya yang masih belum bersiap lagi.  Masih berseluar katuk berbunga-bunga dengan muka sememeh. 
           
“Aku tengah tolong Mama aku tadi,”  Zaweeya membela diri.

 Biarpun sebenarnya tadi dia hanya tercatuk di depan muka pintu bilik stor itu.  Mamanyalah yang terkial-kial mengutip cindil itu dan membuangnya terus ke dalam tong sampah.  Terkorban juga beberapa helai kertas-kertas peperiksaan Penilaian Darjah Limanya yang disimpannya.  Terkena darah tikus. Hampir mengalir air mata Puan Hidayati melihat api rakus memakan kertas-kertas itu.
           
“Memanglah dia menolong.  Tolong tengok!” 

Budik dan Ain terkekeh-kekeh ketawa.  Bukan sekali dua Hidayati bercerita tentang sahabat mereka yang tinggi kadar Vitamin M di dalam darahnya itu.
           
“Nak ke mana?”  Tanya pula Puan Hidayati yang baru keluar dari bilik stor.  Dihempasnya longgokan majalah dan buku-buku lama itu di luar pintu. 
           
“Hari ni kan Hari Gotong Royong Perdana, dekat sekolah,”  beritahu Budik pula.   Hidayati menepuk dahi.  Betul-betul dia terlupa.  Walhal, dia yang paling sibuk mengingatkan ahli jawatankuasa lain tentang acara itu.  Misi Menghapus Tikusnya dan menyelamatkan khazanah majalah kesayangannya menjadi agenda utamanya hari ini.
           
“Nanti Makcik telefon Pengetua.  Zaw pergilah.”  Kebenaran tanpa susah payah itu disambut senyum simpul Zaweeya yang sudah senada baunya dengan bau kencing tikus.  Tidak berjumpa air semenjak pagi. 
           
“Majalah apa ni, Makcik?”  Budiwati menyelak-nyelak salah satu naskhah majalah yang sudah kekuning-kuningan.  Terkebil-kebil matanya mengeja huruf jawi yang cuma tiga batang sahaja.  Mim Kaf Ra.  Dia menggaru-garu belakang telinganya dengan harapan Ain dapat membaca perasaannya.   Majalah sederhana nipis itu menampilkan konsep dwibahasa.  Jawi dan Rumi. 

Tetapi Ain sibuk pula dengan lambakan majalah-majalah hiburan yang berlonggokan di satu sudut.  Dicapainya satu.  Tidak sampai lima minit, ketawa besarnya sudah meletus.  Budik mendekat dengan rasa hairan yang membukit.
           
“Kau tengoklah fesyen rambut mereka.  Fesyen seluar mereka… Sapu sampah.  Majlis Perbandaran tak payah gaji orang asing kalau macam ni!” 
           
“Ini seluar bell bottom namanya.  Zaman akhir 60an. Bell bottom, rambut afro.  Semua trend masa tu,”  Hidayati menerangkan. 

Teringatkan gambar abang sulungnya di dalam studio.  Kalau mereka berkumpul adik-beradik dan mengulangkaji semua gambar-gambar itu, pasti tawa akan berlambakan Majalah-majalah itu kepunyaan bapa saudara Zaweeya.  Ada di antaranya sudah memegang gelaran haji.  Wajah-wajah popular pada era itu seperti Sharifah Ani, Noor Azizah, DJ Dave, Latif Ibrahim dan ramai lagi menghiasi majalah hiburan itu.
           
“Kalau ada kutu, macam mana nak cari, Makcik?”  Budik kembali dengan soalan kurang cerdiknya. 
           
“Bakar ajalah,”  sahut Zaweeya yang sudahpun bersiap dengan track-suit hitam dan baju t-shirt ko kurikulum hitam berjalur oren.  Teringat kisah bapa saudaranya dikejar arwah Atuk keliling kampung kerana rambut itu. 
           
“Mama jangan lupa telefon Pengetua.  Zaw tak nak menipu dengan dia.  Berdosa.  Tak mahu! Tak mahu.”  Zaweeya menggoyangkan telunjuknya. 

Hidayati ketawa kecil.  Tetapi sedikit kerisauan menapak di hati.  Amatlah tidak berpatutan apa yang dilakukan pada hari ini.  Tetapi, apakan daya, dia memang tidak sanggup melihat majalah-majalah kesayangannya itu menjadi kertas kitar semula walaupun niatnya suci untuk menyelamatkan alam semesta. 
           
“Zaw, aku tanya sikit, boleh tak?”  Mereka berjalan beriringan menuju ke sekolah yang terletak lebih kurang 500 meter dari taman perumahan itu.  Zaweeya memandang wajah Budik yang jernih.  Kerana Budik suka tersenyum.  Sahabatnya yang berbadan kecil itu direnungnya dengan wajah hairan.
           
“Kau tahu baca Jawi tak?”  Ain yang sedang membetulkan tudungnya menoleh.  Lagu ‘Monster’ daripada BigBang yang menghentak gegendang telinganya melalui Ipod tadi diperlahankan.
           
“Kau nak masuk jawi ya?”  Tanya Ain serkap jarang tanpa tahu hujung pangkal.
           
“Oi, masuk jawi tu bersunat!  Berapa kali dia nak bersunat?”  Marah Zaw.  Tangannya menggawang-gawang di depan muka Ain.
           
“Eh, budak perempuan pun kena sunat ke?”  Ain membulaukan matanya.  Dimatikan terus lagu daripada kumpulan lima anak muda dari Semenanjung Korea itu.
           
“Takkan kau tak tahu?”  Suara Zaw yang tidak pernah perlahan itu melengking.
           
“Manalah dia nak tahu.  Masa tu dia kecil lagi,” Budik mencelah untuk membela.

 Ain yang masih terkebil-kebil mendengar kenyataan tadi.  Di matanya perlakuan sunat kanak-kanak perempuan sama seperti apa yang berlaku kepada adik lelakinya beberapa tahun yang lepas.
           
“Kalau macam tu..” Ain mengangkat jari telunjuknya.
           
“Wajib bersunat.  Mama aku kata, Rasulullah S.A.W bersabda bersunat tu termasuk di dalam lima perkara fitrah,”  potong Zaweeya.  Perbincangan itu diapungkan dari minda kerana ditimbulkan oleh Zakeeya baru-baru ini. 
           
“Aku nak tanya kau, Min-Kaf-Ra tu apa maknanya?”  Budik cuba mengingat huruf jawi yang melingkar cantik tertulis pada majalah-majalah lama yang dilihatnya sedang dikemas oleh Puan Hidayati sebentar tadi. 
           
“La..itupun kau tak tahu?”  Ain melambakkan tawanya.  Sungguh-sungguh.  Membuatkan Zaw dan Budik berpandangan di antara satu sama lain.  Tiada dialog atau aksi raja lawak di dalam pertanyaan Budik tadi.
           
“Oi, Oi,”,  Zaw mencuit bahu Ain.  Serta-merta Ain menghentikan tawanya.
           
“Sopan sikit.  Nanti, orang ingat aku dengan Budik ada saka pontianak,”  Zaweeya bersuara selamba sebelum menarik Budik jauh sedikit dari Ain.  Menghadapi sebarang kemungkinan dicubit atau ditampar.  Ain menarik muka.
           
“Apa yang lawak sangat dengan soalan aku tadi?”  Wajah sekolah dengan beberapa blok bangunan bercat warna peach berada di depan mereka tadi.
           
“Tak.. aku tak sangka kau bersungguh-sungguh nak tahu,”  perjelas Ain mengenai rasional ketawanya yang ala-ala pontianak harum sundal malam itu.
           
“Tulisan jawi tu kan milik orang Melayu.  Unik.  Orang India ada tulisan Tamil mereka.   Orang Cinapun ada tulisan Cina mereka.  Orang Korea bangga dengan Hangul mereka.  Kau tak ingat masa Jhing Ee dengan Wei Lee mengutuk kita dalam kelas dulu.  Dia orang tulis dalam bahasa Cina,”   Di mata Ain tergambar wajah Jhing Ee yang ada iras-iras Rainie Yang. 

Berambut lurus berbadan tinggi lampai.  Selalu bertekak dengannya tetapi sekejap sahaja berbaik semula.  Mereka sering kutuk mengutuk dengan bahasa yang tidak wajar, tetapi sebagai rakan sekelas, mereka sangat terbuka.  Kadang-kadang, dia diajar bahasa Hokkien yang mudah-mudah dan ayat-ayat yang ringkas.  

Sebab itu, apabila terdapat aktiviti kelas, jarang kelas mereka kekurangan ahli.  Kesemua mereka memberi sokongan.  Kedua-duanya terhangguk-hangguk bagai belatuk dipaksa mematuk oleh Zaweeya. 


“Okey, tapi Mim-Kaf-Ra tu apa?”  tanya Budik lagi, tidak sabar.  Perlahan-lahan mereka mendekati kelompok kelas mereka yang becok-becok mulut pelajarnya.

“Mim tu sama dengan M.  Kaf tu huruf ruminya K.  Ra untuk..”

“R,”  jawab Budik.  Bosan.  Terpaksa melalui jalan yang panjang untuk mengetahui sepotong ayat jawi tadi.

“M, K,  R, apa bunyinya kawan-kawan?”  Ain mengambilalih tugas mengajar.

“Mkr?  Makar.  Mekar?”  Ain dengan Zaw bertepuk tangan.

  Berjaya menamatkan teka silangkata yang menyesakkan minda semenjak tadi.  Mereka bertiga bergerak mengikut teman-teman lain yang sudah diagih-agihkan tugas oleh guru bertugas tadi.  Mereka diarahkan membersihkan kawasan laluan pejalan kaki yang diteduhi pokok besar di bahagian tepi sekolah. 

Mereka yang teruja, sudah bersedia dengan senjata masing-masing.  Zaw dengan pencakar sampah.  Ain dengan plastik sampah hitam dan Budik dengan penyapu.  Zaw sudah menyingsing kaki seluar treknya.  Bekerja di bawah teduhan pokok adalah satu bonus dan sangat dicemburui rakan-rakan lain.

“Kenapa kau dengan Mama kau berkemas?  Kau orang nak pindahkah?”  tanya Ain melekatkan fon telinganya. 

“Tak, malam tadi Keeya jumpa tikus dengan cindil.  Papa naik angin.  Papa suruh Mama buang semua majalah-majalah lama tu.  Tu yang Mama ajak aku tolong.  Nasib baik kau orang datang…”

“Heei.. gelinya aku dengar,” Budik mengeliang-ngeliotkan badannya.  Bagaikan anak-anak tikus sebesar ibu jari itu hendak disuapkan ke dalam mulutnya.

“Oi, ni siapa punya jari tercicir ni?”  Satu jeritan di belakang mereka membuatkan ketiga-tiga mereka menoleh.  Pelajar-pelajar lain yang berserakan dengan tanggungjawab masing-masing menoleh.  Ada yang ketawa.  Ada juga yang tidak peduli.  Meneruskan tugasan masing-masing.

“Kau punyalah!” sigung Budik. 

Zaweeya menarik pencakar sampah di tangannya.  Sudah tinggal batangnya sahaja.  Jarinya yang berwarna hijau terletak elok di atas jalan di hujung kaki sang pembesar suara itu tadi.  Patutlah tadi ada bunyi bising pencakar mencecah jalan tar dan kemudian senyap sahaja.  Pencakar sampah itu diheretnya sahaja.  Kalau di rumah, pasti sudah menerima tempikan naga Tasik Bera!

Lambat-lambat, Zaw mendekati empunya suara tadi.  Ditolaknya Budik supaya mengambilnya.  Budik tidak mahu.  Ditariknya Ain, Ain juga tidak mahu.  Menunjukkan plastik nipis berwarna hitam.  Bermakna dia sudah bertanggungjawab ke atas sampah-sampah yang akan dimasukkan ke dalam plastik itu nanti.  Tanggungjawab Zaweeya adalah terhadap pencakar sampah berwarna hijau yang terlantar di hujung kaki pelajar lelaki itu.

“Lain kali berborak lagi sampai tak ingat dunia.  Tu nasib baik pencakar sampah.  Lain kali, kalau dah beranak, anakpun tinggal,”  sindir pelajar lelaki berkulit putih kemerah-merahan bertubuh sederhana itu.  Dia bercekak pinggang.  Rambut potongan rugged tegak mencacak bagai menjolok langit.  Dia tersenyum.  Zaweeya mendengus.

“Suka hati akulah.  Aku tak susahkan kaupun kan.  Kau sibuk kenapa?”  Zaweeya menunduk mencapai plastik pencakar itu sebelum cepat-cepat berundur.  Wajahnya masam sungguh.  Menyampah.  Benci.  Aku memang tak boleh tengok muka dia!  Aku memang tak boleh mendengar suara dia!

“Kau kenapa hah?  Aku cakap elok-elok.  Kau tak puas hati dengan aku kenapa?” 

Zaweeya cuma mengangkat tangan tanpa menoleh.  Membiarkan soalan itu terlantun-lantun.  Ain dengan Budik berpandangan.  Tetapi tidak mahu melontarkan komen.  Wajah tercekik asam paya itu cukup untuk mengisyaratkan bahawa Zaweeya tidak mahu ditanya apa-apa tentang insiden tadi.

Pengalaman tidak ditegur selama seminggu oleh Zaweeya cukup menyiksakan.  Puncanya,  pelajar kelas Perdagangan yang menegur Zaweeya tadi itulah.  Ain sekadar bergurau.  Tambahan pula, usik-mengusik itu memang makanan mereka.  Tiada niat lain selain dari itu.  Tetapi bagi Zaweeya dia membuat paduk besar.  Nyata kebenciannya kepada pelajar lelaki itu bukan dibuat-buat.  Menyebut nama di hadapannya pun tidak dibenarkan.

Budik pula yang sibuk menjadi orang tengah.  Menjadi tukang hantar kata.  Tukang hantar surat.  Zaweeya terus beku.  Tetapi, orang tengah yang memang selalu duduk di tengah di antara kedua gadis tinggi lampai ini, tidak mampu melaksanakan tugasnya.  Nur Ain Syafira Mohd Faizal, si putih gebu berusaha berbagai-bagai cara.  Zaweeya Azhari, si kuning langsat, langsung tak makan dek pujukan.

“Kau ada telefon dia tak?”

“Dia tak jawab,”  Ain menjawab dengan muka sayu.

“Mesej?”

Geleng.

            “Apa kata kau tweet dia?”  Budik memetik ibu jari. 

Mentol sebesar lampu tidur bergentayangan di atas kepala.

Geleng.  Budik mengeluh.

            “Hah, macam ni…”  Budik menarik tudung Ain. 

Senget tudung yang putih itu dibuatnya. Jahitan sempadan dagu sudah naik ke pipi.  Tudung itupun tertarik ke depan.  Nyaris tidak tertanggal.
           
    Mereka berduapun menjalankan misi memujuk.  Hari pertama, Ain tidak dapat menghantar mesej daripada laman muka bukunya kerana namanya sudah diblok oleh Zaw.  Dia menggunakan alamat muka buku Budik.  Hari ini dikongsi gambar  Zelo.  Hari kedua Woohyun dalam aksi comelnya.  Hari ketiga Chanyeol yang nakal.  Hari keempat wajah ayu Yuri dari kelompok SNSD menghuni muka bukunya.  Hari kelima, sebagai ikhtiar terakhir mereka berdua, keluarga besar SMTOWN. 
           
Petang Jumaat, usai kelas tambahan Matematik di Laman Bacaan di sekolah, Zaw mendatangi mereka sambil tersengih-sengih.  Mereka kembali bersatu dengan janji tidak mahu menganggu hak privasi membabitkan perasaan yang harus dihormati.

“Aku rasakan ‘mamat’ tu ada hati dekat Zaw, tau!”  Budik menimbulkan spekulasi.  Berhati-hati dia mencari kelibat Zaweeya.  Melihatkan Zaweeya sedang mencakar daun-daun kering,  jauh daripada mereka, dia menyambung kata.

“Tapi aku hairan dengan Zaw, kenapa Zaw jaki sangat dengan dia?”

“Manalah aku tahu.  Kau bukan tak tahu dia.  Ada perkara dia nak kongsi.  Ada perkara dia tak mahu kongsi dengan kita,” balas Ain.

“Eh! Kau ada dengar lagu Dazzling Girl tak?”  Ain menoleh ke belakang.  Mereka sedang bercangkung berhadapan.  Semenjak tadi sekadar mencabut rumput-rumput kecil di pangkal pokok bunga.  Zaweeya sudah mendekat.  Patutlah Budik menukar topik tiba-tiba sebagai siren kecemasan.

“Jom pergi kantin.  Aku hauslah,” ajak Zaweeya mengesat peluh yang merenik di dahinya.  Akibat jarang bersenam.  Baru sepuluh minit mengeluarkan peluh, sudah terjerit-jerit melayan tekak kekeringan. 


http://melayukini.net/2012/05/anak-perempuan-yang-belum-khitan/

*cindil - anak tikus
*paduk - salah
*jaki - marah

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...