“ZAW…!
Tempikan
kali kedua yang mengegar seluruh maya membangunkan Zaweeya keseluruhannya. Tiada terpisat-pisat. Tiada terpinga-pinga. Bangun dan duduk di atas katil. Dalam kiraan tiga, mama yang disayanginya itu
muncul di muka pintu. Wajahnya manis biarpun
sebentar tadi tempikan naga dari susur galur naga Tasik Bera menggegar seluruh
isi rumah dua tingkat itu.
“Kau
tak nak pergi sekolahkah? Sekarang dah
pukul berapa?”
Mama bertanya
lirih, selembut bayu pagi.
“Hari
ni hari minggu. Nanti bila kita pindah
ke Kelantan, baru Mama kejut ya,”
ujar Zaweeya tersengih-sengih. Mama tidak menjawab dan terus sahaja keluar dari bilik. Tidak lama kemudian, Mama masuk semula. Kalendar ehsan sebuah bank yang diterimanya awal tahun lalu dicampakkan di atas katil. Zaweeya mengelak lagak pesilat yang kehilangan bunga. Hampir mahu melatah.
ujar Zaweeya tersengih-sengih. Mama tidak menjawab dan terus sahaja keluar dari bilik. Tidak lama kemudian, Mama masuk semula. Kalendar ehsan sebuah bank yang diterimanya awal tahun lalu dicampakkan di atas katil. Zaweeya mengelak lagak pesilat yang kehilangan bunga. Hampir mahu melatah.
“Memang
hari minggu. Tapi tiga hari yang
lepas.”
Telunjuk
Mama lurus ke arah tarikh hari ini.
Zaweeya tahu fiil Mamanya. Selagi
dia tidak berganjak dari katil bujang itu, selagi itu mamanya akan bercekak
pinggang di situ. Malas-malas, dia
bangun juga. Kenapalah setiap hari perlu
ke sekolah. Kenapa tidak diselang sehari
sekalikah. Sebulan sekalikah. Lebih baik lagi setahun sekali!
Sebaik
sahaja dia keluar dari bilik air, sangkanya tentulah mama sudahpun turun ke
bawah. Menyanyi-nyanyi menyiapkan
sarapan pagi. Mama memang suka menyanyi
di dapur. Sebab itulah dapat suami
tua. Empat tahun lebih tua. Papa sahaja yang tidak suka Mama menyanyi di
dapur. Kerana menurut Papa, dia tidak
dapat membezakan sama ada Mama menyanyi atau menangis!
Tetapi,
rupa-rupanya mamanya masih lagi tegak bak patung cendana berhampiran katilnya. Mama bersandar di dinding berwarna biru muda
yang tidak pernah ditukar catnya semenjak mereka berpindah masuk ke rumah itu.
“Apa
lagi, Mama?”
“Mama
paling pantang kalau orang bangun dari tidur terus buat kerja lain. Tempat tidur tu kemas dulu. Selimut tu lipat elok-elok. Bantal tu letakkan di tempatnya. Kau tu perempuan. Nanti dah…”
Zaweeya
terasa hendak berpusing semula masuk ke dalam bilik air. Biarlah dia mendengar suara curahan air
daripada mendengar syarahan perdana Mama.
Dikuatkan atau diperlahankan, lebih berirama. Berbanding bebelan Mama yang tidak
berlagu. Mendatar sahaja.
“Mama
bagi masa sepuluh minit. Bersiap dan
kemaskan katil ni,”
Mama
membawa tubuhnya yang sedikit berisi itu hilang dari pandangan mata
Zaweeya. Biarpun dia cuma berjalan kaki
ke sekolah, Mama memang tidak gemar dia kelewatan. Tidak mahu dianggap mengambil kesempatan
kerana lokasi yang berhampiran. Lagi
pula, Mamanya salah seorang ahli jawatankuasa tertinggi PIBG sekolah. Bila-bila masa Mamanya akan muncul ‘melawat
kawasan’ dan bermesra-mesraan dengan para guru yang sememangnya tidak berapa
mesra dengan Zaweeya.
“Duit
belanja, Mama?”
Zaweeya
mencapai begnya. Jam sudah bergerak
menghampiri waktu persekolahan. Kalau
dia terlambat, alamatnya wajah pujaan hati yang sangat dibencinya akan muncul
dan memberi salam.
Mama
menghulurkan bekas makanan berwarna hijau dan sebotol bekas air mineral
berwarna merah jambu. Mata Zaweeya
terbelalak. Sudah bertahun-tahun dia
meninggalkan tradisi membawa bekal ke sekolah.
Tambahan pula dia memakai kain sekolah berwarna biru muda, bukan biru
tua, seperti adiknya Zakeeya.
Zaweeya
tidak dapat membayangkan betapa sakitnya hati digelakkan oleh Ain dan
Budik. Dua sahabat baiknya pemunya nama
Nur Ain Syafira dan Budiwati. Peluang
mengetawakan dirinya bukan selalu datang.
Memang sangat ditunggu-tunggu.
Dia tahu, niat mereka sekadar bergurau.
Tetapi, kadangkala gurauan mereka sangat menyakitkan hati dan mata. Ditambah dengan ketawa yang boleh
menerbangkan gagak yang sedang bertenggek di atas pokok di depan sekolah!
Kalau
diikutkan, makanan di kantin sekolah juga tidak menarik benar. Mengunyah bihunnya terasa mengunyah getah
gelang. Menelan mee gorengnya terasa
menelan jadam. Nasi lemaknya bagai
dimasak di negara yang tidak pernah ditumbuhi pokok kelapa. Minta ditambah ikan bilis ataupun kacang
goreng, perlu membayar surcaj 50sen, biarpun tambahannya sekadar dua jari budak
tadika.
“Bawa
ajalah ke sekolah. Kalau Zaw tak mahu
makan, sedekah kat kawan-kawan lain. Bukan
senang mereka nak rasa air tangan Mama ni.
Keeyapun bawa bekal lebih hari ni.
Tapi belanja sekolah tetap ini sahaja,”
Mama meletakkan tiga keping wang kertas berwarna biru di atas meja
makan. Tampang wajah Zaweeya terus
kelat.
“Kau
dah makan sarapan. Bekal ni sekadar
mengalas perut sementara menunggu makan tengahari. Kau nak duit belanja banyak-banyak buat
apa? Zaman Mama sekolah dulu, Atuk bagi
belanja 50 sen aja, tahu? Ada kawan-kawan Mama hanya
bawa 20 sen aja…cubalah belajar bersyukur.”
Zaweeya
mencapai begnya cepat-cepat sebelum Mama menyambung hikayat Jula Juli Bintang
Sepuluhnya. Diambilnya juga bekas
berwarna hijau hadiah percuma membeli mee segera itu dan dimasukkan ke dalam
beg. Kalau dia terlambat, dia bakal
mendengar pengkisahan hikayat dari penglipurlara yang paling dibencinya. Diciumnya tangan dan pipi Mama sambil
membiarkan pesan-pesan Mama berbaur dengan senandung ceria pagi di kawasan
perumahan itu.
Di
kepalanya berkira-kira untuk mengelakkan waktu rehat hari ini. Memikirkan rancangan terbaik untuk tidak
bertembung dengan Ain dan Budik di kantin.
Tetapi bagaimana? Merekakan
sekelas. Tidak pernah sekalipun
berenggang. Ketika kepalanya ligat
berlegar dan berfikir itulah, tanpa sedar kakinya sudah melangkah masuk ke
dalam kawasan sekolah. Matanya
loliah-loliah, manalah tahu muncul pula pujaan hati yang sangat dibencinya itu.
“Kau
ada baca fan-fiction dalam internet
semalam tak?”
Ain
mengitai-ngitai jari-jarinya, sangat teruja.
Bulat matanya merenung Zaweeya.
Mereka bertiga berkongsi minat yang sama. Bukan mereka sahaja. Malahan di dalam laman muka buku mereka hanya
berkisar tentang artis dari negara yang lahir selepas perang dunia kedua
itu. Dipisahkan dengan Korea Utara yang
berpaksi fahaman komunis sehingga meletusnya Perang Korea pada 1950.
“Tak
ada, kenapa?” Zaweeya menjawab hendak
tak hendak. Masih memikirkan apa
alasannya untuk tidak ke kantin dan membawa bekalnya itu. Para pelajar
semakin ramai memenuhi tapak perhimpunan itu.
Menyertai kelas masing-masing dengan pelajar lelaki berada di barisan
hadapan dan perempuan di belakang.
Pelbagai bahasa yang dituturkan menambah hiruk pikuk persekitaran, belum
ditambah dengan gelak ketawa yang tinggi naik suaranya.
“Kan aku dah share link kat FB kau. Cerita pasal Luhan dengan Kai. Syok gila!”
“Kenapa
ada gila pula? Ada yang watak orang gilakah dalam cerita
tu?” tanya Budik, buat-buat lurus
bendul. Ain yang masih teruja menampar
belakang bahu Budik. Berdecit-decit
mulut Budik menahan sakit tetapi tetap ketawa.
“Tak
sempatlah. Mama aku tak benarkan kami
usik komputerpun semalam. Telefonpun dia
ambil.” Zaweeya menerangkan dengan suara
separuh sedih. Bagaikan kehilangan dunia
kerana tidak dibenarkan menyentuh gajet-gajet itu. Kesemuanya dikuarantin oleh Mama. Komputer,
kad Astro, telefon bimbit.
Dikunci Mama di dalam peti besi berkod yang hanya boleh dibuka James
Bond.
Keseluruhan
minggu terasa hambar. Keeyapun
begitu. Tetapi, mereka tidak berani membantah
Mama. Sepulang dari bersekolah, mereka
harus patuh dengan jadual Mama. Jadual
tetap Mama yang tidak tergantung di mana-mana dinding di dalam rumahpun. Sudah tergantung di dinding minda mereka.
Keeya
mendapat kelonggaran sedikit. Dia tidak
perlu mengaji untuk sepanjang minggu.
Tetapi, Mama memastikan dia melakukan solat hajat setidak-tidaknya
sebelum tidur.
“Usaha
sahaja kalau tak beserta dengan doa takkan ke mana. Kalau cerdik macam manapun, tanpa izin Allah,
kejayaan tu tak bermakna. Kalaupun
berjaya, ia tak berkat,” pesan Mama setiap kali mereka menghadapi
peperiksaan. Mama selalu mengingatkan
agar mereka tidak lupa berdoa. Doa
merupakan ingat-ingatan kepada Maha Pencipta.
Berlebihan lagi meminta supaya rezeki dilipatgandakan.
“Teruknya
Mama kau. Kenapa dia buat macam tu?”
soal Ain menunjukkan wajah simpati.
Budik mengangkat ibu jari.
Merasakan pendekatan yang digunakan oleh mama Zaweeya itu tidak
wajar. Anak-anak zaman ini tidak boleh
dipaksa sangat.
“Keeya
nak periksa. Mama takut dia tak fokus
belajar.” Adik perempuannya yang berada
di dalam darjah enam itu juga pengikut Kpop tegar. Dialah kepala alangnya. Dialah yang
memperkenalkan SNSD, Bigbang dan segala sesuatu yang berkenaan Kpop.
“Keeya
nak UPSR eh?”
Ain
bertanya. Teringatkan adik lelakinya
juga yang mengambil peperiksaan yang sama.
Tidak pernah lekat di rumah.
Kalau berada di rumah, lekat di depan komputer ataupun menggores iPad.
“Yalah. Dia satu kelas dengan adik kau kan ?” tanya Budik
pula. Ain dan Zaweeya sama-sama
mengangguk. Zaweeya arif dengan
pengharapan mamanya. Mahupun
kesinambungan kecemerlangan keluarga dilestarikan oleh Zakeeya pula. Mama cuma ada tiga orang anak perempuan yang
pintar-pintar. Zareema sudah hampir
menamatkan pengajiannya di universiti tempatan.
Zaweeya, anak kedua yang memeningkan kepalanya bakal meninggalkan
sekolah dengan harapan catatan A berderet di dalam keputusan SPMnya. Keputusan peperiksaan percubaan Zakeeya
sahaja yang menakutkan Mama. 4A 1C. Berhari-harian Mama bermenung. Berhari-harian juga tempikan naga sakti beriring
dengan api yang berhembus-hembus.
Papapun terkena tempiasnya.
“Tapi
Papakan keturunan Pendekar Ajis Silat Pakai Batu Tak Sempat Nak Ajar. Papa dah jampi Mama kau tu,” bicara Papanya itu mengundang tawa mereka dua
beradik.
Waktu
itu, Mama sedang bersolat di bilik.
Mereka menanti Mama di meja makan.
Begitupun Papa mengingatkan Keeya agar lebih menumpukan latihan latih
tubi untuk subjek Matematiknya.
“Kau
orang berdua tak bengangkah?” Budik
bertanya pula. Biarpun dia tahu karekter
Puan Hidayati itu bagaimana. Ada kalanya, mereka berdua
rajin ke rumah Zaweeya pada waktu petang.
Terutama apabila pulang dari sekolah.
Wanita akhir 30an itu pandai memasak dan sangat peramah.
“Bengang
memang bengang. Tapi kau rasa Puan
Hidayati Jamil tu kisahkah? Yang
penting, peraturan adalah peraturan.
Siapa langgar, bayar saman!”
sahut Ain dan Budik hampir serentak.
“Kau
ni kenapa? Kena sampuk apa?” soal Budik
melihat wajah Zaweeya yang tidak ceria.
Zaweeya mengalah. Dia memang
tidak boleh bersembunyi waima segaris kerutanpun daripada kedua-dua sahabatnya
itu. Dia melonggarkan ikatan beg
berwarna merah jambu itu dan mengeluarkan bekal tadi.
“Apa
masalahnya?” tanya Ain pula. Dia membuka
bekas tersebut dan menarik nafas dalam-dalam.
Segar dari dapur Hidayati.
“Kenapa
pula kami nak ketawa?” Budik menyoal
setelah mendengar penjelasan Zaweeya tadi.
“Zaw…Zaw. Buruk benar aku dengan Budik ni di mata kau
ya. Gelak memang tetap gelak. Tapi gelak suka. Mana cukup banyak ni. Buat tahi gigi aku aja. Esok suruh Mama kau tapau tiga!” Jawapan
daripada Ain itu melebarkan ruang di dalam dada Zaweeya. Dia tidak sempat mengucapkan terima kasih
apabila kedengaran suara di tepi telinga menyuruh mereka diam dan masuk ke dalam
barisan.
Zaweeyapun
tidak tahu kenapa dia benci benar dengan pemilik sekujur tubuh itu. Walhal dia
cuma ditegur sekali. Itupun atas
kesalahan disiplin. Kesalahan yang
tidak disengajakan. Bagi Zaweeya, kecil
benar.
Cuma
dia memang mahu menunjuk lagak dan kuasa. Semenjak itu, dia mengumpul rasa
meluat. Dari sehari ke sehari, dari
busut ia membukit dan akhirnya menjadi gunung.
Sampai kini, rasa itu disimpannya kemas-kemas.
“MANA bekal yang
Mama suruh bawa tadi? Habis tak?" Suara Mama kedengaran dari arah dapur sebaik
sahaja dia menolak pintu utama rumah.
“Ada dalam beg tu,” Zaweeya meletakkan beg sekolahnya di atas
meja makan. Terus ke dapur. Menyalami mamanya dan menjenguk apa yang ada
di atas dapur.
“Habis tu, tak
reti nak bawa ke sinki. Basuh. Nak tunggu benda tu jadi tempe dalam beg kau?” Dush!
Satu tumbukan terasa mengena pipi.
Kalau Zaweeya tahu, tidak mahu dijawab soalan Mama tadi.
“Besok, Mama
tolong tapaukan tiga ya. Ain dan
Budikpun nak juga. Mereka kata nasi
lemak tadi sedap,” puji Zaweeya jujur.
Bab memuji masakan Mama, dia tidak pernah berbohong. Sup ayam, biarpun sekadar campak-campak
bawang, di tangan Mama ia menjadi sangat enak di tekaknya.
Tetapi bab
menolong mamanya di dapur, dia awal-awal mengangkat bendera putih. Memasak bukan kemahiran dan bukan juga
kegemarannya. Hanya Reema dan Keeya yang
mampu berlama-lama dengan Mama di dapur.
Bila tiba gilirannya, setakat masak air, bolehlah. Selain itu, dia lebih rela membantu Papa
mencuci kereta. Biarpun kadang-kadang
Papa juga membebel, basuhannya juga
tidak bersih.
“Kau ni…aku tak fahamlah. Kalau Keeya masuk asrama nanti,
terkontang-kantinglah Mama seorang-seorang kat dapur. Kalau bab makan, kaulah orang yang paling
laju,” marah Reema ketika dia perlahan-lahan mengangkat punggung untuk
meninggalkan ruang dapur. Langkahnya
terhenti.
“Diakan nak kahwin
dengan anak raja. Anak raja dari
Selatan. Lawa-lawa belaka. Sebab tu dia berlatih dari sekarang. Tak payah belajar masak. Tak payah belajar mengemas. Bila dah kahwin esok, rumah besar. Susah nak
kemas. Suruh orang gaji kemas,” sindir
Mama. Zaweeya dengan muka selamba
berdingkit-dingkit mahu meninggalkan ruang dapur.
“Mama rasa Mama nak
pulangkan dia balik pada mak angkat dia,” ujar Mama sambil membasuh pinggan di
sinki. Membelakangi mereka semua.
“Zaw ada mak angkat,
Mama? Kenapa? Kenapa Mama tak bela dia? Dia jahat sangatkah masa kecil dulu?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut
Zakeeya. Satu berita baru yang baginya
sangat mengejutkan. Zareema yang sedang
mengeluarkan bahan-bahan basah untuk dimasak dari peti aispun menghentikan
perbuatannya. Tekun untuk mendengar
penjelasan Mama.
“Ha’ah, Mama tak
pernah cerita dengan Reemapun. Sejak
bila pula Zaw ada mak angkat?” Reema
menarik kerusi dan duduk berhampiran Zakeeya yang mengupas bawang merah. Zaweeya juga berpaling semula. Letusan kata dari mulut Mama itu bagai bom
jangka. Meledakkan debaran maha hebat di
hati.
“Ada .
Dah lama Mama simpan rahsia ni.
Mama ingat nak beritahu kemudian.
Sebab Reema dah ungkit, biar Mama cerita,” Puan Hidayati berpaling. Dengan wajah penuh dramatik merenung
ketiga-tiga anak gadisnya. Ketiga-tiga
gadis itu juga merenungnya dengan penuh harapan. Sinar mata masing-masing bagai tidak sabar
menanti luahan kisah benar dari mulut mama mereka.
“Kenapa Mama? Kenapa Mama berikan Zaw pada orang lain? Kita susah sangatkah masa tu?” Reema bertanya dengan nada sedih. Manalah tahu saat dia membesar, ada kesusahan
yang melanda keluarga. Yang dia sendiri
ingat-ingat lupa. Sehinggakan Zaweeya
diserahkan kepada orang lain untuk dijaga.
Tetapi, kenapa sekejap sangat?
Seingatnya pula, sepanjang hidupnya tidak pernah pula Zaweeya hilang
dari pandangan matanya.
“Betul, kau orang
semua nak tahu ni?” Mama sudah tersenyum
simpul. Dalam hati sudah tidak mampu
menahan kelucuan yang menggigit tangkai hati.
Melihat gelagat tiga anak gadisnya yang bermuka cemas. Ternyata mereka saling menyayangi. Ingin mengongsi kisah duka kakak kedua mereka
itu.
“Mak angkat Zaw
ada dua orang…”
“Ramainya…,’
sampuk Zakeeya. Zaweeya meletakkan jari
telunjuk di bibir. Meminta Zakeeya agar
tidak menyampuk. Rasa ingin tahu tentang
kisah duka masa silamnya membuak-buak.
“Seorang namanya
Siti Fernleaf. Seorang lagi Siti Dutch Lady,” Mama bersuara
lirih. Zakeeya, Zaweeya dan Zareema
berpandangan sebelum ketawa Zareema pecah.
Tidak tertahankan.
Terhinggut-hinggut bahunya. Air
mata spontan keluar mendengar mahakarya lawak mamanya.
“Kenapa nama dia
pelik sangat? Mak angkat Zaw tu orang
Inggeriskah, Mama?” Zakeeya bersuara
kembali. Ketawa Zareema dan Mama yang
baru reda, menjungkit kembali. Wajah
Zaweeya sudah mencuka.
“Ya, seorang dari New Zealand . Seorang lagi dari Belanda. Sebab tu, tiap
kali Mama panggil, dia jawab mmmm…”
Zaweeya terus bangun meninggalkan mereka. Ketawa Mama dan Zareema sudah disertai sekali
dengan ketawa Zakeeya. Setelah
diberitahu Reema identiti sebenar ibu angkat Zaweeya tadi. Puan Hidayati menahan perut yang senak akibat
ketawa.
Antara faktor
kedegilan anak-anak adalah kerana tidak disusukan dengan susu ibu semasa
kecil. Akibatnya, anak-anak mengikut
perangai lembu yang sukar mendengar kata.
Pencerahan itu didengar Mama dari sedutan siri Motivasi Pagi di Radio
Ikim.
muehehhee..intro yg bes..tp beb, bgi perenggan sket kalu nk mule suasana baru penceritaan..baru org perasaan suasana dan situasi yg berbeza..
ReplyDeletebeb..yg betulnye aku sesuai ngan watak mak si zaweeya tu..cam sama jer ngan aku...hhehehhee...
ReplyDeleteperenggan yang mane? aku tak prasan. lenkali sebutlah perenggan ayat pertama perenggan tu.(tukang komen pulak kena komen...)
ReplyDeletemuehehehe... saya suka.. hihihi
ReplyDelete