..yang bernama sahabat

Monday, 22 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 7


BAB TUJUH (7)

            “BALIK kampung?”  Suara Puan Izzie kedengaran teruja.  Tidak bertanya lebih lanjut apa rancangan sebenar sahabatnya terus mengiyakan.  Merencana kata-kata untuk memaklumkan kepada Wafi.  Ditekannya paparan telefon berwarna merah di telefon bimbitnya dan mencari Wafi.

            “Balik kampung Zaweeya?”  Wafi melontar soalan semula.  Gelengan pantas tanpa henti tanda dia langsung tidak bersetuju.  Langsung tidak.  Cadangan yang paling gila di antara yang gila.  Mamanya tahu yang dia tidak boleh bertemu roma dengan perempuan samseng itu.
            “Gila.  Ini semua idea gila.  Wafi tak mahu!”  Wafi Ikhmal sudah berdiri.  Pawana petang Jumaat terasa hangat menampar wajah.
            “Janganlah macam tu Wafi.  Mama dah lama tak merasa suasana kampung.  Lagipun Mama nak habiskan masa dengan Wafi sebelum Wafi tinggalkan Mama…”  Puan Izzie bersuara lirih.  Ayat taktikal tetapi jujur apabila dia menyatakan kehibaan bakal ditinggalkan anak kesayangannya itu.
            “Ma, kita boleh habiskan masa di mana-mana.  Mama sebut sahaja.  Tapi kenapa pula Mama terfikir nak berada di kampung?  Lebih teruk lagi kampung budak perempuan yang tumbuk anak Mama ni?”  Wafi menuding ke arah wajahnya sendiri.   Puan Izzie mendekati Wafi.  Lengan Wafi diraihnya.  Ditariknya anak lelakinya itu ke dalam bilik bacaan di tingkat dua.  Bersebelahan bilik tidur tetamu. 
            “Bukan begitu, sayang.”  Puan Izzie tidak menyambung lagi.

 Wafi duduk menyandar di kerusi berhampiran meja yang meletakkan sebuah mesin taip lama jenama Brother.   Dibiarkan sahaja Mamanya terjingkit-jingkit di rak buku mencari sesuatu.  Puan Izzie terjerit kecil apabila album kecil itu tercapai oleh tangannya.
            Album yang menyimpan gambar-gambar lama di alam pengajiannya dibuka semula.  Mendekati Wafi dan menyelaknya satu-persatu.  Tanpa kata bagai menenggelamkan diri di dalam empangan memorinya.
            “Sahabat, adalah antara harta terbaik yang Mama ada.  Lebih berharga daripada harta yang kita atau Wafi nampak sekarang,”  Puan Izzie tersenyum sambil mengusap rambut Wafi yang keperang-perangan itu.
            “Mama tak paksa Wafi.  Cuma Mama nak habiskan masa dengan Wafi dengan cara yang Mama suka, walaupun Wafi tak suka,”  Puan Izzie mematikan kata.  Memujuk di dalam paksa.
           
            “BALIK kampung?”  Encik Azhari buat-buat tidak mendengar.  Dikerlingnya isterinya yang sedang sibuk berkebun di taman mini mereka di sudut rumah.  Jelas melihat kelibat isterinya yang terbongkok-bongkok, tiba-tiba berdiri tegak mendengar lantunan kata anak-anaknya.
           
Zaweeya dan Zakeeya memberi reaksi yang kontras.  Zakeeya sudah melompat-lompat gembira.  Bagai berterbangan di awangan apabila rambutnya turut terkembang sama apabila dia melompat sambil bertepuk tangan.  Zaweeya sudah terperosok di sudut yang paling dalam di dalam sofa.
           
            “Zaw tak suka jumpa Ayah Chik kah?”  tanya Encik Azhari menahan ketawa.  Dia tahu bukan itu yang membuatkan Zaweeya terponyok di dalam lipatan sofa dengan muka yang monyok itu.
            “Zaw tak nak ikutlah,” Zaweeya memberi keputusan.  Biarpun dia tahu keputusan itu tetap akan membawanya ke kampung juga.  Sekadar ingin mencuba nasib.
            “Zaw nak tinggal dengan siapa kat rumah?  Mama tak mahu balik-balik nanti ada orang mati kebuluran dalam rumah ni,” Puan Hidayati melepaskan kata.  Tepat dan tajam menusuk.  Zaweeya sudah berlari naik ke biliknya.
            “Tapi, kita nak balik kampung kita.  Kenapa nak bawa balik orang lain?”  Jeritnya sebelum masuk ke dalam bilik.  Dia tidak menyebut secara khusus siapa orang lain itu.  Tetapi Puan Hidayati memahami orang lain itu ialah Wafi dan Puan Izzie.
            “Mama tak kata yang Zawpun tak boleh bawa orang lain…”  jerit Mamanya pula.  Puan Hidayati melemparkan senyuman semanis madu ke arah suaminya.  Senyum yang memudar di bibir Zaweeya kembali berseri dan tambah manis.
            “BALIK kampung?”  Budik bertepuk tangan.  Di matanya terbayangkan keindahan kampung halaman yang sekian lama dirindu.  Membayangkan panorama kampung halaman di dalam buku-buku cerita yang dibacanya.  Ada sawah padi.  Ada anak sungai yang jernih airnya.  Ada haiwan ternakan yang berkeliaran.  Angsa garang yang kuat menyudu atau gerombolan lembu yang tidur di atas jalan dan menempekkan hasil kumuhan mereka sesuka hati.
            Lengan keding Ain digoncang-goncangnya.  Memujuk untuk ikut serta. Ain tidak memberikan sebarang respon.  Masih menimbang-nimbang kata untuk dipersembahkan kepada orang tua.  Memohon kebenaran.
            “Aku tak pasti mak dan abah aku beri kebenaran atau tidak..,”  Akhirnya Ain melahirkan kebimbangan yang tersimpan semenjak tadi.
            “Beritahulah mereka, kau balik kampung aku.  Dengan aku, dengan Mama dan Papa aku, dengan Budik.  Dengan Wafi.  Dengan Mamanya.”  Perkataan itu semakin perlahan apabila tiba ke hujungnya.  Hampir tidak didengari oleh Budik dan Ain kecuali perkataan ‘Wafi’.
            “Apa?  Wafi Ikhmal ikut sekali?  Dia tak takut kena penyepak pula kah?”  Bicara Budik jujur tanpa berselindung.  Ain mendaratkan penyepitnya di peha Budik.  Terlompat Budik dari kerusi sambil ketawa.
            “Pagi esok?  Kenapa tergesa-gesa sangat?”  Ain seakan-akan berputus asa.  Bagaikan sudah terbayangkan dia hanya melambai melihat sahabat-sahabatnya itu pulang ke kampung.
            “Manalah aku tahu.  Ini semua rancangan Mama.”  Budik dan Ain bersegera memohon diri.  Pulang ke rumah masing-masing untuk memohon kebenaran.  Berjanji, apa-apa perkembangan akan diberitahu melalui talian malam nanti.
            “BALIK kampung?  Ala, kenapa tak beritahu aku awal-awal?”  Marah Reema apabila dia sampai ke rumah selepas Maghrib tadi.  Bermakna Sabtu esok, dia akan bersendirian di rumah.  Niatnya memang hendak membuntuti keluarga.  Tetapi memandangkan tugasan kuliah yang menimbun-nimbun, disimpannya hasrat itu.
            “Mama, nanti suruh Keeya jadi bodyguard Wafi,”  pesan Reema.  Bangun dan bersedia untuk melarikan diri dari ruang tamu.
            “Kenapa?” Keeya jujur bertanya.
            “Takut nanti Wafi kena penampar Jepun pula.”
            “Oi!!”  Jerit Zaw sambil membaling bantal kecil ke arah Zareema.  Zareema yang sudah menjangka telahpun berada di pertengahan tangga sambil ketawa.  Menjadi satu jenaka yang terakam di sudut memori mengenangkan telatah ganas adiknya terhadap lelaki. 

Malam itu, baik Zakeeya mahupun Zaweeya, kedua-duanya tidak dapat melelapkan mata.  Malam terlalu lambat buat Zakeeya.  Siang terlalu pantas buat Zaweeya.  Saat terkatup sahaja kelopak mata, suara Wafi bagai kedengaran di seluruh sudut telinga.  Ketawa bagaikan memperolehi kemenangan mutlak.

            Majalah Mekar yang dipegangnya semenjak tadi, tidak mampu melitupi gelodak debar yang menganggu tidurnya. Berkali-kali dia beralih posisi tidur.  Sekejap menelentang.  Sekejap mengiring ke kiri.  Sekejap nanti mengiring ke kanan.  Sesekala meniarap dengan bantal menutup muka.  Makin jelas wajah Wafi di dalam bacuk minda.
Badan terasa penat, tetapi mata tidak mahu lelap.

            “Terima kasih kerana bagi idea ni, Yatt.   Tak kisahlah berjaya atau tidak.  Tapi, aku harap-harap berjaya,” Puan Izzie belum habis mengucapkannya semenjak tadi.  Seawal waktu Syuruk, kereta mewahnya menjalar di depan pintu pagar rumah kecil milik keluarga Zaweeya.

            Wafi yang masih terkuap-kuap menahan kantuk turut serta.  Puan Hidayati sedang menyiapkan bekalan di dalam perjalanan.  Anak-anak gadisnya masih kalut bersiap di atas.  Encik Azahari baru sahaja memberi salam di pintu sebaik selesai berjemaah Subuh di masjid.

            Wafi yang hampir terlena dibuai kesejukan pagi itu, dikejutkan oleh ketukan pada cermin tingkap kereta.  Mamanya memberi isyarat agar dia melayari lena yang tertangguh tadi di dalam rumah sahaja.  Laju tapak tangannya digoyangkan menolak.  Baru hendak terlena lagi, sekali lagi ketukan berlagu.  Dua susuk tubuh berdiri berhampiran.

            “Kenapa awak tak masuk?” tanya Budik yang berpeluk tubuh diliputi baju panas berbelang putih merah.
            “Awak berduapun ada samakah?”  tanya Wafi, sedikit terkejut.
            “Kenapa?  Tak bolehkah?  Kacau daunkah?”  teka pula Ain.  Menarik muka masam.
            “Bukan macam tu.  Kalau awak berdua ada, tak adalah saya rasa kekok benar.  Saya sangka ada keluarga dia dan keluarga saya aja,” Wafi tidak menyebut nama Zaw sebaliknya menggunakan ganti nama ‘dia’.  Wafi segera keluar dari kereta dan berjalan di belakang kedua-dua gadis itu.

            Terasa janggal berada di rumah kecil itu.  Tidak seperti istananya.  Ruang tamu rumah itu hanya sebesar ruang dapur rumahnya sahaja.  Dia menyalami Encik Azahari yang juga nampak sibuk ke hulu ke hilir.  Seorang gadis berkulit putih tersenyum memandangnya.  Wajahnya mirip Zaweeya tetapi sudah tentulah bukan Zaweeya.  Kalau Zaweeya yang tersenyum itu bermakna dunia sudah sampai ke penghujungnya.

            “Kak Reema, inilah Wafi,” perkenal Ain tanpa diminta.  Zareema merenung wajah Wafi.  Tidak dinafikan, sekali pandang wajah itu memang tampan.  Hati perempuannya berbisik.  Zaw, adiknya memang buta.  Kalau diukur dari segi rupa.

            Senyumnya tidak lama apabila jeritan kedengaran sebelum Zakeeya buru-buru turun mendapatkan Mamanya.  Ain dan Budik berlarian mendaki tangga menuju ke bilik tidur Zaw.  Mereka sudah biasa dengan selok belok di dalam rumah itu.

            “Zaw…” Zakeeya tidak menghabiskan kata-katanya apabila melihat dua orang asing di matanya di dalam rumah mereka.  Puan Izzie di dapur.  Wafi Ikhmal di ruang tamu.  Tumpuannya lebih kepada pemuda berkulit kemerah-merahan yang memandangnya.  Dia melemparkan senyum.  Gadis kecil ini berkulit sedikit gelap daripada kakaknya.  Wajah mirip Zaweeya itu lebih manis dengan lesung pipitnya dan lebih comel.

            “Ni mesti Wafi Ikhmal yang Zaw tumbuk tu kan?”  Lurus soalannya sambil mendekati Wafi Ikhmal.  Wafi tidak tahu mahu senyum atau tidak mendengar soalan itu.
            “Saya Keeya.  Adik Zaw,” Zakeeya memperkenalkan diri.  Terus duduk di sofa menghadap muka Wafi Ikhmal. 
            “Dengan makcik, Keeya tak nak perkenalkan dirikah?” Usik Puan Izzie sambil meletakkan beberapa biji bekas plastik yang sudah penuh berisi makanan berhampiran mereka.
            “Makcik Izzie, Keeya dah kenal.  Mama selalu cerita pasal makcik.  Nak-nak kalau masa dia tunjuk album gambar masa dia belajar,”  Zareema mengangguk tanda setuju.  Persahabatan ikhlas sudah menjangkau sempadan masa tetapi tetap subur atas asas keikhlasan tadi.

            Tanpa sarapan, mereka memulakan perjalanan dengan dua buah kereta.  Keeya diselitkan di dalam kereta Puan Izzie.  Melompat kegirangan kerana boleh menatap wajah Wafi lama-lama.  Bisiknya pada Zareema.

            Zaw, tanpa bunyi sedecitpun meloloskan diri di dalam kereta Papa bersama-sama dua sahabat baiknya.  Ketiga-tiga mereka tidak banyak bercakap.  Masing-masing melayani lagu-lagu Korea terkini yang disogok ke gegendang telinga melalui Ipod.        
           
            “Apa rancangan awak sebenarnya ni?”  tanya Encik Azahari.  Matanya terus lurus memokus kepada pemanduan.
            “Mana boleh cerita kat sini.  Nanti mereka dengar,”  Puan Hidayati bersuara seperlahan mungkin.  Dia menoleh.  Ketiga-tiga anak gadis itu masih leka dengan alunan lagu di telinga masing-masing.
            “Mereka dengarpun tak mengapa.  Bukan ada kena-mengenapun kan?”
            “Saja.  Nak suruh Wafi rasa suasana kampung.  Manalah tahu.  Bila dia tengok kemesraan kita anak-beranak.  Hubungan baik kita dengan kawan-kawan Zaw.  Cara kita berkomunikasi dengan ahli keluarga.  Terbuka pula hatinya.  Tak jadi dia tinggalkan Izzie.”
            “Bersungguh betul awak nak tolong Izzie ni,”  puji Encik Azhari.
            “Saya tak dapat bayangkan bagaimana perasaan terpisah dengan anak.  Untuk selama-lamanya pula tu,”  Puan Hidayati melontar pandangan jauh ke depan.
            “Apa nak risau.  Zaman sekarang kan zaman internet.  Facebook ada.  Twitter ada.  Kalau teringat, mesej ajalah,”  Encik Azhari bersuara selamba.
            “Awak orang lelaki apalah tahu.  Facebook kah, twitter kah, mana sama dengan jasad hidup ada di depan mata sendiri.”
            “Bertemu tu lawannya berpisah.  Itukan adat hidup.  Setiap sesuatu semua ada lawannya.  Siang lawannya malam.  Bulan pasangnya bintang.  Semua dah tertulis begitu.  Mesti ada kebaikan untuk setiap sesuatu yang berlaku,”  Encik Azhari menyenaraikan fakta menguatkan hujahnya tadi.
            “Yatt, kita kena lalu jalan yang bengkang-bengkok itu kah?”  tanya Puan Izzie melalui telefon.
            “Kalau kau tak nak menempuh Bukit Tangga tu, kau pergilah turun ke Pahang dulu.  Sampai dekat Karak, kau belok masuk simpang menghala ke Simpang Pertang.  Kau nak?”  Puan Hidayati ketawa.
            “Tak ada jalan alternatifkah?”
            “Tak ada.  Kalau adapun kau tak boleh lari dari bengkang bengkok.  Kampung aku tu letaknya kat banjaran Titiwangsa.  Nak buat macamana?”
            “Banjaran Titiwangsa?”  Wafi membulatkan matanya.  Banjaran Titiwangsa yang dipelajarinya adalah tulang belakang semenanjung Malaysia dan bentuk muka buminya tentulah mencabar.
            “Tak adalah sampai macam tu sekali, Makcik.  Sekarang jalannya dah dilebarkan.  Air terjun tempat makcik singgah dulupun dah tak ada.  Mereka dah buat macam alur longkang aja.  Tapi, airnya tetap sejuk.”  Zakeeya menerangkan.  Membandingkan cerita Puan Izzie dengan realiti Bukit Tangga sekarang.

            Mereka perlu melalui jalan itu untuk tiba di mukim Kuala Klawang.  Rasanya, satu-satunya daerah di Malaysia yang tidak menggunakan nama yang sama untuk pekannya.  Daerah Jelebu, pekan Kuala Klawang.  Seandainya dicari pekan Jelebu di dalam peta, memang sampai mati tidak akan ditemui.  Bentuk muka bumi berbukit-bukau dengan kedudukan gaung yang menganga di pinggir jalan.  Kabus memutih membawa udara segar pergunungan yang menyegarkan.  Bau hutannya masih manis di pembauan biarpun semakin menipis.  Pendekata, kehijauan masih menyelubungi daerah ini.
            Jelebu antara daerah di Negeri Sembilan yang masih mendakap sejarah buat tatapan generasi akan datang.  Masjid Kuala Dulang dengan kisah ratusan tahunnya.  Makam Moyang Salleh, pahlawan Jelebu yang terlibat dengan beberapa pertarungan yang terukir dalam lipatan sejarah.  Muzium Adat di pekan Kuala Klawang yang menghimpunkan artifak serta tinggalan yang tidak lagi kedapatan kini.
            Jelebu juga kaya dengan air terjun dan sungai yang menjadi trafik buat masyarakat Melayu dahulu kala berkelana.  Kerana itu, di tengah kepekatan loghat masyarakat yang menjunjung Adat Perpatih itu berbahasa, terselit kelompok berbahasa pendalaman Pahang yang bersempadan dengan Negeri Sembilan.
            “Keeya dengan keluarga selalu balik kampungkah?”  Tanya Puan Izzie lagi.  Wafi leka menikmati kehijauan yang saujana dengan kabus melitupi julai pepohon bagaikan bersatu dengan awan.  Bukit-bukau yang masih diselubungi warna-warna segar alam juga memukau pandangan.
            “Selalu.  Mamakan orang Negeri Sembilan.  Suku Anak Acheh, kuat berlunjur. 
            Nagari aman, kampueng santoso,
            Padi masak, jagueng manjadi,
            Taranak bakambang biak,
            Bapak kayo, mande batueh,
            Mamak dihurmati urang pulo,”


Wafi ketawa mendengar kata-kata Zakeeya.  Sepatah harampun tidak difahami tetapi menarik di dengar di telinga. Mereka tiba di pekan Kuala Klawang untuk mengisi minyak.  Arca dastar Dendam Tak Sudah yang menjadi destar rasmi Yang Dipertuan Agung berdiri angkuh di depan Muzium Adat yang terletak bertentangan dengan padang majlis perbandaran. 
            Sepinggan buah-buahan yang menjadi mercu tanda di bulatan pekan Kuala Klawang berhampiran balai polis pekan itu berdiri megah tidak kurang hebatnya.  Kediaman Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Sultan Jelebu, gelaran bagi Undang Jelebu juga terletak berhampiran.
            Mereka meneruskan pemanduan mengikut arah papan tanda Simpang Pertang.  Ada setengah jam lagi sebelum sampai ke kampung Puan Hidayati.  Kali ini, Zakeeya dan Wafi sudah terlena.

*****************************************************************
Norhalim Hj Ibrahim, Adat Perpatih Perbezaan dan Persamaannya Dengan Adat Temenggung, Penerbit Fajar Bakti 1993

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...