..yang bernama sahabat

Wednesday, 24 October 2012

Bondaku Besan Ratu Bab 9








BAB SEMBILAN (9)
            BERKALI-kali Wafi memohon maaf.  Baik kepada Encik Azhari mahupun kepada Puan Hidayati.  Melalui mamanya disalurkan lagi kata maaf supaya disampaikan permohonan itu kepada mama Zaw.  Dia tak sengaja dalam sengaja.  Tak sengaja untuk bertindak mendakap Zaw.  Takkan nak dibiarkan terjelepuk dan terbujur menelentang di depannya.  Kalaulah Zaw terjatuh dan kepalanya terhantuk ke batu bagaimana? 

Sengaja kerana menyambut tubuh tinggi lampai itu.  sama juga alasannnya.  Takkan dibiarkan sekadar memandang sedang lelaki itu termaktub punya satu nafsu sembilan puluh sembilan akal.  Takkan satu daripada sembilan puluh sembilan itu tidak boleh digunakan sebagai penyelamat.


“Tak mengapalah.  Kalau kamu tak sengaja.  Kalau kamu sengajapun, tak mengapa juga sebab Allah tahu,”  Ayah Chik bersuara melegakan keadaan.  Sebaik sahaja sedar, Zaw dicempung Mamanya masuk ke dalam kereta.  Terus pulang ke rumah. Budik dan Ain yang kepucatan tanpa suara menurut sahaja.

Perisitiwa paranormal berlaku di depan mata mereka berdua yang normal.  Dialami pula oleh rakannya yang tidak pasti normal atau tidak pada masa itu. 

“Kenapa dia sebut Indera Laksamana hah?  Siapa Indera Laksamana tu?”  Mereka berkumpul di wakaf sebaik sahaja sampai ke rumah pusaka tinggalan keluarga Puan Hidayati itu. Budik, Ain, Wafi, Amirul dan Keeya.   Mereka berkeliling separa bulatan bagai menunggu tok guru silat membuka gelanggang.

“Kau tahu apa-apa Keeya?”  Tanya Amirul kepada Keeya.  Keeya menggeleng-geleng dengan wajah mendungnya.  

Biarpun Zaw selalu menyusahkannya dengan perangai pelasonya, bila tiba peringkat duka begini, dia tidak sampai hati melihatnya.  Tangannya gatal ingin menekan punat telefon memberitahu kakaknya yang seorang lagi.  Tetapi Amirul menghalang.

“Kenapa pula dia panggil kau Indera Laksamana.  Kau kerabat diraja mana eh?” soalan Budik menujah pula ke arah Wafi. 

 “Manalah aku tahu.  Kalau betul aku kerabat di raja, mestilah Mama pernah bawa aku ke istana.  Ni, tak ada pun,” Wafi berterus-terang.  Di rumahpun mereka selesa berbahasa asing tanpa seulas bahasa istana terpacul dari mulut mereka.  Baik Mama mahupun ahli keluarga yang lain.

“Mana tahu Indera Laksamana tu nama moyang kaukah.  Buyut kaukah.  Apalah kau ni.  Kalau aku, aku bangga dengan keturunan aku.  Aku dokumentasikan biar dikenang dek anak cucu tak sedar diri macam kau ni,”  tiba-tiba Ain mengutarakan pendapat berbaur emosi. 

“Yang kau ni nak ‘emo’ tahap taufan Katrina ni kenapa?”  Wafi yang bersila berhampiran tiang wakaf itu berdiri.  Menyarung selipar dan meninggalkan mereka dengan hati yang berasap.  Ain juga memanjangkan muncung.  Padanlah sangat dengan Zaw.  seorang kepala angin.  Seorang lagi juga kepala angin. Memang sesuai.

“Abah aku tanya pasal majalah tadi, majalah apa?”  Amirul masih degil untuk meneruskan siasatan. Soalan ditujukan kepada Keeya.  Sekali lagi.

“Mekar.  Majalah lama.  Mama suruh dia kemas.  Orang pemalaskan.  Disuruh mengemas, dibantainya membaca.” Keeya mengomel bagai nenek meleteri cucu.  Ain dan Budik tersenyum sambil  berpandangan.

Mereka dibungkus diam.  Amirul tidak bertanya lagi.  Tetapi pandangan jauh menikam ke arah bukit yang bertentangan yang terpisah dek jalan raya.


“KAU ni, buat malu betullah.”  Budik menguis lengan Zaw yang bersandar di kepala katil.

Mereka bertiga bagai beratur bersandar bersebelahan di antara satu sama lain.  Malam kian larut tetapi adat sahabat membawa status rakan sekelas, sesekali dapat bermalam bersama, bagaikan matahari mahu dihadang.  Tidak dibenar terbit untuk memberi peluang bulan terus bekerja.

“Dalam menyampah-menyampah, tangan Wafi jugalah yang menyambut kau.  Kalau tak ada dia, aku tak tahulah.  Silap hari bulan kau tergolek dalam sungai tu,”  Anak mata Ain bagaikan mahu keluar dengan telunjuk lurus menuding ke muka Zaw.

“Kau ingat aku sengaja.  Tapi memang aku nampak Indera Laksamana dekat belakang Wafi tadi,”  Zaw bersungguh menekan kata sambil menekup mukanya.  Merasakan tindakan luar sedarnya itu begitu memalukan.

“Tak, sekarang ni cuba kau beritahu Indera Laksamana ni siapa?  Sejak bila pula kau dapat kawan FB yang bernama pelik macam tu?”  Budik meninggikan suara. Mula menghidupkan telefon bimbitnya dan mencari aplikasi laman muka buku.  Ditaipnya user name Zaw sebelum diserahkan kepada Zaw untuk menaip kata laluan.

“Nak buat apa?”

“Aku nak tengok Indera Laksamana tu.  Ada rupa Aaron Aziz kah.  Atau KwangMinkah.”  Budik bersuara lagi.  Ain di sebelahnya melongsor perlahan-lahan.  Meluruskan jasad.  Zaw menghulurkan majalah yang berusia puluhan tahun itu. 

“Dia tak berupa.  Ada kat dalam ni,” unjuk Zaw.  Biarpun terpinga-pinga, Budik menyambutnya.

“Muka surat 45, Mimpi Puteri Kecil, penulisnya Bentara Aduka.  Puas hati?”  Budik terus menyelak ke helaian yang dimaksudkan.  Membaca intro cerita klasik bersiri yang kini terletak di tangga teratas dalam carta minda Zaw.

“Jadinya, kau nak cakap kau terpikat pada sesuatu yang tak wujud?  Bercinta dengan jin contohnya,” Budik menyenaraikan kemungkinan.

“Jin wujud apa?  Dalam Quranpun Allah sebut.  Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk sujud kepadaKu.,” Zaw membetulkan fakta.  Di dalam surah An-Nas sendiri mengakui kewujudan jin.

“Okey, aku terima.  Cuma yang aku nak tahu sekarang, kau dah jatuh hati pada Indera Laksamana nikah?”  Budik bertanya lagi.  Majalah di tangannya masih diselak-selaknya.  Dikerlingnya teman di sebelah.  Sudah mengetoi melayan lena.  Ditariknya selimut hingga ke paras pinggang Ain.

“Aku tak jatuh hati.  Aku kagum.  Dia datang dengan rupa serba sempurna.  Dengan pakaian kebesaran.  Dengan kerisnya.  Kau pernah tengok ukiran Hang Tuah kat Muzium Negara kan?  Macam itulah.  Lagi hebat daripada tu. Dia datang berbayang-bayang di belakang dan sebelah Wafi.  Tapi pakaian dia, MasyaAllah.  Bila dia senyum, hai..kalau ada depan mata kau, kau tahulah,”  Zaw tidak tahu bagaimana lagi hendak diceritakan.  Segala-galanya terasa begitu indah.  Begitu mengagumkan dirinya sebagai manusia biasa.     

“Itu semua mainan syaitanlah.  Apa yang lompong lapar dalam dada kau tu kena diisi.  Orang Melayu kata, lemah semangat.  Senang nak dikacau dek makhluk halus.”  Budik memberikan pendapat.

“Aku tak laparlah,” kata Zaw membetulkan bantal yang menjadi sandarannya. 

“Bukan lapar nasi.  Makanan hati.  Makanan minda. Fa-Ha-Alif-Min?”  Zaw merenung Budik.  Lama.  Seakan-akan mahu ditelan terus keseluruhan jasad teman berbadan kecil yang becok itu.

“Fa-Ha-Alif-Min.  Ta-Fa-Ya, nak bagi makan cik rohani ni bukan senang,” tukas Zaw.  Kerutan hampir merapatkan kedua-dua kening Budik.

“Ta – T, Fa – P, Ya – Yi.  Tpyi.  Tapi!”  Budik menjerit kecil sambil bertepuk tangan.  Bangga kerana berjaya sekali lagi menekakan teka kata tanpa bantuan sesiapa.

“Memanglah.  Sebab tu mula dari sekarang.  Tak pernah ada istilah lambat kalau sesuatu yang kita nak buat tu benda baik.”  Budik menyambung semula selepas ketawanya reda.

Maka pecahlah perang antara angkatan Tengku Indera Laksamana dengan Raja Helang Olak Lapan.  Bertempurlah kedua-dua belah pihak dengan azmatnya.  Genderang perang tidak diam.  Panji-panji kemegahan diarak oleh tentera-tentera.  Tombak-menombak.  Tikam-menikam.  Tingkah meningkah dengan bunyi lenting besi di sana sini.  Sesekala percikan api terhasil apabila besi dengan besi bertemu. Salang-menyalang bersungguh hati.

Maka kelam kabut buana dengan jerit lolong sakit dan raungan dirempuh sakaratulmaut.  Bertimba darah berhanyiran di sana sini.  Sempadan negeri bagaikan padang lapang dengan segala hijau maya turut syahid dilanggar perang. 

Tentera Indera Laksamana terikat dengan dua janji.  Kurnia Allah, taman syurga untuk syuhada.  Indah lagi dari Inderaloka.  Kurnia sultan dalam bentuk kebesaran andai kemenangan dibawa pulang. 

Melihat tenteranya semakin ramai menyembah bumi, maka bertempiklah Raja Helang Olak Lapan menyeruakkan murka.  Berseru mencari Indera Laksamana supaya bertarung berdepan.  Satu lawan satu cara anak jantan.

Akan halnya, Indera Laksamana sebaik mendengar perkataan Raja Helang Olak Lapan itu maka tampillah baginda menghunus keris yang dilenjun darah.  Panglima Awang Gagah hendak mengadang tetapi pantas dihalang oleh Tengku Indera Laksamana.  

Tampillah Raja Helang Olak Lapan di tengah-tengah medan.  Wajahnya membengis saat membuka penutup perisai muka.  Melangkah gagah dengan kuda perang yang mendengus angkuh.  Badannya tegap dengan tubuh bersalut baju besi sampai ke kaki. 
Maka, perlahan-lahanlah Tengku Indera Laksamana menghampir ke tengah-tengah medan.  Panglima Awang Gagah menurut di belakang mencantas musuh menyerang curi.  Begitu juga dengan panglima-panglima yang lain.

Habislah cerita Tengku Indera Laksamana yang bertarung tujuh hari tujuh malam.  Tersebutlah kisah si Kembang Dahlia yang semakin hari semakin asyik bersyair.  Tidak dipeduli makan dan minum mahupun menghulur tangan membantu bonda di dapur mahupun di kali.

Sehari-harian melayan mimpinya terhadap Tengku Indera Laksamana.  Maka berdoalah si Kembang Dahlia agar suatu hari lalulah kakap atau kajang membawa Tengku Indera Laksamana memudiki sungai melalui pondok buluh di tepi sungai mendengar dia berkidung.

“Ayuhai Abang Awang,  jika begini keadaan si Kembang Dahlia, memang kita merasa berbesan dengan Tuanku Sultan,” ungkap Kembang Cina sebaik sahaja meletakkan minuman di depan suaminya.

“Kenapa Adik Kembang berperi begitu?”

“Tidurnya meninggi hari.  Pekerjaan di dapur tidak mahu ditolongi.  Penatnya tubuh tidak terperi, sedih pula terasa di hati,” adu Kembang Cina.  Awang Dalik tidak menjawab.  Matanya cuma memerhati asap yang berterbangan menggawang terhasil dari muncung rokok pucuknya.

Ada baiknya Adik Kembang menasihati.  Bukankah Adik Kembang ibu yang memberi nasi?”

“Sudah berkali Adik menasihati.  Langsung tidak dipeduli.  Walaupun tidak dilawani, dari ekor matanya Adik fahami,”  si Kembang Cina terus berlagu menyuarakan rasa.

Zaw tidak dapat melawan rasa mengantuk lagi.  Majalah Mekar sudah mencium wajahnya. Lampu bilikpun tidak sempat dimatikan apabila lena datang mengganti.

Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman;

Bulan bagai tersenyum memancar sinar.  Wajah bulan bulat penuh bagaikan terpancar dari dalam tasik.  Tasik yang terentang jambatan kayu melengkuk di tengahnya dengan kaparan daun teratai bagai selimut menutup sebahagian tasik. Teratai yang meliuk-lentuk dicium angin malam bagai turut menyanyi bersama-sama Kembang Dahlia.  Kembang Dahlia mengurut-ngurut rambut mayang mengurai yang terletak elok mencecah pinggang.

            Anting-anting emas tergantung elok.  Begitu juga gelang melingkar keemasan di kedua-dua belah tangan.  Pakaian kebesaran kurung Riau Pahang dengan pacak tongset di atas kepala.  Dahlia yang merah menyelit di belakang telinga. Zaw menyuluh wajah di permukaan tasik.  Zaw?  Bukan Kembang Dahlia?  Zaw memegang kedua-dua belah pipi.
           
Hendak mati di hujung kuku,
            Hendak berkubur di tapak tangan.
           
Satu suara menyahut pantun yang tergantung tadi.  Berlagu romantis.  Seorang lelaki yang pernah ditemui sebelum ini.  Dia tidak terperanjat lagi seperti hari pertama mereka bertemu.  Direnungnya tampang lelaki berwajah bersih jernih yang berseri-seri itu.
           
“Begitu asyik tuan hamba berlagu rindu.  Gerangan siapakah hati diberi?’  Sang jejaka bangsawan itu bersuara.  Nadanya lembut mengalun.  Debaran mengusik di dada.
           
Wafi,”  tiba-tiba bibirnya memantulkan kata.  Tiba-tiba sahaja.  Siapa Wafi.  Kembang Dahlia menyoal.  Kenapa Wafi, Zaw juga menyoal.
           
“Indera Laksamana!”  Satu suara garau membengis menggemai suasana.  Bagaikan kedengaran bermula dari langit.  Kembang Dahlia menjauh daripada Indera Laksamana dengan wajah yang cemas.   Dia berundur menjauhi tengah jambatan.  Indera Laksamana menghulur tangan. 
           
“Indera Laksamana!  Di sini rupanya pengecut bermain sorokan,” suara itu muncul di belakang Kembang Dahlia.  Dia tidak sempat berbuat apa-apa.  Sudahpun terlanggar tubuh besar itu, bagaikan terlanggar dinding.  Lengan agam tubuh besar itu sudah menyilang di leher Kembang Dahlia.  Tubuh sebesar semut merah berbanding gergasi itu bagaikan tenggelam di dalam baju besi yang bersisa darah di sana sini.
           
“Lepaskan dia.  Dia tidak bermakna buatmu!”  Tempik Tengku Indera Laksamana.  Keris sempana ganja iras yang bercanai di hulu air, diasam ke bilik dalam, sebulan dagang menggalas, jejak ditikam mati juga terhunus.  Menyediakan kuda-kuda.
           
“Dia bermakna buat tuan hamba,”  ketawa Raja Helang Olak Lapan menggelegak dan menakutkan dan menggegar persekitaran kedengaran di telinga Zaw.  Opss, Kembang Dahlia.  Anak mata Zaw meliar.  Siapa aku sebenarnya ni?
           
“Helang Olak Lapan, terimalah tikaman beta!!”  Tempikan beserta serangan beriring dengan hanya kerdipan mata.  Raja Helang Olak Lapan rupa-rupanya sudah dapat membaca.  Ditolaknya Kembang Dahlia dan suri itu terlanggar pemegang titi jambatan lalu tercebur di dalam tasik.
           
“Mak!...”  Zaw menjerit-jerit terkapai-kapai.  Tetapi bukan hidung yang sakit melawan rasa lemas.  Punggungnya terasa dihempas.  Perlahan-lahan dia membuka mata.   Persekitaran bilik terang-benderang.  Budik dan Ain masih lena tetapi dia sudah tertolak hingga ke birai katil dan akhirnya tercepuk ke bawah lantai.
           
Zaw melafazkan beristighafar beberapa kali.  Membenarkan kata-kata Budik.  Rohaninya sedang kelaparan dan jasmani juga keletahan dengan ujian ini. Dia bersandar di tiang katil.  Kantuknya sudah berlari sejauh-jauhnya.
                                                                       
Tengku Indera Laksamanalah.  Raja Helang Olak Lapanlah.  Kembang Dahlialah. Wafilah!  Wafi?  Tidak fasal-fasal Wafi juga menyibuk di dalam mimpinya.  Dia beristighafar lagi.    Majalah Mekar yang terlantar di lantai dikutipnya dan disimpan di dalam beg galasnya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...