..yang bernama sahabat

Friday, 19 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 5




BAB LIMA (5)

            “Macamana kau boleh terfikir nak tumbuk hidung budak tu?”  Zareema masih belum berpuas hati dengan penjelasan adiknya tadi. 
Sejarah baru yang berlaku di dalam keluarga mereka.  Zaweeya sedang bersila sambil membahagi-bahagikan majalah Mekar itu mengikut tarikh keluarannya.
           
Zareema berada di dapur, seperti biasa membantu Mama menyiapkan hidangan tengahari.  Sabtu dan Ahad, dia kembali ke rumah.  Pengajiannya di dalam bidang Fashion & Retailing di sebuah universiti swasta itu masih bersisa beberapa semester lagi.  Baki tiga bulan dalam tempoh pengajian dua tahun enam bulan itu nanti akan dihabiskan di kampus Lambeth, jauh di Tanah Ratu. 
 
            “Ih! Berapa kali aku nak cakap.  Aku tertumbuk.  Bukannya sengaja.  Ter!  Ter tu maknanya tak sengaja…,” Zaw menggetap giginya. 

Sukarnya untuk menerangkan perkara yang sama berkali-kali.  Pada orang yang sama, juga berkali-kali.  Dia  menghentakkan kakinya bagai kanak-kanak merusuh tidak dibelikan barang permainan.
            “Syukur pada Allahlah yang emak si Wafi tu kawan Mama.  Kalau tak, Mama memang tak tahu nak cakap apa lagi.”
            “Cakap apa?  Orang dah kalut dengan perangai samseng si Zaweeya ni, Mama kau sibuk pasal buah oren,” sampuk Papa tiba-tiba. 
Dia muncul dengan akhbar mingguan di tangan.  Menyertai riuh borak keluarga di dapur.  Terkemab dengan hunjaman kata-kata tanpa henti daripada mulut wanita itu.  Sudahlah berbahasa penjajah pekat likat bagai Birch menebar ego di tebing Sungai Perak. Peristiwa di bilik pengetua itu berlayar kembali di ruang mata.
            “Oren?”  Zareema dan Zaweeya menyoal hampir serentak.
            “Mama Wafi tu berkahwin dengan orang Belanda,” terang Mama, bagai perkara itu tidak bererti apa-apa.
            “Wow, bermakna Wafi tu ada darah Belandalah?  Mesti ganteng, gitu..”  Zareema membedik-bedikkan biji matanya sambil tersenyum ke arah Zaw.  Mama juga menoleh ke arah Zaw.  Menunggu reaksinya.
            “Itulah.  Mamapun nak tunggu, nak tengok sekacak mana bakal menantu Mama tu. Alih-alih, Mama dia kata, dia kat rumah lagi,” usikan Puan Hidayati tambah memanjangkan juihan bibir Zaweeya.
            “Zaw, kau biar betul.  Orang tua-tua kata, jangan benci sangat. Nanti terbalik jadi suka,” giat Zareema sambil ketawa.
 Zaweeya menutup kedua-dua belah telinganya dengan tapak tangan.  Tidak mahu mendengar lagi.  Pantang betul kalau dia mendengar nama itu disebut.  Berlebih-lebihan lagi, kini semuanya menjadi bahan bualan.
            Sedar Mama dan kakak sulungnya itu tidak akan berhenti mengusiknya, dicapainya senaskhah majalah Mekar dan dibawa lari naik ke atas.  Mencampakkan diri di atas katil.   Tiga orang gadis kembar menghiasi muka depan majalah itu.  Dengan tajuk ‘Tiga Kembar Genius’. 
            Sambil meniarap, dia menyelak-nyelak helaian majalah yang sudah kekuningan.  Ada sebahagiannya sudah mereput.
            Ada kepada satu hari, tersebutlah kisah di sebuah desa terpencil.  Adapun pekerjaan penduduknya tidak lain dari bertani dan juga menjadi nelayan.  Mana yang menjadi nelayan, selalulah mereka singgah berehat melepas lelah di betingan pasir yang menganjur bagai pulau.
            Maka, oleh kerana desa itu berada di hujung betingan pasir itu, maka diberilah gelar orang Desa Buntut Pulau adanya.  Adapun begitu, dengan nama yang sedemikian rupa, tiadalah mahu orang menyebutnya nalar kerana dibimbangi disalah sangka berkata perkataan yang tidak elok.
            Maka, di Desa Buntut Pulau itu jugalah diam tiga beranak di dalam pondok kecil diperbuat daripada buluh adanya.  Si ayah bernama Awang Dalik, Si ibu bernama Kembang Cina.  Mereka berdua mempunyai seorang puteri bernama Kembang Dahlia, adanya.
            Si Kembang Dahlia itu belumlah handal menanak nasi.  Tidaklah menjadi apa kepada ibu dan ayahnya kerana mengenangkan Si Kembang Dahlia tidak pernah dilihat oleh orang lalu lalang memudik perahu.
 
Ayuhai kawan inilah sabda,
Yusuf yang tampan empunya cerita,
Bulan dan bintang sujud padanya,
Terbitlah walang ayahanda tercinta.

Berperi ayahanda waspada anakanda,
Syaitan sentiasa bersiap siaga,
Kepada saudara jangan diberita,
Kelak celaka badan binasa.

Si Kembang Dahlia itu, pandai berkidung.  Adapun kidung itu didengar dan diperturun dari ibunya juga.  Kidung bernama ‘Syair Teladan Yusuf Nan Tampan’ dilagukan bondanya semenjak Si Kembang Dahlia di dalam hayunan buai lagi.   
                        Si Kembang Dahlia suka azamat melagukan Syair Teladan Yusuf nan Tampan.  Melagukannya menjadikan dia asyik.  Maka lupalah seketika dia akan rawan hatinya kerana tiada berkawan. 

Yusuf itu nabi pilihan,
Mentakwil mimpi itulah kelebihan,
Janganlah manusia buruk perasaan,
Janji Allah bukan tandingan,

Hasad dengki jangan dilayan,
Putus kasih dengan kesayangan,
Syaitan pula main peranan,
Terkorbanlah Yusuf dalam buangan.

           
Bahawa berhentilah kisah Si Kembang Dahlia anak Si Kembang Cina dan Awang Dalik di pinggir sungai di dalam pondok buluh.  Tersebutlah pula kisah Putera Indera Laksamana yang memulakan pelayaran bersama sahabat baiknya Panglima Awang Gagah.
Pada ayahanda dan bonda Tuanku Seri Alam Keramat dan Tuanku Puteri Cahaya Bulan dikhabar mahu melihat indah buana di luar istana.  Maka berkatalah Putera Indera Laksamana kepada Panglima Awang Gagah.
Zaweeya merungut-rungut sendiri.  Tak habis-habis Putera Indera Laksamana berkata kepada Panglima Awang Gagah.  Kalau begitu, sampai bila nak habis cerita ini?  Tidak penatkah si Bentara Aduka ini menulis cerita yang sebegini lambat?  Dia merengus dan menutup majalah itu.  Dicampakkannya ke lantai.

Kalau aku menjadi Kembang Dahlia, sudah lama aku lagukan syair pada angin membawa isyarat cinta kepada Indera Laksamana.  Tetapi untuk apa.  Lebih baik diberikan cinta pada Panglima Awang Gagah.  Mendengar namanya sahaja, dapat digambarkan betapa gagahnya panglima itu.  Mungkin sehebat Hang Tuah.  Mungkin wajahnya tidaklah sehebat Wafi Ikhmal.  Agh! Kenapa pula nama itu yang melintas?
           
“KENAPA Wafi tak berterus-terang dengan Mama.  Beritahu apa yang sebenarnya berlaku?”  Puan Izzie mendekati Wafi yang sedang berehat-rehat di wakaf.  Lot banglo yang terasing sedikit dari lot-lot lain itu tersergam indah.  Cahaya terang dari banglo itu menyimbah persekitaran.
            “Tak ada apa-apa yang berlakulah Ma,”  berkali-kali dia menegaskan. 
Memang tidak ada apa-apa yang berlaku di antara dia dengan Zaweeya.  Kejadian itu mungkin berpunca dari tindakan refleksi Zaweeya yang terkejut dengan sentuhan di lengannya.  Bukannya bersentuh kulitpun.
           
Cuma dia memerlukan penjelasan daripada Zaweeya.  Dia perlu tahu kenapa Zaweeya sering berkasar dan menggunakan bahasa yang biadap setiap kali mereka terserempak.  Dia cuma ingin menyelesaikan apa yang terbuku di hati masing-masing.
           
“Mama dia, kawan rapat Mama.  Sangat rapat.  Mama tak mahu ada apa-apa perkara buruk berlaku pada anak dia.  Walaupun Mama tak pernah jumpa dengan Zaweeya.  Kalau Wafi buat sesuatu yang tak baik pada budak tu, Mama tak akan maafkan Wafi.” Puan Izzie memberi amaran.  Masih dalam lenggok England Utaranya.
            “Selamat malam, Mama,” ucap selamat di dalam Bahasa Belanda slanga Jerman diberikan lantas berlalu.
 Pada hidungnya masih tertampal plaster.  Kecederaannya bukanlah teruk benar.  Hanya cedera pada perasaan yang masih membukit lagi.  Wafi sering mengingatkan Puan Izzie pada Eddy.  Menjadikan kekesalan terus membelenggu.
           
Sebagai manusia yang waras meninggalkan suami yang tidak bertanggungjawab adalah satu kewajaran sebagai tindakan menyelamatkan diri.  Tetapi sebagai manusia yang waras dan beragama meninggalkan suami mualaf yang tidak bertanggungjawab adalah kesilapan maha besar di dalam mana-mana mahkamah hidup sekalipun.
           
Dia yang menarik Eddy mendekati agama mentauhidkan Allah itu.  Bahawa Allah itu satu.  Tempat meminta pertolongan.  Tidak beranak dan diperanakkan.  Tiada yang setara dengannya.  Sepatutnya dia yang mengajarnya erti satu itu.  Tetapi tidak, dia juga tidak memilih Yang Satu saat dugaan mendebur dan menukar warna pepasir di pantai diri.
           
Dia membiarkan Eddy terperangkap dalam ruang lingkup mencari diri tanpa meninggalkan sebarang penunjuk.  Dialah yang bersalah.  Dialah yang memulakan.  Bagi pihak keluarga,  terputusnya ikatan kasih antara dia dan Eddy adalah penanda kifarah atas sebuah penderhakaan.  Mereka meraikan kekhilafan ini dengan kewujudan jasadnya yang membawa bersama zuriat Eddy di dalam rahimnya.
           
Membesarlah Wafi tanpa kasih sayang lelaki bernama Papa.  Biarpun dia tidak pernah memisahkan Wafi dengan Eddy semenjak kelahirannya.  Wafi memaklumi kewujudan papanya.  Tetapi tidak pernah ada pertemuan.  Baik dia mahupun Eddy, masih lagi mencacak panji keegoan masing-masing di medan tempur kasih sayang milik Wafi itu.
            “Aku berbohong dengan kau tentang Eddy,” ujar Puan Izzie perlahan.
 Wajah sahabat baiknya itu ditatapnya.  Suasana di dalam restoran mewah hotel lima bintang itu tenang.  Diwarnai dengan cahaya lampu yang membalikkan cahaya pada dinding yang menjadikan suasana tambah mendamaikan.  Alunan lagu-lagu instrumental turut mengiringi deru air terjun mini buatan yang terletak tidak jauh dari mereka.
           
Secara formalnya, inilah pertemuan pertama mereka setelah bertahun diceraikan oleh tuntutan fitrah diri.  Sebaik habis belajar,  bulan pertama dan kedua masih ada khabar yang saling bertaut.  Tetapi lama kelamaan tautan itu semakin longgar dan akhirnya terlerai.
           
“Maksud kau, kau dengan Eddy bukan suami isteri lagi?”  Puan Hidayati cuba meneka dengan menggunakan perkataan yang lebih manis.  ‘bukan suami isteri’ dan bukannya bercerai.

Angguk.  Anggukan lemah itu mengingatkan Puan Hidayati ketika Puan Izzie dikecewakan pada kesekian kalinya.  Sewaktu mereka belajar dahulu.  Adatnya kitaran hidup, ada yang memburu dan yang diburu.  Bukan selalunya pemburu mendapat hasil yang memuaskan hati.  Inilah salah seorang daripadanya.
           
“Kenapa?”  Biarpun tidak dikeluarkan soalan itu, Puan Hidayati tahu, sahabatnya itu akan membuka mulut juga.  Cumanya sebagai alas kata berbudi bahasa dan perlambangan mengambil tahu.
           
“Aku tinggalkan dia masa Wafi dalam perut lagi.”
            “Kenapa?”  Puan Hidayati bertanya lagi.   Biarpun jawapan sebentar tadi tidak menepati kehendak soalan.  Masuklah peperiksaan mana-manapun, pasti mendapat markah telur.  Lain yang ditanya, lain dijawab.
           
“Aku terpaksa,” Puan Izzie mengeluarkan tisu dari beg tangan LV edisi terkini. 
Puan Hidayati menjeling.  Kalau sudah berwang, beg tangan mahalpun bagaikan seluar dalam sahaja.  Boleh ditukar setiap hari.
            “Siapa yang paksa?”
            “Tak ada sesiapa.”
            “Habis, kalau tak ada sesiapa yang paksa, macamana kau boleh kata kau terpaksa?  Cuba kau cakap betul-betul.  Sebenarnya hati kau berdolak-dalik masa berkahwin dengan Eddy kan?  Kau tak pasti apa yang kau buat betul atau tidak, betul tak?”  Puan Hidayati sekadar meneka.
            “Kau memang pandai baca apa yang ada dalam hati perut aku, ek.  Eh, apa kata kita bermadu?”  Puan Izzie yang tiba-tiba ceria melepaskan soalan yang paling sensitif di telinga sesiapa juga yang bergelar isteri.  Bagaikan mahu tersembul biji mata Puan Hidayati mendengar cadangan itu.
            “Bermadu??  Kau pernah rasa sup beg tangan LV masa tengah panas menggelegak tu?  Atau kau nak jadi orang pertama merasanya?”  Puan Izzie ketawa terkekeh-kekeh. 
Berladung air di sudut matanya.  Sudah lama dia tidak ketawa sebegitu rupa.  Puan Hidayati cuba untuk ketawa, biarpun berdebar hatinya mendengar kata-kata itu tadi.
           
Membandingkan mereka berdua, kelebihan pada Izzaidah kerana dia berkulit mulus terjaga dan dia pandai menjaga penampilannya.  Menyesuaikan cara berpakaian dengan karisma dirinya sendiri.  Dari segi fizikal lain, mereka berdua tidak jauh berbeza.  Malah, sewaktu belajar dahulu ada yang mengatakan mereka seakan kembar.  Kedua-duanya berlesung pipit, kedua-duanya bermata bulat.  Kedua-duanya berhidung mancung dan bergigi sedikit mancung.
           
            Membayangkan dia bermadu dengan Izzaidah.  Di luar kotak bayangannya.  Sudahlah bermadu dengan sahabat baik sendiri.  Belum kuat lagi hatinya untuk menerima payung emas biarpun emas itu idaman semua wanita.  Mengenangkan dia akan kalah teruk dari segala segi.  Biarlah aku berundur!
           
            “Oi, aku bergurau ajalah.  Janganlah macam tu.  Aku tahu bagaimana rasa bermadu,” Puan Izzie menebar senyum penuh makna.  Tangan Puan Hidayati yang sedang memegang garpu bersedia untuk mencucuk daging kambing bakar di depannya, dicapai.  Digenggamnya bagai berjanji, persahabatan itu tidak akan dikhianati.

            “Sekarang kau bermadu pulakkah?  Hebatnya pengalaman hidup kau,” puji Puan Hidayati ikhlas.  Biarpun umpatan pelbagai warna terhadap wanita seperti itu, hakikatnya mereka tabah.  Berani meredah dugaan dan akhirnya menjadi dewasa dengan bergurukan pengalaman.

            “Sekejap.  Tapi kau faham ajalah.  Aku kurang tertarik dengan lelaki Melayu!”  Pendirian Izzaidah semenjak dulu.  Semuanya kerana pengalaman persekitaran yang tidak memihak kepada lelaki Melayu di dalam keluarga bangsawannya.  Ditambah pula dengan kredibiliti lelaki Melayu yang sering dipertikaikan oleh wanita Melayu juga.  Maka, layulah Melayu di dalam Melayu sendiri.

            “Kau?”  Puan Izzie meletakkan garpu dan pisau.  Mengelap bibirnya dengan napkin.  Berhati-hati, takut melelaskan warna gincu di bibirnya.
            “Tak ada yang menarik.  Suri rumahtangga.  Suami aku bekerja biasa-biasa.  Ibu kepada anak perempuan.  Tiga orang.  Itu aja.  Tapi….,” Puan Hidayati berjeda.  Teman di depannya memandangnya dengan rasa kurang sabar.
            “Aku bahagia!”  Puan Hidayati menetap kata.  Meresap rasa cemburu di dalam rongga dada Puan Izzie.  Kata-kata jujur itu membuatkan dia merasa begitu irikan kebahagian itu.
            “Bercakap fasal anak perempuan ni,  betul anak kau tak beritahu apa-apa?”  Puan Izzie mencedok buah-buahan di dalam cawannya.
            “Iya.  Habis aku panggil semua peguam, pendakwaraya, polis, tukang taip mahkamah suruh tanya dia.  Mati hidup balik dia kata tak ada apa-apa.”  Puan Hidayati kembali berwajah serius.
            “Iya, eh!  Wafipun macam tu. Tapi, siapa semua peguam, polis yang kau cakap tadi?”  Puan Izzie memulakan sessi soalan bodohnya.  Tidak faham-faham dengan tabiat temannya yang suka berbelit dan bermain kata-kata.
            “Papa dia, kakak dia, adik dia, aku sendiri….”  Puan Hidayati sudah tersenyum-senyum memandang Puan Izzie yang masih serius memikirkan.  Kalau dibiarkan, sampai pagi esok tak habis lagi berfikir.
            “Aku rasa macam nak buat sesuatulah.  Intuisi aku sebagai mak mengatakan Wafi ada perasaan pada Zaweeya,” teka Puan Izzie.  Sekadar tekaan.
            “Intuisi aku sebagai mak Zaweeya, dia memang menyampah habis dengan Wafi,” ucap Puan Hidayati selajur menghirup air buah-buahan yang diam di sebelah kanan pinggannya.
            “Alah, Yatt.  Janganlah macam tu.  Aku teringin sangat nak berbesan dengan kau.  Aku risau tengok kawan-kawan perempuan Wafi tu.  Entah mereka nak berkawan dengan Wafi kerana Wafi tu segak.  Entah kerana mereka nampak Wafi tu kaya.  Atau nak menumpang title bangsawan aku ni,” Puan Izzie menyenaraikan kemungkinan.
            “Izzie, selama aku berkawan dengan kau, pernah aku jaja nama kau?  Pernah aku guna nama pangkal kau tu untuk kepentingan aku?  Janganlah bersangka buruk macam tu.  Kau ikhlas dengan orang, orang ikhlaslah dengan kau,” tukas Puan Hidayati agak keras.  Menafikan apa yang sedang berlegar di dalam kepala Puan Izzie itu.
            “Janganlah ambil hati, Yatt.  Aku tak maksudkan kau.  Aku bimbang.  Tak wajarkah aku sebagai mak bimbangkan anak-anaknya?  Memanglah anak aku tu lelaki.  Tapi bila tengok pembawakan budak-budak sekarang, baik lelaki atau perempuan, buat aku takut.”  Puan Izzie berterus-terang mengenai perasaannya. 

Bukan sekali dua dia terserempak dengan Wafi dan kawan-kawan perempuannya yang berbilang bangsa dan bertukar pasang.  Pakaian tak usah dicerita.  Bagaikan kain di dunia ini dicipta untuk dipakaikan kepada kambing dan lembu.  Bukan untuk manusia.
           
“Kau percayalah kat anak kau.  Budak-budak tengah nak naik ni, cukup pantang kalau dia dengar kita tak percayakan dia.  Kau pantau sahaja dari jauh.  Silap baru tegur.  Lagipun banyak masa lagilah, Izzie.  Anak dara aku pegang pisaupun terbalik…”
            “La, iyakah?  Tak lukakah?”  Sekali lagi, Puan Izzie bertanya soalan bodoh.
            “Kau ni, kalau aku cakap tingtong, kau marah.  Tapi kau memang tingtong.  Maksud aku, dia tak pandai masak lagi.  Macam mana nak kahwin,” leter Puan Hidayati.  Penat dibuatnya.
            Hari semakin larut sedang Puan Hidayati sudah berjanji sekian waktu, sekian jam dengan suaminya.  Mereka berpaut lengan meninggalkan restoran mewah itu.
            “Bonda kau buat apa kalau kau malas masak eh?”  Tiba-tiba Puan Hidayati meminta pendapat sebelum pintu lif terbuka.
            “Biasalah.  Kena leterlah.  Katanya, perempuan kalau duduk dalam istana di puncak awanpun, kalau tak tahu memasak, tarafnya sama dengan yang berkaki dua berkepak di dalam reban tu…,” Puan Izzie bagai cuba mengingat pesan bondanya.
            “Nampak.  Semua mak risaukan anak perempuan yang tak tahu memasak.  Malas ke dapur.  Malas mengemas.  Eh!, tak baik cakap malas.  Terlebih rajin.”  Puan Hidayati menepuk mulutnya beberapa kali.
            “Kenapa?”
            “Kita sebagai mak tak boleh cakap yang buruk-buruk tentang anak.  Kata-kata ibu tu bagaikan doa.  Manalah tahu saat aku bercakap yang buruk tadi, doa aku dimakbulkan.  Jadilah anak aku seperti apa yang aku sebut tadi.  Kan, orang Melayu ada berkata, mulut mak masin,” ungkap Puan Hidayati selajur mengalunkan istighafar beberapa kali.  Mengakui kesilapan dan memohon keampunan.
            “Begitukah?  Kenapa aku tak tahu?”  Puan Izzie bertanya.  Bagaikan bertanya kepada diri sendiri.

*********************************************************************************
Pawang Ana & Raja Haji Yahya.  1985.  Hikayat Awang Sulung Merah Muda.  Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Al Quran nul Karim, Surah Yusuf ayat 6-10
Al Quran nul Karim, Surah Al Ikhlas, ayat 1-4

*kidung - syair
*nalar - selalu
*kemab - terkejut
*azamat - sangat



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...