..yang bernama sahabat

Wednesday, 31 October 2012

Aku Bukan Zuriatmu


Cerpen ini juga mengandungi panduan menikahkan anak angkat perempuan menurut ajaran Islam berdasarkan pengalaman penulis sendiri.  Semoga mendapat manfaat.  Dihantar ke Penulisan 2U pada 7/10/2012

“Aku terima nikahnya Nur Atikah dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai”. Saat anggukan Tuk Lang dan Pakcik difahami Tuan Kadi, air mata bergenang di kelopak mata. Bukan kerana aku dikahwinkan atas paksaan. Bukan! kerana aku dan Sufian memang sangat menyintai selepas tiga tahun berkawan.
Bukan! Aku menangis kerana nama Ayah tidak disebut dalam lafaz ijab tadi.
Wajah Ayah juga mendung kerana namanya tidak disebut dalam janji keramat antara aku dengan Sufian itu. Nama Ayah, Abdul Rahman, hamba yang Maha Pengasih itu tidak disebut kerana kami tidak berkongsi alir darah yang sama.
Abdul Rahman yang pengasih dan Siti Zaleha yang baik itu mengambil aku ketika aku baru dilahirkan. Cerita ibu. Aku dibungkus dengan kain batik lusuh dan banyak gigitan serangga di belakangku. Itu cerita lama. Malah bidan yang menyambut kelahiranku dulupun sudah tiada. Silapnya aku dibintikan dengan Abdul Rahman bukan Abu Hassan seperti di dalam surat nikah ibu kandungku.
Berkali-kali Ayah memohon maaf kerana itu. Aku terkemap. Realitinya Rasulullah SAW sendiri ditegur Allah SWT ketika menukarkan bin Zaid bin Harithah kepada Zaid bin Muhammad. Aku mampu berdoa semoga taubat Nasuhanya diterima kerana merombak semula kerja puluhan tahun lalu perlukan prosedur yang keras dan kohot.
Agaknya, akulah anak angkat yang paling kuat di dalam dunia. Paling ampuh hatinya kerana tiada setitik air mataku tumpah saat perkhabaran ini kuterima. Aku berikan senyuman paling manis buat ibu serta tetamu ibu itu. rembes sinar cincin pertunangan di jari juga mungkin tidak dapat mengalahkan sinar senyumanku.
Kenapa? Kerana aku tidak percaya. Sebesar hamapun aku tidak percaya. Malah aku cuba buang jauh-jauh kenyataan itu daripada cepu kepalaku. Abdul Rahman dan Siti Zaleha itu menatangiku bukan lagi bagai minyak yang penuh, malah melimpah ruah.
Saat remaja menginjak, aku menerima perkhabaran itu dari seseorang. Diberitahu juga siapa nenek tiriku. Apa yang sebenarnya berlaku dengan perkahwinan seorang lelaki dan seorang perempuan yang melahirkan aku. Aku pegun, tetapi aku abaikan. Itu novel kisah hidup orang lain barangkali.
Seseorang bergelar sahabat lain datang pula sebaik tahu hari bergelar suri hati Sufian semakin hampir. Diceritakan satu persatu dan versinya sama dengan versi terdahulu. Aku menangis metah ketika itu. Kenyataannya, aku memang anak angkat! Akhirnya aku akur dengan ketetapan Al Quran dan Sunnah.
Ruwet segalanya kerana perkahwinan ini harus berwalikan wali hakim dengan kebenaran mahkamah syariah. Bukan setakat serahan seorang bapa pada wali hakim saat akad nikah hendak berlangsung. Ayah angkat tidak berhak mewalikan anak angkatnya. Aku nanar seketika saat keluar dari pintu Mahkamah Syariah. Fail kertas mengandungi dokumen permohonan berkahwin dan beberapa dokumen lain aku hempaskan ke lantai. Aku menangis. Abdul Rahman yang pengasih itulah yang mengutipnya.
Pencarian harus diiklankan. Bilang Pak Hakim. apabila sudah dipastikan tiada siapa yang tampil mengaku sebagai wali, barulah permohonan berwali hakim akan dipanjangkan. Pelamin impian aku rasakan terbang menghilang di balik awan.
“Apa yang membuatkan saudari terpanggil mencari ibu dan bapa?” Suara Omar Abdullah yang ganteng dan bersahaja di konti Jejak Kasih, TV3 itu tidak sedikitpun mengkelukan lidahku. Abdul Rahman dan Siti Zaleha bersama anak-anak saudara mereka yang memungkinkan pencarianku diusahakan hingga ke layar televisyen.
Maka, berderinganlah telefon dari sahabat handai, kawan-kawan malahan ada juga yang tidak lupa untuk mengambil kesempatan. Mungkin bagi mereka, wajah yang kerinduan di kaca televisyen itu seruan cinta abadi buat mereka.
Jiran teman sepejabatku membawa berita buat membantu. Dari rekod Jabatan Pendaftaran Negara kad pengenalan bondaku telahpun digunapakai oleh seorang individu lelaki. Manakala seorang hamba Allah yang akan aku kenang jasanya sampai kini (biarpun aku lupa namanya) tampil memberi maklumat paling cemerlang. Semoga Allah terus merahmati kehidupannya.
Dia memberikan alamat terakhir ayahanda kandungku berdasarkan maklumat yang dikesannya melalui Suruhanjaya Pilihanraya. Memandangkan bakal suamiku bertunas keturunan dari negeri Adat Pepatih itu, aku panjangkan alamat itu kepadanya.
“Ini kampung abah saya!”  Selanya sebaik membaca alamat itu. Mungkin, Allah mempermudahkannnya dan aku sudah terasa bagaikan heroin di dalam slot drama Melayu.
Abdul Rahman dan Siti Zaleha yang baik itupun menemaniku bersama bapa saudaraku yang menyangkut di sebelah datuk sahaja. Nenek bakal suami yang hidup sezaman dengan lelaki bergelar ayahandaku itu membuka pula cerita di pihaknya.
“Dia dah lama meninggal! Tahun 81..” bertepatan dengan maklumat hamba Allah itu. Tiada rekod dalam data SPR selepas 1981. Aku kelelahan. Kerja jadi rumit. Perlu mendapatkan tanda tangan dan pengakuan ketua kampung mengenai kesahihan pemukiman si mati.
“Tapi abangnya ada lagi kat seberang tu!” bicara neneknya dalam pekat likat lagu daerah Batu Kikir yang membuatkan aku tergaru-garu kepala. Daripada abangnya, yang aku gelar Pak Long, terburai berita bahawa aku punya saudara. Seorang lelaki dan seorang perempuan dari ibu yang berlainan. Aku termangu seketika, apa masalah dengan lelaki yang aku gelar ayahanda ini? Apakah setiap perhentian itu tempat menyemai benih dan kemudian pergi?
Pengakuan Pak Long sebagai waris dan akuan ketua kampung aku majukan ke pejabat agama untuk urusan seterusnya. Agh! Saban masa aku merungut-rungut dengan prosedur itu dan ini hingga aku terlupakan Siti Zaleha menangis saban hari atas beban salah kerana menyembunyikan segala-galanya. Aku tidak menyalahkan sesiapa!
Tiba-tiba, aku mempunyai saudara yang hampir sebaya dengan Abdul Rahman yang pengasih dan Siti Zaleha yang baik hati itu. Wanita yang aku panggil kakak itu memang nampak tak mahu percaya pada semuanya saat kami bertatapan. Abang pula seadanya wibawa lelaki, nampak tenang dan bercerita kami mempunyai dua saudara lagi. Aduh! Aku diasak pening. Berapa ramai isteri ayahandaku ini dalam satu-satu masa.
Majlis yang perkahwinan yang sendu jadi ria dengan kehadiran keluarga baru dan lama. Adik beradik Siti Zaleha yang sepuluh orang, Adik beradikku, saudara mara Bonda dan kedatangan manusia yang paling aku ingin melihat wajahnya. Nenek tiriku!
Adatnya manusia, marah dan benci berbaur. Aku ingin tanyakan padanya kenapa tergamak dia memperlakukan bondaku sebegitu sehingga akhirnya hidupku tunggang langgang begini. Apakah kegusaran dalam status berpoligami perlukan harga yang mahal bernama kemanusiaan sehingga bondaku yang terhutang?
Kenapa tergamak dia menikahkan bondaku dengan seorang perantau tanpa tahu usul dan kemudian meninggalkannya tanpa kata selepas meninggalkan sepah dan meneguk madu. Apakah derita perempuan cacat berlidah pendek itu menjadi lagu indah yang mesti didengar hari-hari?
Namun perlahan-lahan akhirnya aku mengerti. Sudah tertulis segala-galanya begini. Siapalah aku untuk mempertikaikan percaturan Allah. Diberikannya dugaan untuk memperlihatkan kasihNya. Aku belajar untuk memaafkan biarpun ketika ingatan rindu untuk bonda menjelang, aku masih menangis.   

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...