..yang bernama sahabat

Tuesday, 23 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 8


BAB LAPAN (8)

            PUAN Izzie menarik Puan Hidayati ke satu sudut.  Barang-barang sudahpun dipunggah masuk ke dalam rumah oleh Wafi, Encik Azhari, Zaw dan kawan-kawannya.   Zakeeya sudah menuruni bukit menuju ke anak sungai tempatnya selalu bermain.  Rumah pusaka besar di atas bukit itu didiami oleh abang Puan Hidayati yang dipanggil Ayah Chik oleh Zaweeya dan adik beradiknya.

            “Itu Abang kau?  Yang aku…?”  Puan Izzie tidak menghabiskan kata-katanya.  Puan Hidayati sudah mengangguk.
            “Dia tahu tak?”
            “Sampai sekarang dia tak tahu lagi…”  Kata-kata Puan Hidayati membuatkan sahabatnya itu menarik nafas lega. 
            “Tapi, dia simpan semua poskad tu.”
            “Sampai sekarang?”
            “Sampai sekarang.”  Mata Puan Izzie menurut kelibat Wafi yang menghilang di sebalik semak rimbun menuju ke anak sungai yang dituju Zakeeya tadi. 

Ada jambatan kecil yang merentang anak sungai kecil separas keting airnya itu.  Wafi cuma memerhati keletah Zakeeya yang kegembiraan bagaikan tidak berjumpa anak air sebegitu dari atas jambatan.

            “Kakak awak memang anti lelaki kah?”  Akhirnya terpacul soalan yang hendak ditanyakan sangat.  Zakeeya yang sedang menepuk-nepuk permukaan air itu mendongak.  Wajahnya sudah dibasahi air.

            “Tak adalah.  Dia normal.  Tapi perangai dia memang macam tu.”
            “Macam tu, tu macamana?”
            “Macam yang awak tengoklah.  Susah saya nak terangkan.  Baik awak tanya kak Ain dengan Budik.  Mereka kawan rapat semenjak di tingkatan satu,” terang Zakeeya sambil menyambung perbuatannya tadi.
            “Keeya!”  Satu suara sambil mendekat. mengayuh basikal Pixienya.  Budak lelaki yang lebih kurang sebaya dengannya menjerit-jerit kegirangan.  Kayuhannya menjadi tidak tentu hala sehinggakan Wafi perlu mengelak untuk tidak dilanggar.

            “Tak beritahu nak balik kampung.  Bawa boyfriend pula tu,”usiknya sambil menyandarkan basikalnya pada besi jambatan yang bertentangan dengan Wafi.
            “Ini kawan Zaw.  Wafi.”  Kawan?  Bertegur sapapun tidak pernah.  Layakkan didefinasikan sebagai kawan?
            “Mama saya, kawan Mama Zaweeya.  Err… maksud saya, Zaw,”  Wafi menghulurkan tangan.  Mereka berjabat sebelum budak lelaki itu juga menuruni tebing dan mendekati sepupunya itu.
            “Dia ni abang sepupu saya.  Amirul Izzuddin.  Anak Ayah Chik.  Panggil Mirul aja.”  Keeya memperkenalkan sambil terus bermain air dengan teman yang baru terjun ke dalam sungai kecil itu.

            Laungan Puan Hidayati dari atas bukit menggema sekitar memanggil nama Keeya.  Terkebil-kebil Wafi mendengar kehebatan laungan suara tanpa pembesar suara itu.  Keeya yang kebasahan, segera mendaki tebing.

            “Wafi ke mana?”  Tanya Puan Izzie melihat Wafi menyorong basikal Pixie berwarna menjolok mata itu.

 Amirul dan Keeya sedang asyik bergurauan.  Sesekala mengusik Wafi yang masih kekok mencampuri mereka.  Canda gurau Keeya dan Amirul menjawab soalan Puan Izzie.  Wajah Amirul Izzudin yang jernih itu menangkap pandangan Puan Izzie.  Mereka sekadar bertukar senyum.  Zaw, Budik dan Ain sedang duduk-duduk di wakaf di hujung laman.  Wafi melabuhkan punggung di atas simen bulat di hujung tangga.  Mamanya pula bersimpuh di mata tangga yang paling atas.
            Gelak ketawa dan suara Zaw dan kawan-kawan yang meninggi mengganggu damai perasaannya.  Terasa untaian ketawa itu mengejek-ejeknya.  Terasa bagaikan Zaw dan kawan-kawannya sedang mengumpatkan dia.  Seteruk-teruk umpatan.
            “Mari kita masuk, makan.  Zaw, ajak kawan-kawan makan!”  panggil Puan Izzie tiba-tiba.  Memancung kedukaan yang bertakhta di hati Wafi.  Hidangan yang tidak dapat ditafsir sama ada sarapan ataupun makan tengahari dibuat dalam dua hidangan.  Satu untuk para lelaki, satu untuk para wanita.

            “Siapa masak ni, Zaw kah?”  Encik Haikal ataupun dipanggil Zaw, Ayah Chik bertanya.  Sebaik sahaja mendekati meja yang menghidangkan nasi lemak yang mengharum aroma pandan dan halianya.  Amirul tiba-tiba melengkingkan ketawa sekuat-kuatnya.  Zaw menjelingnya dan menayangkan penumbuknya.  Wafi tersenyum sinis.  Patutlah akupun kena tumbuk!    

            “Hah!  Sudah!  Tak cukup dengan Wafi, dengan Mirul pula,” marah Encik Azhari.  Zaw menundukkan muka apabila mendengar suara papanya.
            “Kenapa?”  Soal Encik Haikal sebaik sahaja suapan pertama terhadam. 
            “Garang benar.  Habis semua orang nak ditinjunya,” ujar Encik Azhari tanpa merujuk kepada sesiapa.  Terdengar gerakan kerusi yang ditarik kasar.  Zaw bangun.  Menatang pinggan nasi lemaknya.  Keluar ikut pintu dapur dan menghala ke wakaf.  Budik dan Ain tersenyum-senyum. 

            “Takkan fasal aku ketawa tadi, kau nak marah?”  Amirul berdiri.  Menongkat tiang wakaf.  Usai hidangan pertama, dia bergegas menuju ke wakaf itu dengan pesanan, ada baki nasi lemak itu disimpan untuknya.

            “Aku bukan marah fasal tu lah,” Zaw menjawab kasar.  Matanya memanah ke arah jalan raya yang menghubungkan Kuala Klawang dengan Simpang Pertang itu.  Pemandangan menyeluruh dapat dinikmati bagai berada di atas Bukit Pemanah di dalam medan perang Uhud.

            Sambil mengunyah nasi lemaknya, dia membelakangkan Amirul.  Sepupu yang akan mengambil SPM pada tahun depan itu menggaru-garu belakang telinganya. Wajah Zaw yang mencuka itu menandakan dia menyimpan sesuatu yang menyakitkan. 
            Tiba-tiba, batuk kecil kedengaran dan nasi lemak menyembur keluar dari mulut Zaw.  Zaw memegang lehernya.  Amirul menepuk-nepuk belakang Zaw.  Tepuk lelaki, kasar dan menyeluruh.

            “Dia marah kat aku,”  Wafi yang mulanya memerhati sahaja, menghampiri dengan gelas kosong dan sebekas air kosong.  Dituang segera dan dihulurkan kepada Zaw.
            “Gelojoh,” komen Amirul.  Berdecit-decit mulutnya melihat kelakuan sepupu perempuannya itu.  Antara yang terapat dengannya selain Zakeeya dan Zareema.
            “Kenapa dia marah kat kau?  Kau buat apa kat dia?” soalan Amirul kedengaran tegang.  Mata curiganya merenung tajam ke arah Wafi.

            “Akupun nak tanya soalan tu,”  Wafi melabuhkan punggung.
  Amirul memerhati setiap inci wajah Wafi.  Ada tarikan tersendiri.  Mungkin kerana kulitnya yang kemerah-merahan dan rambut yang keperang-perangan semulajadi.  Dari segi paras rupa, biasa-biasa sahaja.  Amirul membanding dengan dirinya sendiri. Kalau dibandingkan ketinggian hidung,  boleh dikatakan sama aras ketinggiannya.  Tapi dari segi bulatnya mata, dia mengaku kalah.

            “Dia buat apa kat kau?  Dia kacau kau?  Biar aku kerjakan dia sekarang juga,” ugut Amirul tetapi di bibirnya mengukir senyum.
            “Kecohlah kau!”  Komen Zaw sebelum mengengsot dari dalam wakaf berlantai buluh itu dan kemudiannya meninggalkan mereka.
            “Kau tengok, dia tak mahu beritahu.  Akupun tak faham,” ujar Wafi bagaikan mengadu nasib kepada Amirul.
            “Betulkah dia tumbuk kau?”  Amirul duduk di sebelah Wafi.  Selipar ditanggalkan dibiarkan kaki tergantung terhayun-hayun.  Perut yang kenyang mengalirkan rasa mengantuk pada mata.
            “Tertumbuk agaknya,”  Wafi mereka-reka sendiri.  Malu pula menerima hakikat ditumbuk seorang perempuan.
            “Dia memang macam tu.  Nanti okeylah.  Kalau kau dah kenal dia, dia baik,”  Amirul menjanjikan sesuatu yang tidak pasti.  Wafi tersenyum sehingga terdengar sedikit suara bagaikan ketawa dari ulas bibirnya.
            “Dia buat aku takut…,” Wafi mengakui.
            “Kau suka dekat diakah?”  Soalan Amirul itu menyesakkan tekak menyebabkan dia terbatuk-batuk.  Suka?  Kata orang, rezeki jangan ditolak.  Tetapi, kata orang juga, bala jangan dicari.  Wafi ketawa besar.  Amirul sedikit tersinggung.  Bagaikan ketawa itu menghina dirinya.

            “Kenapa kau ketawa, apa sepupu aku tu..” Amirul tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila Wafi mengangkat tangan.  Remaja akhir tujuh belas itu mengeluarkan telefonnya dari poket seluar yang bergetar sambil membawa irama sentimental garapan Michael Learns To Rock itu.

            “Ya Lisa,”  Amirul meninggalkan Wafi yang melayani  panggilan di dalam bahasa penjajah yang pekat likat itu.

            Adapun Raja Helang Olak Lapan itu sudah lama berniat untuk memperisterikan Tuan Puteri Intan Baiduri.  Maka walanglah hati Tuanku Seri Alam Keramat mengenangkan perihal anakandanya itu. 
Kerana terdengar angin menderu membawa khabar bahawa Raja Helang Olak Lapan itu suka bertukar-tukar permaisuri sebagaimana menukar persalinan layaknya. Begitulah halnya dengan bonda Tuanku Permaisuri Cahaya Bulan sehingga membawa kegeringan kepada baginda.
            Maka ketika gendang perang dipalu, berangkat Tengku Indera Laksamana bersama Panglima Awang Gagah dan gerombolannya menuju ke sempadan negeri.  Didirikanlah kubu buat menanti gerombolan angkatan perang Raja Helang Olak Lapan yang bakal merempuh bila-bila masa sahaja.

            “Zaw,”  Majalah itu terlepas dari tangannya.  Hampir dia melatah tetapi sempat dikawal kata-kata yang keluar.  Mengurut dada dan menoleh ke arah empunya suara.
            “Kami nak pergi Masjid Kuala Dulang, awak nak ikut sekali tak?”  Wafi bersuara dengan nada ingin berdamai.
            “Tak ingin,” jawab Zaw kasar. Bangun meninggalkan Wafi di ruang tamu termangu-mangu.  Wafi merengus.  Sombong benar.  Jangan harap aku nak menegur kau lagi selepas ini, Zaweeya.
            “Oi, cepatlah!  Orang semua dah siap ni.  Kau nak tinggal dengan siapa?  Ayah Chik dengan Amirulpun pergi,” sela Budik.  Melihat Zaw yang masih sambil lewa berbaring di kerusi panjang.
            Biarkan dia, Budik,” kata Puan Hidayati pula.  Mendengar suara Mamanya yang berbaur ancaman, Zaw bingkas bangun.  Mengemaskan tudung di kepala dan menjadi orang pertama yang berlegar di sekitar kereta papanya.  Menunggu kunci kereta dibuka.

            Mereka tiba di rumah ibadat yang dibuka pada kurun ke 16 itu sebaik sahaja usai azan Zohor.  Mereka sama-sama menyertai jemaah Zohor yang tidak sampaipun lima orang.  Binaan asal masjid itu masih utuh.  Beduk yang sama usia dengan masjid itu juga masih setia berada di sebelah kanan sisi masjid.

            Selesai berdoa, Keeya sudah berlari keluar.  Laju dia menuruni tangga berhampiran papan tanda masjid menuju ke anak sungai yang berada betul-betul di depan masjid.  Airnya jernih dan bersih.  Sejuk mencucuk hingga ke tulang.  Puan Izzie melupakan jarak usianya dengan menjinjit kasut turut sama turun merasai kenyamanan air sungai tersebut.  Yang lain-lain hanya memerhati dari atas jambatan yang bercat biru.

            Kebun pisang milik penduduk kampung Ulu Klawang itu menghijau subur menjadi pemandangan latar buat masjid yang juga dicat berwarna hijau  yang asalnya bangsal beratap ijuk itu.    

            “Kata orang tua-tua di sini, dulu selalu ada dulang hidang makanan kat sini.  Tak tahu siapa yang hidangkan.  Ada yang kata orang bunian,” Ayah Chik menjadi pemandu pelancong tidak rasmi menerangkan.  Ain memegang lengan Budik erat. Ayah Chik menunjukkan ke arah batu yang tertanam di pangkal pokok getah tua berhampiran tempat letak kereta. 

            Bersebelahannya terdapat tanah perkuburan generasi terdahulu yang ditanda sebagai makam bilal, Tok Pawang Jelebu dan anak buahnya.  Kawasan perkuburan bernisankan batu sungai itu dipagari dengan pagar balairaya pada sebelah kirinya dan rongak pada sebelah belakangnya.

            “Batu ni menjadi tanda tempat orang tu turun.  Sebelum ke Padang Lebar.  Membuka masjid di sana,” terang Ayah Chik lagi.

            “Siapa orang tu? Dato’ Nika dengan Mudim Khatib Rajakah?” tanya Wafi seakan berminat.  Nama itu diperoleh daripada tugu penerangan yang bersatu dengan replika keris betul-betul di depan masjid di seberang sini.
            “Entahlah, cerita Masjid Kuala Dulang ni, ada pelbagai versi.  Mitos, sejarah semuanya bercampur-campur.”  Ayah Chik menoktahkan kata.

 Wafi masih lagi menyeluk saku seluar, berdiri betul-betul di depan batu itu.  Zaw pula berada tidak jauh dari situ.  Siapa orang itu?  Semoga orang yang sama turun membantu berperang bersama Tengku Indera Laksamana bersama Panglima Awang Gagah menentang rempuhan Raja Helang Olak Lapan.  Zaw berdoa di dalam hati.  Cerita pendek klasik ciptaan Bentara Aduka itu kini bagai berada di dalam hati.  Tengku Indera Laksamana bagaikan berjasad menganggu mimpinya saban malam.
Zaw mengangkat muka apabila merasakan ada pandangan yang sedang menghala padanya.  Seorang lelaki berbusana amat berbeza berbalam-balam bayangannya di belakang Wafi.
Berseluar panjut dengan kilau kemilau bagai cermin kecil terlekat di setiap sudut seluar.  Memancar sinar memanah wajah bertambah indah.  Bajunya daripada baldu ainul-banat, dicabik sikit dijerumat. Berkain tenun dondon dari tanah besar Sind. Tengkoloknya bagai pelangi zaman dahulu, tiap sudut terlipat menyimpan hikmat.  Di pinggangnya tersisip keris sempana gajah rias.
Dikata orang retak diturut panjut putih, besi dititik besi ditinting dari keratan tongkat Nabi Adam dari serpihan besi khersani.
“Tengku,” terpacul sepatah ayat dari mulutnya.  Dia semakin mendekati Wafi.
“Tengku Indera Laksamana,” panggil Zaw.  Berada betul-betul di depan Wafi sekarang.  Wafi menoleh ke kiri dan ke kanan. 
“Zaw,” dipanggilnya nama Zaw.  Berkali-kali.  Ayah Chik juga mendekat dan memanggil-manggil nama Zaweeya.  Jerit-pekit Keeya bermain air mati tiba-tiba setelah diarah diam oleh Mamanya. 

Wajah sempurna milik Tengku Indera Laksamana itu terus memukau pandangan Zaw.  Bagaikan mahu diusap kulit mulus bagaikan telur baru berkupas itu. Pipinya bagai pauh terlayang dengan hidung kuntum bunga serayu.  Telinga bagai telepuk layu dengan dahi bagai sehari bulan.

Semuanya serba sempurna dengan kening lengkuk taji dan lehernya jinjang bagaikan buyung Petani.  Segala-galanya serba sempurna dan mengasyikkan. Tengku Indera Laksamana menghulurkan jemari halus bak tombak serainya.  Mereka masih bertatapan.  Bagaikan dialah Kembang Dahlia yang melagukan ‘Syair Teladan Yusuf Nan Tampan’.
“Zaw,” jerit Puan Hidayati melihat Zaw terkulai di dalam dakapan Wafi yang menyambutnya sebaik sahaja dia mulai kehilangan tenaga dan hampir terkulai di pangkal pokok getah tua itu.

Encik Azhari mendapatkan anak gadisnya itu dan mengendongnya membawa ke dalam masjid.  Dimintanya Amirul mengambilkan air sungai tadi untuk direnjiskan ke wajah Zaw.   Ayah Chik memulakan bacaan ayat suci Al Quran berupa surah-surah terpilih.

“Zaw, jangan buat Mama macam ni.  Mama suruh kemas majalah tu. Bukan suruh baca dan jadi macam ni,” sebak mula melingkar diri Puan Hidayati.  Pipi Zaweeya diciumnya bertalu-talu.
“Zaw, jangan tinggalkan Mama.”  Puan Izzie memeluk bahu sahabatnya itu.  Sebak terasa berkeliling sekitar mereka. 
“Majalah apa Yatt?”  Ayah Chik menghentikan bacaannya seketika.
“Mekar, yang ada cerita Indera Laksamana tu…,” terang Puan Hidayati menerangkan majalah dan cerita kegemaran mereka sewaktu kecil dahulu.  Ayah Chik menggeleng-geleng sambil tersenyum.

Tak lain tak bukan terlalu taksub dengan watak terlalu sempurna Tengku Indera Laksamana dan Panglima Awang Gagah.  Teringatkan cerita yang sering menjadi rebutan mereka adik beradik.  Selalu mereka berangan-angan untuk menjadi sempurna sebegitu.  Dulu.  

*****************************************************************
Pawang Ana & Raja Haji Yahya.  1985.  Hikayat Awang Sulung Merah Muda.  Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...