Hajah
Mariah baru sahaja meletakkan kopi panas di atas meja makan ketika deru
motosikal buruk Haji Alang semakin sayup di pendengaran. Dia tercangak-cangak
di muka pintu dapur. Seingatnya tadi, Haji Alang yang minta dia buatkan kopi.
Mindanya mencakar mencari sebarang petunjuk. Tiada apa-apa makluman daripada
Haji Alang tentang hala tujunya.
Haji
Alang menekan pedal minyak motorsikalnya. Kalau boleh terbang,
dia memang ingin meminjam mantel adiwira barat berseluar dalam di luar itu. Biar cepat terpogok di depan perkarangan masjid. Biar Tuan Haji Ibrahim terpegun melihatnya. Biar Tuan Haji Ibrahim perasankan kewujudannya dalam setiap aktiviti yang melibatkan masjid.
dia memang ingin meminjam mantel adiwira barat berseluar dalam di luar itu. Biar cepat terpogok di depan perkarangan masjid. Biar Tuan Haji Ibrahim terpegun melihatnya. Biar Tuan Haji Ibrahim perasankan kewujudannya dalam setiap aktiviti yang melibatkan masjid.
Tuan Haji
Ibrahim merupakan imam pencen masjid negeri yang baru berpindah ke kampung ini.
Rumah banglonya di atas tanah arwah ayahnya di hujung kampung kini gah berdiri
memukau mata.
Kalau diukur
dari segi saiz, banglo itu lebih kurang sama besar dengan rumah Haji Alang.
Tetapi kerana banglo itu bereka bentuk baru dan bauran cat masih melekat di
hidung maka rumah besar dua tingkat haji Alang nampak kusam.
“Awalnya Pak Aji!”
Tegur Bilal Nasir yang sedang menggaras bahagian luar kolam tempat mengambil
wudhuk di sebelah bahagian kiri masjid. Haji Alang menongkat motornya dan
melabuhkan punggung di tangga bermata tiga bertentangan dengan Bilal Nasir.
“Haji Ibrahim
mana?”
Bilal Nasir
menegakkan tubuh. Menepuk-nepuk belakang pinggangnya. Kenapa pula Haji Ibrahim
yang ditanya.
“Kat rumah
dialah!”
“Kata nak buat
kenduri kat masjid?” Haji Alang tertoleh-toleh. Stor kelengkapan masih
berkunci.
“Tak jadi… dia
nak buat doa selamat kat rumah dia. Kebetulan pula anak dara dia baru balik
belajar dari Amerika.”
Anak dara?
Persoalan kenduri tak jadi dibuat di masjid tenggelam. Diganti dengan tanda
tanya tentang anak dara Haji Ibrahim. Bersinar-sinar mata Haji Alang
mendengarnya.
“Ai! Pak Aji, dengar
aja anak dara, berseri-seri muka! Nak menambah kuota lagi ke?” Haji Alang
tersipu-sipu.
“Kalau sihat,
mampu, boleh berlaku adil, InsyaAllah!” Haji Alang mengirim maksud tersirat. Menepuk
pahanya dan bangun. Teringatkan Noriza atau Hajjah Noriza yang sedang
berpantang anak keduanya di kampung emaknya. Tidak termasuk anak-anak dengan
Hajjah Mariah seramai lapan orang. Haji Alang cukup bangga kalau ditanya orang
bilangan anak-anaknya.
“Sepuluh orang.
Dua mak. Dua puluh lebih cucu!” Kemudian dia gelak besar kerana dia tahu orang
lebih tertarik dengan perkataan ‘dua mak’ itu.
Apa yang hendak
dirungutkan oleh isterinya yang berdua itu. Rumah besar-besar didirikan khas
untuk mereka. Tahun lepas, dibawanya kedua-duanya menunaikan haji. Asalnya nama
Hajjah Mariah sahaja yang tersenarai. Si muda menarik muka. Merajuk
berminggu-minggu. Berminggu-minggu juga dia dibiarkan tidur di bilik tetamu.
Lalu dia
mengambil keputusan drastik. Dia mengambil pakej haji swasta yang boleh terus
membawanya bersama isteri-isterinya. Tak perlu berpisah-pisah bilik semasa di
Tanah Suci.
Haji Alang
bangga dengan keputusannya yang dirasakan bak menarik rambut dalam tepung itu.
isteri-isterinya tidak bermasam muka. Dia mendapat hak sepatutnya. Malah,
tempatnya yang kosong di dalam senarai Tabung Haji boleh diberikan kepada orang
lain.
“Itulah niat
saya, Tuan Haji!” Tuan Haji Ibrahim mengangguk-angguk. Sebaik sahaja diberitahu
Bilal Nasir tadi, Haji Alang terus pecut motorsikalnya ke rumah Haji Ibrahim.
Dilihatnya dua khemah besar sudah dipasang di halaman berpagar tinggi itu. Satu
khemah kecil di sudut tepi rumah. Bersebelahan dengan kolam ikan buatan yang
baru sahaja siap.
“Tiap-tiap tahun
korban lembu, tahun ni, saya nak korban untalah pulak…!”
“Baguslah tu.
Setidak-tidaknya dapat juga orang kampung makan daging unta…” Haji Ibrahim
menggamit seseorang.
“Lagipun daging
unta…” Haji Alang menunjuk isyarat ibu jari sambil matanya melirik kepada
perempuan yang digamit Haji Ibrahim tadi. Perempuan bertudung ungu
bertingkat-tingkat itu tidak mendekat, malahan berpaling pula.
“Anak perempuan
saya tu…!” Haji Ibrahim bersuara bagai tahu soalan yang lekat di rengkung Haji
Alang.
“Oh! Yang baru
habis belajar tu?” Sampuk pula Haji Alang. Hatinya berbunga. Kalau dia
meneruskan hasratnya, tentu tidak ditolak Haji Ibrahim. Haji Alang! Siapa tak
kenal Haji Alang. Orang kaya kampung yang pemurah. Setiap kali Aidil Adha,
lembu seekor pasti ada sebagai titipan. Masjid menjadi rumah kedua. Rumah agam
dengan dua orang isteri yang solehah. Pasti kriteria itu tidak membimbangkan
Haji Ibrahim.
“Dekat mana Tuan
Haji dapat bekalan unta tu?”
Kembang dadanya
dipanggil ‘tuan haji’ oleh Haji Ibrahim. Barulah rasa setaraf dengan Haji
Ibrahim. Barulah terkesan sebagai penerima haji mabrur. Biasanya orang-orang
kampung memanggilnya pak aji sahaja.
“Oh! Saya kenal
ramai pembekal dekat daerah ni. Merekapun kenal saya. Sebut aja nama Haji
Alang, semua orang tahu!” Haji Alang ketawa lagi, biarpun kata-katanya tidak
selawak manapun. Haji Ibrahim senyum nipis mengambil hati.
“Anak Tuan Haji
tu, bekerja di mana?”
“Belum bekerja
lagi. Tengah mencarilah tu. Kalau boleh saya nak dia kerja dekat-dekat sini.
Senang nak tengok-tengokkan kami. Adik-adiknya semua dah ada keluarga. Semua
duduk jauh-jauh!”
“Tuan Haji
jangan bimbanglah. Saya boleh tolong. Saya kan ramai kawan!” tiba-tiba sebiji mentol
sebesar penumbuk menggawang di atas kepala. Permintaan Haji Ibrahim seolah-olah
membuka jalan yang luas dan terang untuknya.
Abang ni kenapa?
Tersenyum-senyum… Hajjah Noriza menjerkahnya. Jemari kedutnya mengusap pipi
bayi yang masih terlena tetapi pandangannya memecah dinding bilik. Senyumnya
bagai melihat bidadari di balik awan sedang bergurauan di taman larangan
istana.
“Senyumpun tak
boleh. Kan
saya tengah main-main dengan si kecil ni!” Hajjah Noriza mencemik. Dia
membetulkan simpuhannya. Di dalam pantang, kalaupun tidak melalui proses episiotomi,
masih perlu berjaga-jaga bimbang masuk angin, pesan emaknya. Nanti menyesal di
kemudian hari.
“Saya dah bagi
tahu Haji Ibrahim, raya tahun ni, masjid kita nak buat majlis korban!”
“Memangpun tiap-tiap
tahun masjid tu ada majlis korban kan ?”
Berkerut dahi Hajjah Noriza. Sudah menjangka ada agenda tersembunyi suami yang
dikahwininya di selatan Thailand
itu.
“Iya. Tapi tahun
ni lebih hebat lagi sebab kita nak korbankan unta!” Haji Alang seakan bersorak
menang. Tergambar di layar matanya betapa sibuknya orang kampung ketika itu.
ahli-ahli jawatankuasa masjid tentu memuji-mujinya kerana kemurahan hatinya
bersedekah. Budak-budak pasti bersorak keriangan kerana dapat melihat unta
secara dekat.
“Kenapa pulak
sampai nak berunta bagai? Buat ajelah korban lembu macam tahun-tahun lepas!”
Bangkang bini tuanya ketika mereka selesai menonton siri Panduan Haji di
televisyen. Setidak-tidaknya meraut memori indah sepanjang beribadah di Tanah
Suci dulu. Cemuih Hajjah Mariah dengan permainan politik masjid suaminya.
Setiap lembu atau setiap apa yang dilakukan terhadap masjid tua kampung itu
pasti ditagih balasan.
“Eh awak ni.
Rasululullah SAW yang cakap. Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya
adalah kebajikan! Awak tahu berapa banyak bulu unta, berapa banyak bulu lembu?
Bukankah korban itu penebus dosa, penambah amal?”
Haji Alang
mencicip kopi sebelum menyambung.
“Lagipun biar Haji
Ibrahim tu tahu siapa Haji Alang ni. Walaupun saya tak penah jadi imam masjid
negeri, sekurang-kurangnya kedudukan kami setaraf!” Selepas itu pasti Haji
Ibrahim membuka mata seluas-luasnya. Pasti dia tidak menolak hasrat sucinya
itu..
“Atau awak ada
niat nak jadi menantu Haji Ibrahim? Nak menambah daki dunia awak tu?” Teka
Hajjah Mariah sambil memasang jerangkap. Haji Alang tak akan beria-ia benar
terhadap sesuatu melainkan mempunyai maksud sebalik.
Hish! Awak ni,
saya kan dah
tua!” Kopi dicicipnya terasa membakar lidah. Renungan Hajjah Mariah
mendatangkan gelabah.
“Tua kalau
sihat, mampu, boleh berlaku adil apa salahnya kan ?” Sindir Hajjah Mariah seperti
kata-katanya pada Bilal Nasir tempohari. Haji Alang menelan air liur.
Mereka, Bilal
Nasir, Haji Alang, Haji Ibrahim dan beberapa orang ahli kariah sedang
berbual-bual di perkarangan masjid. Hajjah Mariah menyertai kaum perempuan
lainnya sedang sibuk di penanggah menyiapkan bahan-bahan untuk daging korban
yang akan dimasak esok.
Dua ekor lembu
dan seekor kambing sudahpun ditambat pada pokok berhampiran kawasan luar pagar
masjid. Lembu disumbangkan oleh ADUN kawasan mereka dan kambing pula daripada
Haji Ibrahim.
Haji Alang
memandang sinis pada kambing baka Boer tegap itu yang sesekala mendengus
diganggu kanak-kanak. Sekejap lagi,
untanya akan sampai. Apalah sangat daging kambing! Kalau teringin benar, cari
sahajalah restoran mamak yang menghidangkan beriani kambing.
Kalau teringin
dimasak cara Melayu, cari sahaja di pasar-pasar minggu. Boleh berselumak
muncung menghadap kari kambing campur kentang hasil tangan Hajjah Mariah. Kalau
teringin masakan barat, minta sahaja Hajjah Noriza mengadakannya. Beres. Bukankah
itu hikmah bermadu?
Sebuah
kereta berhenti di perkarangan masjid dan seorang perempuan penghujung tiga
puluhan turun dan menyalami Haji Ibrahim. Perempuan itu turut melemparkan
senyum kepada Haji Alang. Haji Alang tersengih-sengih. Seakan terdengar-dengar
paluan kompang di telinganya. Kemudian dia menghilang, memegang tangan emaknya
menyertai perkumpulan wanita di situ. Haji Alang memerhati kelibatnya sehingga
hilang. Awan terasa membawa lagu.
Maaf pak aji. Unta pak aji belum sampai ke Malaysia lagi
hari ni. Salam Aidil Adha daripada saya dan pihak pengurusan.
SMS yang Haji
Alang terima selepas Zohor tadi membuatkan dia terduduk. Tetapi digagahkan
untuk mendail nombor itu semula. Tiada dalam perkhidmatan. Berkali-kali.
Dicubanya nombor lain seperti yang tertera pada kad nama. Nombor yang didail berada
di luar kawasan liputan. Haji Alang seakan mahu menghempaskan telefon tersebut.
Haji Alang
terbayangkan RMnya terbang semakin tinggi mendaki menghala ke langit. Wajah
anak perempuan Haji Ibrahim semakin sirna di sapu awan Zulhijjah. Paling
menyakitkan Haji Ibrahim tersenyum simpul padanya. Esok, hari wukuf dan unta Haji Alang masih
berada di padang
pasir Mekah!
Nota : dihantar ke majalah Harmoni pada 17/9/2012
No comments:
Post a Comment