Maafkan Nida, Wan.
Anida
menjiruskan air perlahan-lahan di bahu kiri Wan. Air jirusan pertama di sebelah
kanan telah disempurnakan ibu pada lambung kanan. Menyoroti sunnah nabi
memulakan anggota kanan dari kaki dibawa naik ke atas.
Ini
sahaja tempat permandian yang mampu kami sediakan. Bukan bilik air yang
berkepala paip emas. Bukan bilik air seluas sebuah rumah pangsa. Bukan juga tab
mandi jakuzi yang membolehkan air susu dan air bunga bercampur wangian
aromaterapi.
Cuma sebuah peti
kayu yang ditampal zink kiri kanan dan disebelah bawahnya berjarak sebesar dua
ruas ibu jari untuk memudahkan air lalu.
Anida
menggosok-gosok tubuh Wan seperlahan mungkin. Kalau Wan sendiri mandi, Wan
tentu mahu daki semuanya tertanggal. Wan pembersih. Biarpun kulit Wan hitam. Itu
kata-kata Wan.
“Wan ni dahlah
buruk. Hitam. Orang tak suka pandang. Macam kamu, tentu kulit kamu putih. Tak
mandipun tetap cantik. Tapi Wan tak boleh duduk dalam keadaaan kotor. Wan tak
boleh tahan badan berbau. Wan nak termuntah…”
Wan
ketawa biarpun bicaranya hanya berlawan dengan kegelapan. Sepanjang tinggal di
rumah Anida, Wan akan kegelisahan bila panas menjerut. Menjelang tengahari
sebelum Zohor bilik air kecil dalam rumah kecil Anida akan menerima deburan air
mencuci tubuh Wan.
Kadang-kadang, Anida
panggil nama Wan bila tiada bunyi dari bilik air.
“Wan gosok badan
ni ha…!”
Anida ketawa
kecil dengan kebimbangan yang bukan-bukan.
Anida
menyeka air mata yang turun. Ibu tunak anak mata. Mata ibu juga memerah tetapi
esak Anida menarik perhatian Zahid, suaminya yang masih penuh air gayung di
tangannya. Mengundang tanda tanya ayah yang sedang mencedok air. Tekanan air
sangat rendah maka kerabat-kerabat Wan sudah menadah air dari paip rumah Wan di
baruh untuk kemudahan memandikan Wan.
Tengoklah Wan. Semua anak cucu Wwan ada di
sini. Mereka sama-sama menadah air untuk mandian Wan.
Perlahan-lahan
tubuh Wan disengetkan ke lambung kiri. Bekas kudis Wan sebesar tapak tangan
budak yang melohong kelihatan. Tetapi nampak kulit baru cantik memerah bukan
seperti mula-mula Wan dan terbaring di atas tilam kekabu di tengah rumah Mak Lang.
Waktu itu kudis melohong berair dan berbau meloyakan. Mak Lang yang merawatnya
setelah diajar oleh jururawat desa yang datang memantau keadaan Wan sebaik
keluar dari hospital.
Mak Lang risau
amat ketika itu. Bimbang dituduh adik-beradik lain mengabaikan emaknya. Bimbang
dikata sengaja membiarkan emaknya buruk berkudis begitu. Walhal semut seekorpun
tak diberi benar mendekat emak kesayangannya itu.
“Anak Wan yang
bodoh itulah yang merawat Wan!”
Pernah Wan bisikkan di telinga Anida dalam
bahasa yang payah. Merujuk kepada anak perempuannya yang ketiga itu itu.
“Anak Wan yang
buruk itu yang jaga Wan siang dan malam. Anak-anak Wan yang lain tak nak jaga Wan.
Wan busuk. Wan buruk.!” Air mata Anida turun lagi.
Saya cuma cucu menantu Wan. Saya dan suami
tak kisah menjaga Wan. Anak-anak kami dah besar. Tiada yang hendak dikejar
ketika memakai lampin pakai buang. Tiada lagi yang merengek di tengah malam
minta dibuatkan susu.
Tapi, nanti apa kata anak-anak Wan yang tiga
orang lagi itu.
Apa kata cucu-cucu kesayangan Wan yang akan
menegakkan hak mereka sebagai waris keras kerana mereka anak daripada anak
perempuan Wan. Ayah suami saya juga bermati-matian tidak mahu Wan dirawat di
ibu kota . Biar
di daerah ini. Dekat dengan kampung tanah tumpah Wan. Tegasnya. Biarpun semua
anak dan cucu-cucu Wan pemastautin tetap di ibu kota .
Saya cuma cucu menantu Wan. Bukan dari suku Biduanda.
Bukan dari suku Batu Acheh. Memang ayahanda saya dari suku Biduanda tetapi emak
saya tidak tertakluk dengan hukum persukuan. Maka tidak tertitik darah
persukuan bila perkahwinan berlaku dengan perempuan dari luar garis itu.
Ayahanda saya tidak tertakluk dengan hukum persemendaan.
Saya tidak bimbang umpatan di belakang saya.
Saya redha diumpat dikeji. Tidak menjadi kudispun. Cuma bila umpat keji itu
sampai di telinga saya, ia menjadikan saya sedikit sakit.
Bila kesakitan itu mengesan di hati, saya
terpaksa bertarung untuk memujuk diri memaafkan orang-orang yang selalunya saya
kenal amat. Berdendam lebih memeritkan. Memujuk hati untuk memaafkan berlebih
lagi memenatkan.
Anida
tidak mahu dituduh berbaik-baik dengan wang kerana simpanan ASB Wan yang
berpuluh-puluh ribu itu. Tidak mahu dianggap memandai-mandai menjaga Wan kerana
hendak menginding simpanan Wan yang juga berpuluh ribu yang disimpan Wan
semenjak muda.
“Persetankan
semua tu…!” pujuk Zahid ketika mereka sama-sama duduk di bangku panjang menanti
giliran di kaunter untuk mengemaskini buku-buku akaun Wan.
“Anak-anak Wanpun
tak tahu berapa sebenarnya jumlah simpanan Wan….kalau mereka tahu…”
“Tak payahlah
nak mengumpat saudara sendiri.”
Anida memotong
kata Zahid. Yang diumpat tidak lain ibu ayah dan bapa juga ibu saudara sendiri.
Anak-anak Wan semuanya sudah balik, Wan.
Sedang memandikan Wan. Memanglah tuntutan menguruskan jenazah itu fardhu
kifayah. Seorang dah buat yang lain tak payah. Teringat Anida pada humor Dato
Ustaz Ismail Kamus.
Tetapi adalah
lebih baik yang menguruskannya itu ialah para waris si mati dengan dipandu para
agamawan agar tidak kesasar.
Menantu-menantu
Wan juga ada. Ibu masih lencun-lencunan memandikan Wan dan berwangian kapur
barus. Menantu-menantu lelaki Wan ada yang sekadar berdiri di luar rumah. Berbual-bual
kosong para penziarah. Cerita tentang hangatnya politik terkini. Menantu
perempuan dan ipar duainya serta menantu-menantu mereka sibuk berkisah tentang
anak-anak. Berkisah tentang lauk pauk dan kerja di pejabat yang tak
habis-habis.
Ayat-ayat suci
dibaca sekali lalu ketika jenazah Wan terkedang di tengah rumah tadi. Ketika
jenazah diangkat ke tempat permandian, masing-masing mengangkat punggung.
Seolah-olah kematian ini satu drama yang akan tamat bila jenazah selamat
dikebumi. Kemudian, kembalilah kita ke asal keduniaan.
Cucu-cucu
Wan juga ada. Zahid masih di sebelah kaki kiri Wan. Adik beradik dan
sepupu-sepupunya juga mengitar tempat permandian Wan. Bergilir ganti
menjiruskan air.
Beruntungnya Wan
punya kerabat seramai ini.
Maaflah Wan seandainya air ini sejuk sedikit.
Tapi Wanpun tak suka air panas, kan
Masa Wan tinggal
dengan kami dulupun, Wan larang Zahid masak air panas.
“Mandi air sejuk
badan jadi tegap.”
Tentu Wan seronok mandi dijirus anak cucu
begini kan ?.
Pasti
Wan bahagia di hari akhir Wan, anak cucu berkumpul untuk meraikannya biarpun
dengan air mata dan bacaan yassin serta sedekah lainnya. Semasa Wan sihat
semuanya melafaz alasan sibuk untuk menjenguk Wan. Kalau adapun di pagi Syawal,
itupun seketika.
Pasti
Wan bahagia biarpun ada yang datang sekadar melepaskan hembus asap rokok sebatang
dua di bawah pokok belimbing mandul di depan rumah Mak Lang. Jauh sekali untuk menitipkan Yassin. Menikmati cuti percuma dengan sekeping
salinan sijil pengebumian atas alasan kematian keluarga terdekat.
Cucu-cucu menantu Wan juga ada. Berkumpul
di rumah kecil Wan. Meladeni cicit-cicit yang berganti nafas dengan Wan. Sesekala
meninggikan suara menahan sabar dengan telatah anak-anak yang tidak memahami
apa-apa.
Kematian
itu pasti dan kehidupan harus juga diteruskan. Cuma seharusnya kematian itu
harus teriring dengan air mata keinsafan. Betapa bila terpisah roh dengan jasad
tiada apa yang termampu dilakukan. Waima untuk membersihkan diri sendiri.
“Perlahan-lahan,
jangan sakitkan jenazah”. Perempuan sebaya Wan yang turut sama memandikan
jenazah mengingatkan.
Untuk menguit
gatal di kaki yang berkurappun tidak mampu lagi.
Mata Anida
tertancap pada kedua-dua belah kaki Wan yang selalu mendatangkan
ketidakselesaan pada Wan.
“Mana ubat yang
aku beli tu.. ada kau sapu pada kaki mak…?”
“Ada …”
“Berapa kali?”
“Bila teringat…”
jujur Mak Lang menjawab
“Bodoh betullah
kau ni. Kau tak baca peraturan kat kotak ubat tu…!” Jerkah ayah.
Anida
dan Zahid berpandangan. Bodoh Mak Lang kerana mengabaikan penjagaan emaknya
untuk kali ini. Kali ini sahaja. Bijakkah adik beradiknya yang lain yang
sekadar menyapa dan menjenguk sebulan sekali.
Memang
Mak Lang anak perempuan Wan. Tetapi menantu-menantu Wan juga anak perempuan Wan.
Bukankah mertua itu sudah termaktub tarafnya setara dengan ibu kandung. Sedang
Rasulullah sangat memuliakan Ummu Aiman, ibu angkatnya. Tiada hubungan darah
apatah mertua menitipkan darah keturunan pada suami atau isteri dan mengalir
pada keturunan sendiri.
“Dia memang
bodoh sebab jaga aku…aku yang tak sekolahkan dia…aku miskin. Laki aku
tinggalkan aku…” Wan mengeraskan suara. Tongkat kayunya dihentak ke lantai
beberapa kali.
Anida
memandang ibu. Ibu sudah mengangkat punggung. Kitaran kisah lama kembali masuk
ke gelanggang. Ujaran luka itu menusuk hati dan seandainya pintu langit
terbuka, ada mata yang tidak dapat melihat syurga. Ayah juga mengangkat
punggung. Bukan meminta maaf. Maaf sedang disebut tetapi bukan mudah untuk
dihulur dan dipohon.
“Kalau buat
macam ni, seminggu sekalipun tak apa. Lama-lama baiklah kudis Wan ni…”
Anida
masih menggosok-gosok perlahan kurap di belakang kaki Wan. Disuruhnya Wan duduk
di atas kerusi. Kedua-dua kaki Wan direndam di dalam air suam yang disediakan
di dalam besen. Sabun berubat disapunya perlahan-lahan pada kudis itu.
Ya Allah, ikhlaskanlah perlakuan ini
keranaMu.
Anida
mengulang-ulang doa itu bagi mengimbangi riak yang terkembang-kembang membisik.
Anak-anaknya pun tidak memperlakukankan
begitu. Apa habuan kamu melakukannya?.
Ikhlaskanlah perlakuan ini keranaMu. Aku
tidak mampu melakukan walau dengan ibu kandungku sendiri.
Ikhlaskan perlakuan ini kerana aku tidak
mampu berlembut sebegini walau dengan ibu angkatku sendiri…
Iklhaskan perlakuan ini kerana aku tidak
mampu sesopan ini walau dengan ibu mertuaku sendiri.
Jenazah
Wan diangkat cucu-cucu lelakinya ke tengah rumah menghadap ke arah kiblat. Wangian
kapur barus memarak. Kaki Wan tidak boleh lagi diluruskan.
Roh Wan dijemput
Izrail ketika jagat raya disimbah lena. Kecuali bagi insan-insan yang
terpanggil untuk meletakkan dahi di tempat sujud bagi meraih mahligai di
syurga.
Istighafar
dan selawat terus berada di tempat tertinggi di dalam hati Anida. Mencantas
riak-riak takbur yang mengolak di permukaan hati. Tuntutan kifayah merendahkan
diri seorang insan mendengar perintah makcik tua pengurus jenazah.
Meletakkan keduniaan
meminggir ke sisi. Pangkat, kedudukan tidak tertera di dinding kubur.
Ya Tuhan, sempurnakan jenazahku nanti
seperti mana aku sempurnakan jenazah ini. Anida terus menyeka air mata.
Kapas memutih diletakkan pada setiap sendi Wan. Di celahan kaki dan hingga ke
atas pergelangan kaki seakan stokin. Saat pandangannya jatuh pada bekas kudis
di belakang kaki wan, air matanya turut jatuh. Betapa indahnya memori bersama Wan.
Wan
hadir dalam hidupnya pada hari pertama perkahwinannya dengan Zahid. Hari-hari
bosan di rumah mertua diisi dengan keletah Wan yang sudah lama terpisah dengan
panca indera cahayanya.
Wan akan
menceceh tentang jiran sekampungnya dalam bahasa ibunda yang sangat likat dan
bernada. Kadang-kadang ketawa Zahid terisi sama melihat Anida termangu-mangu
berkerut dahi memahami butir kata Wan.
Alangkah
manisnya bulan madu itu. Wan memberi dimensi baru pada perkahwinan tidak sekufu
itu walau di hujungnya terletak restu.
Wan
tidak cerewet dalam apa soal sekalipun. Di rumahnya sendiri Wan masih mampu
menghidupkan api dapur kayunya, sedang Anida yang terang jelas penglihatannya
terkial-kial mengumpul nyawa meniup sejuring bara di hujung kayu.
Selalu Anida
membanding Wan dengan emak angkatnya. Wan boleh memberi salam di pintu rumah
adiknya berteman tongkat yang berjarak 50m. Sedang emak akan terjerit-jerit di
dalam limbah meminta bantu dan menegaskan kebutaannya biarpun tongkat masih di
tangannya.
Wan
akan makan apa sahaja yang terhidang tanpa soal sedang emak perlu makan ikan
goreng dan nasi putih kerana yang pedas itu memutuskan urat perutnya. Yang
berdaun itu mengumpul angin di dalam perutnya. Yang bertulang banyak itu akan
memungkinkan sengkangan di rengkung.
Wan menyusur
jalan ke bilik air menggunakan tongkat dengan sekali tunjuk sedang emak akan
terjerit-jerit meminta tolong apabila baldinya teralih walaupun hanya berjarak sekangkang
kera.
Maka
nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan? Kita diberi pilihan untuk
menafsir dan memberi erti makna bersyukur itu sendiri. Terhukumkah kebutaan pemberian
Allah sedang hambaNya yang lain mampu tersenyum redha?
Jenazah Wan
sudah siap dipakaikan telekung dan menunggu untuk dikafankan.
“Ada cucunya yang masih
belum tiba. Waris keras tu…” ada suara menjengah pendengaran Anida.
“Makcik, arwah
ni dah tak ada sejak malam tadi. Kita nak tunggu lagi ke…?”
Anida berbisik
perlahan di telinga makcik Jamilah si pengurus jenazah yang mulia pekerjaannya
itu. Pesan ulama seeloknya jenazah disempurnakan sebelum melangkau tiga waktu
Solat. Sedang sekarang Zohor makin mendekat.
Sedang
menyempurnakan jenazah secepat mungkin adalah dituntut. Dituntut di antara tiga
perkara lain iaitu solat awal waktu dan mengahwinkan anak gadis yang cukup
umur. Anida tidak mengutarakan alasan itu tetapi meletakkan pandangan sebagai alas
bicara.
Wanita itu tidak
menjawab tetapi mengarah Anida yang duduk di hujung kaki Wan agar mencapai
lapisan kain kafan yang pertama daripada yang tiga. Disuruh kemas selitannya.
“Semasa hayatnya
dia pernah berpakaian cantik, kemas. Menghadap Allahpun biarlah dia kemas juga.
Bersih….” Pesan makcik Jamilah.
Maafkan Anida Wan. Bukanlah Anida hendak
memutuskan sillaturrahim Wan dengan waris keras Wan. Tetapi Anida memegang pada
kata jenazah harus disempurnakan segera sebagai keperluan fardhu kifayah itu sendiri.
Ya Tuhan, ketika kematianku berlangsung aku
mohon jenazahku disempurnakan dan diperlakukan seperti mana aku memperlakukan
jenazah Wan. Mohon kau tutupkan aibku sepertimana kau menutup aib Wan.Aku
memohon kematianku memberi hidayah dan keinsafan kepada yang masih bernafas.
Jenazah
Wan sudah siap dikafan. Hanya tinggal wajah tua Wan yang masih terbuka. Makcik Jamilah
memanggil semua anak dan cucu Wan untuk menatap wajah Wan untuk kali terakhir.
Anida menguatkan diri. Tangannya berpaut pada besi tingkap yang terbuka
betul-betul di hujung kaki Wan.
Berkali-kali dia mengesat air mata supaya jangan keluar lagi. Tetapi
makin dikesat, makin lebat dan terus mengalir keluar.
Saya cuma menantu cucu Wan.. saya cuma
menumpang kasih yang saya tidak dapat dari emak kandung saya, dari emak angkat
saya dari emak mertua saya.
Saya cuma meminjam ketabahan Wan yang lara
ditinggal suami dalam kemiskinan dan bertahan dengan prejudis anak-anak yang
tidak menerima hakikat perpisahan itu sebagai takdir.
Saya cuma menantu cucu Wan yang meminjam
semangat ampuh Wan untuk terus hidup biarpun tiada cahaya menyimbah jalanan.
Kehidupan harus diteruskan. Tiada alasan untuk bersangka buruk dengan Maha
Pemberi yang meletakkan ujian sebagai asas kasih sayangNya.
Zahid
memaut bahu Anida. Memimpinnya perlahan-lahan menatap wajah Wan yang tenang nyaman.
Wajah kedut seribu yang pernah mengisi ruang sepi hidupnya.
“Wan…” Anida
bersuara juga dengan sendu. Selama tadi mereka berbicara bergalang rasa.
“Saya Anida,Wan”.
Anida membuka bicara. Akur bahawa tidak akan ada jawapan dari ulas bibir pucat
Wan. Anida menggosok mukanya sendiri. Membersihkan daripada untaian air mata
yang tak habis-habis.
“Ampunkan saya Wan.
Terima kasih Wan…” Anida mengucup dahi sejuk Wan. Pipi tua Wan. Kiri dan kanan.
Puas hati kerana Wan memberinya peluang menabur bakti untuk kali terakhir.
Menafsir makna kematian yang memberi seribu satu pengertian keinsafan dalam
diri. Anida tidak mahu menangis lagi. Tetapi air mata seakan tidak mengerti.
“Saya nak ikut hantar
jenazah Wan ke kubur!” Anida berkeras biarpun Zahid melarang. Berkali-kali dia
melihat Anida memicit-micit kepalanya.
“Saya nak dua
ganjaran sebesar bukit Uhud tu… takkan abang seorang aja yang dapat…!” Zahid
merenung wajah jernih isteri yang bengkak matanya itu.
Anida
membetulkan tudungnya dan menutup pintu kereta. Dahi Zahid sedikit berkerut. Mengiringi
jenazah termasuk di dalam 6 hak sillaturrahim umum. Sabda Rasulullah S.A.W daripada
Saidina Ali R.A sesiapa yang mengiringi jenazah akan mendapat ganjaran pahala
yang darjatnya lebih besar daripada Bukit Uhud. Mindanya merayau ke
perkampungan 70 syudaha di perkarangan Bukit Uhud yang memerah batuannya kerana
dikatakan kerana darah suci syuhada.
Katakanlah azab
kubur itu benar. Mungkar dan Nakir itu benar. Hari kiamat itu benar.
Anida meletakkan
tapak tangan di pinggiran lahad.
Sejuk.
Semoga amalan Wan
mampu menongkah semua ujian azab kubur. Semoga
amalanku juga mampu menangani ujian kematian ini. Semoga ilmu yang aku
tinggalkan, anak yang soleh dan sedekah yang sedikit itu membantuku.
Maafkan Anida Wan. Anida bukan waris keras Wan.
Anida cuma cucu menantu. Tetapi Anida akan terus mendoakan semoga segala dosa Wan
terampun. Semoga kubur semuat-muat diri ini memberi kelapangan buat Wan
sementara menunggu serombong Israfil ditiupkan. Amin.
nota: cerpen dihantar ke majalah Wanita pada 4/9/3012
nota: cerpen dihantar ke majalah Wanita pada 4/9/3012
No comments:
Post a Comment