BAB SEBELAS (11)
DUGAAN menghadapi peperiksaan besar
di dalam hidup sebagai pelajar akhirnya ditempuh jua. Ikatan mahabbah terus larut bertiketkan
persahabatan yang tercipta di dalam bentuk yang tak terjangka. Begitulah besarnya kuasa Yang Maha Esa. Sesuatu yang dipandang malang oleh manusia, Rupa-rupanya kurniaan
tak ternilai dianugerah Allah.
Kedatangannya
ke Limburg atau lebih tepat lagi pemukiman
kecil Megelsweg lebih berupa lawatan daripada kedatangan pemastautin. Biarpun katanya kepada Mama, dia akan terus
berada di sisi Papanya.
Pangsapuri
tiga tingkat lot tepi berwarna kelabu itu menyambutnya riang, seriang Edward
melihat kehadiran seorang lelaki pewarisnya.
Suram akhir musim luruh bagai
gambar hitam putih hidup. Wafi terasa
terasa lemas di sini.
Bumi
kelahiran Maria Huberdina Bertha Hertogh yang menyaksikan Rusuhan Natrah di
Singapura pada 1950 itu tetap nyaman menyambut hadirnya. Rusuhan yang menyatu umat Islam Melayu yang
bagaikan terbongkah lenanya akibat kerjasama penjajah British dan Belanda untuk
memurtadkan anak angkat Che Aminah itu.
Perjalanan
melelahkan semenjak dari Malaysia
lagi membuatkan dia betul-betul membalas dendam menghabiskan tidur enak Lagipun apa yang hendak ditatapnya belakang
rumah papanya kalau hanya ada dahan pepohon yang gonjeng dan kurus.
Tidak
membawa makna apa-apa. Berlainan jika
musim bunga menyelubungi. Jasmin
berwarna kuning cair atau putih, Rhododendron ungu dan putih dari tanah tinggi Himalaya , Ros pelbagai warna dan volgaris syringa berwarna
ungu bagaikan hutan belukar bunga. Tidak termasuk bunga raya yang diperolehi
benihnya daripada seluruh dunia. Biarkan kurang terjaga di tangan seorang
lelaki, apabila kembang menguntum, tetap memberi seri.
“Kenapa
Mama kamu tidak ikut sekali?” Soal Papanya
ketika mereka menikmati makan malam.
Soalan
yang sudah lama mahu ditanya sebaik sahaja Wafi dijemput dari lapangan terbang tempohari. Bersahabat dengan para pewaris darah Belanda
bercampur Tanah Indonesia ,
membuatkan dia sinonim dengan nasi. Rakyat
Belanda berdarah campuran itu mendapat gelar 'kacang' di sini. Terus harmoni tanpa mahu menyentuh soal
agama dan kepercayaan.
Wafi
mencapai potongan oren di atas meja.
Buah-buahan citrus dibeli secara tetap daripada The Plus di bandar
Megelswerg yang mendapat namanya daripada formasi batuan galian lombong. Pasaraya pilihan Edward juga komuniti di
Herleen kerana menawarkan harga yang berpatutan.
“Tak
tahu Papa. Dia cuma berkirim
salam.” Wafi merenung lelaki kulit putih
yang secara rasmi bapa kepadanya di atas kertas bernama sijil beranak itu. Wajahnya cengkung biarpun badannya sedikit
berisi. Raut wajahnya suram bagai
menanggung rindu yang sarat.
“Nanti
Papa bawa kamu keliling kota ,” Edward berkata sepatah-sepatah. Wafi ketawa mendengar bahasa Indonesia telor
Belanda itu.
“Banyak
masa lagi, Papa,” pujuk Wafi bagaikan
memberi harapan bahawa anak lelakinya itu akan berlama di bumi pengamal sistem
monarki di bawah aras laut itu.
“Tak,
Papapun sudah lama tidak ke Valkenberg.
Tidak ada keperluan.”
“Habis,
selama hari ini?”
“Papa
berkeliling dunia. Mencari cinta
baru. Tetapi enggak ketemu,” Mereka bertatapan. Renungan mata Edward yang berkaca bagai
bersenandung memberitahu anak lelakinya itu bahawa dia masih rindukan seorang
wanita bernama Izzaidah. Mamanya.
“Wafi
rasa, ada baiknya Papa lupakan Mama,”
Wafi menatang pinggannya yang licin ke sinki. Lelaki awal 50an itu tidak terperanjat. Seadanya pemikiran bangsa Eropah yang
sentiasa bersikap terbuka.
“Mamamu
sudah berkahwin lain?”
Tak,
tapi Wafi rasa dia tak akan kembali kepada Papa.” Wafi mencapai pula pinggan yang sudah kosong
di depan Edward.
“Apa
rasionalnya yang membuatkan kamu bilang begitu?”
“Entahlah
Papa. Tapi bagi saya, hidup harus
diteruskan. Kita tak boleh asyik terus
menoleh ke belakang. Nanti kaki
tersadung dan jatuh. Harus pandang terus
ke depan dan sesekala memandang ke bawah.
Bukan ke belakang. Sejarah yang
dimanfaatkan letaknya di bawah, bukan di belakang.” Panjang lebar Wafi mengungkap kata. Edward melempar keluhan.
Wafi
bangkit dari kerusi apabila terdengar deringan panggilan masuk. Berlari dia ke ruang tamu di lantai yang
sama. Sambil mengelap mulutnya, Edward
turun ke bilik bacaannya di tingkat bawah. Bersatu di dalam keindahan
potret-potret nuansa orang asli amerika yang dikaguminya semenjak dulu.
“Bila Mama nak datang sini?” Wafi menyoal terasa lama benar terpisah
dengan Mamanya biarpun minggu pertama belum menjelang.
“Datanglah
masa Krismas. Nanti kita boleh tengok
sambutan Krismas dekat Corio Center Wafi teringin nak bergambar dengan Zwarte
Piet yang mama cerita tu,” pujuk
Wafi. Manja.
Gelak
rindu berbaur sendu terhambur dari mulut Izzie.
Teringatkan pembantu Santa Claus yang bagai dilumur arang wajahnya
dengan rambut palsu berwarna kerinting.
Waktu senggang memberikan manisan kepada pengunjung Corio Centre dan
apabila Santa Claus hadir tugasnya bertukar menjadi pembantu. Menyelaras pertemuan dan sessi fotografi.
“Mama
rindukan Wafi,” Izzie akhirnya meleraikan kata.
Biar baru sekejap mereka berpisah.
“Kawan-kawan
Wafi apa khabar?” Satu soalan tiga
segi. Ibunya di Malaysia bertanyakan
khabar kawan-kawannya di Malaysia melalui dirinya yang berada di Belanda.
“Baik.”
“Zaw?”
“Kenapa
tak tanyakan Budik, Ain atau Amirul?
Kalau Mama nak tanya khabar Zaw, Mama boleh telefon Makcik Yatt,” Wafi
ketawa.
“Saja,” Izzie ketawa mengenangkan jerat soalannya
tidak bingkas.
Assalamualaikum,
Wafi. Apa khabar kau di sana (soalan peperiksaan
yang saya pasti awak boleh dapatkan markah 100%.untuknya. Eh, macam lagu Ramlah Ram pun ada)
Wafi tersenyum dan meneruskan
pembacaan. Ganti nama ‘aku’, ‘kau’
berbanding ‘saya’, ‘awak’ lebih mencanai kemesraan di antara mereka. E-mel dikirim Zaweeya setiap tiga hari sekali. Biarpun awalnya tidak dipedulikan sangat,
tetapi tiba-tiba dia menjadi rindu jika tiada berita dari Malaysia melalui surat maya itu.
Sekarang
musim apa ya? Mesti banyak bunga
tulip. Mesti awak dah panjat kincir
angin. Tiang gol ragbi kat sekolahpun
awak boleh cuba
panjat. Seronoklah awak. Terlepas dari PLKN. Kamipun dah nak mula tak lama lagi. Tapi kami tak dapat kem yang sama. Tak tahu macamana saya nak hadapi hari-hari
tanpa kawan-kawan baik di sisi.
Budik
semakin mahir membaca jawi. Aku dah
‘terberjanji’ nak mengajar dia membaca jawi masa cuti SPM. Aku sangka dia lupa. Rupa-rupanya pagi-pagi buta lagi dia dah datang bawa buku nota. Kaf-Lam-Kaf-Alif_Ra
betul.
Amirul pula, biasalah. Cuti sekolah sahaja, menempeklah kat rumah
kami ni. Sekarang, Keeya dah ada kawan
bertekak yang baru. Rindu pula saya nak
bertekak dengan dia. Oh ya. Kak Reema sekarang ada di London .
Di kampus dekat London Borough of Lambeth. Semua orang menghala ke Eropah sahaja.
Bilalah aku dapat peluang pergi ke sana ?
Sebelum
telunjuknya melarikan tetikus menekan butang ‘reply’ Wafi menaip.
Waalaikumsalam. Di sini sekarang akhir musim luruh. Dah nak masuk musim salji. Pemandangan tak menarik. Bunga tulip tengah berherbinasi. Dekat Herleen ni tak ada kincir. Replika kincir saja yang ada.. Memanglah aku boleh panjat sebab ditanam
dalam tanah! Siap boleh sepak-sepak
lagi. Macam tulah manusia kan ,
selalu tak bersyukur. Selalu nampak padang lain lebih hijau.
Teringat pada tasik berhampiran
rumah Papa yang jika di Malaysia
boleh dikatakan setaraf paya terbiar di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur. Hanya tasiknya masih dikunjungi itik dan
angsa hitam bersiar-siar di dalamnya selain manusia.
Ajaklah
Mama kau datang ke Herleen. Nanti aku
boleh bawa kau ke Velkenburg. Di sana banyak
bangunan-bangunan bersejarah. Kata Papa
ada istana lama. Ada gereja-gereja lama. Kau tu kan
gila sejarah. Sampai aku yang dah memang
nyata Mat Saleh celup ni, kau kata putera raja abad ke 16 dulu. Tapi itu kata Papa. Akupun belum sampai lagi. Nanti aku hantar gambar.
Sampaikan
salam aku. untuk Amirul, Budik, Ain dan seluruh keluarga kau di sana . (Kalau kau tak sampaikan tak mengapa. Mereka juga ada menghubungi aku melalui e-mel). Aku tetap akan balik bila sampai masa
p.s : Kaf-Lam-Kaf-Alif Ra tu apa?
Zaw ketawa membaca emel kiriman Wafi itu. Dia masih lagi membaca majalah Mekar. Tetapi tidak setaksub dulu. Cita-citanya untuk mengetahui kesudahan
Kembang Dahlia yang bermimpikan Indera Laksamana tetap ada. Dimatikan ingatan itu seketika ketika SPM
menjelang dulu.
Zareema
sudah berangkat ke London
bulan lepas. Menghabiskan baki tiga
semesternya di kampus Universiti Lim Kok Wing di tengah kotaraya yang
meletakkan Big Ben di antara mercunya.
Mama tersenyum lebar dengan keputusan 5A akhirnya digenggam Zakeeya. Bermakna pengorbanan mendidik Keeya dalam
rejim disiplin rekaannya berjaya. Tanpa
perlu mengorbankan wang menghantarnya ke pusat tuisyen
Mama
juga semakin ligat merangka aktiviti alumni universitinya semenjak bertemu Puan
Izzie. Ada-ada sahaja aktivitinya hujung
minggu. Puan Izzie juga begitu. Mungkin sedikit sebanyak dapat melupuskan
seketika rasa rindu buat anak lelaki tersayang.
“Oh,
bermesej-mesej dengan Wafi ya? Aku cakap
kat Mama,” Keeya yang ternampak e-mel
balasan Wafi itu bersuara dari belakang.
Tersengih-sengih dia mendekati Zaw.
Menarik kerusi plastik dan duduk di sebelah Zaw. Menongkat dagu membaca e-mel tersebut. Tiada reaksi tidak membenarkan daripada Zaw.
“Pergilah
cakap. Bukannya aku hantar mesej I love you, saranghaeyo kat dia. Tanya khabarpun tak boleh?”
“Iyalah. Mula-mula tanya khabar. Lepas tu mulalah melarat-larat.”
“Itu orang
lain. Aku ada prinsip. Kalau dah nama berkawan, berkawan
ajalah. Kalau aku dah terjatuh cinta
dengan dia, nanti aku umumkan,” ujar Zaw meniru kenyataan basi artis-artis Malaysia
menangani gosip cinta.
Zakeeya
bangun. Majalah-majalah yang
berselerakan di atas katil Zaw dicapainya.
Disusun dan diletakkan ke tepi.
Ditepuk-tepuk tilam yang lunyai alasnya sebelum menghempaskan diri ke
atasnya.
“Mesti Wafi
seronokkan. Ada Papa orang Belanda. Kenapa Papa kita tak lahir dekat Scotland . Atau dekat Sepanyol.” Keeya mengaju soalan berbaur pertanyaan
tetapi jemarinya mengungis kuku.
“Orang Scotland
mana yang nak kat Mama tu? ‘Trompet’
Mama lagi nyaring daripada bagpipe mereka.
Mel Gibsonpun boleh lari,” Zaw
ketawa mengekeh. Mengaitkan Mel Gibson
yang mengarahkan dan membawa watak William Wallace, wira Scotland dalam epik sejarah
Braveheart. Filem sejarah yang menjadi
kegemaran Mama.
“Hmm.. seronoknya
mengumpat Mama ya. Trompetlah. Mel Gibsonlah. Tak menoleh kiri kanan.” Suara Puan Hidayati mengejutkan mereka
berdua.
Terburai sila Zaw
di atas kerusi semuat-muat punggung itu.
Puan Hidayati masuk ke dalam bilik.
Mengitar pandang keseluruhan bilik.
Mencari celahan atau susunan tercela yang hendak dikomenkan. Tidak berjumpa. Semuanya terurus.
Matanya tertancap
pada e-mel kiriman Wafi yang masih menganga di dada tablet hadiah buat Zakeeya
yang lebih banyak berbakti kepada Zaw itu.
“Wafi?”
“Hah. Mamapun terperanjat. Kau ingat tak kak Reema pernah cakap. Jangan benci sangat. Nanti jadi suka,” usik Keeya. Masih terlentang di atas katil Zaw.
“Aku tak cakap aku
sukakan dia. Cuma tak nak bergaduh
lagi. Itu aja. Nak buat apa.
Berbaikkan lagi bagus.” Puan
Hidayati melemparkan senyuman bermakna.
Ingin dikhabarkan cerita gembira kepada teman tercinta dengan segera.
No comments:
Post a Comment